Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,147
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 14 - First Date!

Aku mengeluarkan semua baju yang ada di dalam almari ke atas katil. Sudah dekat dua jam aku memilih baju yang sesuai untuk aku gayakan malam ini. Aku membelek-belek baju yang tersarung di tubuhku di hadapan cermin. Sehelai gaun malam berwarna hitam.

“Seksi sangat ni. Tak sesuai lah.” Aku mengomel sendiri.

Aku mencapai pula sehelai t-shirt ringkas berwarna putih dan seluar jeans berwarna hitam. “Emm...yang ni nampak ringkas sangat pula. Susahnya nak pilih baju!” Aku duduk di birai katil sambil memandang ke arah baju-baju yang berselerak di atas katilku. Aku masih tidak dapat membuat pilihan. Beberapa ketika kemudian barulah aku tersedar yang aku tidak perlu beriya-iya untuk bersiap malam ini. Mengapa pula aku mahu kelihatan cantik di hadapannya malam ini?

“Maya kau buat apa ni? Berseleraknya.” Suara Farhin yang datang dari arah pintu membuatkan aku menoleh.

Farhin duduk di sebelahku. “Nak pindah ke beb?” Riak resah terpancar di wajahnya.

“Tak adalah, mana ada aku nak pindah. Aku nak keluar malam ni tapi aku tak tahu nak pakai baju apa.” Kataku.

Mata Farhin tajam memandangku. “Selalu kau tak macam ni pun. Keluar pakai baju biasa aje. Ini mesti ada apa-apa ni.”

“Firqin ajak aku dinner.” Ujarku tanpa berselindung.

“Arrrrrrgh......Maya.” Jeritan Farhin itu membuatkan aku menutup kedua-dua belah telingaku.

“Bingitnya. Kau ni dah kenapa jerit macam tu? Sakit telinga aku tau.” Omelku geram.

Farhin ketawa sambil bertepuk tangan. “Betul ke Maya? Seronoknya aku dengar. Kat mana? Kat mana?”

“Kau ke aku yang nak pergi dinner sekarang ni? Dia punya suka amboi...bukan main lagi.” Kataku sambil tersenyum-senyum.

Farhin menepuk bahuku. “Kau lah dengan Abang Pilot tu.” Dia turut tersenyum-senyum.

“Just a dinner...” Kataku sambil tanganku kembali membelek-belek baju. Aku mengerling ke arah jam yang tergantung di dinding. Alamak sudah hampir jam 8.00 malam. Siang tadi aku janji dengan Firqin yang kami akan berjumpa pada pukul 8.30 malam.

“Aku dah lambat ni. Pakai apa yang ada ajelah.” Kataku sambil aku mencapai sehelai blaus berwarna kuning cair dan jeans berwarna biru.

“Eh mana boleh. Pakailah yang glam sikit. Candle light dinner kan.”Sampuk Farhin.

“Tak payahlah. Aku dah lambat ni.” Aku terus masuk ke bilik air untuk menukar pakaian.

Terdengar ketukan di pintu. Apabila aku buka, Farhin menghulurkan sehelai gaun labuh berwarna biru muda kepadaku. “Macam warna baju kartun Frozen aje.” Kataku.

“Pakai yang ni Maya. Yang tadi tu ringkas sangat. Cantik apa gaun ni. Kau masih ingat kan kau pernah pakai baju ni masa malam graduation dinner kita. Kau cantik sangat pakai baju ni masa tu.” Farhin mengingatkan aku.

“Yang aku pakai ni tak cukup cantik dah ke? Aku rasa boleh dah ni.” Balasku.

“Ringkas sangat lah. Bagi kau memang lah boleh. Tapi kau fikirlah apa yang Encik Pilot tu akan fikir pulak nanti. Dia bawak kau pergi tempat grand, tapi kau pakai simple aje. Tak bestlah macam tu.”

“Kalau dia fikir macam tu bukan salah aku. Lagipun dia kenalah terima aku seadanya.” Aku sempat mengomel.

“Maya cepat dah pukul berapa ni!” Sergahan Farhin itu membuatkan aku terus menutup pintu bilik air dan segera menukar pakaian. Aku akur dengan pilihannya. Memakai gaun berwarna biru itu.

Aku keluar dari bilik air dan berdiri di hadapannya. Farhin tersenyum lebar memandangku. “Kalau aku yang perempuan ni kata kau memang cantik gila, apatah lagi lelaki bila pandang kau. Mesti cair lah Encik Pilot tu nanti.” Pujinya.

“Ada-ada ajelah kau ni. Dah aku dah lambat. Pergi dulu.” Aku terus mencapai beg tangan dan menyarung kasut.

Farhin mengikutiku. “Kau jangan kata kau naik motor pulak bila dah pakai cantik-cantik macam ni.”

“Dengan gaun ni aku nak naik motor? Buruk sangat rupanya.”Aku sempat berseloroh.

“Maya dah sampai sana nanti callaku tau. Aku nak tahu cerita jugak. Cerita first date korang.”

“Aku pergi dulu.” Aku terus keluar. Farhin tu kalau aku layan semakin menjadi-jadi dia mengusikku. Aku terus ke kereta dan menghidupkan enjin.

Selepas lebih kurang lima belas minit memandu, aku sampai ke tempat yang dijanjikan Firqin tadi. Aku tiba-tiba rasa pelik melihat kawasan sekitar tempat itu yang menempatkan deretan-deretan kedai makan yang dipenuhi ramai orang. Aku tidak nampak pula tempat makan yang agak esklusif di sekitar sana. Aku silap tempat agaknya. Aku membuat andaian di dalam hati.

Aku terkejut apabila cermin tingkap keretaku tiba-tiba diketuk dari luar. Firqin! Lelaki itu tersenyum dan mengisyaratkan aku untuk turun dari kereta. Aku menurunkan cermin kereta di tempat pemandu. Aku sebenarnya malu untuk keluar. Aku tidak menyangka yang Firqin sebenarnya mahu mengajak aku makan malam di kedai mamak aje! Sudahlah aku pakai bukan main cantik lagi malam ini. Memang tak kena tempatlah. Ini semua gara-gara Farhin lah yang memaksa aku pakai gaun ini. Malunya.

“Err...kita makan kat sini ke? Soalku.

“Iyalah. Kenapa awak tak suka ke makan kat tempat macam ni?” Wajahnya nampak berubah. Bagaikan mahu mengujiku.

Aku menggeleng. Tak. Saya tak kisah makan kat mana pun. Cuma err...saya pakai baju yang tak sesuai malam ni.” Jujur aku akui.

Berkerut dahinya memandangku. Kemudian matanya beralih memandang ke arah bajuku. Spontan dia tergelak. Aku menjelingnya. Bukan main suka dia ketawakan aku ya. Aku balik karang baru tau! Omelku geram di dalam hati.

Agaknya dia perasan yang riak wajahku sudah berubah, lalu dia cuba memujukku. “Alang-alang awak dah sampai ni, apa kata awak turun aje dan kita pergi makan. Saya tak kisah awak pakai baju apa pun.” Katanya yang cuba meyakinkan aku. Aku memandang ke arahnya yang nampak ringkas memakai sehelai t-shirt berwarna hitam dan seluar jeans. Kontra benar dengan pakaianku.

Firqin membukakan pintu kereta untukku. Aku mematikan enjin kereta dan mula melangkah turun dari kereta. “Boleh kita masuk sekarang?” Suaraku menahan geram. Geram kerana dia tidak memaklumkan aku dari awal ketika di menghantar pesanan ringkas kepadaku tadi yang kami akan makan malam di kedai mamak saja bukan di restoran mewah. Kalau tidak tak perlulah aku memalukan diri memakai pakaian formal seperti ini. Aku memandangnya yang masih tidak berganjak itu. Matanya masih terpaku ke arahku.

“Firqin.”Panggilku.

“Saya tarik balik ketawa tadi. Awak cantik. Sangat cantik.” Senyumannya nampak ikhlas. Aku tersenyum mendengar pujiaannya itu.

“Saya boleh bayangkan saya makan roti canai pakai baju macam ni.” Kataku. Firqin ketawa mendengarnya.

“Okaylah tu. Awak jadi orang paling cantik yang makan roti canai malam ni.”Sahutnya.

Aku memandang Firqin menyuapkan mee goreng ke dalam mulutnya. Nampak sungguh berselera. Aku memandang ke arah sekeliling. Aku perasan ramai yang memandangku pelik ketika itu. Mungkin pelik bagi mereka kerana melihat ‘Puteri Frozen’ makan di kedai mamak dengan gaun berwarna biru muda.

“Cukup ke roti canai satu aje?” Firqin memandangku.

“Cukup. Saya dah kenyang.” Jawabku.

Dia senyum lagi. “Sorry lah Maya. Saya tak beritahu awak awal-awal yang kita nak makan tempat biasa-biasa aje. Lain kali saya bawak awak ke tempat yang okay sikit ya.”

“No. It’s okay.” Aku tiba-tiba rasa kekok. Aku tidak tahu nak berbual apa dengannya. Aku tidak dapat memikirkan topik yang sesuai untuk ditanya kepadanya.

“Dah lama awak kerja sebagai pereka perabot?” Tanyanya sebagai pembukaan topik sesi ice breaking malam ini.

“Lama tak lama lah. Adalah dalam tiga tahun. Lepas aje tamat belajar saya terus kerja di tempat sekarang.” Balasku.

“Jadi awak boleh design macam-macam lah ni. Boleh saya request minta awak reka kerusi rehat untuk saya?”

Aku mengangguk. “Boleh. Beritahu aje awak nak design macam mana, Insya Allah saya boleh tolong rekakan.”

“Awak pula? Kenapa pilih untuk kerja di awan biru?” Soalku pula.

Wajah lelaki itu nampak berseri-seri apabila aku ajukan soalan itu kepadanya.

“Sebab passion. Saya suka terbang. Impian saya sejak dari kecil. Dapat terbangkan sebuah pesawat yang besar membuatkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Sebab saya berjaya atasi ketakutan pada ketinggian dan juga berjaya mencabar diri sendiri. Susah saya nak describe, I just can say that I love flying.” Bersungguh-sungguh Firqin bercerita. Aku mengangguk-angguk faham.

I just wondering...apa perasaan ketika awak ada dalam kokpit, terbangkan kapal besar yang berteknologi tinggi beribu-ribu kaki tinggi kat atas tu?” Soalku.

Aku benar-benar ingin tahu apa perasaan seseorang yang berkebolehan mengendalikan pesawat yang mungkin ada beratus-ratus butang untuk ditekan di dalam kokpit sepanjang perjalanan. Itu definisi mudah aku sebagai orang biasa yang tiada ilmu pengetahuan dalam dunia penerbangan tentang tugas seorang juruterbang.

Dia ketawa sebelum tersenyum panjang seperti sedang memikirkan sesuatu. “Perasaan...perasaan yang saya rasa indah. Indah sebab boleh lihat pemandangan yang sangat menakjubkan yang bukan semua orang boleh lihat secara live. Saya suka lihat langit, awan, bukit yang hijau dan banyak lagilah.

“Lagi?” Aku semakin seronok untuk mengetahui sisi kehidupannya sebagai seorang pilot. Aku nak tahu jugak apa sebenarnya perasaan mereka yang bekerja di awan biru sepertinya.

“Lagi? I feel free and calm. Perasaan masa ada kat atas tu ya? Boleh saya kaitkan perasaan saya dengan satu cerita yang pernah jadi dalam hidup saya tak? Awak nak dengar ke?” Aku mengangguk.

“Pasti?” Duganya lagi.

“Iyalah. Cerita aje lah. Saya dengar ni.” Kataku sambil mencapai gelas berisi air tembikai.

“Nasib baik awak tak kata ‘No, I am not interested.” Dia mengajuk percakapanku sama seperti yang pernah aku katakan padanya beberapa hari yang lalu.

“Firqin. Awak perli saya ya?”Aku ketawa melihat reaksi wajahnya yang nampak selamba mengajuk percakapanku.

Don’t get me wrong. Saya bukan perli awak, saya hanya bergurau aje. Tapi kalau nak tahu, macam tu lah muka awak masa cakap ‘ayat tu’.” Dia tersengih-sengih. Seronok dapat mengusik aku.

“Tak nak cerita tak apa...” Aku sengaja mengusiknya pula, terus dia menyambung ceritanya. Aku geli hati melihat tingkah lakunya. ‘Boleh tahan jugak kelakar lelaki ni. Personaliti dia selamba tapi sweet.’ Sempat aku memuji di dalam hati.

“Okay, okay ceritanya begini masa saya ke Krabi tahun lepas dengan my childhood friends dari Holland, masa kami tengah makan ada seorang lelaki datang dan tegur. Seorang lelaki tua dari Holland yang datang travelling sorang-sorang. Dia tanya saya soalan yang sama seperti yang awak tanya tadi tu. So I quote him aje lah ya?”

“Okay.” Kataku.

"Saya kata kat pak cik tu, pandang ke arah luar tingkap kita dapat lihat kepulan-kepulan awan berada di bawah yang bagaikan gula-gula kapas yang minta dikunyah. Kemudian lihat pula ke arah bandar-bandar dan kampung-kampung yang memang nampak sangat kecil. Lalu bayangkan kita sedang menikmati minuman di dalam salah sebuah rumah yang terdapat di bawah tu, kita akan sedar bagaimana kita ni sebenarnya kecil dan kerdil. Dunia ini lebih luas sebenarnya. Jadi kita sebagai manusia biasa tak perlu rasa megah, bangga dengan kekayaan atau kelebihan yang dimiliki kerana bila-bila masa sahaja nikmat yang kita ada akan ditarik oleh Pencipta.” Firqin bagaikan sedang berpuitis ketika itu. Aku bagaikan terkesima mendengarnya. Aku sempat membayangkan di dalam kotak khayalanku bagaimana aku berada di tempatnya ketika itu di dalam kokpit pesawat. Aku dapat rasakan perasaan yang sama seperti yang dikatakannya itu.

“Itu yang saya cakap pada Uncle Marcell yang tengah mabuk masa tu saya rasa, seorang guru gimnasium yang bersara. Tak lama selepas tu dia memecahkan kerusi yang didudukinya tu dan jatuh ke tanah.” Firqin ketawa selepas menceritakan kisah itu kepadaku.

Aku turut ketawa. “Mesti hidup awak menarik kan? Ada kerja bagus yang boleh terbang ke sana sini. Melawat banyak tempat dan kenal banyak orang.” Aku memberi pendapatku.

“Saya suka dengan kehidupan kerjaya saya sekarang. Tak akan merungut. Asyik cerita pasal saya aje. Sekarang giliran awak pula cerita tentang kehidupan awak.” Usulnya.

Aku membetul-betulkan rambutku. Aku tak tahu nak cerita apa padanya tentang kehidupanku. “Saya tak ada apa-apa yang menarik lah nak cerita. Hidup saya biasa-biasa aje.” Aku cuba mengelak untuk bercerita tentang latar belakangku.

“Mana boleh biasa-biasa aje. Mana ada orang yang tak ada cerita dalam hidupnya. Lebih-lebih awak Maya, dah cantik macam ni mesti ada banyak kisah cinta, kisah ada banyak peminat dan yang paling menarik saya nak tahu sangat kisah abang angkat awak yang siang tadi. Untung tak ada abang hensem macam tu? Mana-mana pergi gadis-gadis akan puji ‘hensemnya abang you’ atau ‘secocoknya pasangan tu’ bagi yang tak tahu hubungan korang. Macam saya siang tadi.” Aku memandang Encik Pilot yang sedang menyedut minumannya itu sambil dia mengangkat-angkat keningnya. ‘Wajahnya nampak sangat nakal, tapi aku suka pandang dia macam tu.’ Kataku di dalam hati.

“Firqin...” Panggilku.

“Kin. Panggil saya Kin. Barulah saya berada di awang-awangan.” Sempat dia bergurau lagi.

Aku ketawa. “Okay Kin, apa kata sesi ice breaking malam ni sesi untuk awak bercerita. Mungkin hari-hari yang lain giliran saya pulak.”

Lelaki itu tersenyum-senyum. Wajahnya nampak berseri-seri. “Ini alasan awak untuk jumpa saya lagi lepas ni kan. Anyway saya sudi nak dengar versi awak pulak nanti di sesi second date kita.”

“Cakap ajelah rindu nak jumpa aku lagi.” Aku mendengar omelannya itu walau pun perlahan.

“What?Awak cakap apa tadi?” Tanyaku.

Nothing! Saya nak bercerita lah ni. Tengah cuba ingat balik aje apa yang saya suka buat, makanan kegemaran dan sejak dari umur berapa saya mula jadi hensem macam ni.” Lelaki itu cuba mengelak dengan cuba membuatkan aku ketawa dengan kata-katanya.

Seriously...dia memang kelakar. Satu mata untuk dia dari aku. Aku suka lelaki kelakar yang boleh buat aku ketawa dengan hanya berkata-kata.’ Aku membuat penilaian di dalam hati.

“Emm...sukan boleh? Awak nak tahu saya suka sukan apa?”

Aku mengangguk. “Bola?” Aku meneka.

“Yup bola. Tapi saya tak sokong pasukan mana-mana. Tengok hanya suka-suka aje melainkan World Cup atau Euro Cup. Itu kena lah support Belanda hehe. Saya suka jugak F1. Tapi sendiri tak main apa-apa, kaki bangku.” Seronok dia bercerita.

“Suka tengok tapi kaki bangku pulak?” Aku turut ketawa mendengar ceritanya itu. Macam mana tu? Dia minat bola, tapi kaki bangku. Apa-apa ajelah, asalkan dia bahagia.

“Tempat favourite yang selalu awak pergi? Mesti dah merata tempat awak singgah kan.” Tanyaku lagi.

“Awak dah fallin love dengan saya ya? Sebab tu beriya tanya macam-macam pulak ni.” Encik Pilot tu mengusikku lagi.

Mukaku terasa membahang. Aku pasti wajahku ketika itu sedang merona merah. Malu sebab Encik Pilot tanya macam tu! Saja sakat aku kan.

“Awak ni memang perasan kan.” Aku cuba menutup malu dengan berkata begitu namun dia makin galak ketawakan aku.

“Zo schattig.” Dia kata sesuatu yang aku tidak faham. Okay balik nanti aku Google.

Awak kutuk saya ye?” Aku menduganya.

“Holland.” Katanya pula.

“Holland?” Aku ulangi perkataan itu. Blur sekejap apabila tiba-tiba negara itu disebut.

“Holland. Tempat yang saya paling suka. Love and hate relationship with this place.Cuaca tak selalu okay. Sejuknya kadang-kadang terlalu sejuk dan panasnya di musim summerkadang-kadang rasa berbahang. Tapi saya rasa seperti ada di rumah sendiri bila pergi ke sana. Di sana saya ada ramai kawan dan keluarga jadi sebab itu kot saya suka ke sana. Tiga bulan sekali ada kesempatan, dapat cuti panjang saya akan balik sana. Tapi Malaysia tetap best jugak, kat sini pun ada macam-macam yang buat saya rasa sayang. Sama aje macam Belanda. Dua-dua sayang.” Panjang Firqin bercerita.

Aku memandang wajahnya. ‘Dia tidak nampak seperti lelaki Pan Asian yang lain. Mungkin raut wajahnya lebih kepada iras orang Melayu. Hanya warna rambut, warna anak mata dan warna kulit sahaja yang menampakkan dia anak kacukan. Itu pendapatku. Tapi tak kisahlah. Kenapa pula aku nak sibuk-sibuk mereka pendapat tentang dirinya. Tak penting pun bagiku. Kataku kepada diri sendiri.’

“Kenapa awak pandang saya macam tu? Sebab saya hensem kan.” Selamba saja Encik Pilot tu memuji dirinya sendiri.

Aku mencebik. “Perasan betul. Saya panggil awak Encik Perasan lepas ni baru tahu.”

Dia ketawa. “Umur awak berapa Maya?”

“26. Kenapa?” Soalku.

Dia tersengih-sengih. “Bagus sangat dah tu. Beza umur kita empat tahun. Jadi daripada awak panggil saya Encik Perasan, baik awak panggil saya Encik Abang baru lah sesuai.”

“In your dream.” Balasku.

Firqin ketawa. “Awak panggil abang angkat awak tu ‘abang’ boleh pula? Dah lama awak jadi adik dia?”

Aku senyum sebelum memandangnya. “Lama dah lebih sebelas tahun. Kami membesar bersama.” Kataku.

Wajah Firqin nampak berubah. Bagaikan ada persoalan di dalam benaknya. “Membesar bersama selama lebih sebelas tahun? Mak ayah dia mana?” Soalnya pula.

Aku masih berkira-kira untuk berterus terang atau tidak kepadanya ketika itu. Tiba-tiba aku teringat akan kata-kata Farhin sebelum ini. Mungkin Firqin boleh menerima siapa diri aku yang sebenarnya.

“Saya sebenarnya anak angkat kepada keluarga Abang Bukhary.” Akuiku.

Firqin nampak terkejut. “Sorry Maya saya tak tahu.”

Aku menggeleng. “Tak apa.”

“So dari kecil awak memang tinggal dengan keluarganya? Boleh awak cerita pada saya?” Soal lelaki itu lagi.

Aku mengangguk tapi tidak terus menjawab soalannya itu. “Ceritanya panjang sangat. Saya cerita lain kali lah ya, dalam sesi ice breaking akan datang.”

Dia mengangguk. Namun dia tidak dapat sembunyikan riak rasa ingin tahunya. Jelas nampak di wajahnya. “Saya tunggu sesi kedua tu.”

“Firqin boleh saya tanya awak sesuatu?” Soalku. Soalan ini memang telah lama aku simpan untuk aku ajukan kepadanya.

“Boleh. Tanya lah apa-apa pun saya sudi jawab.”

“Kenapa awak suka saya?” Aku rasa itu soalan paling senang baginya untuk dijawab.

Dia memandangku. Aku tahu dia sedang berfikir ketika itu. “Kenapa awak tanya?”

“Mestilah saya nak tahu sebab awak sukakan saya.”

“Kalau saya jawab, awak janji yang awak akan layan saya seperti yang awak lakukan di Auckland dulu tu. Saya suka Maya yang tu, Maya yang duduk depan saya sekarang ni macam cover-cover lah.”

Aku ketawa. “Cover-cover ya. Mestilah saya kena cover-cover sebab saya tak kenal awak lagi. Saya kenalah berlakon pura-pura polos.” Dia ketawa dengan jawapan yang aku berikan.

“Janji?”

“Okay.”

Dia memandang wajahku. “Tadi tu lah jawapannya. Saya suka Maya yang di Auckland tu. Maya yang ceria, gila-gila dan buat apa saja yang dia nak buat. Dia boleh buat saya ketawa dengan kata-kata dan reaksinya. Saya banyak kali tahan ketawa bila dia buat lawak. Sebab masa tu kan saya berlakon jadi ‘lelaki serius’.” Dia ketawa sebelum menambah.

“Awak buat saya berfikir tentang awak selepas kejadian di pantai tu. Saya rasa bersalah kerana tertolak awak. Awak buat saya terus fikir dan fikirkan awak sepanjang malam bila awak tak terima kata maaf saya. Bila awak terus keluar dari kereta dan tidak menoleh memandang saya. Yang paling buat saya terasa yang saya sebenarnya telah menyakiti hati awak ialah ketika saya kejar awak pada keesokan pagi. Itu kali terakhir saya dapat jumpa awak. Bila saya fikirkan tentang itu, yang saya tiada kemungkinan untuk jumpa awak lagi, saya rasa tak keruan. Entah bila saya baru tersedar yang saya sebenarnya sudah jatuh hati pada awak Maya.” Suara romantisnya membuatkan aku terasa seperti berada di atas kayangan. Rasa bahagia bila mengetahui rupa-rupanya ada lelaki yang memujaku dalam diam.

Aku senyum. “Boleh ke jawapan macam tu?” Tanyanya. Lelaki itu turut senyum memandangku.

“Jawapan tu lain dari yang lain. Tak sama yang saya pernah dengar sebelum ini.” Kataku.

Wajahnya nampak berseri-seri. Puas hati kerana aku memuji keunikannya. “Jawapan yang pernah awak dengar sebelum ini apa? Saya nak tahu boleh.”

“Awak cantik. Saya jatuh cinta pandang pertama pada awak. Lebih kurang macam tu lah.”

“Oh...habis apa reaksi awak?” Tanyanya lagi.

“Saya rejected diorang”

“Sebab?” Firqin mendekatkan wajahnya. Nampak sangat berminat nak tahu.

“Sebab perkatan ‘pandang pertama’. Abang Bukhary kata kalau lelaki cakap macam tu, jatuh cinta pada pandangan pertama, itu bukan cinta tapi nafsu untuk memiliki. Mana ada lelaki yang jatuh cinta pada pandang pertama, sebab dia tak kenal pun isi hati perempuan tu lagi. Bila saya fikirkan betul juga apa yang abang saya cakapkan tu.” Jelasku.

Aku dengar Firqin melepaskan keluhan. “Fuh! Lega. Nasib baik saya tak bagi jawapan macam tu. Tapi jawapan abang awak tu saya setuju. Betul lah tu apa yang awak cakap tadi tu.”

Aku ketawa melihat reaksinya. “You’re full of sense of humor. I like it.”Pujiku.

“You like it? Oh how lucky I am.”Tiba-tiba dia nampak bersemangat. Nampak sangat gembira apabila aku memujinya.

Nice to know you, Kin. Selamat datang ke dalam hidup saya. Selamat berkenalan kawan baru. Sekarang saya declare awak sebagai kawan saya. Saya harap awak juga begitu, boleh terima saya sebagai kawan awak?” Kataku.

“Yes! Of course.” Firqin menggengam tangannnya. Lagaknya ketika itu bagaikan baru saja memenangi Piala Thomas bagi perlawanan akhir badminton.

“Saya ni biasa-biasa aje. Tak ada yang istimewa.” Kataku.

“Saya terima diri awak seadanya. Nobody perfect. Awak tak perlu ubah apa-apa. Hanya jadi diri sendiri. Saya juga tak sempurna mana. Badan dah makin berisi dengan perut makin ke depan, muka pun dah berapa nak hensem berbanding Abang Bukhary awak tu, kuat makan lagi. Tapi inilah diri saya.” Dia meyakinkan aku. Aku ketawa mendengar kata-katanya itu. Ada saja ideanya untuk membuatkan aku ketawa.

Aku akui aku semakin senang dengannya. Hati aku rasa senang mendengar kata-katanya. Aku selesa dengan personalitinya yang sentiasa merendah diri itu. Aku rasa teruja dengan perwatakannya yang sentiasa ceria, kelakar dan tidak lekang dengan senyuman itu. Aku akui yang aku sudah mula suka kepada lelaki ini. Perlahan-lahan tanpa aku sedari, Encik Pilot sudah berjaya melangkah masuk ke dalam hatiku. ‘Selamat datang Firqin’ Ucapku di dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.