Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,802
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Bab 19

ZAKUAN kembali semula ke rumah sewanya setelah dua hari bercuti di rumah keluarga baharu ayahnya. Sesekali dia akan balik bercuti bersama adik-adiknya dua orang itu. Biarpun berlainan ibu, kasih sayangnya terhadap adik-adik tetap tidak berbelah bahagi. Ibu tirinya juga tidak memilih kasih. Tetap memberinya perhatian.

Bukan keluarga yang bermain di fikirannya saat ini. Wajah seseorang yang dahulu begitu bermakna dalam hidupnya kembali menjengah mengundang rindu. Memori silam yang sudah berkubur dalam lipatan sejarah kembali menjengah. Dia termenung lagi.

“Hei, Wan. Hang nak makan apa?”

Zakuan terkejut apabila disergah begitu.

“Tak boleh panggil elok-elok ke? Terkejut dibuatnya aku,” jawabnya sambil mengurut dada.

“Dari tadi aku tengok hang ni mengelamun aja. Apa ke hal?” tanya Aziz.

“Tak ada apa-apalah. Hang terperasan kut,” jawab Zakuan.

“Ya la tu. Macam aku tak tau. Hei... kawan. Cepatlah order. Bila lagi nak ordermakanan ni? Aku laparlah,” celah Safrizal.

Zakuan menggamit seorang pelayan Restoran Melati. Mereka bertiga selalu juga makan di situ. Sesekali ubah selera pula. Kebetulan sahaja malam itu ada perlawanan bola sepak. Jadi, mereka bertiga membuat keputusan untuk makan di luar.

Pengunjung mulai memenuhi ruang di dalam restoran itu. Ada juga yang menduduki beberapa buah meja yang diletakkan di luar restoran itu. Makanan di restoran itu bukan sahaja enak, malah masakan tradisional kampung yang menyelerakan mampu menggamit pengunjung kembali menikmatinya buat kali kedua. Maka tidak hairanlah restoran itu cepat menjadi terkenal.

“Dari tadi aku tengok hang ni macam ada masalah besaq aje. Beritaulah kami ni. Apa ke bendanya sampai hang monyok semacam aja?” soal Aziz.

Zakuan yang sedang asyik menikmati nasi campur berlaukkan rendang ayam kampung dan ulam-ulaman kampung berserta sambal belacan, tersedak beberapa kali. Safrizal menyuakan air kepadanya.

“Tak adalah. Cuma perkara kecik aja,” ujar Zakuan sambil tersenyum.

Aziz dan Jeffri tercengang.

“Aku tak percaya. Tak percaya,” balas Aziz.

Zakuan menggaru kepala yang tidak gatal. Ada sesuatu yang perlu kawan-kawanku tahu. Ya! Ada sesuatu. Pasti mereka terperanjat nanti. Zakuan tersenyum kemudiannya.

“Ada sesuatu yang perlu hang pa tau.”

Aziz dan Safrizal berpandangan.

“Aku pernah ceritakan pasal Nurain, gadis yang pertama hadir dalam hidup aku, kan? Dan beberapa minggu yang lalu aku jumpa dia di depan Hotel Vistana. Hang pa pun tengok jugak, kan?”

“Siang tadi aku jumpa dia di restoran McDonald. Rupa-rupanya, dia sepupu Mira. Kami berborak panjang.”

“Sepupu Mira? Tentu dia cantik menarik macam Mira jugak,” sampuk Jeffri.

“Ya. Itu betul. Yang aku rasa bersalah sangat sebab aku dah menuduh Mira yang bukan-bukan. Dia mangsa fitnah budak kampung dia sendiri. Sampai bila-bila pun aku takkan maafkan diriku sendiri.”

“Nanti kau jumpalah dia. Minta maaf. Hang bukan sengaja nak menyalahkan dia,” kata Aziz pula.

Zakuan tidak tahu dengan cara bagaimana mahu meminta maaf daripada Nurin Amira. Sudah banyak perkara yang dilakukannya untuk menyakitkan hati gadis itu. Sudah tentulah bertambah-tambah penderitaan yang ditanggung oleh gadis itu. Seandainya dapat diputar kembali masa yang berlalu, dia tidak sanggup melihat gadis yang dahulunya amat disayangi menanggung penderitaan yang bukan sedikit. Dia akan selalu berada di samping Nurin Amira. Tetapi, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi. Dia menggaru lagi kepalanya yang tidak gatal sambil merenung jauh ke langit tanpa bintang-bintang yang indah bergemerlapan. Bulan pun tidak sudi menampakkan wajahnya. Seolah-olah mengerti akan kekesalannya saat ini. Keluhan berat dilepaskan.

************

ZAKUAN baharu sahaja selesai mengerjakan solat isyak. Buat seketika, dia duduk di atas sejadah sambil bibirnya terkumat-kamit berzikir dan berwirid bagi mengukuhkan lagi kekuatan hatinya kepada-Nya. Sebagai hamba-Nya, dia sentiasa dahagakan kasih sayang Allah. Menjadi pencinta Allah sebelum diserahkan cintanya kepada seorang gadis.

Pertemuannya dengan Nurain siang tadi kembali membawa dia ke alam persekolahan yang ditinggalkan hampir lapan tahun yang lalu. Secara tidak langsung dia teringat sahabat baiknya yang pergi menghadap-Nya hampir dua tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya.

Azlan, sahabatku. Kawan kita, Nurain kembali lagi dalam hidupku. Dia kian jelita dan manis seperti Mira. Tetapi, sungguh aku tidak pernah menyangka dua orang wanita ini saudara sepupu. Dalam masa yang sama, aku sudah jauh tersasar kerana menuduh Amira tanpa usul periksa. Andai hang ada ketika ini mendengar keluh-kesah hatiku, alangkah baiknya.

Lan, aku rindu pada persahabatan kita. Kau sahabat yang paling baik pernah aku jumpa. Maafkan aku, Lan. Kerana menangisi pemergianmu.

Lantaran rindu yang teramat pada sahabat kesayangannya, dia kembali menghimbau kenangan di alam persekolahan. Masih segar di ruang ingatannya saat kali pertama perkenalan dengan Nurain bermula.

Zakuan berdegil juga untuk pergi ke sekolah. Sepanjang dua minggu cuti persekolahan dia bosan tinggal di rumah. Memandangkan hujung tahun tersebut dia bakal menduduki peperiksaan PMR, dia dan beberapa orang rakan sekelasnya bersetuju untuk datang ke sekolah bagi mengulang kaji pelajaran.

Petang hari tersebut hujan turun dengan lebatnya. Akibat ditimpa hujan, Zakuan dan Fadli tidak dapat ke sekolah keesokan paginya. Namun, mereka berdua berjaya memujuk ibu masing-masing untuk keluar mengambil angin di sekitar bandar raya Ipoh. Salah satu hobi Zakuan dan Fadli ketika ada waktu kelapangan.

“Mahalnya barang-barang kat Parkson ni. Tak kuasa aku nak membelinya,” kata Zakuan sejurus selepas membelek kemeja lelaki.

“Sekarang mana ada barang murah. Kat reject shop pun mahal harganya. Kalau nak murah, gi aje pasar malam kat rumah kita tu.” Fadli memberi cadangan.

“Wow! Cunnya awek-awek tu,” katanya kemudian menyakat gadis-gadis comel yang lalu- lalang di depannya.

“Hang ni takde lain. Awek aje hang ingat 24 jam,” bebel Zakuan, geram.

“Sibuk pasal study tak apa jugak. Padan la abah hang selalu marahkan hang. Tak habis-habis dengan awek. Habiskan study tu dulu,” sambung Zakuan.

“Hang ni kalau membebel mengalahkan mak nenek,” balas Fadli.

Selepas mencuci mata melihat barangan kulit di dalam pasar raya itu, Fadli mengajak Zakuan melepak di tepi koridor bagi melepaskan penat berjalan.

“Eh, Li. Dompet siapa pulak tu?” kata Zakuan, berlari mendapatkan dompet kulit berwarna coklat berdekatan anak patung yang dipamerkan di sebuah kedai menjual aksesori wanita. Fadli mengekorinya.

“Eh, eeh..., gambar budak perempuan la,” ujar Zakuan sambil membelek dompet cantik itu.

“Awek cun mana pulak tercicir dompet ni? Malang sungguh nasib dia,” kata Fadli pula sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Aku nak cari awek ni,” ujar Zakuan sambil melangkah ke bahagian pakaian perempuan.

Fadli mengerutkan dahinya. Parkson ni besar. Bukan senang nak cari empunya dompet ni. Biar betul kawan aku ni.

Biarpun tidak berpuas hati dengan keputusan kawannya itu, Fadli tetap mengekori Zakuan.

Mereka berdua melilau-lilau di tingkat dua bahagian pakaian perempuan. Kemudian dari satu bahagian ke satu bahagian. Hampa. Tiba-tiba mata terpandang dua orang gadis di kaunter bayaran. Salah seorang teramat gelisah sambil mencari-cari sesuatu. Zakuan tersenyum.

Excuse me. Saudari tengah cari dompet ni ke?” tegur Zakuan. Gadis itu memandangnya, kehairanan.

“Emm, saya jumpa dompet saudari di blok sana,” sambung Zakuan. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah manis gadis itu.

“Terima kasih. Awak terlalu baik. Dalam dompet ni ada macam-macam yang berharga. Saya tak tau macam mana nak balas budi awak,” ujar gadis bertudung itu. Dia kemudiannya membayar harga pakaian yang dibeli.

“Cukuplah awak menganggap saya dan kawan saya ni sebagai sahabat awak. Oh, ya. Nama saya, Zakuan. Kenalkan ini kawan saya, Fadli.” Pantas Zakuan memperkenalkan dirinya.

“Saya Nurain dan ini kawan sekolah saya, Laila. Panggil saja saya Ain dan Ila.” Nurain melemparkan senyuman.

“Salam perkenalan,” ujar Fadli yang sedari tadi hanya memandang gelagat mereka.

“Saudara dah tolong saya. Ambil la duit ni buat belanja,” kata Nurain lalu menghulurkan not RM20.00.

“Tak payah la. Saya ikhlas menolong awak. Betul. Saya ikhlas...,” balas Zakuan.

Setelah saling mengenali, mereka berpisah mengikut haluan masing-masing. Kedua-dua sahabat itu masih lagi berlegar-legar di persekitaran Parkson. Kemudian singgah di restoran untuk mengisi perut yang lapar. Entah jam berapa mereka pulang, Zakuan tidak ingat.

Lantaran mengingati detik perkenalan itulah Zakuan mendial nombor telefon Nurain. Namun, hampa. Nombor yang didial didapati sibuk. Dia pasti Nurain sedang menjawab panggilan orang lain. Dia juga dihujani rasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh gadis itu saat ini. Sudahnya dalam pekat malam itu dia sendirian melayan lamunannya.

Previous: BAB 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.