BAB 3
HIDUPNYA kembali sepi. Jiwa terasa kosong. Hanya kenangan yang
menghiasi ruang hati yang terluka. Namun, dia sedar sebanyak mana pun terhimpun
kebencian terhadap gadis itu, hati tetap dicuit rasa ingin memandang setiap
inci wajahnya yang manis, manja dan lembut itu.
Ah! Kenapa susah sangat
aku hendak melupakannya?
Itulah kenyataan yang
seharusnya dia hadapi sebaik Nurin Amira berkahwin dengan orang lain. Tidak
tergambar di ruang fikirannya akan perjalanan hidupnya nanti tanpa kehadiran
Nurin Amira di sisi.
Zakuan mengurut kepalanya
yang sakit tiba-tiba. Keliru mungkin dalam menilai kecurangan seorang gadis
yang amat dicintainya. Berkali-kali mengutuk, memaki dan menyindir gadis itu dalam
hati, dia tidak dapat lari daripada hakikat cintanya memang tumbuh subur buat
gadis itu.
Bahunya ditepuk oleh seseorang.
Dia menoleh sekilas.
“Ayuh, kawan. Apa susah
sangat? Pi jumpa dia mintak penjelasan. Hang tak boleh macam ni,” tegur Salleh,
rakan seangkatannya.
“Nantilah aku tanya dia.”
“Tapi, bila? Sampai dia
dah tak cintakan hang lagi? Masa tu, masa prestasi kerja hang dah jatuh merudum,
baru nak tanya. Come on la. Buruk
rupa hang dalam keadaan macam ni,” kata Salleh yang kurang senang dengan
jawapan yang diberikan oleh Zakuan itu.
Salleh salah seorang teman
rapat yang sangat memahami. Mereka
sering berkongsi rahsia dan masalah diri masing-masing. Sikap Salleh yang
tenang, optimis dan mengambil berat itu memang mudah disenangi rakan-rakan
lain.
Zakuan dilihatnya meraup
wajah sambil menundukkan kepalanya. Seperti memikirkan sesuatu yang tidak
pasti.
Salleh menggeleng-geleng
lagi. Walaupun turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Zakuan, dia tiada
daya hendak membantu. Hanya Zakuan yang dapat membantu dirinya sendiri.
“Aku tau perasaan hang
yang feeling habis dekat Mira. Tapi,
aku yakin Mira tu ada alasan tersendiri menikah dengan orang kampungnya tu,”
pujuk Salleh lagi.
“Takkanlah secepat itu?
Padahal aku dengan dia dah berbincang nak bertunang menjelang cuti sekolah
nanti,” jelas Zakuan. Satu soalan yang tidak pernah lekang di fikirannya, sudah
hilangkah rasa cinta di hati gadis itu untuknya?
“Hang kena ingat. Kita
merancang, Tuhan yang menentukan. Lagi satu perkara aku nak ingatkan hang. Mira
tu gadis baik-baik. Aku kenai sangat orangnya macam mana. Selama ini tak pernah
aku tengok dia bergandingan dengan lelaki lain, kecuali hang sorang. Semua staf lelaki di pejabat ini dilayan sama
rata,” ujar Salleh untuk meyakinkan rakan pejabatnya itu tentang peribadi Nurin
Amira yang mempesona.
“Aku tak dak maksud lain.
Pujianku ikhlas. Walau apa pun yang terjadi pada hang, aku akan cuba dapatkan
informasi berguna tentang Mira,” sambung Salleh sambil menilik jam di
pergelangan tangan.
“Aku kena pi ni. Kejap
lagi nak kena mengadap bos nak bagi sample
yang diminta oleh pelanggan ni. Nak minta komen bos. Aku harap hang kuatkan
semangat,” kata Salleh, eksekutif muda merangkap pelukis pelan di syarikat
tersebut.
Zakuan tersenyum sinis.
Dia memikir-mikir bagaimana reaksi Nurin Amira seandainya dia datang kepada
gadis itu memohon penjelasan. Sedangkan hampir dua minggu yang lalu dia memendam
rasa. Dingin bagai air batu.
Patutkah aku datang
kepadanya untuk meminta sebarang penjelasan? Tapi, bukankah dia dah jadi isteri
orang? Untuk apa? Untuk menyakitkan hatiku lagi! Oh Tuhan! Apa kena denganku
ini?
Saat hati remuk-redam,
hadir Lily Zuhaily yang merengek manja menagih perhatian dan rasa cintanya. Sudah
lama gadis itu mencari peluang mendekatinya. Namun, cintanya cuma pada yang
satu. Biar sepuluh wanita cantik yang manis, manja, dan menggoda hadir dalam
hidupnya sekali pun, tidak mungkin sama dengan Nurin Amira dan cinta pertamanya
dahulu. Kedua-dua wanita ini amat berbeza di matanya.
“Hai, Wan. Jom kita lunch sama-sama.” Rengekan manja Lily
Zuhaily itu meremangkan bulu romanya. Belum sempat dia hendak menolak, pandangannya
berlaga dengan Nurin Amira yang secara kebetulan tertoleh ke arahnya.
Pantas sahaja Nurin Amira
menunduk. Pura-pura tidak melihat adegan mesra dua teruna dara itu.
“Er... Boleh la. Give me five minits. You tunggu Ikat luaq, okey,” jawab Zakuan. Namun, hatinya mulai tidak faham
pada diri sendiri. Mungkin juga kerana rasa sakit hati pada gadis itu, dia
memaksakan diri menerima perlawaan Lily Zuhaily.
Lily Zuhaily dengan
lenggok bersahaja, meninggalkan Zakuan dengan hati yang puas sambil memandang
sinis ke arah Nurin Amira.
Lihatlah nanti. Zakuan
akan jadi milik aku tidak lama lagi. Hati Lily Zuhaily bernyanyi riang. Mungkin
juga mimpikan kemenangannya tidak lama lagi.
***********
NURIN AMIRA sedar semua itu. Namun, apalah dayanya. Baginya, Zakuan
berhak menjalin hubungan dengan sesiapa pun. Keadaan sudah lama berubah.
Siapalah dirinya di hati Zakuan? Siapalah dirinya untuk berasa cemburu?
Puas sudah memujuk hati
agar menerima ketentuan takdir. Puas sudah melayani hati yang remuk-redam
kerana kekasih hati tidak sedikit pun memberi ruang kepadanya menerangkan apa
yang telah berlaku. Lantaran kecewa dengan perubahan hidup yang dialaminya.
Aku takkan menangis lagi.
Cukuplah dengan apa yang telah aku lalui selama ini. Cukuplah setakat ini!
Titik!
************
LILY ZUHAILY tersenyum puas. Selama ini dia terpaksa bersaing dengan
Nurin Amira untuk memenangi hati jejaka kacak pujaan ramai itu. Kini dia tidak
perlu bimbang lagi. Cuma, sedikit usaha diperlukan dalam misinya agar lelaki itu
tunduk mengagungkan cintanya.
Dia menunggu dengan sabar kehadiran Zakuan kerana lelaki
itu akhirnya sudi keluar makan tengah hari dengannya. Sebelum ini, berkali-kali
dia cuba mendekati lelaki yang telah menarik perhatiannya itu untuk dijadikan
kekasih hatinya. Dia yakin seratus peratus dia akan berjaya menakluki hati
lelaki yang beku itu setiap kali dia mengajak keluar bersama. Tambahan pula,
Nurin Amira bukan saingannya lagi. Mereka bukan lagi pasangan kekasih. Jadi,
dia memang menaruh harapan yang tinggi untuk bergandingan dengan Zakuan. Dia
bersyukur sangat-sangat Nurin Amira memilih lelaki lain.
Namun, senyuman yang
meleret sedari tadi hilang bersama debu-debu yang dibawa angin lembut yang menampar
pipinya. Betapa hati merungut geram kerana Zakuan keluar dari pejabat bergandingan
dengan rakan-rakan lelakinya yang lain sambil bergelak ketawa menuju ke
arahnya.
“Hai, Lily. Lama tunggu?”
Zakuan menyapa sambil mengukir senyuman menggodanya.
“Er.... Tak. Tak lama. So, kat mana kita nak lunch?” tanya Lily Zuhaily cuba menutup
kekecewaan.
Zakuan mengerling ke arah
Karim, Salleh, dan Murad.
“Hang pa ada cadangan nak lunch kat mana?” tanya Zakuan lagi.
“Kita lunch kat Restoran Seribu Rasa, nak? Kat situ makanan dia boleh
tahan jugak,” jawab Murad sejurus selepas melihat rakan-rakannya terkulat-kulat
memikirkan tempat yang sesuai.
“Kalau macam tu, elok
jugak. Aku pun belum pernah makan kat situ. Sesekali ubah selera apa salahnya,
kan,” sela Salleh pula. Zakuan dan Karim hanya mengangguk.
“Macam mana, Lily? Setuju joindengan kami semua?” tanya Zakuan
sambil menatap lembut wajah gadis campuran Melayu-Cina itu.
Lily Zuhaily memandang
seorang demi seorang lelaki yang sedang berdiri megah di hadapannya itu.
Hatinya berkira-kira ingin menolak kerana kurang selesa keluar makan dengan sekumpulan
lelaki itu.
Emmm... empat campur satu.
Nampaknya, nanti kecoh satu office
aku keluar dengan empat lelaki sekali gus. Tak pasal-pasal jadi gosip pulak.
Akal Lily Zuhaily ligat berfikir mencari jalan untuk meloloskan
diri daripda keempat-empat lelaki yang sedang merenungnya itu.
“Oh, ya. I baru teringat Kak Leha nak beli
sesuatu dan dia nak I temankan.
Mungkin lain kali kita boleh lunch
sama-sama. I’m so sorry, okay. I pergi dulu,” ujar Lily Zuhaily selepas
memohon diri beredar.
Zakuan tersenyum girang.
Malah, dia arif benar dengan perangai perempuan itu yang berpura-pura berasa
tidak selesa berada dalam lingkungan teman-teman seangkatannya. Sebelum berlalu,
dia mengenyitkan mata kepada teman-temannya itu.
************
DI SUATU sudut Restoran Seribu Rasa, empat sekawan bergelak ketawa.
Meriah dengan pelbagai gosip yang mereka bualkan. Buat seketika, Zakuan dapat
mengubat hati yang kecewa.
“Aku tengok perempuan
cantik dan seksi macam Lily tu bukan saja cerdik, tapi bijak menggoda. Rugi
hang tolak dia,” ujar Salleh sekadar hendak mengusik Zakuan yang diam membisu
sedari tadi.
Mata Zakuan yang tajam,
menikam tepat ke anak matanya. Kemudian berderai ketawanya memecah keheningan
yang mulai hadir di antara mereka. Melihat Zakuan ketawa, Karim dan Murad juga
turut ketawa.
“Kalau hang rasa perempuan
tu hebat, awat hang tak tackel dia?”
kata Zakuan dalam sisa-sisa ketawanya. Sedangkan dia tahu ciri-ciri perempuan
yang sedang mereka bualkan. Walaupun memiliki pakej yang menarik, perempuan itu
tidak mampu menggoncang hati lelakinya.
Salleh juga turut ketawa.
Pada mulanya hendak mengusik Zakuan. Akhirnya, diri sendiri yang terkena.
“Kalau aku berkenan, dah
lama aku jadi steady boy friend dia.
Tapi, perempuan macam tu mana nak layan lelaki macam aku ni. Kalau Wan,
lainlah. Macho, kacak, dan segak macam model lagi,” usik Salleh sambil ketawa.
“Yalah. Si Lily tu bercita
rasa hebat. Maklumlah, gadis kota. Silap hari bulan coupledengan perempuan macam tu, kering poket aku dibuatnya,” kata
Murad pula. Serentak dengan itu, berderai ketewa mereka.
“Ala... Sikap buruk tu
boleh dikikis dari awal. Boleh berubah, asalkan kena dengan lelaki yang sudi
membimbing dia. Mana tau nanti boleh jadi perempuan Melayu terakhir, gitu. Yang
jadi masalahnya, dia tu tergila-gilakan kawan kita ni,” sampuk Karim.
Zakuan menepuk dahinya
pula. Dia tersenyum geli hati. Balik-balik, dia juga yang terkena. Dan ketika
itulah matanya menangkap sesusuk tubuh wanita yang selama ini amat
disayanginya. Dia memandang dengan penuh khusyuk. Sedikit sebanyak dapat
merawat rindu yang mencengkam diri.
Wajah itu tidak
mempamerkan kegembiraan. Nampak sayu dan dilanda kesedihan. Namun, masih
terserlah keayuan. Dan seandainya dia tahu apa yang membuatkan gadis itu murung,
dia akan cuba menggembirakannya sehingga gadis itu ketawa. Tetapi, dia tidak
mampu menidakkan perasaan. Hatinya masih sakit. Masih belum sembuh daripada
luka dikecewakan. Bagaimana hendak berhadapan dengan gadis itu? Hatinya mula
bertanya apa yang perlu dilakukannya saat berhadapan dengan wanita itu nanti.
Salleh menyedari gelagat
rakannya itu. Dia menggeleng-geleng.
Kasihan kawan aku ni.
Betapa dia seorang yang setia. Bersih lagi menarik. Di manalah silapnya sampai
boleh jadi macam ni?
“Sabarlah, Wan. Kami paham
perasaan hang,” kata Salleh sambil menepuk bahu Zakuan perlahan.
Zakuan hanya mendiamkan
diri. Tidak berminat mengeluarkan sebarang alasan lagi.
“Walau dalam apa keadaan
sekali pun, hidup mesti diteruskan,” kata Murad pula yang memahami maksud
kata-kata Salleh itu. Dia turut menoleh memandang wajah gadis yang menarik
perhatian Zakuan itu.
Zakuan tersengeh. Dia
sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi. Selepas membayar harga
makanan yang dipesan, mereka beredar menuju ke surau sebelum meneruskan pekerjaan
mereka.