Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,079,100
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 25 - Jadi isteri aku

Aku cuba membuka pintu kereta untuk keluar namun lelaki di sebelahku lebih pantas menutup pintu itu balik. Dia juga dengan selamba menarik tali pinggang keledar dan memasangnya untukku.

“Saya nak keluar. Kalau Encik terus mengarut macam ni, macam mana nak selesaikan hal kereta. Saya dah banyak kali kata tadi yang saya mampu bayar. Yang Encik nak risau sangat takut saya tak mampu nak ganti rugi tu kenapa?” Marahku.

Dia mendengus. “Kita tengah selesaikan hal kereta lah ni. Kau ingat aku suka-suka nak bagi kau naik kereta aku lepas tu nak bawak kau jalan-jalan? Dalam mimpi boleh lah!”

Aku menjelingnya. “Dah tu Encik ingat saya suka Encik buat saya macam ni? Encik ni sakit jiwa ya, baru keluar dari hospital mental.” Balasku pedas.

Izzaz mengetap bibirnya. Aku memberanikan diri membalas renungannya. “Aku sakit jiwa dari hospital mental?” Dia menyoal sambil menuding ke arah dirinya sendiri.

Aku mengangguk. “Iyalah. Kalau tidak Encik tak mengarut macam ni. Nak suruh saya menyamar jadi adik Encik pula. Saya ni banyak urusan lagi yang perlu saya selesaikan segera. Saya tak boleh nak buang masa lama-lama dengan Encik. Macam ni lah Encik bagi nombor telefon pada saya, saya janji yang saya akan bayar jumlah kerosakan kereta ni nanti bila saya dah selesai hal penting saya tu.” Aku bernada memujuk. Berharap Encik Izzaz memahami situasiku.

“Kenapa pula aku perlu ikut arahan kau? Siapa yang salah dalam kemalangan ni sebenarnya?” Suara sinisnya semakin menjengkelkan aku.

“Aku dah bagi kau tawaran baik ni kan. Kau tak perlu untuk bayar ganti rugi kereta aku ni. Aku cuma minta kau menyamar jadi adik aku je. Senang aje kan, tak perlu keluar modal. Berbaloi apa.” Izzaz Si Lion King masih tidak berputus asa memaksaku menerima tawarannya.

“Berbaloi? Encik ganti rugi kerosakan kereta Encik ni pun paling kurang tiga ribu ringgit aje. Sedangkan tawaran yang Encik katakan tadi, apa menyamar jadi adik bagai tu besar tau. Saya tak nak terlibat dalam penipuan.”

“Aku tak suruh kau menipu lah!” Jerkahnya. Bingitnya telinga aku. Dia ni pekak ke apa nak kena cakap kuat-kuat?”

“Habis menyamar dengan menipu tu maksud perbuatan tu tetap tak elok bukan?” Bidasku.

“Menjawab? Kau memang suka menjawab kan. Penat lah cakap dengan kau ni. Buat aku hilang sabar.” Izzaz membuka tiga butang atas kemeja di tubuhnya.

“Jadi boleh ke Encik Izzaz saya selesaikan urusan saya dulu? Saya janji nanti saya akan contact Encik untuk bayar. Kejap! Kereta saya mana?” Soalku cemas. Aku memerlukan keretaku untuk berjumpa Norzie.

Namun Encik Izzaz buat tak tahu saja. “Hello!” Jeritku.

“Wei sakitlah telinga.”

“Kereta saya mana? Saya benar-benar perlu kereta saya sebab saya ada hal penting. Saya kena berkejar ke sana sekarang juga.” Pintaku. Mataku berkaca tatkala wajah Norzie dan anak-anaknya terbit di dalam kepalaku. Dan arwah Akmal juga.

“Aku tak akan bagi selagi kau tak setuju dengan tawaran aku.” Lelaki sombong itu membuang pandangan ke luar tingkap. Angkuh! Tidak ada sedikit pun rasa kasihan terhadapku walau pun aku telah merayu kepadanya.

Airmataku merembes keluar. Apalah nasib aku agaknya kebelakangan ini? Kenapa lelaki ini pula hadir dalam hidup aku untuk menyeksaku. Aku teresak-esak menangis. Tidak mampu menahan kesakitan yang ada di dalam hati lagi. Aku betul-betul melepaskan kesakitan yang sedang aku tanggung. Aku sudah tidak kira apa anggapan lelaki yang berada di sebelahku itu. Lelaki tiada hati nurani, angkuh dan sombong macam tu memang tak faham soal hati.

“Hei..hei kau ni dah kenapa? Err...err berhenti menangis. Aku akan ikut permintaan kau tu. Tapi takkan aku marah macam tadi kau nak nangis teruk macam ni? Dah lah tu, orang nampak nanti apa mereka sangka pulak. Aku ambik kesempatan kat kau pulak. Kau jangan, jadi kes karang.” Suaranya tidak sekeras tadi.

“Kereta kau kat bengkel. Aku suruh kawan aku tow. Kereta kau tak boleh hidup malam tadi. Apa yang penting sangat hal kau tu sampai menangis macam ni?” Serius soalannya.

Perlahan-lahan anak mataku memandang wajahnya. “Kawan saya bunuh diri semalam sebab dia tak dapat nak bayar hutang Along. Sekarang ni isteri dan anak-anaknya dalam kesusahan. Saya nak bantu mereka. Saya perlukan kereta saya untuk bantu Norzie uruskan pengkebumian suaminya dan juga cari duit untuk bayar lintah darat. Sekarang Encik boleh faham tak keadaan saya?” Aku mengesat airmata yang tidak mahu berhenti mengalir.

Wajah Encik Izzaz nampak terkejut ketika itu. Agak lama dia memandangku. Mulutnya bagaikan mahu mengatakan sesuatu, tetapi tidak terluah. Tidak lama kemudian, lelaki itu menghidupkan enjin keretanya dan mula memandu keluar dari hospital.

Baru saja aku ingin bertanya ke mana dia mahu membawaku, Encik Izzaz terlebih dahulu memberi jawapannya. “Alamat kawan kau tu kat mana? Aku hantar kau ke sana.”

“Mana?” Tanyanya lagi bila aku masih diam.

“Bukit Tinggi, Klang.” Jawabku.

Aku bagaikan tidak percaya yang Mr. Lion King + Sombong ni mahu menolong aku. Tapi muka dia memang memanjang serius ajelah. Walau pun begitu dalam hati aku berterima kasih kepadanya kerana sudi membantuku.

Aku hanya menjadi pemerhati setiap tindakan lelaki di sebelahku. Dia menelefon beberapa orang sejak dari dia memandu keluar tadi. Aku memasang telinga walau pun aku berpura-pura memandang ke arah luar.

“Helmi aku perlukan kau, Man dan Dean sekarang. Ada hal penting. Aku send alamat kejap lagi. Korang tunggu kat Klang.” Terus dimatikan talian setelah satu arahan diberikan.

“Err...Encik....” Panggilku teragak-agak.

“Emmm...”

“Terima kasih hantar saya ke sana. Agak-agak kereta saya siap bila ya?” Aku berlembut lidah kali ini. Tanda berterima kasih kerana lelaki itu sudi menghantarku ke rumah Norzie walau pun saki baki meluat masih ada di dalam hati terhadapnya.

“Entah. Mana lah aku tahu, aku bukan mekanik. Nanti dah siap aku call kau. Ni masukkan nombor telefon kau dalam ni.” Mr. Lion King menghulurkan iPhone 6S nya kepadaku.

“Tak apa ke saya pegang telefon...”

“Ish...pegang aje lah. Apa masalahnya.” Pintasnya.

Password apa?” Soalku.

Pantas direntap telefon bimbintya kembali. Setelah dia menekan sesuatu di atas skrin, telefon itu bertukar tangan kembali. Aku segera masukkan nombor telefonku beserta nama, lalu aku simpan di dalam log nama di dalam telefon bimbitnya. Aku kembali ke skrin, mataku terlihat sesuatu. Wallpaper telefon bimbitnya. Gambar lelaki itu dengan seorang wanita yang aku rasa mungkin ibunya. Lama aku renung wajah wanita itu. Terbit sesuatu di dalam kepalaku.

“Seiras kan? Wajah kau dengan wanita dalam tu.” Suara garau itu mematikan lamunanku. Memang benar. Itulah yang terbit di dalam mindaku sebentar tadi. Wajahku dengan wanita di dalam skrin telefon bimbit itu begitu seiras. Spontan bibirku mengukir senyuman. Agak-agaknya bila aku dah berusia nanti, macam ni mungkin rupa aku.

“Apa yang kau sengihkan tu? Kutuk gambar aku lah ya. Itu umi aku.”

“Umi Encik? Cantiknya.” Pujiku ikhlas. Memang betul pun. Walau pun usianya mungkin dalam lingkungan 50 an, namun dia masih nampak cantik dan elegan walau pun bertudung. Kulitnya cantik, tidak berkedut malah putih mulus. Senyumannya mencairkan hatiku.

“Memang cantik, malah orang yang paling baik dalam dunia ni. Kalau kau menyamar jadi adik aku, dapatlah kau jumpa dengan Umi.” Aku menoleh memandang Encik Izzaz. Ternyata permintaan gila itu belum hilang dari mindanya lagi. Aku jadi tertanya-tanya kenapa pula dia minta aku untuk menyamar jadi adiknya pula? Pelik juga aku dengan permintaan lelaki ini. Cari adik atau anak kepada ibunya? Entah. Malas aku nak fikir. Lantas telefon bimbit itu aku hulurkan kembali kepadanya.

“Kau betul ke nak jumpa dengan lintah darat? Ingat kau tu perempuan. Bahaya!” Ujar lelaki itu tetapi aku tak pasti itu nasihat ataupun sekadar untuk menakut-nakutkan aku saja.

Aku diam. Kerana aku sendiri tidak pasti adakah aku berani dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan lintah darat tersebut dengan tangan kosong. ‘Silap-silap nanti kau yang kena jual Maya.’ Suara dalam diri pula yang menakut-nakutkan aku. Aku menelan liur.

“Entah.” Ujarku ringkas.

Encik Izzaz menoleh memandangku. Wajahnya nampak terkejut sebelum dia tergelak sinis. “Entah? Kau ni biar betul? Kau ingat lintah darat tu apa. Kawan-kawan yang boleh diam bila kau bagi diorang gula-gula. This is not simple matter, this is serious ! Do you think they are good people? Do you?”Soalnya.

Aku menggeleng. Agak ambil berat juga lelaki ini walau pun kata-kata dan perlakuannya kasar. Ini mungkin caranya agaknya. Aku sekadar membuat andaian.

“Habis tu kau datang nak serah diri macam tu aje. Berapa hutang kawan kau yang kau nak langsaikan tu?”

Aku melepaskan keluhan. “Tiga puluh ribu. Err... sebenarnya lima puluh ribu tapi saya dah bagi dua puluh ribu pada Norzie, isteri arwah Akmal semalam. Kalau saya tak dapat cari baki hutang yang selebihnya hari ini juga, saya tak boleh jamin apa yang akan jadi pada Norzie dan anak-anaknya. Saya nekad saya akan jumpa lintah darat tu dan saya akan bayar hutang tu secara ansuran.” Ceritaku.

“Kau sanggup nak tanggung hutang tu?” Encik Izzaz pandang aku. Riak risau terpamer di wajahnya.

Aku mengangguk lagi.

“Maya Ariana...ini bukan soal main-main. Kau nekad ke nak gadai seluruh hidup kau untuk tanggung beban orang lain? Ini bukan hal mudah tau. Ini soal masa depan. Nak selama-lamanya kena kejar dengan lintah darat?” Lelaki itu terus-terusan provokasi terhadapku.

“Habis tu saya nak buat macam mana lagi. Dah macam-macam cara saya cuba usahakan tapi tak menjadi. Takkan saya nak biar kawan baik saya dan anak-anak dalam kesusahan. Malahan orang yang berjanji nak bantu saya pun tak muncul dan tunaikan janji.” Aku sebak ketika wajah Firqin terbayang di ruang mata. Aku mula rasa marah.

“Apa lagi cara yang awak ada sekarang ni?” Soalnya lagi.

“Entah, saya buntu.” Aku berterus terang. “Atau mungkin cara terakhir jadi isteri nombor dua Datuk. Saya mintalah hantaran tiga puluh ribu.” Tidak berperasaan aku menuturkannya.

“Kau serius ke? Kalau betul apa salahnya. Tapi buat apa cari yang tua? Cari lah yang muda, hensem, bujang. Macam aku...” Aku terperanjat dengan cadangan Mr. Lion King.

“Dengan Encik?”

“Dengan aku lah. Jadi isteri aku lepas tu aku bagi kau tiga puluh ribu tunai!”

Aku telan liur. Dia ni biar betul?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.