Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,140
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
-Teaser Bab 54- Salah aku?

Keesokan paginya kami berdua pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan awal. Sepanjang di dalam pesawat sehinggalah kapal terbang yang membawa kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA aku langsung tidak dapat melelapkan mata. Aku tidak boleh mengelak dari terus memikirkan perkara yang telah berlaku malam tadi. Aku memegang kepalaku yang mula rasa berdenyut-denyut, tanda aku mula rasa tertekan.

Tertekan kerana aku mula menyesali apa yang telah berlaku di antara kami malam tadi. Menyesal kerana aku tidak sepatutnya memujuk Izzaz dari terus merajuk dan juga kerana aku tidak sepatutnya begitu berani menghadiahkan ciuman di pipinya yang seterusnya telah menerbitkan situasi yang tidak dijangkakan.

“Kau memang gila Maya. Kenapa tak boleh guna otak tu untuk berfikir?” Sudah entah ke berapa puluh kali aku mengeluh.

Sejak aku bangun pagi tadi sampailah aku dan Izzaz tiba di Malaysia, sepatah kata pun tidak keluar dari mulutku apabila Izzaz cuba bercakap denganku. Aku mengelak bila setiap kali Izzaz cuba mencapai tanganku atau cuba merapati aku. Aku bukan marah kepadanya, tetapi aku hanya mahu menjauhinya. Itu saja. Bagiku perkara yang berlaku di antara kami malam tadi tidak akan terjadi kalau bukan aku yang mengambil langkah mendekatinya. Bermula dengan niat mahu memujuk, akhirnya lain pula yang jadi.

“Bertenang Maya, anggap saja tak ada apa-apa yang berlaku malam tadi. Itu hanya kesilapan yang tidak disengajakan.” Aku memujuk diri sendiri ketika sedang menunggu Izzaz.

Apabila aku terlihat sahaja kelibat Izzaz semakin mendekati, aku mengeluarkan telefon bimbit dari beg tanganku dan berpura-pura menekan-nekan skrin untuk memeriksa panggilan masuk dan juga yang lain-lain.

“Kita balik rumah Umi.” Ujar Izzaz lalu dia menahan sebuah teksi yang kebetulan semakin menghampiri kami.

Izzaz tiba-tiba mencapai tanganku ketika teksi yang kami naik mula bergerak pergi. Aku mengelak dari bertembung mata dengannya kerana aku masih diselubungi dengan pelbagai rasa terhadapnya terutamanya rasa malu.

“Don’t think too much. Tak elok untuk kesihatan. Kau tu kan senang rasa tertekan, karang pengsan jenuh pulak aku nak angkat.” Kata Izzaz yang bukannya semakin membuatkan hatiku rasa lega malahan bertambah rasa berat jadinya.

Teksi yang kami naiki betul-betul berhenti di hadapan pintu pagar besar rumah keluarganya. Izzaz menarik bagasi yang dikeluarkan oleh pemandu teksi dan betul-betul berdiri di sebelahku.

“Apa yang kau fikir tu sampai berkerut-kerut dahi tu aku tengok. Karang kalau Umi nampak, dia fikir bukan-bukan pulak contohnya kita tengah bergaduh ke, tak elok lah. Kau senyum sikit boleh sebab bagi aku senyuman kau lah paling cantik.” Izzaz sempat memujiku namun ianya sedikit pun tidak dapat mengurangkan gelodak di dalam hati yang sedang aku tanggung.

Aku masih diam dan tidak menjawab walau  sepatah pun. “Tak penat ke kau dah bawak batu dalam mulut tu berjam-jam. Cakap boleh tak Maya?” Izzaz mula bengang agaknya.

“Sa...saya nak cakap apa. Nanti depan Umi tahu lah saya senyum. Awak tak payah risau.” Jawabku namun matanya tidak aku pandang.

“Kalau pasal hal yang berlaku di antara kita malam tadi yang buat kau senyap macam ni, baik kau lupakan aje lah. Macam ni Maya, untuk nak sedapkan hati kau apa kata kita anggap saja tak ada apa-apa yang berlaku pun malam tadi. Okay?” Izzaz memandangku.

“Betul?” Tanyaku teragak-agak.

“Kenapa kau risau kau akan mengandung ke?” Izzaz mula dengan perangai suka mengusiknya.

“Iz...awak jangan fikir bukan-bukan ya.” Wajahku ketika itu pasti sudah menjadi kemerahan menanggung rasa malu yang aku rasakan begitu memuncak di dalam diri.

Lepas ketawa lelaki itu. “Aku main-main ajelah dan kau tak payah nak risau sangat lah. Sekarang ni hati kau dah rasa lega sikit kan? Kita kan kawan, aku tak akan ungkit pasal hal tu lagi. Aku akan jaga perasaan kau dan kau juga akan jaga perasaan aku.” Izzaz senyum.

Aku mula menguntum senyuman. Baguslah kalau Izzaz juga menganggap apa yang berlaku malam kelmarin sebagai sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak akan mengungkitnya lagi. Sekurang-kurangnya aku merasa sedikit lega dan tidak segan untuk terus berhadapan dengannya kelak.

“Kurang sikit stress saya bila dengar awak cakap macam tu. Okay, kita anggap apa yang berlaku malam tadi tu sebagai satu kesilapan ya.” Aku terus berjalan ke arah pintu kecil di sebelah pagar rumah itu.

Aku menoleh ke arah Izzaz dan aku terkesan akan perubahan di wajahnya. Entah mengapa wajahnya itu tidak seceria tadi. Hilang sudah senyuman dari wajahnya. Aku sedar Izzaz berkata sebegitu terhadapku kerana dia tidak mahu membuat aku terus berasa kekok dan juga mahu menjaga perasaanku. Apa yang keluar dari mulutnya itu bukanlah datang dari kehendak hatinya. Aku terpaksa mengatakan hal yang telah berlaku itu adalah satu kesilapan kerana aku tidak mahu Izzaz terus menaruh harapan terhadapku dan seterusnya menyukarkannya untuk berpisah denganku kelak walaupun aku mengakui yang mula suka padanya.

Tambahan pula sebenarnya aku terlalu khuatir memikirkan kemungkinan Izzaz akan mengetahui sejarah silamku dan juga tentang arwah Adam. Kalau hal itu terjadi dan Izzaz dapat tahu tentangnya dari mulut orang lain, aku pasti yang dia akan terlalu kecewa denganku dan aku pula akan rasa semakin bersalah terhadapnya kerana aku ini bukanlah wanita yang sempurna buatnya malahan aku telah menyembunyikan rahsia sebesar itu dari pengetahuannya.

Melangkah saja ke ruang tamu, Izzaz terus memanggil-manggil Uminya. Namun tiada sahutan dari arah dapur mahupun dari tingkat atas. Tidak lama selepas itu Mak Piah muncul dari dapur.

“Puan tak ada. Ke Melaka jumpa Mak Long kamu. Katanya nak tidur di sana sehari dua. Macam mana percutian pengantin baru?” Mak Piah mula mengusik kami.

Izzaz ketawa sambil dia memandang wajahku. Aku turut tersenyum dengan usikan itu. “Eh seronok macam-macam tempat kami pergi dan macam-macam aktivit kami buat bersama kan?” Izzaz mengenyitkan matanya ke arahku.

Mak Piah tiba-tiba menepuk bahu Izzaz yang membuatkan lelaki itu terkejut. “Lepas ni perangai tu jangan macam budak-budak lagi. Panas baran tu kawal sikit, jangan suka naik angin sesuka hati. Kamu tu dah jadi suami dan tak lama lagi nak jadi ayah pulak.” Mak Piah turut tergelak-gelak.

“A...Ayah?” Perkataan itu keluar dari mulutku.

Berubah terus wajah Izzaz ketika itu. Terus dipeluknya bahu Mak Piah dan dibawanya orang tua itu ke arah dapur. “Mak Piah, Iz lapar lah. Masak apa kat dapur tu? Jom kita pergi tengok.” Izzaz mengelak dari terus membiarkan Mak Piah mengupas topik yang dirasakan akan membuatkan aku rasa tidak selesa. Aku berterima kasih kepadanya kerana sekurang-kurangnya aku tidak lagi disoal tentang topik yang terlalu sensitif itu.

Aku membawa bagasiku naik ke tingkat atas dan terus menuju ke arah bilik Izzaz yang terletak di bahagian hujung. Terlindung dari bilik Umi dan bilik tetamu yang lain. Aku membuka pintu bilik itu dan terus duduk di birai katil. Telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi dan aku tersenyum apabila nama Farhin tertera di atas skrin.

“Wei pengantin baru! Dah selamat sampai sini ke?” Suara nyaring itu seperti biasa menyapaku.

Aku tergelak. “Baru aje sampai ni mak cik. Kenapa kau dah rindu aku ke?”

Farhin turut ketawa. “Mestilah rindu. Kau tu entah rindu ke tidak dengan aku sebab ada Abang Sado teman honeymoon!” Farhin mengusikku.

“Banyaklah kau punya Abang Sado. Ada aje kan point kau nak menyakat aku. Mestilah aku rindu kat kau. Aku ada bawak hadiah untuk kau ni.” Balasku.

“Aku dengar suara kau happy macam ni aku dah rasa lega. Aku terkejut tau sebenarnya bila kau beritahu yang kau nak kahwin dengan Izzaz walau pun kau baru kenal dia. Tapi bila aku nampak cara dia pandang kau masa hari nikah korang hari tu, aku dapat rasa yang suami kau tu memang betul-betul sayangkan kau. Sekarang Encik Pilot kau dah bertukar orang lah. Tapi aku lebih suka sebab Encik Pilot yang ni lebih hensem hahaha.” Ujarnya yang membuatkan aku kembali teringat pada Firqin.

“Ein...err ada Firqin cari aku tak sepanjang aku tak ada kat sini?” Tanyaku.

Aku terdengar suara keluhan Farhin di sebelah sana. “Sepanjang kau tak ada, dari hari kau cuti kerja seminggu tu hari-hari Firqin datang cari kau dekat rumah. Berjam-jam dia tunggu dalam kereta depan rumah kita ni. Mujur ada Azam yang pujuk dia barulah Firqin mengalah. Maya...aku sebenarnya kesian jugak tengok dia bila dia dapat tahu kau bernikah dengan Izzaz. Nampak kecewa betul Firqin tu. Dia nampak terkejut dan lepas tu terus beredar. Sejak tu dah tak muncul-muncul lagi di depan rumah.”

Aku mengetap bibirku apabila rasa bersalah kembali bersarang di dalam hati. “Firqin tak ada cakap apa-apa ke Ein?”

“Dengan aku dia tak ada cakap apa-apa. Tapi Azam ada cakap pada aku yang Firqin betul-betul kecewa dengan keputusan yang kau ambil dan aku dengar dia ambil cuti lama kerana tak boleh fokus pada kerja. Cuma Azam ada beritahu lagi, walau apa pun Firqin mendoakan kebahagiaan kau dengan sepupunya akan terus berkekalan sampai bila-bila dan berharap Izzaz dapat menjaga kau dengan baik.” Cerita itu membuatkan aku tiba-tiba rasa sebak kerana aku rasa aku telah mempermainkan hati seseorang yang langsung tidak bersalah.

“Aku doakan dia akan dapat wanita yang lebih baik dari aku yang sesuai dengan dirinya. Aku juga mahu lihat dia bahagia juga. Mudah-mudahan Firqin dapat maafkan aku.” Ujarku sambil aku mengesat airmata yang tiba-tiba mengalir keluar.

Aku menamatkan talian. Aku tidak sedar yang rupa-rupanya Izzaz sudah berdiri di muka pintu. Aku bangun dan berpura-pura membuka bagasi untuk mengemas barang-barang kami berdua.

“Aku harap kau tak akan sebut lagi nama Firqin lepas ni.” Suara serius itu membuatkan tanganku berhenti dari terus mengemas.

“Saya risaukan keadaan dia, itu saja.” Jawabku.

Izzaz mula memeluk tubuhnya, tanda dia sebenarnya sedang marah. Aku sudah dapat mengecam bahasa tubuhnya itu.

“Dia dah besar, tahu lah jaga diri sendiri. Kau tak payah nak sibuk risaukan orang lain. Aku ni yang patut kau risaukan, sebab aku ni lebih berhak.” Izzaz menegurku sebelum dia berlalu masuk ke dalam bilik air.

Aku mengeluh. “Jangan dia merajuk lagi sudah, puas aku cuba nak memujuknya.” Aku mengomel sendiri.

“Saya minta maaf. Baiklah, saya janji tak akan sebut nama tu lagi ya.” Aku sedikit berteriak.

"Janji kau jangan melawan suami lagi?" Balas Izzaz dari arah bilik air.

"Ya kapten, saya janji!" Sahutku.

"Baiklah, kau tahu tau kan aku sayang kau." Izzaz berteriak lagi.

"Tahu." Balasku perlahan walaupun aku sedar yang aku tidak sepatutnya terus memberi lelaki itu harapan.

"Hahahaha....bagus-bagus." Izzaz ketawa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.