Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,845
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

BAB 22

MOHD NAJIB gelisah di pembaringan. Dikalih tubuhnya ke kiri dan kemudian ke kanan. Jiwanya tidak tenteram semenjak tiga hari yang lalu. Perasaan bimbang jelas ketara terpamer pada wajahnya. Setakat ini hanya Naim dan Fauzi yang tahu dia bermalam di rumah buruk ini. Malah, dua orang temannya itulah yang sering membawanya makanan dan memberitahu perkembangan yang berlaku di rumahnya sepanjang dia bermalam di situ.

Sesekali rindu juga hendak menatap wajah isterinya. Namun, apa yang mampu dia lakukan. Sampai saat ini gadis itu belum pernah berjaya dimilikinya. Biarpun kelembutan gadis itu terserlah dari penampilannya. Namun, hatinya keras. Tidak mudah yang disangkakan untuk menguasai gadis itu. Dia akhirnya mengeluh. Kemudian bangkit dari pembaringan. Naik lenguh tubuhnya apabila seharian tidur bangun sahaja.

Terhimbau di ruang ingatannya peristiwa di mana dia akhirnya dinikahkan dengan Nurin Amira. Jiwa lelakinya tercabar. Nurin Amira tidak pernah mahu menerimanya. Lantaran tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima, dia berkomplot dengan kawan-kawan sepermainannya untuk memerangkap Nurin Amira. Dia menggunakan nama Umirah, jiran sekampungnya, iaitu rakan sekelas Nurin Amira ketika di sekolah menengah. Kononnya, Umirah ingin bertemu dengannya di sebuah rumah buruk di tengah-tengah kebun getah. Nurin Amira percaya kerana sahabatnya itu seorang yang baik hati. Mereka berkawan baik semenjak di sekolah rendah lagi.

Ketawanya pecah berderai kerana orang-orang kampung percaya fitnah yang dibawa kononnya dia dengan Nurin Amira mempunyai hubungan sulit. Dia tidak peduli kemarahan orang tuanya kelak. Yang pasti dia dapat memiliki Nurin Amira. Namun, kini gadis itu sudah lama menghilangkan diri. Serta-merta dia mendengus geram. Rasa marah, sakit hati, kecewa bercampur menjadi satu.

Diperhatikan sebuah motosikal yang masuk menuju ke arahnya. Dia menyambut lambaian tangan penunggang motosikal tersebut. Siapa lagi kalau bukan Naim, teman karibnya yang sering membantunya apabila dilanda kesusahan.

“Nampaknya, binimu takkan kembali lagi. Dah tiga hari aku intip, tak ada pun kereta dia masuk.” Tanpa diminta, Naim melaporkan perkembangan terkini.

“Ke mana dia pi? Tak guna punya perempuan.”

Geram Mohd Najib pada isterinya belum surut lagi. Ingatkan dapat bini cantik, ada kerja bagus, boleh tumpang senang. Ini tidak. Membebankan kepala aku saja. Nasib! Nasib!

“Mak, ayah aku macam mana?”

“Hang jangan risau. Tak dak sapa tau hang di sini. Tapi, kalau hang tak keluaq dari rumah ni dalam dua tiga hari lagi, lama-kelamaan orang tau jugak. Baik hang cepat-cepat berambus.”

“Hang nak menghalau akukah?”

Ah! Najib. Hang yang buat onar, tak semena-mena aku terlibat sama. Sendiri mau ingat la. Takkan itu pun tak boleh fikir. Najib! Najib!

“Hang bukan tak tau ayah hang tu macam mana. Dia takkan duduk diam punya. Lebih-lebih lagi menantu kesayangannya tu tak balik-balik lagi sampai sekarang. Sendiri mau ingat la kalau mau selamat,” jawab Naim lagi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Mohd Najib meraup wajahnya dengan tangan. Naim pula memohon diri untuk beredar. Tinggallah dia di situ sambil melayan perasaannya. Sekali lagi dia mengurut kepala yang tidak gatal. Perut pula sudah berirama menyanyikan lagu irama Malaysia. Naim pula tidak membawa makanan pada tengah hari itu. Akibat leka benar memikirkan diri sendiri lupa hendak bertanya pada Naim makanannya pada hari itu. Memikirkan juga akan keselamatannya yang sudah tidak terjamin, dia bergegas bersiap ala kadar untuk keluar dari kampung itu.

**************

WAKTU petang begini, Pak Mail senang bersantai di beranda rumah sambil menghisap rokok daunnya. Dari beranda rumah dia dapat melihat kereta dan motosikal lalu-lalang di jalan bersebelahan rumah Pak Mahat, jiran baiknya. Biarpun cuma jalan kampung, selalu sahaja ngauman enjin kereta dan motosikal membingitkan telinga yang mendengar. Terutama sekali rumah yang berdekatan dengan jalan tersebut. Namun, lantaran sudah biasa, bunyi bingit kereta dan motosikal tidak di ambil peduli lagi.

Tatkala itu fikiran Pak Mail tidak berfokus di situ. Dia sibuk memikirkan perihal anak menantu yang baharu mendirikan rumah tangga itu. Ada yang tidak kena pada perkahwinan itu. Seperti ada sesuatu rahsia yang dia tidak tahu. Mohd Najib dan Nurin Amira tidak seperti pasangan pengantin yang baharu berkahwin. Mereka bercakaran dan bertelagah sesama sendiri. Beberapa hari yang lepas, menantunya Nurin Amira keluar dari rumah setelah bertengkar dengan Mohd Najib. Ingin bertanya Mohd Najib apa yang telah berlaku, anaknya itu belum pulang ke rumah.

Lebih mengelirukan lagi fikirannya, Nurin Amira keluar dengan beg pakaiannya sekali. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.

Lagi lama aku memikirkan perkara ini, lagi sesak nafas aku! Ke mana pulak anak bertuah tu? Sampai sekarang tidak nampak batang hidungnya.

“Apa yang dimenungkan tu, bang?”

Mak Senah menegur sambil meletakkan secawan kopi dan sepiring kuih jejemput pisang di atas tikar mengkuang yang diletakkan di situ.

Pak Mail menoleh. Dia kembali duduk di kerusi yang disediakan di beranda rumahnya itu. Kembali menggulung rokok daunnya. Bau jejemput pisang menaikkan seleranya ketika itu.

“Najib ke mana?”

Eh! Orang tua ni, nak cari pasal ke apa! Kita tanya elok-elok, dia pusing kut lain pulak.

“Manalah Senah tau, bang. Dia dah besaq panjang. Dah jadi laki orang. Yang abang ni dari tadi bermenung kat beranda ni, apa ke halnya?”

“Pasal anak bertuah hang pa tu la. Tau pun dia dah jadi laki orang. Ada dia jalankan tanggungjawab dia sebagai suami? Kerja ke mana, sembahyang ke mana? Apa nak jadila dengan anak bertuah tu tak taula. Ditegur buat tak endah; tak tegur lagi menjadi perangainya,” jawab Pak Mail sambil menggeleng-geleng.

“Abang toksah la pening kepala fikirkan pasal dia. Taula dia balik ke rumah.”

“Tak pening kepala macam mana? Yang Si Mira tu keluaq pagi, balik malam. Pulak tu bila cuti, jarang ada di rumah. Yang buat abang bertambah heran, keluaq kelmarin dulu dengan beg besaqnya sekali. Apa nak jadi dengan depa ni?” kata Pak Mail, tidak puas hati. Dia mendapat tahu Nurin Amira keluar dari rumah dengan beg besarnya. Itu pun daripada jiran sebelah rumahnya.

Eh, orang tua ni! Membebel macam mak nenek pulak. Tak padan dengan lelaki. Aku baru nak bersenang-senang menantu kesayangan dia tu dah keluaq dari rumah ni. Tak habis-habis, Mira, Mira, Mira! Eiii... kalau budak tu balik nanti, tau la apa aku nak buat nanti.

Sebut sahaja nama Nurin Amira, berubah air muka Mak Senah. Dia cukup tidak berkenan dengan anak Encik Zainal dan Puan Asiah itu. Biarpun ramai orang memuji budi pekerti gadis itu, dia langsung tidak memandangnya.

“Itulah bang. Abang asyik nak salahkan anak abang. Salah menantu abang tu, abang tak nampak. Namanya anak yang tak tau beradab dengan orang tua!”

Ewah! Ewah!.... Awak ni kalau pasal anak manja awak tu, buat salah macam mana pun awak tetap menangkan dia. Macam mana tak jadi lagu tu.”

Akhirnya, setelah penat bertikam lidah dengan isterinya, Pak Mail bersiap ala kadar keluar dari rumah menuju ke rumah kawan baik anak lelakinya. Ada sesuatu yang mengganggu benaknya yang perlu dibongkar.

“Assalamualaikum.”

Berkali-kali Pak Mail memberi salam. Rumah papan itu tetap sunyi sepi. Dijenguk-jenguknya ke ruang belakang rumah. Tiada sesiapa pun di situ. Ditinjau-tinjaunya ke dalam rumah melalui tingkap yang terbuka juga tidak kelihatan orang di situ.

“Ke mana perginya semua orang? Sia-sialah aku ke mari,” rungut Pak Mail, tidak puas hati.

Dia datang berlenggang ke rumah Pak Jais. Bukannya jauh sangat pun dari rumahnya. Namun, berasa mengah juga berjalan kaki. Tambahan pula usia pun di penghujung senja.

“Waalaikumusalam. Eh, Abang Mail! Ingat siapa tadi. Tak dengar pulak bunyi enjin motosikal Abang Mail. ” Tiba-tiba seseorang menyahut panggilannya.

Tergopoh-gopoh aku nak beri makan ayam, ada pula tetamu yang datang bertandang. Pak Mail! Pak Mail. Tak menyempat-nyempat aku nak menyudahkan kerja aku.

“Aku jalan kaki saja. Bukannya jauh sangat pun nak datang ke mari. Laki hang ada?”

“Ada. Nak ke mana kami petang-petang ni. Saya tengah bagi makan ayam kat belakang rumah. Bang Jais sembahyang asar agaknya. Abang Mail duduklah dulu kat pangkin sana tu. Saya nak tengok Abang Jais sekejap,” jawab Mak Lijah sambil tersenyum.

Pak Mail menurut pelawaan isteri Pak Jais itu. Dia termangu-mangu sebentar di pangkin di bawah pokok rambutan itu. Dia mengamati sekeliling halaman rumah Pak Jais. Bersih. Tersenyum dia sebaik terpandang buah mangga yang bergayut di setiap dahan pokok di sebelah dapur rumah Pak Jais.

Pak Mail tidak sedar telatahnya itu sedang diperhatikan. Leka benar dia mengamati keindahan ciptaan Tuhan itu. Jauh dari kesibukan kota. Aman damai dengan kehijauan pokok buah-buahan dan bunga-bunga tanaman milik penduduk di sekitarnya. Belum tercemar dek arus kemodenan kota.

Pak Jais terkejut juga menerima kunjungan Pak Mail itu. Dari tadi dia memikirkan tujuan kedatangan Pak Mail ke rumahnya. Baharu semalam mereka bertemu di surau.

Ah! Pak Mail ni nak ajak aku bersembang agaknya, kata Jais menyedapkan hatinya sendiri.

“Bang Mail. Maaflah, ya. Saya tengah sembahyang ssar tadi. Lama tunggu saya?”

“Tak apa. Nasib baiklah bini kamu menyahut. Kalau tak, mau aku berpatah balik ke rumah tadi.”

“Yalah. Apa hal abang ke sini? Biasa kita jumpa kat surau aja. Pasal imam baru kita tukah?”

Pak Mail tersenyum. Jais ingat aku ke sini nak bincang pasal mesyuarat ahli jawatan kuasa masjid agi melantik imam baru. He! He! He! Tekaan hang silap. Padahal kepala aku ni bagai nak pecah memikirkan Najib. Menyusahkan orang sungguh.

“Begini. Aku nak jumpa dengan Jali. Ada hal yang tak kena dengan budak-budak ni. Najib entah ke mana hilangnya. Tak nampak batang hidung sejak tiga hari lepas.”

“Tak ada pulak Najib ke sini. Jali tu dari pagi pi kerja tak balik lagi. Kejap lagi baliklah tu.”

Terpaksalah Pak Mail menunggu Jali pulang. Anak muda itu bekerja kilang elektronik di Kuala Ketil. Di kilang yang sama dengan Mohd Najib bekerja sebelum lelaki itu diberhentikan kerja.

Mak Lijah melenggang sambil menatang dulang berisi seteko air kopi dan kuih lepat pisang.

“Jemput la minum, Abang Mail. Kak Senah apa khabar?” tanya Mak Lijah, sekadar berbasa- basi. Hidup rukun damai sesama jiran perlu mengeratkan lagi silaturahim.

“Alhamdulillah. Bukan tak sihat. Bertambah sihat ada la.”

Pak Jais ketawa apabila Pak Mail bergurau begitu.

“Saya dah lama tak jenguk Kak Senah tu. Tengoklah nanti kalau ada kelapangan, saya ke sana. Teringin pulak nak makan pucuk paku. Banyak lagi ka kat belakang rumah Abang Mail tu?”

“Emm.. tak luak mana kalau hang pa nak makan. Datanglah, Lijah. Jais, hang bawak-bawakla bini hang ni ke rumah abang. Kak Senah hang waktu-waktu macam ni dok belah pinang la. Maklumlah kerja tu yang ada. Mana boleh dok diam. Dok diam, tak daklah pitis. Betui tak, Jais?”

Pak Jais sekadar tersengih. Tidak lama kemudian, Mak Lijah memohon diri.

Jam sudah pun menunjukkan pukul 5.00 petang. Hampir sejam Pak Mail di situ. Namun, kelibat Jali tidak juga kelihatan. Sementara itu, mereka berbual-bual tentang isu semasa bagi mengisi waktu yang ada.

“Mana anak hang ni, Jais? Tak nampak lagi batang hidung dia!”

“Biasanya dah sampai rumah waktu-waktu macam ni. Singgah kat mana-mana agaknya. Tak pun pi main bola dekat hujung kampung sana tu,” jawab Pak Jais.

“Kalau macam tu, abang nak balik dulu la. Hang kirim salam kat dia sudah la. Beritau dia abang datang cari dia,” kata Pak Mail, memohon diri. Pak Jais menghantar kelibat Pak Mail hingga hilang daripada pandangan dengan ekor matanya.

“Apa hal Abang Mail tu, bang? Nampak berserabut aja Jah tengok!” tanya Mak Lijah setelah Pak Mail pulang.

“Pasal anak menantu dialah. Najib tu dah tiga hari tak balik. Nanti Jali balik, kita tanya dia apa cerita.”

“Kesian Mira tu kan, bang. Dapat pulak laki macam Najib. Jah pun dah tiga hari tak nampak kereta Mira lalu depan rumah kita ni. Kalau tak, selalu jugak Mira tegur Jah,” jawab Mak Lijah. Pak Jais memandang isterinya atas bawah. Dahi Mak Lijah berkerut seribu melihat renungan pelik suaminya itu.

“Apa-apa ajalah hang ni, Jah.”

Terfikir di benak Mak Lijah akan kesahihan cerita di sebalik kes khalwat Nurin Amira dengan Mohd Najib. Bagai enggang dengan pipit. Bak langit dengan bumi. Tidak sesuai langsung mereka dipadankan sebagai suami isteri. Selama ini tidak pula nampak di matanya keakraban Uda dan Dara itu. Entahlah!

************

RUMAH buruk di dalam kebun getah itu sunyi sepi. Keadaan sekitarnya dipenuhi daun kering. Memang benar ia agak terpencil dari rumah penduduk di sekitarnya. Namun, apabila anak-anak muda berkumpul di situ, keadaan menjadi sebaliknya. Halamannya boleh dibuat gelanggang sepak takraw ataupun badminton. Ada kalanya mereka melepaskan gian bermain bola sepak pula. Selalu juga Jali dengan kawan-kawannya melepak di situ. Bermain muzik sambil menyanyi di situ buat dia terhibur. Gitar, dram dan tin-tin kosong dikumpulkan untuk dibuat alat muzik.

Jali memerhati kawasan sekitar rumah buruk yang didirikan di dalam kebun getah itu. Pak Mat yang selalu datang menebas dan bercucuk tanam di atas tanah tidak jauh dari sebelah kiri rumah buruk itu juga tidak kelihatan. Dia melihat ada bekas tayar motosikal di halaman. Dia yakin benar motosikal itu milik Mohd Najib. Rumah buruk yang memiliki dua buah bilik itu dipanjatnya melalui tangga yang agak usang. Satu di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan. Bahagian tengahnya dijadikan ruang tamu dan makan. Dapurnya pula di bahagian depan yang bersambung dengan jemuran beralaskan batang pinang yang terletak di sebelah kanan. Dahulu rumah itu diduduki pasangan suami isteri yang mempunyai sepasang anak kembar. Setelah 15 tahun berlalu, rumah itu ditinggalkan. Khabarnya mereka sekeluarga berpindah ke Bukit Mertajam. Sehingga kini tiada khabar berita tentang mereka. Ramai penduduk di situ tidak tahu ke mana mereka menghilang. Padahal di situlah kampung tempat mereka membesar.

Jali berasa sedih juga kerana rumah itu dibiarkan kosong dan tidak dijaga. Menjadi tempat persinggahan anak-anak muda melepaskan lelah. Ada kalanya tidur bangun di situ. Dia lebih suka rumah buruk itu dirobohkan sahaja daripada membiarkan anak-anak muda kampung menghabiskan masa seharian di situ tanpa membuat perkara berfaedah.

Ke mana pula Najib ni? Hidup menyusahkan orang tua. Dah tua pun tak tahu nak berfikir lagi ka? Hairan aku. Apa nak jadi teman aku yang seorang ni? Kalau jadi saudara aku, dah lama penumbuk ni lekat kat muka dia.

Tapi! Salah aku jugak. Dulu bukan main lagi kamcing dengan dia, sampai menjebakkan gadis tidak berdosa masuk dalam perangkapnya. Nampak benar aku ni menyokong tindakan Najib tu. Aduh, pening kepala macam nih! Kena pulak berdepan dengan ayah malam ni.

Jali duduk melongo di atas pangkin rumah itu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Perlahan-lahan dia melepaskan keluhan berat. Sudahlah perutnya berkeroncong minta diisi. Selalunya dia akan terus pulang ke rumah mengisi perut sebelum keluar semula. Kelibat Pak Mail yang sedang duduk berbual dengan ayahnya di atas pangkin di halaman rumah mematikan niatnya untuk balik ke rumah. Lantaran terfikir kemungkinan Pak Mail ingin bertanya perihal kehilangan Mohd Najib, dia bergegas dengan motosikal kapcainya menuju ke teratak usang tersebut. Sudahnya apabila disoal siasat, mungkin juga tersingkap sebuah rahsia yang selama ini ditutup rapat-rapat supaya tiada sesiapa pun yang tahu.

Najib ni pun satu. Apa ke jadahnya nak melarikan diri? Dah buat salah tu, mengaku ajalah. Dulu bukan main lagi konon taktiknya akan berjaya. Sekarang apa dah jadi? Aku jugak yang kena. Isy! Tak guna punya kawan.

Ah! Nasib hang la, Najib. Aku dah tak nak ambik tau dah perihal hidup hang. Tapi, aku kesiankan Mira tu. Tak semena-mena dia jadi mangsa pembohonganmu. Mudah-mudahan dia akan sentiasa diberi perlindungan oleh Allah di mana saja dia berada.

Sekelip mata sahaja Tuhan boleh mengubah sikap seseorang. Sejahat mana pun seseorang itu, dia tetap mendoakan orang-orang yang tidak berdosa itu diberi perlindungan oleh Allah.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.