BAB 16
NURIN AMIRA baharu sahaja tiba di pekarangan rumah keluarga
mentuanya. Keheningan malam jelas terasa. Kebanyakan rumah di sekeliling rumah
keluarga mentuanya sudah bergelap. Lumrah orang kampung. Ada yang suka tidur
dalam gelap. Ada pula yang gemar tidur dalam suasana terang. Dia tersenyum
memikirkan gelagat jiran yang pelbagai.
Nurin Amira menoleh jam di
pergelangan tangannya. Jarum jam menunjukkan sudah pukul 10.30 malam. Dia
seperti berat hati untuk melangkah keluar. Mahu sahaja memecut laju pulang ke
rumah keluarganya. Dia menyandarkan kepalanya di kusyen kereta. Melelapkan
matanya sebentar. Baru sahaja hendak melelapkan matanya, dia disapa oleh seseorang.
“Eh! Ayah. Tak tidur
lagi?” tanya Nurin Amira sekadar berbasa-basi.
“Ayah dari surau. Ada
kenduri tahlil. Baru balik?” balas ayah mentuanya pula. Dia sedar sejak menjadi
menantunya, jarang benar gadis itu pulang awal ke rumah. Dia sendiri tidak
mengerti situasi anak menantunya itu.
“Banyak kerja di pejabat
tadi, ayah.” Jawapan yang sering diluahkan oleh Nurin Amira setiap kali
ditanya.
“Masuk aje la ke dalam,” pelawa
ayah mentuanya lagi.
“Yalah, ayah,” jawab Nurin
Amira. Akur dengan kehendak ayah mentuanya itu.
Melangkah masuk ke dalam
bilik yang dikongsinya dengan Mohd Najib, Nurin Amira berdoa panjang.
Mudah-mudahan Mohd Najib sudah lama tidur.
Sambil memerhati
sekeliling biliknya, nafas Nurin Amira bagaikan terhenti, Mohd Najib sedang
memerhatikannya sambil tersenyum nakal.
Nurin Amira buat-buat
tidak tahu. Dia tidak mahu melayan kerenah Mohd Najib yang memualkan tekaknya
itu.
“Awak
ni, suami ada kat bilik buat-buat tak nampak. Cubalah bersopan sikit. Dahla
masuk bilik bagi salam pun tak.” Mohd Najib seperti mahu bertelingkah
dengannya. Dia terasa tercabar.
“Saya tahu apa yang saya buat.
Dan saya sedaq saya hanya menumpang. Dan awak juga harus sedaq awak tetap orang
asing dalam hidup saya. Awak dah sakiti hati saya. Saya nak awak...” Belum
habis Nurin Amira meluahkan rasa hatinya, Mohd Najib membalas.
“Awak nak apa? Nak
lepaskan awak tidak sekali-kali. Ingat tu?” Mohd Najib memberi peringatan.
“Kita tak akan bahagia.
Biarpun awak menikahi saya, awak takkan mampu memiliki jiwa raga saya,” jawab
Nurin Amira sambil menahan sebak di dada.
“Saya peduli apa. Saya
mahu kita bina hidup baru. Saya nak awak hormatkan saya sebagai suami. Awak
tahu apa hukumnya melawan cakap suami. Tak tercium bau syurga. Awak tau. tak?”
Nurin Amira memejamkan
matanya rapat-rapat. Bicara Mohd Najib tadi langsung tidak meninggalkan kesan
di hatinya. Malah, dia meluat mendengar bicara Mohd Najib yang mempersoalkan
tentang hukum agama. Meluat dengan tingkah Mohd Najib berlagak pandai dalam
soal hukum agama.
Melihat Nurin Amira diam,
Mohd Najib berasa kemenangan di pihaknya. Dia tersenyum.
“Kalaulah... kalaulah Mira
berlatih cintakan abang, takkan ada masalah dalam perkahwinan kita ini. Keadaan
boleh berubah. Lagipun Tuhan sudah menjodohkan Mira dengan abang. Sepatutnya
Mira kena reda dengan perkahwinan kita ini.”
Mohd Najib hendak memujuk. Namun, Nurin Amira menempelaknya
pula.
“Awak bijak berlakon.
Memujuk rayu saya. Awak memang pelakon yang hebat. Tapi, Tuhan tahu kesedihan
saya, kebahagiaan bagi awak. Dan saya pun tahu status saya ini. Sampai bila
kita akan begini? Lambat-laun awak akan bosan hidup macam ini. Penuh
kepura-puraan,” ujar Nurin Amira. Setitis dua air mata menitis jua di pipinya.
Mendengar leteran Nurin
Amira itu, Mohd Najib mengangkat kaki keluar dari bilik. Dia ke dapur. Hajat
hati mahu menjamu selera. Tetapi, mengenangkan sindiran pedas Nurin Amira
sebentar tadi, hilang terus selera makannya. Dia cuma mengambil segelas air.
“Hang tak makan lagi, Jib?
Tu bawah tudung saji, mak buat gulai lemak pucuk ubi dengan sambal udang campur
petai. Harapkan bini hang masak, alamat kebuluqlah nampaknya. Balik kerja pulak
jauh-jauh malam. Orang lain pun kerja jugak, tak daklah malam-malam baru balik,”
leter Mak Senah.
“Dah makan, mak. Lagipun
petang tadi saya dah pekena mi goreng di kedai Pak Deraman,” jawab Mohd Najib.
Dia tidak menunggu lama di dapur. Malas mendengar leteran ibunya.
“Hang dah makan. Tak ajak
bini hang sekali?” tanya Pak Mail pula yang berselisih dengan anaknya itu di
tengah rumah.
“Dah. Mira dah makan
agaknya,” jawab Mohd Najib. Dia ingin berlalu ke hadapan. Mengambil angin di
beranda rumah.
Mohd Najib sudah mengagak
ayah dan ibunya bakal mempersoalkan tentang rumah tangganya. Sebelum mendengar
sesuatu yang kurang enak, lebih baik dia menyendiri di beranda rumah.
Lagipun, Mohd Najib sedar
ayahnya, Pak Mail tidak bersetuju dengan pilihannya yang tidak sepadan
dengannya. Jauh panggang dari api. Sesiapa pun tak menyangka seorang gadis
lulusan universiti menjadi isterinya kini. Isteri kepada seorang anak muda
kampung yang tidak mempunyai kelulusan apa-apa. Lulus SPM sekadar cukup makan
sahaja. Bekerja kilang pun tidak tetap. Asyik bertukar tempat kerja.
Bagi Pak Mail, Nurin Amira
anak sahabat baiknya itu seorang anak yang baik. Tidak sangka sama sekali
sanggup berbuat sesuatu yang tidak baik dengan anaknya. Namun, masih ada rasa
was-was di benaknya, apabila melihatkan keadaan Nurin Amira yang sering pulang
lewat ke rumah. Jarang pulang awal. Mohd Najib pula sering dilihatnya tidur di
ruang tamu dan bilik tidur anaknya yang ketiga.
Pak Mail pernah bertandang
ke rumah sahabatnya, Encik Zainal. Waktu itu, Nurin Amira baru sahaja pulang
dari tempat kerja. Jam 5.30 petang sudah boleh balik ke rumah, katanya dengan
ramah. Dia sendiri tertarik dengan kesopanan gadis itu. Dia mengerutkan dahi.
Hairan dengan rutin kerja Nurin Amira semenjak menjadi menantunya.
Melihat Pak Mail begitu,
Mak Senah menegur. Mati terus lamunannya itu.
************
DALAM keheningan malam itu, Nurin Amira bangun dari tidur. Dia
berwuduk dan solat sunat dua rakaat. Dia memohon kepada Allah agar diberikan
hidayah dan dipermudahkan segala urusannya serta diampuni segala dosa yang
dilakukannya.
Ketika hendak merebahkan
diri di atas tilam, ternyata Nurin Amira masih sukar melelapkan mata. Kepalanya
masih lagi berdenyut-denyut. Direnung sekilas Mohd Najib yang enak tidur di atas
katil.
Puas mengalih mengiring ke
kiri, kemudian ke kanan juga tidak dapat melelapkan mata. Perlahan-lahan dia
mengurut kepalanya yang sakit. Tekaknya terasa loya tiba-tiba. Lantas segera
dia keluar menuju ke bilik air.
Sebaik sahaja sampai ke
dapur, Nurin Amira terjerit kecil. Dalam kegelapan itu menyukarkan dia untuk
mengenal pasti apa yang dilanggarnya ketika itu. Tiba-tiba lampu menyala.
“Ha! Mira tak tidoq lagi?”
tegur suara garau dari arah belakangnya.
Nurin Amira yang masih
terkejut itu mengurut dada. Dia menarik nafas dalam-dalam.
“Ayah! Saya tak boleh tidoq.
Mira nak ke bilik air sekejap.”
Berhadapan dengan ayah
mentuanya membuatkan Nurin Amira terpaksa menahan tekaknya yang loya. Tidak
dinafikan ayah mentuanya itu begitu mengambil berat akan dirinya. Terasa
disayangi ayah sendiri.
Sampai di bilik air, segala
isi di dalam perut dikeluarkan. Namun, sakit di kepalanya masih terasa.
Nurin Amira ingin
membasahkan tekaknya dengan segelas air masak. Dibawanya segelas air masuk ke
dalam bilik.
Sekembalinya ke dalam
bilik, Nurin Amira menelan sebiji pil penahan sakit. Air mata menitis di pipi
kerana menahan sakit di kepala yang tidak terperi. Sejenak memandang siling
sambil meletakkan belakang tangan di atas dahi. Dia terlena.
************
MOHD NAJIB terpisat-pisat menenyeh matanya. Sekilas memandang jam
di dinding. Sudah pukul 9.00 pagi, dia masih membungkus di dalam selimut.
Sayup-sayup kedengaran suara memanggilnya di luar tidak diendahkan.
“Jib! Dah pukul berapa dah ni? Tak kerja ke hari ni?” soal
Mak Senah bertalu-talu sambil menggeleng melihat telatah anaknya yang masih
menarik selimut ke dada.
“Emm... ada apa, mak?”
“Apa nak jadi dekat hang ni?
Matahari tegak di kepala, masih nak membuta lagi!” Mak Senah menarik selimut
yang membungkus Mohd Najib.
Mohd Najib menenyeh-nenyeh matanya lagi. Dia melunjurkan
kakinya ke lantai.
“Saya dah berhenti kerja, mak.”
“Berhenti kerja lagi. Hei... hang ni tak tau rasa malu ke
dekat bini hang tu? Hang tu lelaki. Dengarlah kata-kata mak ni, Jib. Malu mak
ni dengaq umpat keji orang kampung.”
“Pedulikan cakap-cakap orang, mak. Dia orang apa tahu,
Jib yang teruk-teruk kerja,” ujar Mohd Najib sedikit berang apabila tidurnya
terganggu.
Mohd Najib bingkas bangun
sebelum leteran Mak Nab berlanjutan. Sakit hati terhadap Nurin Amira masih
bersisa. Ditambah pula leteran Mak Nab menambahkan lagi rasa sakit hatinya.
***********
SELEPAS waktu pejabat pada hari itu, terdetik hati Nurin Amira mahu
melihat rumah yang baharu dibelinya. Diajak Safiah sekali untuk menemaninya.
Bagai tidak sabar hatinya untuk menduduki rumah itu setelah disahkan menjadi
hak miliknya. Sudah lama dia menginginkan rumah sendiri. Semenjak habis belajar
dahulu dia memasang tekad membeli rumah dengan hasil titik peluhnya sendiri.
“Cantik jugak rumah hang
ni. Pandai hang pilih, ya,” puji Safiah sebaik saja melangkah masuk ke dalam
rumah.
“Sebenaqnya, kalau nak
diikutkan, rumah ni dengan rumah yang lain tak jauh bezanya. Cuma, rumah ni di
bahagian tepi sekali. Nampak luas sikit. Mira ingat nak tambah satu bilik lagi.
Bilik kat belakang tu Mira nak buat stor.”
Dalam hati Safiah terdetik
perasaan bangga kerana sahabat baiknya sudah mampu memiliki rumah sendiri.
Biarpun masih muda, sudah pandai berdikari. Dia sangat beruntung dipertemukan
dengan Nurin Amira, seorang gadis yang sering bersederhana dalam kehidupannya.
Tidak kiralah bersederhana dalam pergaulan, perbelanjaan, penampilan mahupun
dalam pekerjaan. Lagipun itu yang dituntut oleh syariat Islam. Tidak
semena-mena Safiah tersenyum sendiri.
“Eh! Apasal ni senyum sendiri-sendiri?
Teringat cik abang ka?” usik Nurin Amira.
“Tak dak la. Aku teringin
nak makan masakan hang. Bila la agaknya dapat makan masakan hang kat rumah ni,”
kata Safiah, cuba berselindung. Tidak sudi dia memuji sahabat baiknya itu
kerana dia tahu Nurin Amira bukanlah seorang yang suka dipuji. Satu sikap yang
amat menyenangkan kebanyakan orang yang mengenalinya.
“Sabaq la. Tak lama lagi
dapat kunci rumah ni, aku akan berpindah duduk rumah ni. Lagipun dah sesak
nafas aku berlama-lama duduk di rumah lelaki tu. Apa kata kita gi makan? Perut
aku dah lapar dah ni,” kata Nurin Amira, memberi cadangan.
“Macam tau-tau aje hang
ni.”
“Ya ka? Patut la tetiba
aja nak merasa masakan aku. Itulah bila time
gi rumah dia, orang nak masak tak dikasi. Kan kempunan.”
“Hang kan tetamu. Sebagai
tetamu, kan tak manis kalau tetiba aja disuruh masak. Aku tak nak susahkan
sahabat baik aku.”
“Ala... macam tak biasa
dengan aku. Aku tak kisah la. Aku lagi suka memasak. Masa kat rumah aku dulu
selalu jugak aku tolong mak aku masak. Masakan mak best, tau. Tak mampu aku tandingi kehebatan dia.”
“Mira. Dah lama hang tak
balik rumah. Tak rindu dengan orang tua hang ka?” tanya Safiah. Peluang
bertanya perihal keluarga Nurin Amira tidak dilepaskannya.
“Siapa kata aku tak rindu?
Dalam hatiku ini Tuhan saja yang tahu. Tunggulah waktu itu akan tiba. Eh...
hang nak makan apa? Aku belanja.”
“Apa-apa ajalah. Aku bedal
aja apa yang hang makan.”
“Oooo... gitu. Kalau aku
terjun longkang, hang pun nak terjun longkang?”
Safiah tergelak. Nurin
Amira memang pandai mengambil hatinya. Ada-ada sahaja bahan kelakar yang
dibualnya. Dia tahu sesekali Nurin Amira bergurau dengannya, sekurang-kurangnya
penderitaan yang dilalui Nurin Amira terubat jua.
Petang itu, Nurin Amira dan
Safian menikmati laksa asam Kedah yang menyelerakan di restoran kampung
kegemaran mereka berdua. Safiah tidak lupa mempelawa Nurin Amira bermalam di
rumahnya. Dia tahu sahabatnya itu tidak harus tinggal sebumbung dengan lelaki
yang tidak bertanggungjawab itu. Baginya Nurin Amira berhak memiliki
kebahagiaan hidupnya sendiri. Namun, dia tidak tahu dengan cara yang bagaimana
hendak membantu sahabatnya menangani masalah yang dihadapi.