Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
134,113
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

BAB 23

EMPAT hari lalu, Nurin Amira tidak datang ke pejabat. Zakuan kegelisahan. Pelik. Tetapi, itulah realiti. Dalam beberapa hari ini, dia jadi rindu pada wajah yang lembut itu. Dia tidak pasti akan perasaannya terhadap gadis itu. Cuma dia rasa bersalah yang amat sangat kerana selama ini meletakkan kesalahan hanya di bahu gadis itu tanpa menyiasat perkara yang sebenarnya berlaku. Dia tidak berniat untuk menghukum gadis itu atas apa yang berlaku terhadap perhubungan mereka.

Kembalinya Nurain mengubah segala-galanya. Cinta pertama yang hadir di mana dia masih mentah menilai erti cinta yang hadir dalam diri. Dalam masa yang sama, berjuang menuntut pengorbanan yang bukan sedikit meraih keputusan cemerlang dalam pelajaran. Mujurlah dia berjaya mengawal emosi daripada dibuai oleh perasaan. Namun, dia pasti debaran yang datang bertandang saat bertemu mata dengan Nurain ialah cinta sejati yang lahir dari keikhlasan hatinya.

Nurain dan Nurin Amira. Dua orang wanita yang berjaya mengocak hati lelakinya. Kedua-duanya mempunyai keperibadian dan personaliti berbeza. Walaupun kedua-duanya lemah lembut, Nurain lebih agresif.

Perlahan-lahan memori alam persekolahan saat bersama Nurain hadir mengocak perasaan.

Ingatan terhadap peristiwa kali pertama bertemu di Parkson sehingga terjalin persahabatan di antara mereka sentiasa bermain di ruang fikiran. Dia menyenangi Nurain yang mudah mesra itu. Selepas insiden bertemu Nurain di pasar raya tersebut, Zakuan berharap mereka dipertemukan lagi. Mereka dipertemukan lagi di sekolah di mana Zakuan belajar ketika itu. Zakuan sungguh gembira kerana mereka dipertemukan lagi dalam situasi yang sungguh berbeza.

Pada suatu hari yang tidak di duga, dia benar-benar gembira kerana buat kesekian kalinya dipertemukan lagi dengan Nurain di sekolah di mana Zakuan belajar ketika itu. Nurain menjadi sebahagian daripada rakan sekelasnya. Pelajar perempuan itu ialah anak saudara penolong kanan sekolah itu. Memandangkan kerjaya bapanya sebagai seorang tentera, mereka sering berpindah-randah. Selepas itu, dia menjalinkan persahabatan yang akrab dengan Nurain.

Zakuan tidak menafikan dia menyenangi Nurain kerana senyumannya manis, gayanya yang periang, gemar mengusik, mudah mesra, peramah, dan tidak kedekut ilmu. Tidak menghairankan jika Nurain disenangi ramai orang, termasuk guru-guru di sekolah itu. Tetapi, ada juga yang mencemburuinya kerana sering mendapat perhatian rakan-rakan seusianya. Namun, Nurain tidak pernah menyombong diri. Nurain lebih suka merendah diri.

“Hai, Nurain. Sudi-sudikanlah join dengan kita orang ni,” usik seorang pelajar lelaki yang gemar menyakat pelajar perempuan. “Tak naklah. Nurain nak masuk kelas. Ada kerja nak disiapkan. Lagipun tak baik buang masa macam tu.” Jawapan Nurain mengecewakan pelajar lelaki tersebut.

Di dalam kelas, Zakuan dan Fadli sedang sibuk membaca. Kedua-dua sahabat itu memang minat membaca. Nurain menuju ke arah mereka.

“Hai. Busynampak.”

Zakuan terperanjat apabila ditegur oleh Nurain. Dia tersenyum.

“Baca buku apa tu?” tanya Nurain.

“Novel Basikal Tua. Ayah beli semalam,” jawab Zakuan.

“Tak bosan ke? Asyik membaca aja. Dah makan?” Nurain mengajukan pertanyaan berkenaan kerana hari itu ada jamuan di antara guru dengan pelajar tingkatan empat dan lima.

“Dah.”

Sepatah jawapan Zakuan yang lebih berminat pada jalan cerita novel yang dibacanya itu. Dalam hatinya mengomel geram kerana konsentrasinya terganggu. Fadli pula dari tadi sudah tidak dapat menahan ketawanya. Zakuan hanya menjeling geram.

“Hobi kami memang suka membaca. Asal ada peluang aja. Kalau tak di library, di pondok bacaan tu, ha,” sampuk Fadli yang juga sedang membaca sambil melebarkan senyumannya.

“Apasal ni, Wan? Nampak gelisah aja,” tegur Nurain.

“Tak ada apa. Cuma Wan tak ingat istilah inersia!”

Zakuan berdalih. Sebenarnya dia segan apabila Nurain memerhatikan dia membaca.

“Inersia? Minta buku tu.”

Zakuan memberi buku latihan Sains kepada Nurain.

“Inersia maknanya sifat jasad yang sentiasa menentang perubahan keadaan.”

Begitu bersemangat Nurain memberi jawapan sambil menulis apa yang dikatakannya.

“Senang aje. Terima kasih, Ain,” jawab Zakuan. Dia menjeling Fadli yang sedang tersengih.

Seketika kemudian, loceng berbunyi. Nurain keluar menuju ke bilik guru untuk membantu guru menyediakan apa-apa yang patut sebelum menjamu selera dengan hidangan yang ditempah khas oleh pihak pengetua sekolah. Dia sempat mengerling Zakuan yang masih memerhatikannya.

“Hei! Wan. Jom keluaq minum.”

Terkejut Zakuan dari menungannya yang panjang. Salleh sedang tersengih selepas menepuk bahunya.

“Hang ni buat terkejut aku aja.”

“Itulah hang. Termenung... berangan itulah kerja hang. Entah apalah yang diingatnya. Teringat dekat Mira ataupun berangan-angan jadi raja sehari, kot?” teka Salleh sambil tertawa. Suka benar dia menyakat Zakuan.

“Merepeklah hang ni. Sudah la... belikan aku teh ais.”

“Nak sambung berangan lagi la tu.” Salleh ketawa melihat wajah Zakuan yang sudah merona merah.

Pantas sahaja Zakuan menolak tubuh Salleh agar berlalu dari mejanya. Tidak senang duduk dia apabila diusik begitu.

Zakuan meraup wajahnya beberapa kali. Baharu dia teringat dia masih belum menunaikan solat. Dia segera berwuduk untuk sujud kepada Allah yang Maha Agung.

**************

ASSALAMUALAIKUM.”

“Waalaikumusalam. Emm... Ila. Ada apa?”

“Maaflah mengganggu! Kau sibuk ke?”

“Boleh tahan jugaklah. Ada beberapa fail yang aku perlu semak semula.”

“Kalau kau tak keberatan, jom kita keluar makan ramai-ramai. Lagipun, aku dah inform dekat member-member kita.”

Nurain melepaskan nafasnya. Dia cukup tidak suka apabila temannya yang satu itu mengatur pertemuan tanpa bertanya dia terlebih dahulu.

“Emm... tengoklah dulu. Kau ni pun satu. Tak nak beritau aku dulu.”

“Janganlah marah. Dah susah sangat nak jumpa kau. Dia orang tu banyak kali tanya aku bila boleh keluar sama-sama macam dulu.”

“Bukan aku tak nak jumpa kau orang. Aku banyak kerja,” ujar Nurain, perlahan. Namun, Ila mengerti sahabatnya itu sedang menyembunyikan rasa marahnya.

“Bolehlah, Ain. Bukan selalu kita keluar, tau.”

“Okeylah,” jawab Nurain. Kedengaran Ila menjerit kegirangan.

“Okey. Macam tulah kawan sejati. Kita orang tunggu kau kat lobi, ye.”

“Yep.”

“Okey, bye.” Sejurus itu talian terputus.

“Lisa. Kalau ada panggilan lagi, cakap saja saya meeting,” pinta Nurain sejurus taliannya disambungkan dengan setiausaha syarikat ayahnya itu.

“Baiklah, Cik Ain.” Lisa akur.

Hari ini jadual kerjanya agak padat. Sehingga petang masanya terisi. Sebelah pagi, dia perlu menyemak borang tuntutan daripada pekerja-pekerjanya. Tengah hari dan petangnya pula, dia perlu menyemak beberapa kertas cadangan yang disiapkan oleh pekerja-pekerjanya. Jika ada yang bersesuaian, dia akan mengusulkan cadangan itu kepada ayahnya sebagai ketua Lembaga Pengarah Beauty Crystal Network. Penat usah dikira. Namun, tidak sedikit pun dia mengeluh. Malah, dia cuba bekerja dengan sebaik yang boleh. Mungkin dengan cara itu boleh meningkatkan mutu kerjanya, fikirnya dalam hati.

Dia melelapkan matanya yang letih barang seketika. Mindanya seakan tenang apabila berbuat begitu. Namun, kali ini telefon bimbitnya pula berdering minta diangkat. Lama dibiarkan berdering. Oleh kerana bingit telinganya mendengar, dia mencapainya juga. Melihat nama yang tertera pada skrin telefon, segera dia menjawab panggilan itu.

“Waalaikumusalam.”

“Errr... maaf, mengganggu.”

It’s okay. Ada apa, Wan?”

“Wan ingat nak ajak Ain keluar petang ni. Boleh, kan Ain?”

“Sebenarnya, Wan, kalau nak diikutkan, Ain tak nak keluar sebab banyak kerja. Tapi, baru sekejap tadi kawan Ain telefon ajak makan malam bersama. Lain kalilah ye, Wan.”

“Tapi, Ain....”

“Dah lama sangat Ain beralasan. Kasihan pulak. Lagipun kami ni berjiran. Pejabat kami pun berdekatan.”

“Baiklah kalau macam tu.”

I’m so sorry. Mungkin lain kali? Ain janji.”

“Okeylah. Bye, Ain.”

“Bye.” Klik. Talian terputus.

“Argh...” Spontan keluar dari seulas bibir yang menawan itu.

Bodohnya aku. Aku dah menolak tuah. Kenapalah cepat sangat aku menolak permintaannya, sedangkan itu yang aku inginkan? Sebuah pertemuan yang romantis ditemani silauan cahaya lampu malap menerangi ruang santai kami. Oh... Tuhan. Berikan aku ketenangan barang sekejap.

Langsung Nurain berdiri sambil menopang dagu menghadap tingkap kaca di kamar pejabatnya. Lalu lintas kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing tidak menarik perhatian Nurain kala itu. Yang pasti, sudah hilang moodnya untuk meneruskan kerja.

Lewat kebelakangan ini Nurain sering mendapat panggilan daripada orang yang sama. Nurain terkejut setiap kali menerima panggilan itu. Namun, hatinya tetap berbunga bahagia kerana dapat mendengar suara yang dirinduinya itu.

Nurain hairan atas keperluan apa Zakuan ingin menemuinya. Tidak pula dia terfikir Zakuan mahu serius dengannya. Lagipun, dia sudah berjanji pada diri tidak mahu melayan angan-angannya. Bimbang ada hati yang akan terluka nanti.

Nurain keluar awal dari kamar pejabatnya. Sebelum beredar, sempat Nurain menghubungi ibunya memberitahu kepulangannya lewat sedikit daripada biasa. Sekadar memenuhi permintaan kawan yang sudah lama ingin keluar dengannya.

Kalau tidak disebabkan kerja, dia tidak keberatan sebenarnya memenuhi permintaan rakan-rakannya sambil menghimbau kenangan lalu. Dapat juga bertukar fikiran tentang pengalaman yang telah dilalui. Juga membicarakan tentang hari depan yang bakal mereka terokai nanti. Menurut perkhabaran teman-teman, ada beberapa orang rakan mereka telah pun menamatkan zaman bujang. Ada juga telah memiliki cahaya mata sendiri. Cuma, Nurain tidak pasti bilakah dia bakal merasai kehidupan berkeluarga. Sebagai seorang wanita yang normal, pasti sedikit sebanyak tersentuh juga hatinya untuk hidup di samping suami yang penyayang dengan membina keluarga bahagia. Tanpa sedar, fikirannya jauh terkenang akan impian remajanya sebelum dia berangkat ke luar negara. Kenangan silam masih menghantui dirinya. Bukan mudah untuk melupai segalanya sekelip mata.

************

RAKAN-RAKAN Nurain sedang menunggu di ruang menunggu di tingkat bawah pejabatnya. Selepas bertanya khabar, mereka jalan beriringan menuju ke sebuah restoran yang tidak jauh dari pejabat Nurain. Lebih kurang enam bulan mereka tidak bertemu. Memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja, mereka jarang dapat bersua. Sesekali ada masa terluang bersua muka dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan bertukar-tukar fikiran dan beramah mesra. Nurain memang berkawan rapat dengan Syahila, Hazim, Norly, dan Zakri. Teman-temannya itulah yang sering menemaninya di alam maya, selain Nurin Amira sepanjang dia menyambung pengajian A-Level di London suatu waktu dahulu.

Keakraban mereka masih tidak berubah. Sesekali Nurain diusik bila lagi hendak menamatkan zaman bujangnya. Usianya juga sudah 25 tahun. Hazim pula berlainan sekali. Renungannya benar-benar lain. Nurain perasan Hazim menyimpan sesuatu yang sukar untuk dimengertikan dan dijelaskan oleh empunya diri. Namun, dia tidak ambil pusing sangat tentang itu.

************

ILA, teman kejiranannya itu sering mengatur janji temu tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Hendak tidak hendak dia terpaksa memenuhi permintaan teman-temannya. Sekalipun pada hujung minggu. Umi menggeleng hairan. Kerap sangat dia keluar dengan Ila. Dahulu sebaik pulang dari luar negara, tidak pula gadis itu ingin bertemu dengannya. Namun, dia tidak pula memikirkan sebarang kemungkinan yang sedang diatur oleh temannya itu. Yang dia tahu dapat memenuhi permintaan kawan-kawan. Itu sudah memadai baginya.

Kali ini mereka mengunjungi pusat beli-belah pula. Kebetulan ada sesuatu yang hendak dibeli oleh Norly sempena hari ulang tahun perkahwinan orang tuanya. Nurain pula pantang melihat kedai buku, ingin segera mengunjunginya. Dalam pada itu, dia berasa hairan kerana Hazim sering mengekorinya hinggakan beberapa buah novel yang dipilih oleh Nurain ingin dibayarnya. Nurain menolak. Nurain tidak mahu membebankan temannya sendiri. Tambahan pula dia mampu membayarnya.

Tiba-tiba telefon tangannya berdering. Nurain melihat nama yang tertera pada skrin telefon tersebut. Lantas segera menjawab panggilan itu. Mendengar sahaja nama Zakuan yang meniti di bibir gadis manis itu, jelas kelihatan garis kecewa pada wajah Hazim. Nurain tidak mengerti.

“Siapa lelaki tu?” Nurain terkejut dengan pertanyaan Hazim. Namun, dia cuba untuk bertenang seboleh mungkin.

“Kawan lama.”

“Kawan lama? Boleh percaya ke?”

“Kenapa Zim tanya macam tu? Yalah, kawan lama ke, apa ke, apa pulak kaitannya dengan Zim?”

“Ya... Zim perlu tau sebab Zim...”

“Sebab apa, Zim? Dengan siapa Ain nak berkawan Zim pun nak tahu semua. Dah lama Ain perhatikan. Ain sengaja diamkan. Takut Zim terasa hati. Umi dan abah pun tak pernah soal Ain macam ni sebab dia orang percayakan Ain. Tapi, hari ni Ain dah tak sabar lagi,” ujar Nurain menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

“Sebab Zim sayang sangat dekat Ain. Kalau boleh....”

“Itu hanya alasan Zim. Kononnya hanya Zim seorang yang sayang Ain. Padahal ramai orang sayangkan Ain.”

Bagi Nurain, istilah sayang besar pengertiannya. Sayang sahabat, sayang saudara, sayang orang tua, sayang guru, dan sebagainya.

“Tapi... sayang Zim lebih daripada seorang kawan. Zim cintakan Ain.”

What? Zim dah gila ke?” Nurain benar-benar berang. Dia mengepal genggaman tangannya. Namun, dia tidak sampai hati memalukan Hazim di khalayak ramai. Dia tidak menyangka Hazim akan berkata begitu. Selama ini dia melayan teman-temannya sama rata. Baik lelaki mahupun perempuan.

“Eh! Apa hal ni? Zim... Ain.... Lain macam aje kau orang ni?” tegur Zakry, hairan.

“Tak ada apa. Cuma sedikit perselisihan pendapat. Biasalah. Masing-masing nak menang, kan?”

Nurain sedar dia berbohong. Namun, dia tidak tahu apa jawapan terbaik untuk diberitahu kepada temannya itu.

“Ye ke? Apa yang dibincangkan?” soal Zakry lagi.

“Er... lain kali la kita bincang hal tu, ye. Hazim tu pun dah hilang mood agaknya,” jawab Nurain pantas. Dikerlingnya Hazim yang diam membisu. Tidak berkutik.

“Okey. No problem. Jom kita pergi makan. Dah tengah hari dah ni. Norly dan Ila pun dah tunggu tu,” kata Zakry.

“Tapi, Ain tak lapar. Ain mintak maaf sangat-sangat. Lagipun Ain ada hal dekat salon umi. Lain kali kita jumpa lagi ya. Kali ni... aje. Ataupun datang saja ke rumah Ain hujung minggu ni. Ain masak. Boleh?”

“Boleh! Boleh! Dah lama aku teringin nak merasa air tangan Ain ni. Lagipun, masakan Ain enak tau, Zim. Rugi kalau tak datang.”

Norly segera menyetujui saranan Nurain itu. Entah bila dia dan Norly mengikuti perbualan mereka.

Nurain bukan apa. Baginya, biarlah dia dan Hazim sahaja yang tahu keadaan sebenar. Dia ingin menzahirkan rasa bersalahnya kerana tidak dapat menyertai rakan-rakannya itu. Lantas mempelawa mereka datang ke rumahnya. Dia tidak keberatan dikunjungi rakan-rakan baik pada hujung minggu nanti. Lagipun, dia tidak ada apa-apa rancangan pada hari minggu nanti.

“Boleh sangatlah tu. Aku tak dak masalah. Zim tu tak taulah pulak,” jawab Zakri.

“Bolehlah! Ain serius nak ajak hang pa datang rumah. Lagipun, kita bukan selalu dapat berjumpa.”

Nurain tersenyum sebaik sahaja Hazim mengangguk. Kemudian dia segera memohon diri untuk beredar. Telefon dicapai. Ada SMS. Siapa lagi yang menghantarnya, kalau bukan seseorang yang sering meniti di halaman hatinya. Girangnya dia saat itu. Namun, yang pasti dia cuba untuk tidak melayan perasaannya demi persahabatannya dengan Nurin Amira.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.