Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,827
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

BAB 15

PAGI Sabtu itu, Puan Asiah memasakkan makanan kegemaran anak saudara kesayangannya. Pada masa yang sama masakannya itu juga sangat digemari anak perempuannya, Nurin Amira. Sayu hatinya mengenangkan anak yang sudah lama tidak pulang ke kediamannya ini.

Awal-awal lagi Puan Asiah memetik pucuk ubi untuk dibuat gulai lemak cili padi, betik muda untuk dibuat ulam, ulam raja, pucuk pegaga untuk dibuat kerabu. Tidak ketinggalan cili padi yang masak meranum di pokok belakang rumahnya dipetik. Kebetulan pula cili padi yang dipetiknya tiga hari lalu sudah habis digunakannya.

Memang bertuah duduk di kampung. Apa yang mahu dimakan boleh dipetik di belakang rumah. Tidak seperti tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Semua benda memerlukan wang. Celik mata sahaja, wang dalam ingatan dahulu. Begitulah nasib insan di kota. Taraf hidup terlalu tinggi. Naik gerun Puan Asiah memikirkan nasib saudara-mara yang tinggal di bandar besar. Syukur dia kepada-Nya, kerana limpah kurnia-Nya dia di kampung hidup seadanya berkat usaha gigih dia bersama suami berbudi kepada tanah.

Ketika berlenggang menuju ke rumah, Puan Asiah terpandangkan dua tiga tangkai buah pauh muda bergayut di atas pokok. Dia tersenyum. Hajat hati hendak mengait buah pauh tersebut dibatalkan, apabila terdengar suaminya di rumah memanggil.

“Ada apa, bang?” tegurnya sebaik sahaja terjenguk di muka pintu depan.

“Ada awak nampak cermin mata abang? Abang rasa lepas sembahyang subuh tadi abang letak di sini,” kata Encik Zainal sambil matanya tertoleh-toleh memandang ke arah Puan Asiah dan ruang tamu.

“Abang ni.... Cuba abang ingat betui-betui kat mana abang letak! Siah rasa abang salah letak,” kata Puan Asiah.

Encik Zainal menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan dia. Bagaimana isterinya boleh tahu di mana dia meletakkan cermin mata tersebut, padahal cermin mata tersebut mata hatinya. Sudah lama cermin mata itu berkhidmat untuknya. Tanpanya, dia tidak mungkin dapat melihat dengan sebaik mungkin.

Setelah agak lama Puan Asiah tercegat di ruang tamu memandang gelagat suami yang menggaru kepala yang entah gatal entah tidak, dia berlalu ke dapur. Dia berasa geli hati. Berasa kasihan pun ada. Memikirkan suami begitu menginginkan cermin mata tersebut, cepat-cepat dia mengambilnya yang diletakkan di atas kabinet dapur.

“Nah cermin mata abang,” kata Puan sambil Asiah menyerahkan cermin mata tersebut kepada suaminya. Dia tahu suami meletakkan cermin mata itu di atas kabinet dapur secara tidak sedar. Faham benar dia, keadaan suami yang menjadi pelupa semenjak kebelakangan ini.

“La! Awak jumpa kat mana?”

“Kat atas kabinet dapur. Dah la bang... cepat-cepat la ke pekan. Tengah hari nanti Nurain datang ke rumah. Karang asyik melayan abang, tak sempat nak memasak pulak. Nah... jangan lupa beli apa yang Siah tulis ni,” tambah Puan lalu Asiah menghulurkan sehelai kertas putih kepada suaminya.

Encik Zainal mencapai kertas putih itu sambil menghadiahkan senyuman. Dia berlalu ke muka pintu. Dia masih berasa pelik atas perubahan sikapnya yang sering menjadi pelupa. Kekadang dia tersenyum sendirian mengenangkan sikapnya seperti kebudak-budakan itu.

“Banyak barang ni nak buat apa?” tanya Encik Zainal.

“La... kan Nurain nak datang rumah kita tengah hari ni. Abang dah lupalah tu.”

Encik Zainal menggaru kepalanya yang tidak gatal. Puan Asiah sekadar menggeleng. Geram pula dengan perangai suami yang semenjak akhir-akhir ini menjadi orang yang sangat pelupa.

“Abang jangan berangan yang bukan-bukan bila memandu tu,” pesan Puan Asiah lagi apabila melihat gelagat suaminya seperti sedang memikirkan sesuatu.

Encik Zainal mengiakan sahaja. Lama-lama, dia sedar akan diri yang sudah menginjak usia senja. Tambahan pula rambut putih mulai memenuhi kepalanya. Dia sedar itu.

************

GULAI lemak pucuk ubi, sambal tumis udang, kerabu pegaga, sambal belacan, berserta ulam-ulaman begitu membuka selera setiap orang yang menikmatinya pada tengah hari itu.

Puan Asiah tersenyum girang melihat Nurain, anak buahnya yang begitu berselera menikmati masakannya. Anak-anak dan suami begitu juga. Sama-sama menikmati keenakan masakannya. Hatinya puas. Cuma sedikit terkilan saat itu anak gadis kesayangannya tidak ada bersama.

Sambil makan, Nurain bercerita serba sedikit tentang pengalaman hidup di negara orang. Tentang perubahan cuaca yang dapat dia tangani sebaik mungkin. Biarpun ada kalanya menghidap demam selesema akibat terlalu lama terdedah kepada salji. Namun, tidak menjadi halangan kepadanya menghadiri kuliah.

Nurain juga tidak lupa menceritakan detik mencemaskan sepanjang dia belajar di negara orang. Bukan mudah mencari restoran halal di bumi asing itu. Dia terpaksa melupakan makanan kegemarannya yang sering disajikan oleh umi ketika di rumah. Gelak ketawa memenuhi ruang makan ketika itu. Nurain memang pandai mencuit hati orang. Ada-ada sahaja cerita-cerita kelakar yang dibawanya.

“Sudah-sudahlah. Nanti selesai makan bercerita lagi. Tak baik berbual depan rezeki,” kata Encik Zainal.

Nurain mulai sedar. Serta-merta dia menutup mulutnya. Dia agak teruja bercerita tentang pengalamannya tinggal di luar negara. Tambahan pula lima tahun di negara orang, baharu kali ini dapat pulang ke kampung halamannya. Bukan dia tidak berkesempatan pulang. Setiap cuti semester akhir, dia hanya berpeluang bersua dengan abah dan uminya sahaja.

“Makanlah lagi, Ain. Mak ngah tengok tak luak dari tadi. Cakap aja banyak,” kata Puan Asiah pula mengiakan kata-kata Encik Zainal.

Dari kecil hingga besar panjang, tidak banyak berubah perangainya. Ain! Ain! Mak ngah tak boleh lupa telatah kamu keci-kecil dulu. Hati Puan Asiah berbicara lagi.

“Maklumlah, mak ngah. Lima tahun tak jumpa. Siang malam Ain rindukan mak ngah sekeluarga.”

“Ya ke tu?” celah Nurin Anisha.

“Betul!” Pantas Nurain mengangkat lima jari kirinya tanda dia bercakap benar.

“Yalah.... pak ngah dan mak ngah percaya. Turunkanlah jari kamu tu. Macam mengangkat sumpah pulak,” ujar Encik Zainal pula. Dia hampir ketawa melihat telatah anak saudaranya itu. Telatah spontan yang bukan dibuat-buat.

Nurain pula benar-benar gembira melihat bapa dan ibu saudaranya itu tersenyum bahagia menyambut kepulangannya. Dia mahu sedikit ruang mengecap kasih sayang ibu dan bapa saudaranya itu. Setelah sebulan kembali ke Malaysia, puas dapat berkepit dengan abah dan umi. Banyak tips dan panduan dalam perniagaan telah diperturunkan kepadanya.

“Tapi, tak sama dengan tanah kelahiran sendiri. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,” kata Nurain sambil melirik memandang Nurin Anisha yang sedang mencebik.

“Tengoklah abah, mak. Entah betul entah tidak, dia di sana ingatkan kita semua. Kita di sini hari-hari rindu... kan dia. Dia... Tuhan ajelah yang tahu,” jawab Nurin Anisha membalas gurauan sepupunya itu.

“Nisha ni kan suka sangat kenakan akak. Nanti la lepas makan nanti, taulah nasib Nisha,” ujar Nurain sambil mengherotkan bibirnya.

Nurin Anisha mula ketawa. Geli hati melihat kakak sepupunya itu. Merajuk.

Sedang Nurain menikmati hidangan makan tengah hari itu, dia terpandang potret milik Nurin Amira yang tergantung di suatu sudut berhampiran tangga menuju ke tingkat atas. Rasa ingin tahu perkembangan sepupu kesayangannya melebihi segala-galanya. Tambahan pula tiba-tiba sahaja sepupunya itu membisu seribu bahasa.

“Lama benar Ain tak dengaq berita tentang Mira? Kat mana dia kerja sekarang? Ain rindu sangat... dekat dia,” tanya Nurain. Dia terperasan perubahan air muka bapa saudaranya. Dia menekup mulut. Terlupa pada pesanan ibunya. Nama Nurin Amira jangan disebut di hadapan bapa saudaranya.

“Apa kata selesai makan ni... Ain tolong mak ngah buat cendol. Ain kan suka makan cendol buatan mak ngah?” Menyedari perubahan air muka suaminya, Puan Asiah menukar topik perbualan.

“Boleh jugak.”

“Tapi, mak. Nisha nak ajak Kak Ain pergi pekan. Nak beli peralatan memancing. Lagipun... Kak Ain dah lama tak tengok perkembangan kampung kita ni,” sampuk Nurin Anisha. Sebenarnya, dia ada agenda tersendiri pada petang itu tanpa pengetahuan orang tuanya.

“Joran abah kan ada? Tak payah la membazir beli yang baru,” jawab Encik Zainal.

Nurin Anisha menggigit lidahnya. Akalnya serta-merta mencari alasan yang munasabah bagi mengaburi mata abahnya.

“Joran abah tu Nisha nak pakai. Takkan la nak kongsi dengan Kak Ain. Tak best la kongsi-kongsi, abah.”

“Ah, suka hati kamulah, Nisha,” jawab Encik Zainal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kenapa tak ajak abah dengan umi sekali, Ain? Kalau ada depa, meriah sikit rumah ni,” tanya Encik Zainal.

“La... abang ni. Baru tadi Ain cakap Aina dengan Zali tak dapat datang sebab ada kerja. Lupalah tu. Pak ngah kamu ni memang. Cucu baru seorang dah jadi pelupa,” seloroh Puan Asiah.

Nurin Anisha dan Nurain ketawa. Lucu.

Sedari tadi Nurain tidak lepas memandang wajah ibu saudaranya yang bersih. Terserlah wajah keibuan. Kelihatannya masih berusia lewat 30-an. Padahal usia Puan Asiah sudah pun menjangkau 51 tahun. Dia tersenyum sendiri melihat wanita kedua yang amat disayanginya itu.

************

GERIMIS subuh hari itu seperti tidak mahu berhenti. Tiada tanda-tanda akan hilang daripada pandangan, seolah-olah air mata jernih yang mengalir lesu di pipi gebu Nurin Amira. Selesai berdoa memohon keampunan di atas sejadah, dia berwirid pula. Dengan cara itu sahajalah bisa memberi ketenangan kepadanya.

Pagi subuh itu juga mengingatkan Nurin Amira kepada ibunya. Pada waktu-waktu begini dia sering dikejutkan untuk mengerjakan solat subuh. Sudah lama tidak dipeluk ibu, dileteri ibu, dan dicium pipi, serta tangan ibu sebelum dan selepas pergi kerja. Kepingin sungguh rasa hati merasai masakan ibu yang enak. Namun, apakan daya semua itu tidak akan berlaku lagi. Hanya keajaiban yang bakal mengubahnya.

Nurin Amira baru sahaja memasak nasi lemak untuk sarapan pada pagi itu. Tiba-tiba dikejutkan oleh adik bongsu Mohd Najib.

“Wanginya. Pasti sedap nasi lemak akak ni,” puji Nurul sambil mencubit sedikit nasi lemak yang dimasaknya.

“Ala... sama aje dengan nasi lemak yang biasa Nurul makan sebelum ni,” jawab Nurin Amira sambil tersenyum. Kalau ada masa pada hujung minggu, ringan sahaja tangannya menyedakan sarapan untuk keluarga mentuanya.

“Muka akak nampak pucat. Akak pregnant ke?”

Nurin Amira terkejut mendengar soalan itu.

“Ya ka muka akak nampak pucat? Tak ada la. Kamu ni pandai-pandai aje.”

Nurul tersengih.

“Kalau ya pun kata-kata kamu tu, Nurul, mak takkan mengaku bayi tu cucu mak. Lagipun mak tak pernah restui pernikahan abang kamu dengan dia,” ujar Mak Nab yang mencelah perbualan mereka berdua.

Nurin Amira terkasima. Dia sudah mengagak, dia bakal mendapat respons negatif daripada ibu mertuanya itu. Kalaulah ibu mertuanya tahu apa sebenarnya yang berlaku, sudah tentu sebagai seorang ibu tidak mungkin sanggup menyakiti hatinya.

“Mak ni kenapa? Kak Mira dah jadi menantu mak. Apa-apa pun kata mak, anak Abang Najib tetap cucu mak,” jawab Nurul.

“Nurul, mak... sudah la. Mira tak mengandung pun. Mira takkan mengandungkan cucu mak. Mira naik ke atas dulu.” Dengan sopan Nurin Amira memohon diri beredar ke dalam bilik. Jauh di sudut hatinya dia ingin keluar dari rumah ini. Dia tidak sanggup lagi dihina saban hari. Sampai bila, dia tidak pasti. Buntu! Pada siapa untuk dia meluahkan rasa hati?

************

ZAKUAN memang lelaki baik. Cinta pandang pertamanya. Indah rasanya jika kenangan lalu benar-benar membawanya ke alam realiti. Bahagia bersama. Sayangnya, mereka hanya mampu merancang, yang menentukan, Tuhan jua.

Tiba-tiba sahaja perasaannya terkenangkan wajah tampan Zakuan. Jauh di lubuk hatinya masih menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Walaupun impian hanya tinggal impian, dia tetap mendoakan apa yang terbaik buat lelaki yang pernah membahagiakannya itu.

“Kak Mira! Kak Mira! Buka la pintu ni, kak.” Kedengaran ketukan di pintu disertai suara Nurul memanggilnya. Air mata yang merembes keluar segera disekanya.

“Ada apa, Nurul?” kata Nurin Amira sebaik sahaja membuka pintu bilik.

“Ada orang nak jumpa akak. Mari la... depa baru aja sampai. Ada kat depan sana tu,” jawab Nurul sambil tersenyum.

“Nisha! Ain!” jerit Nurin Amira kegembiraan sebaik sahaja terpandang tetamu yang datang bertandang. Dipeluk adiknya seerat mungkin, kemudian sepupu kesayangannya itu pula.

“Wah, lama tak jumpa hang. Hang semakin cantik! Ada apa-apa ke?” kata Nurin Amira, mengusik.

“Kot ya pun tak nak jemput kita orang duduk ke? Penat ni, seharian mengikut minah seorang ni,” jawab Nurain sambil menjeling Nurin Anisha. Nurin Anisha menjuihkan bibirnya.

“Tengok la Kak Ain tu, kak. Asyik nak kenakan Nisha aje.”

Nurin Amira menjeling manja. Nurin Amira ketawa gembira.

“Yalah. Aku terlupa. Jemput la duduk.”

“Hang tak pelawa pun, aku dah duduk” jawab Nurain.

Nurin Amira menggeleng sahaja. Perangai Nurain memang begitu. Gemar berlucu. Lebih-lebih lagi dengan orang yang rapat dengannya.

“Aku rindu sangat dekat hang. Lima tahun tak jumpa.”

“Aku pun. Tapi, aku hairan jugak dah lama hang tak balas e-mel aku. Apasal?” tanya Nurain sambil tidak lepas memandang wajah sepupunya itu. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dari pemerhatiannya, wajah itu tidak seperti dahulu. Nurin Amira yang dahulu manis, ceria, dan berseri. Kini, pada wajah itu tersembunyi penderitaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Kak Mira, Nurul buatkan air, ya. Kak Ain, Nisha berbual la dulu, ya. Nurul ke dapur sekejap.”

“Buat susah-susah aja Nurul ni,” ujar Nurain.

“Tak apa. Tak dak susahnya.”

Mereka bertiga memandang Nurul sehingga hilang di balik pintu dapur.

“Kebelakangan ni aku sibuk sangat. Tak sempat nak balas e-mel hang. Aku mintak maaf banyak-banyak,” jawab Nurin Amira. Sepupunya itu selalu menghantar emel buat tatapannya. Pelbagai cerita yang dihantarnya, buat dia terhibur. Cuma, kadang-kadang masa tidak mengizinkan dia membalas emel yang dihantar. Dia menunduk.

“Hang dah banyak berubah. Hang tak macam dulu lagi,” kata Nurain bertalu-talu.

Nurin Amira tersentak. Dia mengangkat wajahnya. Nurain dan Nurin Anisha memandangnya dengan perasaan yang bercampur baur. Dia cuba menahan sebak yang bergumpal di dada.

“Aku dah tau cerita yang sebenaqnya. Kalau tak kerana Nisha, aku tak tau perkara yang sebenaqnya. Lagipun aku dengaq cerita yang tak elok tentang hang. Kenapa selama ini rahsiakan daripada pengetahuan aku? Sampai hati hang.”

Nurin Amira menangis juga akhirnya. Nurain memeluk sepupunya itu. Cuba menenangkan Nurin Amira yang teresak-esak di bahunya. Dia kesal pada saat sepupunya itu dilanda musibah, dia tiada disisi. Mereka bagaikan saudara kembar. Cubit paha kiri, paha kanan terasa.

Masih jelas di ingatan segala peristiwa yang berlaku. Masih jelas terngiang-ngiang di telinga saat dinikahkan dengan Mohd Najib. Nurin Amira sedar, orang kampung percaya mendengar cerita yang direka itu. Sedih hatinya apabila mengenangkan itu semua. Tidak ada sesiapa pun yang memberi peluang kepadanya menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku.

Selama ini Nurin Amira tidak pernah menyangka sama sekali rancangan jahat Mohd Najib dengan rakan-rakannya. Dia tidak pernah berkasar, malah jauh sekali menghamburkan kata-kata kesat. Dia menolak dengan lembut setiap lelaki yang ingin mendampinginya. Ini semua kerana hatinya sudah dimiliki pemuda pilihannya sendiri. Suratnya dikirim tidak pernah berbalas. Berjumpa di majlis kahwin bila ditegur, dia cuma menghadiahkan senyuman.

Nurin Anisha pula memujuk kakaknya pulang ke pangkuan keluarga. Sudah lama benar kakaknya itu tidak pulang ke rumah. Namun, bagi Nurin Amira apa gunanya pulang jika kepulangannya nanti tidak memberi apa-apa kegembiraan kepada kedua-dua orang tuanya. Masih segar di ingatan akibat kejadian yang tidak diingini itu, ayah telah membuangnya jauh-jauh. Apakan dayanya. Bukan dia meminta itu semua terjadi.

Walau apa pun yang berlaku, Nurin Anisha percaya ayah dan emaknya sangat merindui kakaknya itu. Cuma mereka tidak pernah menyatakan. Dan dia juga yakin kakaknya itu tidak pernah mencintai Mohd Najib. Bukan dia tidak tahu dan kenal lelaki yang menjadi dambaan kakaknya selama ini.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.