Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,150
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 6 - Goodbye Mr.Pilot

Aku mencampak beg tangan ke atas katil sejurus masuk ke dalam bilik. Aku menarik nafas beberapa kali, menenangkan diri apabila wajah lelaki itu dan Amera silih berganti muncul di hadapan mataku.

Aku segera ke bilik air untuk membasahkan wajah dan membawa sebekas air panas keluar lalu aku letakkan di sisi katil. Perlahan-lahan aku rendamkan kakiku yang terseliuh tadi ke dalam air panas itu. Selalunya aku akan buat begini bila kaki aku terasa lenguh atau sakit. Aku harap dengan cara ini dapat kurangkan bengkak di kakiku.

Aku mencapai plastik yang Firqin berikan tadi. Terdapat ubat sapu antiseptik dan gel untuk melegakan otot . Aku membuka penutup ubat antiseptik itu, lalu perlahan-lahan aku sapukan ke atas luka di siku.

Aku teringat kembali bagaimana lelaki itu menolakkku. Kerana Amera. Aku masih tertanya-tanya mengapa tergamaknya dia berbuat begitu terhadapku tadi? Walau pun dia telah meminta maaf namun itu tidak bermakna aku sudah melupakan perkara tersebut. Aku tidak terlalu salahkannya kerana hal itu kerana yang sebenarnya yang lebih membuatkan hatiku sakit adalah kata-kata kesat Amera yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Maya!” Tiba-tiba aku seakan terdengar suara teriakan seorang wanita menyebut namaku. Aku menoleh ke arah cermin. Aku dapat lihat wajahku sendiri. Tiada mama di bilik ini walau pun tadi aku seakan terdengar suaranya. Perlahan-lahan ingatan lama hari-hari permulaan aku hidup sebagai anak angkat kembali terputar di dalam mindaku.

“Sakit mama....Maya minta maaf...mama.” Teresak-esak aku menangis memohon maaf pada mama apabila aku tidak sengaja terlanggar pasu kesayangannya. Namun tangisanku itu langsung tidak diendahkan. Malah mama semakin kuat melibas tubuhku dengan penyangkut baju.

“Budak tak guna! Kau tahu tak pasu aku tu mahal. Mampu ke kau nak ganti.” Mama berteriak seperti orang sudah hilang akal.

“Maya tak sengaja mama....” Aku merayu sambil memegang tangan mama. Namun tanganku ditepis dan tubuhku tersungkur ke lantai.

“Aku bukan mama kau! Sejak dari awal lagi aku tak pernah setuju suami aku bawak kau balik masuk ke dalam rumah ni. Menyusahkan betul.” Mama mengangkat penyangkut baju itu untuk memukulku lagi, namun dihalang Abang Bukhary. Abang Bukhary memeluk kaki mama. Merayu agar mama memaafkanku.

Rayuan Abang Bukhary itu juga mama tidak endahkan. Malah mama bertindak berani dengan mengheretku hingga ke hadapan pintu hadapan dan menolak aku keluar. Aku tidak mampu lakukan apa-apa, jauh sekali untuk melawan kembali. Apalah ada pada kudrat seorang budak yang berumur sepuluh tahun. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah menangis, merayu dan menahan kesakitan.

“Budak tak guna! Entah dari mana asal suami aku kutip kau ni. Ada mak bapak entah tidak, sebab tu perangai macam ni yang hidup suka menyusahkan orang lain aje!” Mama mengeluarkan kata-kata kesat yang rasa sakitnya seperti hati aku dihiris-hiris dengan pisau paling tajam. Walau pun aku hanya berumur sepuluh tahun ketika itu, namun aku sudah faham dan mengerti maksud kata-kata orang lain. Dalam erti lainnya mama begitu membenciku, malah tidak pernah menerimaku di rumah itu sehingga ke hari ini.

Malam itu aku terdengar pertengkaran di antara Abah dan mama yang pastinya berkaitan dengan hal mama memukulku. Aku berada di dalam bilik ketika itu ditemani Abang Bukhary dan Amani, adik angkatku.

Masih jelas di telingaku kata-kata yang diluahkan mama malam itu kepada Abah ketika Abah memarahinya kerana bertindak kasar terhadapku.

“Anak haram tu Abang nak bela sangat kenapa?” Mama meninggikan suaranya.

“Lia, Maya tu bukan anak haram, awak jaga sikit mulut awak tu.” Suara Abah kedengaran.

“Bukan anak haram ke namanya, bila budak tu sendiri tak kenal siapa mak bapak dia. Entah dari mana Abang kutip budak tu, buat malu Lia aje!”

Pang! Aku terdengar sesuatu, tapi tidak pasti bunyi apa.

“Sampai hati Abang pukul Lia sebab budak tu.” Suara mama teresak-esak.

Aku meluru keluar dari bilik dan terus mendapatkan Abah. Aku memeluk kaki Abah merayu agar Abah tidak mengapa-apakan mama lagi kerana aku.

Aku melutut memeluk kaki Abah. Mataku memandang wajah Abah. Aku masih lagi menangis teresak-esak. “Abah...jangan pukul mama. Maya yang salah. Maya merayu pada Abah.”

“Tolong Abah....” Aku masih merayu.

Abah melepaskan keluhan beberapa kali. Namun mata Abah masih tajam memandang mama. “Saya maafkan awak sebab Maya minta. Ingat tu Lia.” Abah memandang tepat wajah mama.

Mama memandangku dengan penuh rasa benci. “Benci Lia tengok mata, wajah budak ni. Sama aje macam perempuan tu!”

“Marlia!” Tengking Abah.

“Jangan sampai satu hari nanti kerana budak ni, anak-anak saya jadi mangsa. Keluarga kita jadi berantakan. Abang pula ingat kata-kata Lia ni.” Mama menjelingku tajam sebelum dia meninggalkan bilik.

Abah mengesat air mataku. Memeluk aku. Menenangkan aku. “ Sudah ya sayang....Abah ada. Jangan nangis lagi. Abah sayang Maya. Sayang sampai bila-bila.” Abah menepuk-nepuk belakang badanku.

Aku rasa selamat di dalam dakapan Abah. Hilang segala rasa takut terhadap mama, rasa sakit di seluruh badan bila ada Abah memujuk dan memanjakan aku.

“Maya pun sayangkan Abah.” Ucapku. Tapi kenapa Abah tidak membalas kata-kataku seperti selalu? Kenapa Abah diam pula? Tiba-tiba Abah semakin jauh meninggalkan aku. Aku semakin takut tinggal keseorangan.

“Abah!” Aku menjerit. Aku memandang ke arah sekeliling. Aku nampak meja solek, almari yang sama seperti tadi. Aku baru tersedar yang aku masih berada di dalam bilik penginapanku.

Terasa pipiku basah. Perlahan aku mengesat sisa airmata dengan belakang tanganku. Aku terlelap tadi. Entah bila aku tidak sedar. Ternyata kenangan lama yang pahit itu masih terkesan di hatiku. Parut luka lama itu masih ada lagi rupa-rupanya. Banyak lagi sebenarnya perkara dan hal lama yang aku sudah tidak mahu ingat lagi. Tapi apa daya manusia biasa seperti aku yang ada perasaan yang tak mampu mengawal emosi dan hati.

“Abah....Maya sayang Abah sampai bila-bila. Ingat tu.” Aku menyebut nama Abah. Seperti yang selalu Abah ucapkan kepadaku dulu. Aku harap aku masih belum terlambat untuk kembali kepada Abah. Memohon maaf darinya tentang kesalahan yang pernah aku lakukan sebelum ini.

Keesokan harinya, seawal jam 7.00 pagi aku sudah bersiap-siap mengemas beg pakaianku. Hari ini hari terakhirku di sini. Jika aku renungkan balik, tidak ada satu kenangan manis pun sepanjang tiga hari aku di sini.

Aku terpandang gelang tangan di tanganku ketika aku ingin mengangkat beg. Agak lama aku memandangnya. Berfikir lama adakah perlu aku pulangkannya kepada Firqin? Tapi apabila aku teringat yang gelang ini milik Amera, aku tak jadi nak pulangkan kembali kepada tuannya.

Selesai saja urusan di kaunter, aku mula melangkah keluar untuk mendapatkan teksi ke airport. Namun langkahku terhenti ketika aku nampak seseorang sedang bersarapan pagi di cafe. Lelaki yang meminta maaf semalam itu lah!

Aku fikir-fikir semula adakah aku telah memaafkannya. Ya. Aku sudah maafkan dia, tapi....tapi itu tak bermakna aku akan melupakan. Tiba-tiba satu idea ‘mengenakannya’ muncul di kepalaku.

Ketika lelaki itu sedang leka bersarapan seorang diri di meja yang bersebelahan dengan dinding berkaca, aku mendekati dan dengan berani aku mengetuk-ngetuk dinding itu.

Dia menoleh. Aku dapat lihat dengan jelas lelaki itu berpakaian ringkas pagi ini. Sehelai t-shirt putih dan seluar paras lutut. ‘Amboi nampak senang hati, makan sarapan dengan penuh nikmat.’

Firqin memandangku. Aku memberikan sebuah senyuman yang paling manis untuknya. Dia membalas senyumanku. Namun hanya seketika aku tersenyum, kemudian aku memasamkan muka, mengejeknya sambil aku mengepal penumbukku dan aku berpura-pura layangkan kepadanya.

Lelaki itu terkebil-kebil seketika sebelum dia ketawa. Ketawa yang macam tengok benda yang sangat kelakar gayanya. Aku tak faham kenapa dia ketawa begitu bagaikan sedang tonton cerita Charlie Chaplin yang buat aksi lawak tapi tak ada suara tu.

Lelaki itu mengisyaratkan tangannya mengajakku bersarapan bersamanya. Aku menggeleng. Jari telunjukku aku tujukan ke arahnya, sebelum aku memegang sikuku dan menyilangkan kedua tanganku membuat simbol X. Bahasa isyarat yang aku reka yang bermaksud ‘saya tak akan lupa apa yang awak lakukan’.

“Come on Ariana. I am sorry okay.” Aku dapat membaca gerak bibirnya.

Aku tersenyum sebelum aku menggoyang-goyangkan tanganku di hadapan Firqin. Aku membelek gelang di tanganku. Kemudian aku beraksi membuat berbagai posing menggayakan gelang tangan itu seperti yang dilakukan oleh model-model atas pentas peragaan tu.

Firqin bangun mendekatiku di sebalik dinding kaca itu. “Give me back.”

“No. Sorry. I'm consider this is mine.”Balasku selamba.

Wajahnya nampak bengang apabila dia tersedar yang aku sedang mempermainkannya. Dia mula mempercepatkan langkah untuk keluar mendapatkanku. Namun aku lebih pantas segera berlari  ke arah teksi yang kebetulan berhenti di hadapanku.

Segera aku meloloskan diri ke dalam perut kereta dan menyuruh pemandu itu memandu pergi dengan segera. Aku menoleh ke belakang, aku lihat lelaki itu sedang mengejarku dengan hanya memakai selipar.

“Stop Ariana!” Laungnya yang masih mengejar teksi yang aku naiki.

Aku menurukan cermin tingkap dan mengeluarkan separuh badanku. “Saya anggap ini milik saya sebelum awak bawa Amera datang minta maaf pada saya.” Balasku.

“Bagi saya balik, please.” Pinta lelaki itu yang sedang berlari tercunggap-cunggap.

“Okay...saya bagi.” Kataku. Firqin tersenyum.

“Thank you.” Ucapnya.

“Saya akan bagi tapi lepas saya fikir dulu ya.” Tambahku yang sengaja mengenakannya.

 Rancangan ini telah aku rancang pada malam dia memakaikan gelang ini di tanganku. Awal-awal lagi aku sudah ada plan untuk kenakannya apabila lelaki itu yang mulakan permainan ini dengan mengungutku, kemudian memaksaku untuk berlakon menjadi bakal isterinya.

Makin bertambah rasa bengangku ketika watak bernama Amera pula muncul di antara kami. Watak yang aku tak akan suka sampai bila-bila. Aku berharap sangat tak akan bertembung dengan Amera lagi selepas ini. Minta sangat-sangat.

“Bye...bye... Mr.Pilot. Saya harap kita tak akan jumpa lagi selepas ni!” Laungku sambil aku melambai-lambaikan tangan kepadanya.

Aku tersenyum. Padan muka. Rasakan macam mana rasa dipermainkan. Tapi perasaan nakal itu aku rasakan cuma seketika sebelum rasa kasihan pula timbul di dalam hati. Aku menoleh ke arah cermin belakang semula, ternampak dia tidak lagi berlari mengejarku.

“Sorry... saya tahu awak baik hati. Amera tu sangat tak bersyukur. Harap awak jumpa perempuan yang jauh lebih baik daripada dia satu hari nanti, yang tahu menghargai awak.” Kataku perlahan sambil mataku tidak lepas memandangnya sebelum teksi yang aku naiki membelok ke arah jalan utama. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.