“Awak
ni sejenis cacing ke?” Aku mula hilang sabar.
Hilang
sabar kerana sudah lebih setengah jam aku menolak Izzaz yang sedang menunggang
basikal tetapi masih tidak pandai-pandai itu. Tambahan pula lelaki itu begitu
cerewet dengan berkata yang aku tidak tolak basikal itu dengan betul lah,
basikal itu bermasalah lah malahan lebih parah apabila dia menyalahkan tiupan
angin pula! Sedangkan hanya ada satu sebab sahaja mengapa dia tidak berjaya
mengayuh basikal itu dengan betul iaitu Izzaz tidak pandai mengayuh basikal!
Itu saja.
Izzaz
berhenti mengayuh dan menoleh ke arahku. “Aku sejenis cacing?”
“Iya
lah dari tadi awak tak pandai kayuh basikal ni dengan betul. Sama macam cacing
lah, tak ada kaki macam mana nak kayuh.” Jawabku.
Izzaz
memandangku geram. “Mana kau tahu cacing tak ada kaki?” Soalnya lagi.
“Cacing
memang tak ada kaki kan?” Berkerut dahiku memikirkan soalan remeh tu.
“Kau
pun tak pasti cacing ada kaki ke tidak kan? Aku ni mata pelajaran sains
sentiasa dapat A tau masa sekolah dulu. Kau janganlah nak berani soal jawab
dengan aku. Dah dah cepat tolak aku lagi.” Arah Izzaz.
Aku
mencebik geram dengan perangainya yang tidak habis-habis dengan memuji diri
sendiri itu. Aku melepaskan keluhan dan mengelap peluh di dahi sebelum aku
menolak belakang basikal itu sekali lagi.
“Laju
lagi! Laju lagi...tolak lagi Maya.” Izzaz ketawa riang bagaikan kanak-kanak
yang baru kali pertama mengayuh basikal. Aku yang sudah hilang sabar dan juga
telah kepenatan terus sahaja melepaskan belakang basikal itu.
Izzaz
hilang imbangan dan basikal yang ditunggangnya itu tidak dapat di kawal lagi.
“Maya...Maya
tolong aku!” Izzaz tiba-tiba menjerit.
Aku baru
perasan yang aku melepaskan basikal itu betul-betul ketika ianya menuruni
bukit.
“Izzaz!”
Jeritku dan aku terus berlari mengejarnya.
Semuanya
sudah terlambat apabila basikal yang ditunggang Izzaz itu berlanggar dengan
sebatang pokok. Izzaz jatuh berguling di atas rumput. Aku terus
mendapatkannya yang terbaring di atas tanah itu.
“Iz
awak okay? Sakit kat mana-mana ke?” Aku mula risau.
Izzaz
mengerang kesakitan sambil dia memegang lengan dan kakinya. Aku mencapai
tangannya dan aku terkejut apabila terlihat luka di bahagian siku dan telapak tangannya.
“Da...darah...”
Aku tergagap-gagap. Mula takut melihat darah yang mengalir dari sikunya.
Aku
menelan liur melihat luka di sana sini di badannya.
“Iz...saya
minta maaf. Saya tak sengaja.” Pintaku.
Namun
Izzaz buat tidak tahu saja. Wajahnya jelas kelihatan bengang. Hilang riak ceria
seperti tadi. Aku benar-benar rasa bersalah kerana telah melepaskan basikal
yang ditunggangnya itu. Aku tidak sengaja untuk berbuat begitu kerana aku
memang tidak perasan yang ada jalan bercerun di hadapan tadi. Aku
bertindak melepaskan pegangan tangan dari belakang basikal itu kerana aku mahu
Izzaz mengayuhnya sendiri dan akan cepat belajar, aku tidak sangka begini pula
jadinya.
Aku
terkejut apabila Izzaz tiba-tiba menepis tanganku dari terus memegang
lengannya. Wajah seriusnya itu membuatkan aku tiba-tiba rasa mahu menangis.
Izzaz mengelak dari bertembung mata denganku. Dia perlahan-lahan bangun dan
terus mencapai basikal yang terbaring di sisi pokok itu. Izzaz menyorong
basikal itu dan berjalan pergi meninggalkan aku.
“Izzaz...sorry.”
Ucapku lagi. Namun Izzaz buat tidak tahu sahaja. Jauh sekali untuk menoleh ke
arahku. Aku memandang belakang badannya dan luka di kedua-dua belah tangannya
dengan rasa sayu. Aku benar-benar dibebani dengan rasa bersalah sampaikan aku
rasa yang kali ini aku telah keterlaluan mengenakannya walaupun aku tidak
bermaksud untuk membuatkan dia tercedera.
“Iz saya
minta maaf. Saya tak bermaksud nak buat awak cedera sampai berdarah macam tu.”
Aku mula menangis meraung dan terus duduk di atas rumput. Aku menutup kedua-dua
belah mataku dengan tangan yang aku letakkan di atas lutut. Aku menangis kerana
rasa menyesal dan rasa bersalah terhadap Izzaz yang tercedera akibat perbuatanku
yang aku rasa agak keterlaluan itu.
“Maya...”
Aku terdengar namaku dipanggil.
Aku
mengangkat wajahku dan memandang Izzaz yang turut duduk di sebelahku.
Izzaz
mengesat airmata di kedua-dua belah pipiku dengan jarinya. “Kenapa kau menangis
pulak ni? Kau tahu kan aku tak suka tengok orang menangis?”
Aku
mengangguk.
“Habis
kenapa kau nangis?” Soalnya lagi.
“Sebab
awak marah saya, sebab awak tak hiraukan saya dan juga sebab awak serius dan
tak pandang saya langsung.” Aku mengelap sisa airmata di pipiku.
Izzaz
memicit hidungku yang membuatkan aku terkejut. “Kau ni memang cengeng betul
lah. Siapa kata aku marah kau pulak ni? Aku tak marah lah. Tadi tu sebenarnya
aku sengaja berlakon berpura-pura merajuk sebab aku nak kau pujuk aku. Tapi
sekarang ni nampaknya terbalik pulak, aku yang kena pujuk kau.” Izzaz ketawa.
Aku
memukul lengannya melepaskan geram. “Jahat!” Marahku.
“Aduh!”
Izzaz mengadu sakit sambil dia memegang bahagian sikunya.
“Mana
yang sakit?” Soalku prihatin.
Izzaz
tersenyum nakal. “Sakit kat sini. Tuh di sini dong.” Dia memegang bahagian
dadanya.
“Mengada-adakan
awak ni.” Aku mencubit pipinya.
Izzaz
segera memegang tanganku dan terus membiarkan tanganku berada di pipinya.
“Kau
janji jangan nangis-nangis macam ni lagi lepas ni. Aku tak ada apa-apa. Sikit
aje luka ni. Aku tahu kau tak sengaja pun tadi. Aku tahu kau tak akan sampai
hati nak cederakan aku sebab aku kan suami kau, hahahaha. Don’t worry my dear. Aku tak akan pernah salahkan kau atas apa-apa
sebab pun sebab aku kan sayangkan kau. Aku sayang kau seorang saja, tak ada
orang lain.” Ucapnya yang terus membuatkan hatiku terasa cair buat kali pertama!
Thump!
Thump! Thump! Kalau lah Izzaz boleh mendengar degupan jantungku ketika itu,
sudah tentu dia akan melompat gembira kerana akhirnya dia telah berjaya
membuatkan jantungku berdegup kencang kerana dirinya. Aku rasa tak selesa
dengan perasaan yang baru lahir di hatiku itu. Sejak dua tiga ini juga perasaan
yang sama ini terus mengganggu diriku. Perasaan itu hanya hadir apabila Izzaz
mendekatiku, Izzaz melemparkan senyuman paling manis buatku dan juga ketika
Izzaz meluahkan kata-kata indah seperti tadi. Kini aku sudah dapat mengenal
pasti perasaan yang sedang aku rasakan itu namanya adalah cinta!
‘Oh
Maya, apa yang akan jadi seterusnya?’ Aku bertanya kepada hati.
“Saya
nak minum, rasa haus sangat. Penat tolak basikal tu tapi awak tetap tak pandai-pandai.” Aku mengalih topik
perbualan kami berdua.
Izzaz ketawa “Aku rasa jodoh aku dengan kenderaan bernama basikal ni memang tak ada lah. Aku suka kapal terbang lebih. Dah, aku
pun haus, jom kita cari air.” Balas Izzaz lalu dia menghulurkan tangannya kepadaku untuk membantuku berdiri.