Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,114
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
-Sedutan Bab 49 - Hero Filem

                                            “Aku tak nak, aku tak nak!” IZZAZ


“Nau mai Tamaki Makaurau!” Kataku kepada Izzaz yang nampak pucat ketika itu.

“Apa tu? Adakah maksudnya aku kena terjun ke bawah?” Izzaz menyoalku.

Aku ketawa memandang wajahnya yang nampak ketakutan. Aku tidak percaya yang sebenarnya Izzaz takut pada ketinggian! Tak percaya kerana takkan seorang juruterbang sepertinya yang biasa kerja tinggi di atas awan sana boleh takut pada ketinggian pula kan.

Kami berdua sebenarnya sedang berada di observation platform bangunan tertinggi di bandar Auckland iaitu Sky Tower yang berketinggian 328 meter di mana di atas sini kami boleh melihat pemandangan sekitar bandaraya Auckland sejauh 80 kilometer dari setiap sudut.

Dalam ketawa yang masih bersisa aku memandang Izzaz yang sedang memegang besi penghadang di sebelahnya. “Maksudnya selamat datang ke Auckland! Saya baca dalam flyer ni tadi. Maksudnya dah jelas bukan pasal terjun, tapi awak kena terjun jugak ke bawah tu. Sky Jump Iz!” Ujarku teruja sambil bertepuk tangan.

“Aku tak nak, aku tak nak!” Balas Izzaz yang langsung tidak berani pandang ke bawah itu.

“Tadi awak kata boleh bagi apa saja bukti yang menunjukkan awak sayang kan saya kan?” Aku berpura-pura merajuk padahal aku sendiri yang telah merangka rencana untuk mengenakannya yang selalu suka cakap besar dan berlagak tu. 

Aku menahan ketawa di dalam hati ketika mengingati kembali bagaimana Umi menceritakan kepadaku yang Izzaz takut kepada tiga benda di dalam hidupnya sejak kecil iaitu naik basikal, labah-labah dan ketinggian. Mana aku tak ketawa sebab tak sesuai langsung lelaki yang dah semakin berusia, badan sasa dan pergi gym setiap minggu boleh takut dengan benda-benda remeh macam tu. ‘Kalau buli aku bukan main suka kau ya, jadi sepanjang kita kat sini aku pulak yang akan buli kau balik.’ Aku ketawa gembira di dalam hati.

“Memang lah aku boleh bagi bukti tapi janganlah kau suruh aku bunuh diri dengan terjun 192 meter ke bawah. Gila Maya!” Izzaz mengesat peluh di dahinya.

“Awak pilot pun takut tempat tinggi ke? Menipu aje lah awak ni. Mana ada bunuh diri Iz, ada wires dipasang kat badan kita kan. Awak cuba lah. Tak tinggi pun, jump! Jump! Jump!” Aku menepuk tangan bersorak untuknya.

Izzaz menelan liur sebelum memberanikan diri untuk memandang ke bawah. Aku yang sejak tadi menunggu masa untuk membulinya terus merapati dan menolak badannya ke hadapan. Terjerit Izzaz di buatnya dan terus pinggangku dipeluknya.

“Aku tak nak buat Maya. Kau bagi ujian lagi boleh? Aku belanja kau makan makanan paling mahal kat sini ya?” Izzaz merayu.

Aku menggeleng. Ketika itu terdapat sekumpulan pelancong yang sedang bersedia untuk membuat Sky Jump menarik perhatianku. “Awak tengok perempuan tu pun berani nak terjun, takkan awak takut kot?” Aku mencabarnya.

Izzaz menggoyang-goyangnya tangannya ke arahku. “Dia tak ada hati dan perasaan sebab tu nak terjun ke bawah tu.”

Aku mencebik. “Interesting lelaki tu sebab berani mencuba. Awak tengok tu saya kagum tengok dia.” Kataku sambil memandang ke arah seorang lelaki asing yang nampak teruja untuk mencuba aksi Sky Jump. Bulat mataku memandang Izzaz apabila tiba-tiba sahaja dia mencubit lenganku.

“Auch sakitlah!” Aku terjerit.

“Siapa suruh kau tengok lelaki lain? Kau boleh tengok aku aje. Halal, tak dapat dosa pun kalau nak pandang banyak kali.” Izzaz mula tunjuk perangai kebudak-budakannya.

“Saya tengok sebab saya teruja nak tengok dia terjun ke bawah tu. Bukan saya tengok muka dia ke, badan dia ke.” Balasku.

“Kau menjawab, menjawab.” Izzaz buat muka marah.

------------------------------------------------------------------------------------------------

               "Saya mana ada melawan, tapi awak tu suka sangat buli saya." MAYA


“Sah! mesti dia dah turun tinggalkan aku. Merajuk lah tu agaknya. Takkan benda kecik macam ni dah merajuk? Singa tu aku perasan sejak baru kahwin ni makin menjadi-jadi perangai merajuknya. Dia sendiri kata nak bawak aku pergi honeymoon, bawak aku jalan-jalan tapi hampa. Kata cuma tinggal kata-kata dan dia balik tinggalkan aku macam tu aje!” Aku berkata sendirian. Rasa hampa dan marah bercampur aduk di dalam hati.

Bila saja aku berkira-kira untuk ke lif dan turun ke bawah, aku terdengar namaku di panggil dari arah belakang. Aku kenal benar dengan suara itu, siapa lagi kalau bukan Izzaz Rayqal a.k.a Mr. Lion King.

“Maya Ariana!” Panggilnya.

Aku membuat muka masam sebelum aku menoleh ke arahnya. Namun hanya sebentar kerana sejurus selepas itu aku bagaikan terkesima tatkala memandang lelaki yang nampak pelik di mataku. Pelik kerana di badannya sudah tersarung jumpsuit berwarna biru berbelang kuning!

“Apa macam hensem tak suami kau? Hahahaha.” Izzaz ketawa riang sambil dia menyelak rambutnya ke belakang.

Aku memandangnya dari atas hingga ke bawah bersama rasa tidak percaya yang Izzaz telah bersedia untuk terjun ke bawah, bersedia untuk mencuba Sky Jump!

Izzaz menudingkan jarinya ke arahku. “Kau ingat kau seorang aje yang berani macam labah-labah? Aku pun berani jugak lah dan aku takkan biarkan isteri kesayangan aku hampa ada suami yang takut pada ketinggian. Kau kena bangga dengan aku tau Maya hahahaha.” Izzaz gelak sambil bahuku dipeluknya.

“Ada labah-labah kat baju awak!” Sergahku yang membuatkan Izzaz terperanjat dan mengesat-gesat bajunya.

“Hahahahaha penakut labah-labah jugak awak ni.” Aku mengejeknya.

Izzaz mengetap bibirnya geram. “Aku lebih takut binatang tu dari terjun dari atas ni. Kau jangan sesekali sergah aku macam tu lagi Maya.” Pipiku terus dicubitnya.

“Sakit, sakit.” Aduku sambil aku memegang tangannya.

“Sakit? Kau minta maaf dulu baru aku lepas?” Izzaz bagaikan membuat perjanjian denganku.

Aku mengangguk-anguk sambil menahan sakit. Nak aje aku balas balik dengan mencubit pipinya tapi apakan daya tangannya lebih panjang dan lebih kuat dari tanganku. “Saya minta maaf.” Ucapku.

“Apa tak dengar pun? Kau cakap macam ni 'Saya minta maaf Abang' Ujar Izzaz dengan nada suara yang dilembutkannya.

“Tak nak!” Aku terus memegang kedua-dua belah pipinya dan aku picit geram.

“Arrrggggggh....” Serentak kami berdua menjerit kesakitan.

“Kau lepas dulu.” Izzaz memandangku tajam.

“Awak dulu.” Balasku geram dalam menahan sakit.

“Kita lepas sama-sama.” Ujar Izzaz pula.

“Okay, dalam kiraan tiga kita mengalah sama-sama.” Jawabku.

“Satu, dua, tiga!” Ujar kami serentak lalu sama-sama melepaskan tangan dari terus mencubit dan memegang pipi masing-masing.

“Sebijik macam labah-labah, bahaya jugak kau ni ya. Tangan kau tu macam ada gam! Lagi satu berdosa tau melawan suami.” Izzaz masih mengusap-usap pipinya.

Aku memandangnya “Saya mana ada melawan, tapi awak tu suka sangat buli saya. Lepas tu tadi awak tiba-tiba aje hilang, saya ingat awak dah tinggalkan saya sorang-sorang kat sini.” Kataku yang seakan merajuk.

Izzaz mendekatiku dan betul-betul berdiri di hadapanku. “Sakit ke pipi tu? Saya minta maaf. Bila masa pulak saya nak tinggalkan awak? Saya tak akan sesekali buat macam tu. Saya berani untuk terjun ke bawah dan jadi macam labah-labah ni sebab awak tau, Maya.”

Izzaz menggunakan kata ganti diri ‘saya’ denganku ketika itu. Ini bermakna dia sedang menganggapku sebagai seorang teman yang dihargai. Itu yang dikatakan kepadaku pagi tadi ketika kami bersarapan bersama-sama.

Aku senyum. Tidak mahu lagi merosakkan mood nya untuk mencuba Sky Jump kerana aku juga sebenarnya rasa teruja untuk melihat dia beraksi sebentar nanti.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

                                          “Ah! Armageddon. Bruce Willis.” MAYA


“Maya kau tak rasa ke yang aksi kita berdua ni macam dalam movie? Macam dalam cerita orang putih tu.” Izzaz mula mengarut.

“Hah? Apa kaitan kita sekarang ni dengan cerita orang putih?” Soalku bingung.

“Hahahahaha kau tengok jumpsuit aku ni, ada mengingatkan kau dengan mana-mana movie tak?” Izzaz menyoalku sambil dia membuat posing ala ala model di hadapanku.

Aku menggeleng kerana aku memang tidak ingat langsung pada mana-mana filem di mana heronya berpakaian seperti Izzaz. Sah lelaki ini memang banyak berangan!

“Kita main teka teki. Kau tengok aku ya.” Sempat lagi Izzaz nak buat hal dekat tempat orang ramai. Aduhai...

Sejurus selepas itu belum sempat aku berkata apa-apa, Izzaz dengan selamba terus menyanyi “I could stay awake just to hear you breathing, Watch you smile while you are sleeping, While you're far away and dreaming, I could spend my life in this sweet surrender, I could stay lost in this moment forever, Every moment spent with you is a moment I treasure.”

Beberapa orang pengunjung berhampiran bertepuk tangan sebaik saja Izzaz selesai menyanyi. Dengan wajah bangga, Izzaz tunduk sebagai tanda terima kasih kepada penonton ‘mini concert’ nya sebentar tadi. Personalitinya yang selamba dan easy-going itu sering kali mampu membuatkan aku tersenyum. Aku puji sikap Izzaz dalam bab-bab yang selalu menghiburkan hatiku.

“Ah! Armageddon. Bruce Willis.” Aku melayani kerenahnya yang nampak teruja.

“Yes! It’s me.” Izzaz ketawa bangga.

“Cuma yang beza dalam filem tu baju oren, aku pakai sekarang ni baju biru. Tapi feeling tu rasa sama.” Makin menjadi-jadi Izzaz berangan ketika itu.

“Baiklah, awak nampak sama dengan hero filem tu. Jadi bila nak terjun?” Soalku.

Izzaz mendekatiku lalu dia memegang tanganku. “Maya...ada kata-kata terakhir untuk aku sebelum aku pergi?” Izzaz tidak habis-habis lagi dengan gurauannya. Dia masih lagi dalam mood lakonan.

Aku tidak boleh menahan ketawa lagi ketika itu. Rasa kelakar melihat gelagatnya yang bagiku ketika itu seperti budak darjah satu. “Saya doakan awak pergi dan balik dengan selamat. Selamatkan negara kita kapten!” Aku tabik hormat kepadanya.

Izzaz mengangguk. Dia mula menapak berjalan ke arah deck di mana pelancong sebentar tadi melakukan sky jump. “Inilah jadinya bila banyak tengok cerita fiction. Masak aku dapat lelaki kuat berangan.” Aku berkata-kata sendiri sambil aku melambai-lambaikan tanganku ke arahnya.

“My last word before I jump is, I want to say I love my wife, MAYA!”Izzaz berteriak sebelum dia benar-benar terjun 192 meter ke bawah. Terbeliak mataku dibuatnya apabila aku melihat dengan mata kepalaku sendiri Izzaz terjun ke bawah. Aku melompat-lompat keriangan melihat keberaniannya yang berjaya mengatasi ketakutan pada ketinggian. Aku mula rasa seronok dengan percutian ini dan entah mengapa aku akui yang aku sangat rasa teruja untuk menghabiskan masa bersama-samanya sepanjang kami berada di Auckland.


------------------------------------------------------------------------------------------------

Beberapa minit kemudian...

“Maya aku macam tak rasa kaki aku pijak tanah ni. Lutut aku tak berhenti menggigil.” Izzaz mengadu sambil dia memeluk bahuku.

Aku ketawa melihat keletahnya kali ini. Rasa kelakar pula kerana tadi sebelum dia terjun bukan main teruja lagi, siap berlakon jadi watak utama filem Armaggedon. Tapi bila jejak saja ke tanah terus rebah tak rasa kaki. Walau pun begitu aku tetap puji keberaniannya membuktikan yang dia boleh melakukan apa-apa saja sebagai bukti sayang kepadaku kepadanya.

“Saya bangga dengan awak Iz. Awak berani.” Pujiku.

Izzaz berdehem-dehem beberapa kali. Riak bangga terbit kembali di wajahnya. “Aku boleh jalan sendiri dah ni. I love you!” Ujarnya sambil dia mencuri mencium pipiku!

Izzaz ketawa dan mengenyitkan matanya ke arahku. “Itu bukti abang sayangkan Maya.” Izzaz berjalan pergi untuk menukar pakaiannya.

‘I think you love him!’ Kata satu suara. Suara hati.

Who? Me? No.” Jawab mulutku.

‘But he is cute, nice and perfect isn’t he?’ Kata suara itu lagi.

“Err....” Mulutku diam tidak dapat memberi jawapan.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


“Iya lah, kau kan labah-labah kena lah tinggal dalam hutan, bukan dalam air. Tapi bila kau sendiri kata suka air, aku lagi suka hahahaha!” Izzaz mula membasahkan aku dengan menjirus air menggunakan tangannya ke arahku. Aku tidak sempat mengelak dan turut membalas perlakuaannya itu.

Selepas puas bermain air, kami mendapatkan sebuah basikal. Aku duduk di hadapan dan Izzaz juga telah menggambil tempatnya di belakangku. “Beratnya awak Iz!” Kataku sambil menggumpul kekuatan untuk terus mengayuh.

“Siapa suruh kau offer nak bawak awak tadi? Aku memang tak reti nak kayuh.” Balas Izzaz selamba.

“Senang aje kot kayuh basikal dari bawak kapal terbang kan?” Soalku pula.

Agak lama Izzaz diam sebelum dia menjawab. “ Aku tak nak sebab aku akan teringat pada Kaisara. Dulu aku selalu bawak adik aku jalan-jalan, tapi selepas Kaisara tak ada, aku dah tak pegang basikal lagi.”

Aku mengayuh basikal itu sehinggalah kami tiba di sebuah bangku berdekatan. Aku terus duduk atas bangku itu sambil termengah-mengah. Izzaz kemudiannya dengan selamba terus sahaja merebahkan kepalanya di atas ribaanku yang terus membuatkan aku tergamam.

“Penatnya. Nak rehat sekejap.” Izzaz berpura-pura termengah-mengah kepenatan.

Aku hanya biarkan. Itu pun kerana aku rasa kasihan terhadapnya apabila dia bercerita tentang Kaisara tadi. Jadi aku anggap saja yang aku sedang meminjamkan ribaku untuknya.

------------------------------------------------------------------------------------------------

                                               “Itulah namanya jodoh.” IZZAZ

Aku terkedu mendengar cerita Izzaz. Kenapa aku tidak mengecam yang dia juga pernah bersekolah di sekolah yang sama dengan aku dan Abang Bukhary? Tapi kalau tidak silap aku selepas kejadian itu aku tidak pernah ternampak lagi budak lelaki yang dibuli itu lagi iaitu Izzaz.

“Tapi lepas kejadian tu awak dah tak datang ke sekolah kan?” Soalku mahukan kepastian.

Izzaz mengangguk. “Aku pindah sekolah lain. Sejak tu aku tak akan benarkan siapa-siapa pun buli aku lagi dan juga kerana aku berharap untuk jumpa kau lagi lepas aku kurus tapi tak jadi sebab aku dengar kau bercinta dengan Taufiq dan belajar di luar negara. Jadi aku terus lupakan kau dan teruskan kehidupan sampailah aku nampak kau lari dari majlis pernikahan dengan Bukhary.” Jelas Izzaz lagi.

“Jadi awak kenal siapa Taufiq?” Tanyaku.

“Kenal. Memang masa sekolah aku benci dengan dia. Tapi bila masing-masing dah dewasa, perangai budak-budak tu dah hilang. Tapi aku rasa puas jugak sebab aku sekarang ni lebih baik dari dia. Aku lebih berjaya, lebih bijak, lebih kaya dan paling hensem hahahahaha.” Izzaz ketawa kuat.

Aku senyum meleret. “Jadi awak ni salah seorang peminat saya masa sekolah dulu lah ya? Yang pernah bagi bunga, coklat dan macam-macam lagi kan?”

Izzaz nampak malu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sebelum dia mengangguk laju. “Aku pernah bagi kau bunga. Tapi aku suruh kawan aku yang bagi kan sebab aku malu dan juga sebuku kertas lukisan yang tertulis di dalamnya kata-kata yang aku nak sampaikan pada kau.” Kata Izzaz yang membuatkan aku semakin tertarik untuk mendengar.

“Jadi kertas lukisan yang tertulis ‘Ada seorang budak pemalu nak luahkan perasaan pada Maya’ tu dari awak lah Iz? Tapi kenapa kertas tu ada pada Taufiq dan dia mengaku dia yang tulis luahan kata-kata tu?” Aku tertanya-tanya sendiri.

“Kau macam tak tahu Taufiq tu nakal macam mana kan?” Izzaz turut ketawa.

“Jadi kata-kata ala-ala romantik tu awak yang tulis lah kan? Taufiq rampas dan mengaku dia yang tulis? Saya lah yang tertipu rupa-rupanya. Taufiq, Taufiq.” Kataku.

“Kenapa awak tak mengaku depan saya, kertas lukisan tu awak yang punya?” Soalku.

“Emmm...mungkin sebab aku tak berkeyakinan, aku tak popular macam Taufiq dan juga aku takut kau akan tolak aku dan benci kat aku yang gemuk ni.” Jawab Izzaz.

Aku senyum. “Iz...Iz rupa-rupanya kita dah ada bonding sejak dulu lagi. Saya tak sangka yang kita sebenarnya memang pernah kenal.”

Izzaz membalas senyumanku, lalu wajahku direnungnya. “Itulah namanya jodoh.”

Aku diam. Tidak tahu untuk membalas apa. Lalu aku buang pandangan ke arah laut sambil di dalam fikiran terus memikirkan kata-kata terakhir Izzaz iaitu kami sebenarnya berjodoh sejak sekian lama. Entahlah, aku tidak ada jawapan untuk soalan itu buat masa ini.

Tiba-tiba aku tersedar akan sesuatu, patutlah Izzaz kata yang dia ikhlas untuk memperisterikan aku kerana dia pernah menyimpan perasaan kepadaku sejak dari dulu lagi rupa-rupanya. Izzaz Rayqal siapa awak yang sebenarnya?


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.