Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,129
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 18 - 100% markah buat dia

Aku menceritakan masalah hidup Norzie kepada Firqin. Aku rasa tidak selesa pula jika tidak menerangkan kepadanya tentang apa yang sedang berlaku kepada Norzie sedangkan lelaki itu begitu baik hati  membantu menghantarku ke rumah Norzie.

“Suami dia berhutang dengan Along. Akmal tu kaki judi dan selalu mabuk. Sekarang ni anak-anak dan isteri pula yang jadi mangsa disebabkan dia tidak boleh bayar hutang balik.” Terangku. Emosi sedih tidak mampu aku sembunyikan.

“Awak cuba bertenang ya Maya. Saya janji saya akan tolong apa yang saya mampu.” Firqin berjanji kepadaku. Aku kalau boleh tidak mahu melibatkannya di dalam masalah hidupku mahupun orang yang berkaitan denganku.

Tiba-tiba hatiku rasa hiba apabila bayangan wajah Norzie yang sedang menangis muncul di hadapan mataku. Aku sedih apabila mengenangkan nasib kawanku yang menderita seperti itu. Aku kenal Norzie dan Akmal sejak dari rumah anak-anak yatim lagi. Aku masih ingat kami bertiga berkawan baik sejak dari hari pertama aku dihantar ke sana pada usia lima tahun. Kami membesar bersama,bermain, ketawa mahu pun berduka segalanya kami kongsi bersama sehinggalah aku di ambil menjadi anak angkat. Akmal sering mempertahankan aku apabila ada penghuni lain di sana cuba membuliku. Norzie yang tiga tahun lebih tua dariku sudah aku anggap seperti kakak kandungku sendiri. Seorang kakak yang sudi melayaniku seperti adik sendiri yang menyuapkan aku makanan, yang memelukku ketika aku menangis apabila merindui arwah mama dan juga ketika aku sering diejek di sekolah kerana tiada mak dan ayah.

Aku masih ingat kejadian seminggu sebelum aku meninggalkan rumah anak yatim Harapan Kasih, sewaktu kami bertiga pulang dari sekolah. Aku yang ketika itu tergesa-gesa untuk mendapatkan Akmal dan Norzie yang berada di seberang jalan, terus meluru ke arah jalan raya. Aku tidak sedar sebuah kereta sedang menghampiri. Aku sempat memandang ke arah kereta itu sebelum aku merasakan tubuhku ditolak kuat dan badanku terhempas ke atas jalan raya.

Aku cuba bangun. Aku menoleh untuk melihat apa yang telah berlaku. Aku menjerit ketika melihat Akmal yang berlumuran darah terbaring kaku di hadapanku. Aku berasa sangat takut ketika itu. Sepanjang malam aku menunggu di hospital dan tidak mahu balik ke asrama walau dipujuk Mama Ana sekali pun.

Apabila doktor mengesahkan yang mereka terpaksa memotong kaki kiri Akmal yang hancur akibat kemalangan itu, aku meraung dan merayu pada doktor itu agar tidak menjalankan pembedahan itu pada Akmal. Akhirnya demi menyelamatkan nyawa Akmal, pembedahan terpaksa juga dijalankan.

Aku melutut di hadapan Akmal merayu agar dia memaafkan aku. Kerana kecuaian aku Akmal terpaksa menderita buat seumur hidup. Dia jadi cacat kerana aku. Agak lama Akmal tidak mahu bercakap denganku sehinggalah pada hari terakhir aku di sana. Aku masih ingat aku nampak Akmal meninjau dari bilik asramanya ketika aku diiringi penghuni lain ke kereta Abah. Akmal marah padaku dan tidak boleh memaafkankan aku. Itu anggapanku apabila Akmal bertindak menjauhkan diri dariku. 

Aku buat keputusan untuk terus menghubungi Norzie walau pun aku telah keluar dari sana sehinggalah kami dewasa. Ketika aku berumur enam belas tahun kami bertiga bertemu kembali. Itulah kali pertama Akmal berbual denganku sejak sekian lamanya. Katanya dia telah memaafkan aku dan boleh menerima kejadian yang berlaku kepadanya adalah takdir yang ALLAH sudah ditetapkan buat dirinya.

Sejak itulah aku sedar yang aku sebenarnya  telah terhutang nyawa pada Akmal. Kerana Akmal begitu berani dan sanggup menaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan aku. Ketika itu aku berjanji pada diri sendiri yang aku akan ingat jasa mulianya itu sampai ke akhir hayatku. Aku berjanji yang aku membantunya semampu yang aku boleh. Sejak aku tamat pengajian dan mula bekerja hampir setiap bulan aku akan memberikan sedikit wang kepada Akmal dan Norzie. Aku faham mereka berdua bukannya dapat hidup senang seperti aku. Mereka berdua membesar bersama hingga dewasa di rumah anak-anak yatim itu sehinggalah Norzie sudi menjadi isteri kepada Akmal.

Pada mulanya Akmal bekerja seperti lelaki biasa. Masalah mula melanda keluarga mereka apabila Akmal semakin hari semakin tidak sihat. Dia menghidapi penyakit yang berkait rapat dengan tulang belakang akibat dari kemalangan  itu. Akibat kesempitan hidup Norzie mula bekerja untuk membantu menyara suami dan anak-anak, namun masih tidak mencukupi. Norzie tidak menceritakan kisah dia mula bekerja, suaminya yang sakit dan terpaksa berhutang dengan lintah darat kepadaku. Agak lama dia cuba mengelak dariku. Malahan panggilanku tidak dijawab. Aku mula tidak merasa sedap hati dengan situasi tersebut lalu aku tergerak untuk ke rumahnya dan menemuinya.

Ketika sampai di rumahnya pintu hadapan tidak berkunci. Aku melangkah masuk dan apabila mataku terlihat keadaan rumah yang berselerak dan anak-anaknya yang terbiar, aku terkedu. Aku menangis kerana aku tidak menyangka sebegini rupanya kehidupan mereka sekeluarga. . Keadaan yang sungguh menyayat hatiku. Anak-anaknya terbiar menangis tiada siapa yang mengawasi. Keadaan rumah yang bersepah tidak terurus. Aku mendukung Dania yang hanya berseluar sedang menangis mungkin  kelaparan itu. Adib yang baru berusia setahun itu terbaring di atas tilam usang di lantai. Aku tercari-cari kelibat Norzie dan Akmal di dalam rumah itu, namun tiada.

Aku menunggu di sana sehinggalah Norzie pulang. Wajahnya jelas terkejut melihat aku berada di dalam rumahnya. Aku minta penjelasan dari Norzie tentang mengapa dia membiarkan anak-anaknya menangis kelaparan, tiada siapa yang menjaga mereka berdua yang masih kecil itu. Ketika itulah Norzie menceritkan tentang masalah yang sedang dihadapinya. Akmal yang tidak bekerja mula berhutang, berjudi dan minum arak. Mengabaikan isteri dan anak-anak. Aku sebak mendengar luahan rasa hati Norzie tentang kesukaran hidup yang terpaksa diharunginya.

“Maya...maya...” Aku tersedar apabila Firqin memanggil namaku.

Aku memandangnya yang sedang menghulurkan sehelai tisu kepadaku. Aku tidak sedar entah bila airmataku sudah mengalir.

“Sorry....” Ucapku.

Firqin menggeleng. “Tak mengapa. Are you okay?”Soalnya yang kelihatan risau.

Aku menggangguk.

“Rasanya kita dah sampai. Ini rumah flat yang kawan awak duduk kan?”

Aku meninjau ke luar tingkap. Aku kembali memandang Firqin, lalu mengangguk. Aku membuka pintu kereta dan terus menuju ke blok rumah pangsa tersebut. Aku dan Firqin masuk ke dalam pertu lif lalu aku menekan butang 13.

Ketika kami semakin menghampiri rumah Norzie, telingaku tertangkap bunyi tangisan Dania. Aku terus meluru ke arah pintu rumahnya. Aku terkejut melihat Dania yang sedang meraung kesakitan sambil memegang telinganya. Aku terus menghampiri Norzie yang ketika itu nampak ketakutan.

“Ya Allah....darah.” Aku terkejut melihat darah yang mengalir dari telinga Dania. Aku segera bangun mencari kain lalu aku letakkan di telinganya.

“Apa yang dah berlaku Jie?” Soalku kepada Norzie yang sedang teresak-esak menangis.

Firqin menghampiriku. “Kita ke hospital Maya.” Ujarnya lalu terus mendukung tubuh Dania. Aku segera menyuruh Norzie mengambil dokumen pengenalan Dania dan bersiap untuk ke ikut kami bersama. Aku mendukung Adib yang tertidur di atas kusyen dan kami segera mengekori Firqin.

“Nanti kau cerita pada aku apa yang dah terjadi. Jangan risau Jie, aku kan ada kat sini bantu kau.” Aku memegang tangannya cuba menyuntik kekuatan. Norzie mengangguk.

Aku dan Firqin tunggu di luar bilik rawatan. Norzie ada di dalam bersama Dania. Aku memandang Adib yang lena di atas pangkuanku. Aku mengusap-usap kepalanya. Kasihan melihat nasib si kecil itu. Mujur dia tidak diapa-apakan seperti yang terjadi pada Dania. Aku tiba-tiba rasa marah kepada lintah darat yang tidak berperikemanusiaan yang sampai hati menghiris telinga Dania. Sanggupnya mereka lakukan seperti itu kepada anak kecil yang tidak bersalah. Apa rasa mereka bila melihat anak mereka pula diperlakukan seperti itu. Kejam!

“Awak okay Maya?” Firqin duduk di sebelahku. Aku mengangguk. Jari-jemarinya bermain-main memegang tangan kecil Adib. Aku memandang baju putihnya yang terkena tompokan darah.

“Thanks Firqin kerana sudi tolong kawan saya dan anak-anak ni.” Ucapku.

Dia menggaris senyuman. “It’s okay. Saya ikhlas bantu. Kesian saya tengok kawan awak dan anak-anak dia ni. Saya harap tak ada apa-apa yang buruk berlaku pada Dania.”

Aku mengangguk setuju. Tiba-tiba dia melepaskan sebuah keluhan. “Sanggup diorang cederakan budak kecil yang tak tahu apa-apa. Tak berhati perut langsung.” Dia menggeleng kesal.

“Berapa banyak kawan awak berhutang?” Teragak-agak Firqin menyoalku.

Aku juga berkira-kira untuk menjawab pertanyaannya itu. “Err...lebih kurang lima puluh ribu macam tu. Norzie pernah cerita pada saya mulanya Akmal tak pinjam banyak macam tu tapi Along tu kenakan bunga tinggi.”

“Bila tak dapat langsaikan hutang, anak-anak pulak yang jadi mangsa.” Firqin merenung wajah Adib. Ada nada kesal dalam suaranya.

“Saya nekad nak bantu Norzie kali ni. Saya akan tolong dia mana yang mampu walau pun lima pulu ribu tu satu jumlah yang banyak. Insya Allah saya akan cuba cari jalan.” Kataku.

Aku tidak sanggup lagi melihat penderitaan Norzie dan anak-anaknya. Aku mahu bantu mereka keluar  dari kehidupan yang penuh menakutkan ini dengan membina hidup baru di tempat lain. Yang itu aku akan fikirkan nanti kerana yang paling penting yang perlu aku fikirkan kali ini adalah di mana harus aku cari wang sebanyak itu untuk melangsaikan hutang Akmal.

“Saya akan bantu awak Maya. Kita sama-sama tolong Norzie. Saya akan bagi duit saya untuk langsaikan hutang mereka.” Tawaran Firqin itu benar-benar mengejutkanku. Agak lama aku memandangnya.

“Firqin awak tak perlu...”

“Saya ikhlas. Saya nak bantu Norzie, kawan awak dan anak-anak ni. Awak ada duit sebanyak tu?” Dia memintas percakapanku.

Aku menggeleng. Memang aku tidak ada wang sebanyak itu. Walau pun keluarga angkatku mempunyai wang yang banyak aku tidak pernah sesekali meminta wang dari Abah mahu pun Abang Bukhary. Aku rasa segan untuk berbuat begitu semenjak kejadian aku lari dari majlis pernikahan itu.

“Kalau macam tu biar saya bantu. Saya benar-benar ikhlas” Tambahnya.  Firqin mengambil Adib yang baru terjaga dari pangkuanku. Dicium pipi si kecil tu berkali-kali. Nampak ikhlas di mataku.

Aku senyum kepadanya. “Terima kasih.” Ujarku.

Aku memandang wajah lelaki itu. Aku dapat rasakan ada aura cinta mula mekar di dalam hatiku. Aku semakin akui yang lelaki di sebelahku ini sudah mendapat tempat yang istimewa di dalam hatiku. Aku mengalihkan pandangan ke arah lain bila Firqin mula menyedari yang aku sedang merenungnya. Aku tahu yang dia perasan aku sedang merenungnya.

Aku segera bangun apabila ternampak Norzie keluar dari bilik rawatan. Aku berjalan mendapatkannya. “Dania macam mana Jie?”

“Doktor kata dia tak ada apa-apa. Cuma telinganya luka sikit. Dah boleh balik dah kata doktor.” Terang Norzie.

Aku memandang wajah sugul Dania yang hanya berusia tiga tahun itu lena di dalam dukungan Norzie.

“Tangan kau macam mana?” Aku memandang tangannya yang berbalut. Norzie turut luka ketika bergelut menghalang lintah darat itu terus mengapa-apakan Dania. Itu yang Norzie kata padaku semasa kami di dalam kereta tadi.

Firqin meminta aku untuk mengambil Adib dari dukungannya lalu dia meminta izin dari Norzie untuk mendukung Dania untuk ke kereta.

“Terima kasih Maya dan...”

“Firqin.” Dia memperkenalkan dirinya.

“Terima kasih sebab tolong saya. Susahkan Encik aje.”

“Tak mengapa. Saya ikhlas bantu. Jom lah saya hantar balik.”

Ketika dalam perjalanan pulang, aku memberitahu Norzie bahawa aku akan menyelesaikan hutang suaminya itu. Firqin juga mahu membantu.  Norzie berkeras menghalang kami dari membantunya. Katanya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa terutamanya aku.

“Kalau kau tak nak kami bantu kau, sekurang-kurangnya kau anggaplah yang kami bantu Dania dengan Adib. Sampai bila budak-budak ni nak hidup dalam keadaan macam ni Jie. Macam-macam boleh berlaku selagi Akmal tak langsaikan hutang tu. Anak-anak kau yang bakal jadi mangsa nanti. Kali ni mereka baru ugut, kemudian hari nanti siapa tahu mereka akan bertindak lebih ganas lagi.” Aku menyakinkan Norzie agar menerima tawaran kami.

“Jumlah tu terlalu banyak Maya. Aku malu selama ni kau dah banyak tolong aku. Aku rasa macam aku tak berguna Maya.” Norzie mula beremosi.

“Aku dah anggap kau macam kakak aku sendiri. Aku akan tolong selagi aku mampu. Tentang duit tu kau tak perlu risau, aku akan usahakan.” Aku memandang Firqin yang sedang memandu di sebelah.

Firqin mengangguk. “Betul tu. Saya akan bantu Puan. Jangan risau. Yang penting sekarang Puan kena jaga anak-anak dengan baik.” Lembut nada suaranya memujuk Norzie.

‘Aku mula suka pada lelaki ini’. Itu kata hatiku bila mataku memandang wajahnya. Aku sudah dapat rasakan yang Firqin adalah lelaki yang aku tunggu-tunggu selama ini. Kini hatiku sudah bulat membuat keputusan yang aku sudi memberi peluang kepada dirinya untuk mengenaliku dan bersedia membuka pintu hatiku untuk dirinya melangkah masuk. Aku melemparkan sebuah senyuman yang paling indah buatnya. Dia membalasnya semanis-manisnya.

Akmal ada di rumah ketika kami sampai. Dia terbaring di atas sofa dalam keadaan mabuk. Aku menerpa ke arahnya.

“Akmal! Akmal! Bangun.” Tinggi nada suaraku memanggilnya.

Akmal tidak endah. Aku mencapai sebiji bantal kecil lalu aku pukul dadanya. “Bangun Akmal.”

Akmal menepis bantal yang aku pukul di dadanya. “Tepilah, aku nak tidur. Sibuk aje!” Tengkingnya.

Aku yang mula hilang sabar terus ke dapur dan kembali bersama sebekas air lalu aku siram ke mukanya. Menggelupur Akmal bangun kerana terkejut. Dia mencapai tongkatnya dan cuba menghampiriku namun Firqin menarik tanganku untuk ke belakangnya.

Akmal yang sedang terhuyung-hayang itu memandang Firqin. “Kau siapa? Siapa suruh kau masuk dalam rumah aku? Kau keluar!”

Aku menerpa ke arah Akmal dan menarik bajunya. “Akmal kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Kau nampak tak apa yang jadi pada isteri dan anak kau tu? Akmal sedarlah! Berhenti berjudi. Berhenti minum. Kenapa dengan kau ni Akmal? Tak berubah-ubah. Kau nak anak-anak kau diapa-apakan baru kau nak sedar ke?” Aku sudah hilang sabar dengannya.

Firqin nampak terkejut dengan tindakanku. Dia cuba menenangkanku. Norzie pula semakin menjadi-menjadi esakannya. Aku terkejut apabila Akmal menolak kuat tubuhku. Namun Firqin sempat menyambutku.

Akmal memandang Dania. Dia mendekati anaknya itu. Aku nampak matanya berair ketika melihat keadaan Dania. Perlahan-lahan dia meletakkan tongkatnya dan cuba duduk di sebelah Dania yang sedang lena. Diusap-usapnya rambut anaknya.

Aku terdengar esakannya. Aku mula rasa kasihan pada dirinya. Aku sedar yang dia tidak berdaya untuk menyara keluarganya dengan keadaan dirinya yang tidak sempurna.

“Akmal...aku akan cuba tolong kau.” Aku seakan memujuk.

Akmal menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kau tak perlu masuk campur dalam masalah aku lagi Maya.”

“Aku ikhlas Akmal. Aku dah anggap kau macam abang aku. Kau selalu tolong aku sejak kita di rumah Harapan Kasih lagi. Aku tak akan lupakan budi kau pada aku sampai akhir hayat aku Akmal.” Tambahku.

“Cukup Maya!” Akmal meninggikan suaranya. Terkial-kial dia cuba bangun. Dia menghalang ketika Firqin cuba membantunya.

“Aku ni nampak hina sangat ke di mata kau Maya? Kau nampak aku ni sangat kasihan kan? Dah lah Maya. Cukup-cukup lah tu bantu aku. Aku malu nak terima bantuan kau.” Akmal menyeka airmatanya.

Aku juga tidak dapat menahan emosiku. Perlahan-lahan mengalir juga airmataku. “Kan aku pernah janji aku akan bantu kau sampai bila-bila. Kau dan Norzie kawan aku. Kita kawan baik sejak kecil. Aku tak kisah untuk bantu korang berdua. Aku cuma berharap kau berubah Akmal. Tinggalkan benda-benda tak elok ni.”

“Aku cacat...aku tak berguna. Sebagai lelaki aku tak mampu nak lindungi isteri dan anak-anak aku Maya. Aku tak berguna Maya. Aku gunakan kebaikan kau untuk terus hidup. Tiap-tiap bulan kau bagi kami anak-beranak duit. Mana aku nak letak muka aku ni Maya?” Semakin menjadi esakannya.

Aku menutup mulutku. Aku turut merasakan kesedihan yang dirasakan Akmal. Dia cacat kerana aku! Kerana mahu selamatkan nyawaku. Akmal jadi begitu atas kelalaianku. Aku menyalahkan diri sendiri.

“Maafkan aku Akmal. Sebab nak selamatkan aku, kau jadi macam ni. Kau benarkanlah aku untuk bantu kau sebagai balas budi dari aku.” Pintaku. Firqin yang disebelah hanya menjadi pemerhati dan pendengar.

“Kau nak tolong aku sampai aku mati ke Maya?” Soal Akmal. Matanya masih berkaca.

Aku mengangguk. “Sampai bila-bila. Kau cakap saja apa kau dan Norzie perlukan aku janji akan usahakan.” Aku mengesat airmataku.

“Sekarang ni baru aku sedar, sepatutnya aku tak perlu pertaruhkan nyawa aku untuk selamatkan kau Maya. Hidup aku musnah sejak aku tak ada kaki. Orang pandang hina pada aku. Sebab aku cacat! Tak berdaya. Aku tak mampu bekerja dan cari rezeki untuk isteri dan anak-anak macam lelaki lain. Kau ingat aku nak hidup macam ni? Aku nak jadi macam lelaki lain Maya. Aku menyesal kerana selamatkan kau, aku menderita seumur hidup.” 

Aku tidak dapat menahan sebak. Aku semakin teresak-esak menangis di hadapan Akmal. “Aku minta maaf Akmal. Kau tolong jangan cakap macam tu.”

“Aku sakit Maya. Aku menahan sakit tulang belakang yang tak tertanggung rasa peritnya sejak kemalangan tu. Aku terpaksa minum untuk hilangkan rasa sakit yang aku tanggung ni. Kalau diberi pilihan aku pilih mati Maya.”

“Akmal! Cukup....tolong jangan cakap pasal mati.” Aku menggeleng. Aku tidak suka mendengar kata-katanya itu. Firqin yang sejak tadi jadi pemerhati cuba menenangkan aku. Dia memegang bahuku bila aku rasa bagaikan akan rebah bila-bila masa saja.

“Aku dah jadi macam parasit pada kau. Dah bertahun kau bantu kami Maya. Kalau kau terus buat macam ni, aku makin rasa menyesal kerana selamatkan kau. Kau buatkan aku jadi lelaki yang tak guna yang tak boleh berdikari untuk keluarga sendiri.”

Aku mendekatinya. “Aku ikhlas nak tolong kau Akmal. Aku akan langsaikan hutang kau. Kau anggaplah aku buat ini untuk Dania dan Adib. Kau nak ke tengok anak-anak kau disakiti lagi Akmal? Terima lah bantuan aku Akmal.”

“Saya pun rasa Encik patut fikir demi anak-anak. Saya tak berniat nak masuk campur tapi saya rasakan apa yang Maya kata tadi tu betul. Kasihan anak-anak Encik jadi mangsa. Kita sama-sama cuba selesaikan masalah ini.” Firqin cuba meyakinkan Akmal.

Aku mendekati Norzie. “Selepas semua ni selesai aku akan bantu kau dan Norzie pindah dari sini. Aku nak kau dan anak-anak mulakan hidup di tempat baru. Kau boleh tinggal di rumah yang aku beli kat Melaka. Aku harap kau terima bantuan aku ni Akmal. Tentang penyakit kau tu jangan risau, aku akan bawa kau ke hospital kita sama-sama tolong pulihkan sakit kau tu.”

Akmal tidak berkata apa-apa. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Aku tidak dapat membaca apa yang berada di dalam kotak fikirannya. Mungkin dia malu untuk menerima bantuan dari aku atau pun ada perkara lain yang difikirkannya. Aku harap Akmal tidak membuat tindakan yang salah sebagai jalan penyelesaian masalahnya. Aku tidak mahu keadaan bertambah menjadi lebih parah.

“Kau dan Norzie adalah kawan dunia akhirat aku. Kau kena ingat tu Akmal. Kau pernah cakap macam ni pada aku tujuh belas tahun lepas. Kita pernah berjanji untuk jadi kawan baik sampai bila-bila. Aku masih ingat kau letak kertas perjanjian kita tu dalam botol dan kita tanam perjanjian kita tu bawah pokok ceri kat tepi asrama. Sampai kita kena marah kena tuduh makan buah ceri sebab masa tu bulan puasa.” Ujarku. Aku tergelak apabila kenangan lama kembali melatari di ruang minda.

Akmal dan Norzie turut tersenyum apabila mereka juga teringat akan kenangan yang sama. Mataku bertembung dengan Firqin. Wajahnya tidak nampak seperti sebelum ini. Pasti dia terkejut kerana dalam masa satu hari banyak rahsiaku sudah diketahuinya. Aku harap dia boleh menerima siapa sebenarnya diri dan kehidupanku yang sebenar. Senyuman dilemparkan untukku lalu aku membalas bersama satu perasaan indah yang lahir dari hati hanya untuk dirinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.