Azam memberhentikan
keretanya berhampiran sebuah banglo yang agak besar. Aku yang mengekorinya dari
belakang turut berbuat begitu. Ketika kami sampai kebetulan kumpulan rombongan
sampai bersama-sama dulang-dulang hantaran di tangan masing-masing. Aku sudah
rasakan apa yang dikatakan Azam tadi bukan lagi satu gurauan. Aku mematikan enjin
kereta dan perlahan-lahan melangkah keluar. Debar di dalam hatiku bukan main
hebat ketika itu. Aku berharap Firqin bukanlah lelaki yang bakal bernikah
dengan Amera. Aku masih tidak boleh percaya selagi aku tidak melihat sendiri
Firqin di hadapan mataku.
Sesaat selepas hatiku
berkata begitu, aku ternampak kelibat Firqin di celah-celah rombongan tersebut.
Aku cuba menghampiri tetapi dihalang Farhin. Dia memelukku erat. Firqin
memusingkan badannya dan bersedia untuk masuk ke dalam banglo itu. Aku nampak
dengan jelas dirinya yang lengkap berbaju melayu putih dan bersongkok. Aku cuba
memanggil namanya tapi suaraku bagaikan tersekat. Aku cuba melepaskan diri dari
Farhin dan mahu mendekatinya.
Aku cuba menahan
tangis tapi aku tak mampu untuk mengawalnya. Aku tidak sedar aku sudah
teresak-esak menangis sambil cuba untuk melepaskan diri dari pelukan Farhin.
“Lepaskan aku Ein.
Aku nak jumpa dia.” Rayuku.
“Maya kau tak boleh
buat macam ni. Kau nampak tu ramai saudara-mara dia. Jangan malukan diri
sendiri Maya.” Pujuknya lembut.
“Dia tipu aku Ein.”
Rintihku namun mataku masih ke arahnya berharap dia menoleh memandangku.
“Abang Kin!” Laung
Azam tiba-tiba.
Firqin berhenti
melangkah dan menoleh ke arah kami. Mata kami bertembung. Wajahnya nampak pucat
apabila terkesan kehadiranku di sana. Agak lama dia memandangku dan kami
berbalas pandangan. Aku nampak matanya seakan berkaca dan mulutnya seakan mahu
meluah sesuatu. Tetapi kakinya masih tetap terpaku di sana!
Dia langsung tidak
berganjak untuk mendekatiku. Tiba-tiba dia dihampiri oleh seorang wanita dan
aku nampak wanita itu menarik lengannya untuk masuk ke dalm rumah itu. Beberapa orang
saudara-maranya mungkin telah terkesan akan kehadiranku dan memandang pelik ke
arah kami. Aku nampak Firqin berbual sesuatu dengan wanita yang mungkin ibunya
itu dan mengangguk beberapa kali.
“Jangan pergi awak.
Saya sayangkan awak. Saya perlukan awak. Tolong jangan buat saya macam ni.”
Ujarku berbisik perlahan.
Sekali lagi Firqin
menoleh ke arahku. Merenungku beberapa saat sebelum dia melangkah masuk ke
dalam pintu pagar banglo itu. Aku cuba untuk mengejar dan mendapatkannya dan memintanya memberi penjelasan tentang apa yang sedang berlaku, namun
Farhin dan Azam menghalangku.
“Awak...awak...” Aku
memanggilnya perlahan. Betapa sakitnya hatiku ketika itu yang tidak tergambar
peritnya. Hatiku hancur, punah dan berkecai. Baru saja aku ingin meluah rasa
cinta terhadapnya dia melangkah pergi dengan mengambil keputusan sebegini.
Meninggalkan aku yang baru mula belajar mencintainya dan memilih Amera yang
pernah menyakitinya.
Aku menangis
teresak-esak di dalam pelukan Farhin. Aku tidak tahu mengapa aku boleh jadi selemah
ini. Aku bagaikan hilang semangat tatkala Firqin masuk saja ke dalam pintu pagar
rumah itu tadi.
“Sakitnya Ein....tolong
aku. Azam tolong I panggil Firqin kat dalam tu.” Rayuku kepada mereka berdua.
“Maya...Kin dah buat
keputusan macam ni. Ini pilihan dia. Kau perlu banyak bersabar, Kuat Maya! Jangan lemah macam ni. Tapi apa pun dia tak patut dia buat kau macam ni.”
Farhin cuba menenangkan aku.
“Apa salah aku pada
dia Ein? Aku ingat dia ikhlas berkawan dengan aku. Dia yang datang dalam hidup
aku dan terus terang dengan aku yang dia sukakan aku. Tapi kenapa dia buat macam
ni hari ni? Selama ni dia cuma mempermainkan aku aje Ein!” Rasa marah mula
menjalar di dalam hatiku.
Aku masih tidak boleh
menerima lagi kenyataan yang Firqin sanggup mempermainkan aku sebegini kejam. Kemana perginya
kata-kata cinta dan rindu yang diungkapkan kepadaku? Kalau begini pilihannya
iaitu memilih wanita lain di dalam hidupnya,
kenapa sejak dari awal dia perlu mendekatiku dan membuatkan aku mula
menaruh harapan terhadap dirinya! Mengapa dia perlu membuatkan aku sayang
kepadanya dan kini dengan mudah dia pergi begitu saja?
“Maya jangan jump into conclusion. Mungkin Abang Kin
tak ada niat nak mainkan you.” Azam cuba mengubah persepsiku.
Tiba-tiba aku
teringat pada Norzie. Aku tidak boleh berlengah-lengah di sini sementara
kawan-kawanku mungkin sedang menanti aku dengan harapan. Aku tidak boleh
menghampakan mereka walau pun Firqin telah memungkiri janjinya. Aku akan
berusaha mencari jalan untuk mendapatkan wang yang selebihnya itu.
Perlahan-lahan aku
meleraikan pelukan Farhin. Aku mengesat airmataku. Sekilas aku memandang ke
arah banglo itu sebelum menuju ke arah kereta.
“Aku ke rumah Norzie
dulu.” Ujarku kepada Farhin.
“Maya jangan buat
benda bukan-bukan. Jumpa nanti kat rumah. Banyak sabar Maya.” Farhin sempat
memberi pesanan kepadaku namun sedikit pun tidak masuk ke dalam kepalaku.
Sepanjang memandu ke rumah
Norzie aku masih lagi menangis. Aku tidak boleh menerima kenyataan yang Firqin
telah menjadi milik orang lain. “Kenapa aku tak boleh berhenti menangis ni? Kau
kuat Maya. Jangan lemah!.” Aku memotivasikan diri namun tetap gagal.
Akhirnya aku memberhentikan
kereta di bahu jalan dan melepaskan kesakitan di dalam jiwa yang aku tidak mampu tahan lagi. Aku menangis semahunya. Kenapa di saat aku mula rasakan cinta, ini
akibat yang terpaksa aku tanggung? Apa salahku sehingga Firqin melayaniku
sebegini? Adakah dia hanya berpura-pura baik denganku selama ini kerana mahu
membalas dendam terhadapku kerana pernah mempermainkannya ketika di Auckland
dulu? Atau ini balasan untukku kerana pernah menyakiti Abang Bukhary dan
Taufiq?
“Lelaki tu buat macam
ni pada aku sebab dia dah rancang. Dia berdendam sebenarnya dan selama ni dia
hanya berpura-pura baik saja dengan aku. Malah dia besungguh-sungguh berjanji
untuk membantu kawan-kawanku tapi ternyata itu semua bohong belaka! Aku benci
dia! Benci! benci!” Aku melepaskan geram terhadap stereng kereta.
Apa salahku? Dan
kalau benar aku bersalah pun, besar sangatkah kesalahan yang telah aku lakukan
itu sehingga dia sampai hati buat aku begini. Mempermainkan perasaan aku dengan
ungkapan cinta dan rindu. Aku benar-benar kecewa. Kini aku benar-benar tawar
hati untuk membuka hati kepada mana-mana lelaki lagi kerana mereka semua sama
saja di mataku. Hanya tahu menyakiti!
Aku cuba tidak
memikirkan apa yang telah Firqin lakukan
kepadaku . Apa lebih penting yang harus
aku fikirkan ketika itu ialah bagaimana untuk aku mencari jalan membantu Akmal.
Wang yang ada padaku masih tidak mencukupi untuk menjelaskan kesemua hutangnya.
Aku semakin buntu memikirkan di mana harus aku dapatkan wang sebanyak tiga
puluh ribu ringgit pada hari ini juga. Tidak mungkin untuk aku kembali berjumpa
dengan Firqin dan menuntut janji darinya sedangkan panggilan telefonku pun
tidak dijawabnya. Pasti dia sedang berbahagia dengan Amera. Semakin sakit
hatiku apabila bayangan dirinya dan Amera bermesra tiba-tiba terbit di mindaku.
Aku membayangkan perkara-perkara yang hanya menyakiti hatiku sendiri.
“Stop it Maya!” Aku memarahi diri
sendiri.
Aku cuba fokus
memikirkan cara bagaimana untuk aku dapatkan wang yang selebihnya lagi. Abang
Bukhary! Aku segera mendail nombor telefon bimbitnya namun hanya peti suara
yang menjawab. Oh ya! Minggu ni Abang Bukhary dan yang lain-lain ke Melbourne
kerana Abang Bukhary akan bernikah di
sana yang mungkin berlangsung pada minggu ini. Aku jadi serba salah untuk
meminta bantuan darinya kerana aku mungkin menganggu hari bahagianya pula. Tapi
ini soal hidup dan mati kawanku. Akhirnya satu pesanan Whatapps aku hantarkan kepada Abang Bukhary. Kataku kepadanya, aku
memerlukan bantuan darinya dan ianya penting. Aku minta Abang Bukhary supaya
menghubungiku segera. Aku juga minta maaf kerana aku mungkin menganggu hari bahagianya di sana.
Aku menunggu
seketika. Satu pesanan masuk ke dalam telefon bimbitku. Aku segera membuka
pesanan tersebut. Dari Abang Bukhary! Aku jadi bersemangat kerana Abang Bukhary
pasti akan membantu aku kali ini. Hanya pada dia tempat aku berharap kali ini.
Namun pesanan itu
tidak seperti yang aku harapkan. Hatiku
luluh tatkala membaca pesanan yang dikirim Abang Bukhary itu. ‘Kau memang sengaja nak hancurkan keluarga
aku kan. Kau tahu hari ni Bukh berkahwin, tapi kau masih nak kacau dia!
Perempuan tak tahu malu, jangan sesekali masuk campur dan dekat lagi dengan
anak aku. Jangan berani ganggu kebahagiaan dia, kalau tidak kau kena hadap
dengan aku. Ingat tu!’ Ini yang dikirim dari nama Abang Bukhary tetapi yang
jelas aku tahu mama yang menulis pesanan tersebut.
Aku rasa terluka
membaca pesanan itu. Mengapa hari ini ramai yang menyakiti aku? Apakah
kesalahan yang pernah aku lakukan sehingga seperti ini layanan mereka terhadapku.
Aku sedar diriku ini siapa. Hanya seorang yang sebatang kara yang menumpang
kasih orang lain. Tidak punyai keluarga. Yang ada hanya kawan-kawan tempat aku
mengadu yang telah aku anggap seperti keluarga kandung. Tentang Mama dan Abah aku akui aku pernah
melakukan kesalahan terhadap mereka dan aku terima andai balasan yang telah dan
bakal aku terima akibat dari perbuatanku terhadap orang tua angkatku. Tetapi
bukan dari Firqin! Lelaki itu tidak layak menghukumku.
Sampai saja di
perkarangan tempat kereta kawasan rumah Norzie, setelah mematikan enjin aku
terus mengangkat keluar bagasi dari tempat duduk belakang untuk ke rumah Norzie. Mereka telah menunggu aku
dan Firqin terlalu lama. Aku menoleh ke arah jam di tangan. Sudah empat petang
rupanya. Maknanya kawan-kawanku telah menanti kami sudah terlalu lama. Aku
berdoa moga tiada perkara buruk berlaku kepada mereka sekeluarga dan lintah
darat tersebut boleh bersabar seketika.
Bila saja aku melalui
laluan pejalan kaki di bawah bangunan rumah Norzie untuk ke lif di tengah
bangunan itu, aku terdengar ada kekecohan berlaku di kawasan berhampiran taman
permainan kanak-kanak yang terletak di bahagian kananku. Aku lihat ramai orang
berkerumun di sana. Malahan ada beberapa orang anggota polis turut berada di sana.
Ada apa agaknya sampai kecoh-kecoh begini. Soalku sendiri. Aku menahan seorang
remaja lelaki yang kebetulan melintasiku dan aku tergerak untuk bertanya.
“Adik tumpang tanya,
ada apa ya kecoh-kecoh kat sana tu?” Tanyaku.
“Ada orang bunuh diri
kak. Terjun dari tingkat 13. Dia tu OKU tak ada kaki. Baru je jadi tadi.” Jawab
remaja itu.
Tingkat 13? Tak ada kaki? Tubuhku tiba-tiba
terasa menggigil. Betulkah apa yang aku dengar? Aku harap-harap orang yang
terjun dari bangunan ini yang dimaksudkan budak itu bukan Akmal.
“Lelaki ke perempuan
dik?” tergagap-gagap aku bertanya. Aku mahu penjelasan lanjut. Aku mengharapkan
jawapan yang berbeza dari andaianku.
“Lelaki. Abang Akmal
nama dia. Tu isteri dia ada kat sana.” Aku bagaikan terkena kejutan elektrik
apabila nama kawanku disebut.
Aku melangkah
perlahan menghampiri kawasan itu. Aku menyelit di celah-celah orang ramai di
sana untuk melihat dengan mataku sendiri. Aku pasti apa yang dikatakan budak
itu tidak benar langsung. Tidak mungkin Akmal akan bertindak sebegitu. Bagasi
di tanganku terlepas tatkala aku terpandang sekujur tubuh kaku terbaring di
tanah. Darah merah tidak berhenti mengalir dari kepalanya. Aku masih dapat
melihat walau pun jasad itu sudah ditutup dengan plastik hitam.
Mindaku terasa
kosong. Aku rasakan yang bumi bagaikan bergoyang ketika itu. Mataku mula kabur.
Aku menggosok-gosok mataku beberapa kali dan tubuh itu tetap kaku di sana. Aku
mengalih pandangan ke arah suara seorang wanita yang sedang meraung menangis di
hadapan. Norzie.
Aku menerkup mulutku.
Airmataku mula mengalir laju. Aku melutut di sebelah jasad kaku itu. Aku
memberanikan diri untuk lebih dekat tetapi dihalang oleh anggota polis dan
beberapa orang ramai. Aku meraung memanggil nama Akmal.
“Akmal bangun! Akmal
aku datang nak tolong kau ni. Akmal
bangun dan pandang aku!”
“Cik tolong beri
kerjasama. Saya minta Cik jangan sentuh mangsa. Kita akan bawa mangsa ke
hospital untuk bedah siasat.” Ujar salah seorang dari petugas.
“Tak perlu bedah
siasat Encik. Saya minta bawa kawan saya ke hospital untuk rawatan. Saya rayu
Encik bantu kawan saya, selamatkan dia. Saya yakin dia masih hidup.” Aku merayu kepada salah seorang petugas itu.
Aku percaya yang Akmal masih boleh diselamatkan.
“Mangsa telah
meninggal dunia. Saya sudah pastikan Cik. Saya mohon keluarga dan kenalan
mangsa bersabar. Beri ruang kepada kami untuk membawa mangsa.”
“Ya Allah....Ya
Allah....tabahkan aku. Kuatkan aku.” Aku memohon kekuatan.
Aku mendekati Norzie
dan cuba memeluknya. Aku terkejut apabila Norzie menolak tubuhku menjauhinya.
“Kau mungkir janji Maya! Kau tipu kami. Aku dan Akmal tunggu kau dan Firqin
tapi kau berdua tak datang pun. Sebab kau Akmal mati Maya...”Norzie memarahiku. Dia bagaikan sudah hilang akal.
Semakin kuat esakanku
apabila dituduh menjadi penyebab kematian Akmal. “Aku tak sengaja Jie. Aku
ingat janji aku nak tolong kau dan Akmal. Aku lambat tapi aku datang juga dan bawa apa
yang aku janjikan. Tapi aku lewat Jie....aku terlewat. Maafkan aku. Maafkan aku
Jie.” Aku memegang tangannya. Itu saja yang aku ingat sebelum pandanganku
kabur, semuanya nampak berpusing dan akhirnya segalanya menjadi gelap.