Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,120
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 34 - Why you keep appear?

Izzaz menghalangku untuk masuk ke dalam kereta. Dia menutup semula pintu kereta yang baru aku buka. “Kau nak ke mana? Aku belum habis cakap lagi.” Dia memintasku.

“Saya nak balik. Awak tolong ke tepi boleh?” Pintaku.

Izzaz masih berdiri di situ tidak berganjak sedikit pun. “Aku tak nak. Kau kena jelaskan dulu pasal hal tadi tu. Pertama sebab kau tipu aku bila kau kata kau tak ada teman lelaki. Dan yang kedua aku nak kau minta maaf sekarang sebab berani tampar aku. Kalau tak selagi tu aku tak akan lepaskan kau balik. Ingat Maya, kau tu perempuan dan sekarang kau ada kat rumah aku.”

Aku berundur setapak ke belakang. “Apa maksud awak? Awak nak buat apa pada saya?”

Izzaz tersenyum sinis. Dia sekadar mengangkat bahu.

“Izzaz awak jangan berperangai macam budak-budak boleh tak? Saya nak balik lah. Lagi pun dah Maghrib dah ni. Tepilah.” Aku bercakap elok-elok namun lelaki itu tetap tidak mahu berganjak. Degil!

“Tepilah!” Tengkingku. Tapi Izzaz hanya buat selamba.

Aku menjelingnya.“Saya tak ada teman lelaki lah. Lelaki yang awak bercakap dalam telefon tadi tu bukan sesiapa bagi saya. Kami tak pernah mengakui yang kami berdua ada hubungan. Awak faham tak sekarang?”

Dia mencebik sambil mempamerkan reaksi tidak percaya di wajahnya. “Itu aje ke? Yang kedua tu?”

“Yang tu memang salah awak sebab awak melampau kali ni.” Balasku berani.

“Jadi kau tak nak mintak maaf lah ni?” Soalnya.

Aku menggeleng. “Tak nak.”

“Okay kalau macam tu kau tak payah mintak maaf. Aku ganti dengan benda lain. Aku akan bagi kau balik rumah lepas aku tampar kau macam kau buat kat aku tadi. Boleh?” Cabarnya.

Bulat mataku memandangnya. Nak tampar aku? Aku rasa tapak tangannya lebih besar dari wajahku. Kalau kena lempang ni mahu merah satu muka agaknya. Tapi bila aku mengenangkan maruah dan ego yang harus aku pertahankan dan juga kerana aku tak akan minta maaf padanya, aku tadahkan wajahku di depannya.

“Tampar lah!” Cabarku pula. Aku suakan wajahku tetapi kedua belah mata aku pejam rapat. Aku takut sebenarnya tapi hanya buat-buat berani. Aku kira satu, dua,tiga...hinggalah sepuluh saat di dalam hati tapi pipiku masih tidak terasa perit pun.

Perlahan-lahan aku buka mataku. Aku terpana tatkala melihat Izzaz sedang leka merenungku. Terbit sebuah senyuman di bibirnya. “Takkan lah aku nak tampar wajah yang secantik ni. Tak sampai hati rasanya.”

Aku telan liur. Tiba-tiba rasa takut dengan reaksinya yang ala-ala romantik tu. Segera aku menjauhkan wajahku darinya. Aku pandang arah lain bagi mengelak bertembung mata dengan lelaki yang tiba-tiba saja berkelakuan aneh tu.

“Pelik lah perangai awak ni. Kejap baik, kejap garang. Saya sebenarnya dah keliru, mana satu personaliti awak yang sebenarnya.” Ujarku.

“Aku yang depan mata kau ni lah. Ini lah personaliti aku. Aku akan garang bila kau melawan atau tipu aku. Tapi aku akan berganda-ganda baik kalau kau dengar cakap aku, tak melawan dan selalu senyum.”

Aku mencebik. “Awak memang suka mengarut kan. Saya lari karang baru awak tahu. Terus tak jadi rancangan awak tu.”

Izzaz ketawa sinis. “Kau berani buat ke? Tak berani kan, itu aku pasti. Kau berani cakap aje.”

“Awak pasti ke? Awak betul-betul dah kenal saya ke sampai awak yakin yang saya tak akan lari?” Soalku berani.

Izzaz senyum lagi.” Apa susah kalau kau lari aku pasti akan cari kau walau di ceruk dunia sekali pun. Lagipun aku pilot, tak susah untuk aku cari kau.” Bangga dan berkeyakinan lelaki itu menjawab.

“Dah memang tak ada kerja lain ya selain pilot? Banyak lagi kerja di luar sana.” Ujarku. Sebenarnya aku geram apabila teringatkan lelaki yang lagi satu itu, tapi aku luahkan di depan Izzaz pula.

“Apa salahnya? Kau ingat semua orang boleh jadi pilot ke, yang mampu terbangkan kapal terbang yang canggih tu. Kau boleh? Tak boleh kan. Kau patut bangga dapat kenal aku tau. Kami pilot ni popular di kalangan awek-awek tau, bak kata kawan aku sekali petik sepuluh beratur. Itu tak kena penangan kami pakai uniform, kesannya boleh membuatkan gadis di luar sana menoleh berkali-kali tau.” Bebelannya membuatkan aku terasa loya.

“Nasiblah saya tak ada dalam barisan yang beratur tu.” Ujarku selamba.

“Kau perli aku ya?”

“Mana ada. Saya tak kata apa pun. Ya, saya akui korang pilot ni nampak hensem bila pakai uniform. Puas hati ke Iz? Jadi boleh benarkan saya balik ke? Atau nak saya tidur tepi kereta ni ke?” Balasku.

Izzaz senyum bangga. “Kau tahu pun. Sekarang ni silakan masuk ke dalam kereta.” Dia membuka pintu tempat duduk pemandu untukku.

Aku masuk ke dalam kereta dan segera menghidupkan enjin kereta. Izzaz masih memegang pintu keretaku. “Tepilah, saya nak tutup pintu.”

Agak lama Izzaz diam sambil matanya tidak lepas memandangku.

“Ada apa? Saya salah apa pula kali ni?” Aku sudah dapat membaca fikirannya. Kalau Izzaz dah pandang aku lain macam ni, adalah hal yang dia tidak puas hati.

“Kalau kau bukan jadi adik aku, aku dah buat kau jadi isteri. Kau sempurna di mata sesiapa pun yang memandang.” Ujarnya.

Nada suaranya tidak seperti selalu. Aku pula yang tergamam. Terus ditutup pintu kereta untukku. Aku mendongak memandang wajahnya bersama perasaan tidak percaya dengan apa yang baru aku dengar sebentar tadi. Izzaz dengan selamba mengenyitkan matanya dan memberiku sebuah senyuman.

Terasa berdiri tegak bulu romaku memandangnya. “Gila ke apa mamat ni? Buang tabiat ke lepas aku lempang dia tadi. Takkanlah urat kepala dia tercabut sebab aku tampar kuat sangat tadi sampai tiba-tiba berubah jadi romantik pulak? Tak faham aku.” Aku membebel sambil memandu keluar dari perkarangan ‘istana’ Mr. Lion King.

Tiga puluh minit kemudian,

Aku sampai di rumah. Selepas mematikan enjin kereta aku segera keluar. Mahu terus mandi untuk segarkan diri dan tidur. Aku terasa sangat penat hari ni. Penat menyiapkan tugasan di studio malah aku akui sebenarnya aku lebih penat melayan kerenah Izzaz yang tak masuk akal langsung perangainya. Buat sakit hati bila memikirkannya. Tiba-tiba persoalan tentang kaitan Izzaz dan Firqin kembali bermain di dalam fikiranku.

“Betul ke Izzaz memang tak kenal dengan siapa dia bercakap tadi? Atau ini rancangan mereka berdua, ataupun rancangan Firqin supaya aku dapat kembali padanya. Mungkin jugak.” Bebelku sendiri ketika mengeluarkan barang-barangku dari tempat duduk belakang.

“Tapi tak logik jugak kalau aku nak kata ini rancangan mereka. Izazz nampak blur aje tadi bila aku tanya pasal Firqin. Tapi kebetulan ini memang macam dalam mimpi. Macam mana pulak aku boleh kenal dengan sepupu Firqin padahal lelaki itu lah yang selalu aku elak-elakan.” Aku memarahi diri sendiri.

“Buat apa awak cakap sorang-sorang. Kalau nak cakap pasal saya, saya ada di sini. Awak boleh bercakap dengan saya.” Suara seorang lelaki yang datang dari arah belakang membuatkan aku terus menoleh. Muhammad Firqin berdiri di hadapanku!

Aku tidak dapat mengenal pasti perasaan aku ketika itu. Marah, rindu atau kasihan meliat keadaan dirinya yang nampak tidak terurus. Benar kata Farhin tadi yang Firqin nampak berserabut dan tidak terurus.

Aku segera sedar dari terus dibuai perasaan. Aku kembali mengangkat barang-barangku untuk masuk ke dalam rumah.

“Maya Ariana. Please...kita berbincang. Sekejap pun jadilah.” Firqin seakan-akan merayu kepadaku.

Aku kembali memandang wajahnya. Mata redupnya membuatkan hatiku terasa tidak kuat untuk terus membencinya. Aku benci dengan perasaan begini, kenapa di hadapannya aku akan cepat mengalah? Aku sendiri tidak faham dengan hati sendiri yang bagaikan automatik akan berdegup kencang tidak seirama bila Firqin berada dekat denganku.

“Awak dah berapa lama tunggu kat sini?” Soalku kasar.

Firqin senyum. “Tak lama pun. Sejak tengah hari tadi aje. Saya cuti hari ni sebab tu saya bercadang nak jumpa dengan awak. Walau pun awak tak sudi nak pandang saya.” Ayat terakhirnya itu kedengaran sayu ditelingaku.

Aku diterjah rasa kasihan terhadapnya. Tiba-tiba aku menyoal diri sendiri adakah aku terlalu kasar dan keras hati terhadapnya? Dan adakah kesalahan yang di lakukannya terlalu besar dan sukar untuk aku maafkan. Perlukah aku beri peluang kepadanya untuk memberikan penjelasan?

“Boleh kita ke tempat lain sekejap. Saya nak bincang sesuatu dengan awak. Lagipun saya belum makan dari siang tadi.” Lelaki itu tersenyum lagi.

Aku mengangguk. “Jom lah. Saya pun belum makan lagi.”Kataku lalu aku letakkan semula barang-barangku di dalam kereta.

Aku perasan ketika itu senyuman Firqin semakin melebar. Dia nampak teruja “Jom!” Segera dibukakan pintu keretanya untukku.

Sepanjang perjalanan ke tempat makan, kami berdua lebih banyak berdiam di dalam kereta. Hanya sesekali saja dia menoleh memandangku.

“Awak sihat Maya? Saya dengar awak sibuk siapkan projek dengan Golden Summit.” Ujarnya.

Aku terkejut. Pantas menoleh ke arahnya. “Macam mana awak boleh tahu pulak yang saya tengah sibuk urusakn projek tu?” Soalku. Seingat aku, aku tidak pernah bercerita tentang urusan kerjaku kepada rakan-rakan luar yang bukan sepejabat denganku.

“Saya minta maaf lah kalau buatkan awak terkejut. Sebenarnya saya ada ke pejabat awak tadi, tapi awak dah balik awal. Saya terserempak dengan bos awak, Aaron dia yang beritahu saya pasal projek tu.”

“Sejak bila awak jadi spy saya pulak ni? Saya tak suka tau Firqin bila ada orang cuba kawal atau mengongkong saya.” Tegas aku menyatakannya.

“Awak jangan cakap macam tu. Bila masa pula saya kawal atau kongkong hidup awak ni? Saya ambil tahu tentang kehidupan seharian awak, tentang apa awak buat sebab saya ambil berat pada awak Maya. Awak jangan lah sangka yang bukan-bukan pula ya.” Lembut Firqin bercakap denganku.

Aku membuang pandangan ke luar tingkap. Tidak mahu bertembung mata dengannya atau membiarkan dia dapat memandang wajahku. “Awak sihat tak ni?” Lelaki tu masih tidak berputus asa.

“Ish...sihat lah. Kalau tak sihat takkanlah saya boleh keluar dengan awak. Saja aje nak buat kita marah lah dia ni!”

Firqin ketawa. Berkerut dahiku memandangnya. Pelik dengan reaksinya itu. “Kenapa awak ketawa? Lawak ke apa saya cakap kan tadi tu?” Soalku.

Dia senyum lagi. “Awak nampak comel bila marah-marah macam tu. Tak adalah sekurang-kurangnya saya dah tahu sekarang ni macam mana rupanya bila awak tengah marah. Dengan dahi yang berkerut, mata sepet, hidung kembang dan yang paling cute muncung mulut awak yang dah macam muncung itik tu.”

“Awak ni puji ke kutuk saya sebenarnya ni?” Aku menjelingnya.

“Tu tengok tu jeling-jeling macam tu, mana tak comelnya.” Firqin ketawa.

“Ada aje modal awak nak pujuk saya kan. Tapi jangn haraplah bukan semudah tu saya akan maafkan awak.” Ujarku. Hilang senyuman di bibirnya.

“Err...kita dah nak sampai ni. Kita makan kat cafe depan pejabat awak ya.” Firqin memandang wajahku.

Aku perasan pandangan matanya itu yang membawa mesej yang cafe itu merupakan tempat istimewa buat kami berdua. Kerana di sanalah bermulanya perkenalan kami secara rasmi setelah apa yang berlaku di Auckland iaitu aku menyamar jadi teman wanitanya.

Firqin bijak bermain dengan perasaaanku. Dia sengaja membawaku ke tempat ini supaya aku akan terkenangkan kembali memori yang kami cipta di tempat ini. Aku akui itu apabila satu-persatu kenangan kembali berputar di dalam mindaku. Kenakalannya, kata-katanya dan reaksinya yang sentiasa membuatkan aku rasa selesa bermain-main di ruangan mataku. Aku akui yang Firqin juga seorang lelaki yang bersifat tenang, lembut dan bijak mengambil hati seperti Abang Bukhary. Aku tahu dia seorang lelaki yang baik tetapi tidakannya itu yang membuatkan aku selalu kecewa.

Setelah masing-masing membuat pesanan, kami lebih kepada melayan perasaan masing-masing. Aku terpandang pada sebuah kereta yang berhenti di luar cafe yang terus mengingatkan aku pada saat-saat Firqin menarikku dari terkena percikan air ketika aku cuba melintas jalan pada awal-awal perkenalan kami dulu. Jujur aku akui dari hati yang sebenarnya saat itu aku sudah mula jatuh hati padanya.

“Boleh saya tanya sesuatu?” Soalnya. Aku mengangguk.

“Siapa lelaki yang angkat telefon awak tadi? Dia ke lelaki yang awak kata bakal suami awak tu?” Firqin mengetap bibirnya.

Aku nak beri jawapan apa? Menipu atau berterus terang saja?

“Dia bukan bakal suami saya. Dia hanyalah seorang lelaki yang beri saya pinjam duit tiga puluh ribu ringgit.” Jawabku.

“Betul ke ni? Dia bukan bakal suami awak?” Firqin tiba-tiba teruja.

Aku pandang wajahnya. “Awak jangan nak suka sangat lah.”

“Tak adalah, sekurang-kurangnya saya dah boleh tidur nyenyak malam ni tak macam malam-malam yang sebelum ni saya asyik fikirkan yang awak bakal berkahwin dengan orang lain.”

“Kenapa awak perlu fikirkan saya lagi sedangkan di antara kita bukan ada-apa ikatan pun.” Luahku berani.

“Saya perlu fikirkan awak Maya. Bukan, saya tak boleh berhenti fikirkan awak sebenarnya. Saya sendiri tak boleh tolong diri saya untuk tidak terfikiran awak, jauh sekali untuk saya melupakan awak Maya. Saya akui saya rindu pada awak.” Suaranya kembali membuatkan pendirianku mula goyah.

“Apa hak awak untuk fikirkan saya dan rindukan saya sedangkan awak sendiri punca saya benci pada awak. Awak sedar kan benda tu!” Aku memandangnya geram.

Firqin tunduk memandang meja. “Saya sedar saya salah. Tapi kali ni saya mohon awak tolonglah penjelasan saya dari mula sampai habis. Boleh Maya?” Lembut suaranya memujukku.

Aku mencari kejujuran dan keikhlasan di matnaya. “Sila kan cakap apa yang awak nak cakap. Saya dengar ni.”

“Pertama kali saya nak awak tahu saya tak pernah ada niat untuk balas dendam pada awak. Tak pernah terlintas dalam kepala saya pun Maya. Perasaan saya terhadap awak ikhlas dan tak dibuat-buat. Saya minta maaf kerana telah buatkan awak rasa sedih dan kecewa dengan saya. Saya sedar tindakan saya telah melukakan hati awak.”

Aku mengesat air mata yang mula jatuh ke pipi. Aku menarik nafas beberapa kali, berharap aku kuat berhadapan dengan kata-kata Firqin yang mungkin nantinya akan lebih membuatkan hatiku bertambah terluka.

“Saya terima Amera bukan atas kerelaan saya. Kejadian tu jadi terlalu pantas. Bila saja saya pulang dari luar negara, ibu Amera datang berjumpa saya. Dia merayu pada saya supaya tolong keluarga mereka dengan menikahi Amera kerana Danial tidak muncul pada hari pernikahan mereka. Saya tolak. Saya enggan untuk buat begitu. Tapi bila Amera bertindak berani untuk mengelar tangannya kerana dia malu ditinggalkan pada hari pernikahan, saya berfikir panjang untuk membantunya.”

“Dan awak tak boleh tolak permintaan Amera tu? Awak terima dia sebab hanya dia yang tertakhta di hati awak sejak dulu lagi, bukan saya. Saya kini sedar Firqin yang saya tak pernah dapat tempat di dalam hati awak pun sebenarnya. Ruang istimewa dalam hati awak tu sebenarnya sudah ada Amera sejak dulu lagi kan?” Aku meluahkan apa yang aku rasakan tentang perasaan sebenarnya terhadapku.

Firqin cuba meraih tanganku di atas meja namun aku lebih pantas mengelak. Aku mengalihkan tanganku ke bawah. “Bukan Maya. Apa yang awak fikirkan tu tak betul sama sekali. Saya buat macam tu, saya terima Amera kerana kasihan pada keluarganya. Saya kenal mereka sejak kecil lagi. Saya tak sampai hati. Entahlah masa tu saya bagaikan tak dapat berfikir.”

“Tapi awak sampai hati kecewakan saya. Awak sampai hati lupa janji awak pada saya. Awak tahu tak apa akibat yang saya kena tanggung kerana tindakan awak? Saya gadaikan hidup saya dengan berjanji dengan orang yang saya tak kenal. Saya tak boleh lari. Tak boleh patah balik. Saya takut nak hadapi semua tu sorang-sorang! Ini semua salah awak. Salah awak.” Aku tidak boleh menahan sebak. Aku menangis di hadapannya. Mujur tidak ramai orang berada di cafe itu.

“Maya...jangan menangis macam ni. Saya makin rasa bersalah pada awak.” Pujuknya. Aku nampak matanya mula berair.

“Sebab saya sayang dan cintakan awak saya batalkan pernikahan tu pada saat akhir. Saya berjaya pujuk Amera supaya bertenang dan jangan bertindak terburu-buru. Amera bersetuju, sebab dia dan saya tahu yang kami berdua tiada perasaan istimewa di antara kami. Amera ada Danial dalam hatinya dan saya cuma ada awak dalam hati saya. Amera dah Danial dah selamat dinikahkan semalam setelah mereka berdua kembali berbaik dan alhamdulillah semuanya selamat. Sekarang ni saya nak betulkan hubungan di antara kita berdua. Itu yang saya benar-benar harapkan Maya.” Firqin memujukku.

“Saya tak tahu yang saya mampu percaya kan awak lagi atau tidak Firqin. Mungkin sebab saya terlalu kecewa agaknya. Mungkin sekarang ni awak boleh lupakan saya dan cari pengganti yang lain.” Kataku jujur dari hati.

“No, I won’t.” Tegasnya.

“Why? You have to Firqin. Saya bukan untuk awak agaknya.” Tambahku.

“It’s not because I love you, it’s because I only love you. If it’s not you, then I won’t have anyone else. Now you get me?” Bersungguh lelaki itu cuba meyakinkan aku.

Namun aku masih tiada jawapan untuk diberikan kepadanya. Apa yang harus aku lakukan? Terima semula Firqin di dalam hidupku? Tapi bagaimana pula janjiku pada Izzaz?

Aku buntu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.