Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,189
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 35 - Firqin pergi

Aku menjamah makanan di dalam pingganku. Aku hanya tunduk memandang meja sejak beberapa minit yang lalu iaitu sejak Firqin bersungguh menyatakan yang dia cintakan aku, hanya aku dan takkan ada orang lain selain aku. Mindaku semahunya cuba menidakkan kata-katanya sebentar tadi tetapi hatiku tidak mampu untuk berbohong yang aku sebenarnya masih sayang pada lelaki itu. Aku benar-benar buntu untuk buat keputusan. Macam-macam yang bermain di fikiranku termasuklah kejujurannya, pendirianku dan juga janji aku pada Izzaz.

Aku bertambah bercelaru apabila aku baru teringat yang Firqin dan Izzaz bersaudara. Lambat laun Firqin pasti akan dapat tahu yang aku bakal menyamar menjadi adik Izzaz. Ketika itu pasti rahsia aku dan Izzaz akan bocor dan aku terpaksa tanggung akibatnya nanti. ‘Macam mana ni?Apa yang harus aku lakukan?’ Rintihku di dalam hati.

“Apa yang awak fikirkan sampai berkerut dahi tu? Awak marah dengan kata-kata saya tadi ke Maya? Saya tak bermaksud nak buat awak marah, saya hanya cakap apa yang saya rasakan pada awak. Awak janganlah marah saya ya?” Firqin memujukku. Aku menggeleng.

Aku kini benar-benar tersepit untuk membuat keputusan. Kalau aku pilih Firqin dan menceritakan apa yang sedang berlaku di antara aku dan sepupunya Izzaz iaitu aku terpaksa menyamar menjadi Kaisara kerana Izzaz adalah orang yang telah membantu Norzie keluar dari masalah hutangnya adakah Firqin dapat menerimanya? Tapi kalau dia berhadapan dengan Izzaz dan memarahi sepupunya kerana tindakan dan rancangan yang tidak masuk akal yang melibatkan aku macam mana pula? Aku juga yang bakal jadi mangsa Izzaz nanti. Lelaki itu lagi tidak boleh dijangka tindak-tanduknya. Lagi pun di dalam kontrak yang telah aku tandatangani itu tertulis jika aku tarik diri dari rancangan ini sebelum tarikh luput perjanjian aku bakal dikenakan tindakan iaitu aku bakal di saman dan juga dipaksa bayar balik wang yang telah Izzaz berikan kepadaku sebanyak dua kali ganda.

Mahu tidak mahu aku pasti akan bertembung dengan Firqin juga nanti. Saat itu aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Reaksi Firqin pula aku tidak tahu bagaimana. Pasti dia akan kecewa apabila mengetahui yang aku mendapatkan wang melalui cara ini. Dengan menyamar dan memperdayakan orang lain. Firqin juga pasti akan lebih kecewa kerana aku telah menolak tawarannya untuk mengganti duit yang telah aku pinjam dari Izzaz. Tapi apalah dayaku apabila aku sudah mengikat perjanjian dengan Izzaz dan aku tidak mampu untuk berundur lagi kecuali melarikan diri.

“Apa yang awak fikir lagi tu?’ Sergahnya.

“Fikir nak lari.” Spontan jawapan itu keluar dari mulutku.

“Awak nak lari dari saya ke Maya? Saya minta awak fikirkan elok-elok tentang hubungan kita. Saya tahu awak masih marah pada saya kerana awak masih salahkan saya dan anggap saya penyebab Akmal meninggal dunia kan?” Sayu suaranya itu menyentuh jiwaku.

“Kin awak tak salah. Saya minta maaf sebab pernah tuduh awak macam tu. Saya tengah berserabut masa tu jadi apa yang keluar dari mulut saya bukan datang dari hati saya. Akmal pergi atas keputusan yang dia buat sendiri. Cuma saya hanya kecewa pada keadaan. Semuanya berlaku dengan pantas dan bertimpa-timpa dugaan datang menyapa saya.” Ujarku yang tulus aku luahkan dari hati.

Firqin menguntum senyuman. “Jadi awak sudi maafkan saya dan terima saya semula?”

Aku telan liur. Mataku masih memandangnya namun lidahku terasa kelu untuk memberikan jawapan kepada persoalannya itu. Aku keliru dengan situasi yang aku sedang berhadapan ketika itu. “Saya...saya....” Lidahku terasa kelu untuk menolaknya. Hatiku berbelah bagi antara untuk menerima dirinya dan memulakan hubungan yang benar-benar serius walau pun aku masih rasa kecewa terhadapnya atau pun aku harus menolak dirinya demi janjiku kepada Izzaz. Tapi kesudahan kepada apa pun keputusan yang bakal aku buat itu akhirnya akan membuatkan diriku lebih menderita dan kecewa.

“Maafkan saya..” Aku tidak mampu untuk bertentang mata dengannya.

“Maya pandang saya.” Pintanya.

Perlahan-lahan aku mengangkat wajah dan bertentang mata dengannya. “Saya mengaku kesalahan saya dan saya benar-benar menyesal atas tindakan saya yang terburu-buru yang saya tak sedar awak terluka kerana tindakan saya. Saya sedar yang selama ini saya selalu pentingkan diri dan bagaikan mempergunakan awak, tapi jujur saya akui dalam hati saya ni hanya ada awak seorang saja Maya. Saya tak tahu apa akan jadi pada hidup saya lepas ni bila awak tak ada.” Rintihannya itu semakin membuatkan aku serba salah untuk membuat keputusan.

Aku cuba menahan sebak. Tidak mahu menangis lagi di hadapannya. “Saya boleh maafkan awak tapi saya tak boleh janji nak terima awak kembali dalam hidup saya. Saya harap awak hormati keputusan saya. Saya minta awak jangan cari saya lagi lepas ni.” Ujarku dan aku terus mencapai beg tanganku untuk bangun pergi.

Firqin mencapai tanganku. “Maya Ariana. Maya Ariana.” Dia menyebut namaku.

“Saya nak balik.” Kataku. Aku cuba menarik tanganku tetapi lelaki itu masih enggan melepaskan tanganku.

“Saya mahu awak jadi milik saya juga tak kira apa jadi.” Firqin masih tidak berputus asa.

“Firqin! Awak nak saya cakap macam mana lagi baru awak nak berputus asa terhadap saya?”

Firqin bangun dari kerusi dan terus menarik tanganku ke kaunter pembayaran. Wajah seriusnya menggusarkan hatiku. Aku tahu dia sedang marah. Marah kerana aku menolak permintaannya untuk berbaik semula. Aku berkali-kali cuba merentap tanganku dari cengkamannya namun masih gagal.

“Firqin lepaskan tangan saya!” Teriakku ketika dia menarikku keluar dari kafe itu. aku terkejut apabila Firqin tiba-tiba mendekatkan dirinya padaku. “Kalau awak cakap sepatah perkataan lagi malam ni jugak saya bawak awak kahwin lari!” Tajam matanya menikam wajahku.

Aku gusar. Tidak pernah aku lihat Firqin berkelakuan seperti ini sejak aku mengenalinya. Firqin membuka pintu kereta untukku dan dia segera masuk ke tempat duduk pemandu. Beberapa saat kemudian tanpa sepatah kata dia memecut kereta yang dipandunya.

“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Aku mula panik. Takut kerana ini kali pertama aku melihat Firqin sebengis ini. Selalunya dia tenang, ceria dan kelakar orangnya. Mungkin malam ini aku telah mencabar tahap kesabarannya.

“Sebenarnya saya sendiri tak tahu saya salah apa dengan awak Maya. Awak asyik salahkan saya atas banyak kesalahan. Saya ini hanyalah mangsa keadaan, Maya. Saya terpaksa terima Amera kerana saya rasa kasihan dan saya akui saya terlewat untuk bantu kawan-kawan awak. Itu kerana saya ni mangsa keadaan Maya. Saya juga tersepit dalam situasi yang sama dengan awak. Tapi awak asyik salahkan saya dan tak nak dengar penjelasan saya.” Firqin nampak benar-benar marah.

“Kin....” Panggilku. Aku mula menggigil ketakutan. Aku rasakan lelaki yang sedang meradang itu bukan Firqin, tapi adalah orang lain.

“Diam! Saya belum habis cakap. Awak Maya, awak sedar tak yang awak dah malukan saya dan jatuhkan air muka saya bila awak marah saya dan tengking saya depan orang ramai? Awak tak sedar bukan! Tapi saya pujuk diri agar terus bersabar dan masih tersenyum sebab saya sayangkan awak! Tapi apa balasan awak? Awak tak hargai diri saya. Awak tak hormati saya. Awak pandang rendah cinta saya pada awak.” Firqin sebak. Dia mengesat airmata yang bergenang di peluput matanya.

Aku turut menangis mendengar luahan hatinya itu. Badanku terasa menggigil mendengar katanya-katanya yang bagaikan pisau yang mensiat-siat hatiku itu. Aku baru sedar yang aku telah melayaninya dengan buruk sejak peristiwa yang menimpa Akmal walau pun Firqin datang merayu dan meminta maaf kepadaku secara baik. Aku layannya dengan kasar tanpa memberinya peluang untuk memberi penjelasan. Kini aku baru tersedar yang aku lah yang sebenarnya yang telah menyakitinya. Kasih dan cintanya yang ikhlas aku balas dengan kebencian. Kerana penuh dengan rasa benci dan dendam dalam hati, aku hilang pertimbangan dan tidak menghormati dirinya sebagai seorang lelaki yang benar-benar menyintaiku.

Aku teresak-esak menangis menyesali tindakan dan layanan burukku terhadapnya. Selama ini aku yang terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadapnya tanpa menilai dengan betul tindakan mana yang betul dan tindakan mana yang salah.

“Firqin maafkan saya. Saya tak sedar yang saya dah banyak menyakiti awak.” Aku cuba mencapai tangannya. Firqin menepis tanganku. Aku terkejut dengan tindakannya itu.

“Saya dah puas merayu pada awak Maya. Jadi sekarang saya rasa tak ada gunanya lagi untuk saya buat macam tu lagi setelah dua kali awak tolak cinta saya. Saya pun ada maruah.” Tegasnya.

Hatiku terasa remuk ketika itu. Aku tersedar ini bukanlah kesudahan yang aku mahukan. Aku sebenarnya telah melakukan satu kesilapan yang besar iaitu telah melepaskan seseorang yang benar-benar menyintaiku dan juga seseorang yang istimewa di dalam hatiku. Kerana ego dan pendirian yang cuba aku pertahankan aku telah menyakiti satu-satunya lelaki yang bertakhta di hatiku.

“Firqin...” Rintihku.

“Hati saya hancur bila awak berulang kali tolak saya. Tak cukup lagi ke keikhlasan yang saya tunjukkan sampai hati awak tu terlalu keras untuk maafkan saya? Kini saya sedar Maya yang selama ni hanya saya seorang saja yang bercinta bertepuk sebelah tangan. Hanya saya yang meluah rasa kasih dan cinta pada awak sedangkan awak tak pernah balas rasa yang sama. Kini benarlah kata awak tu yang awak tak pernah sayangkan saya. Salah saya juga kerana berani menaruh perasaan pada awak tanpa sedari dan cermin diri sendiri dulu.” Kata-katanya itu semakin mengguris perasaanku.

Aku menggeleng. “Jangan cakap macam tu awak. Saya sebenarnya....” Aku mahu meluahkan kepadanya yang sebenarnya aku juga menyintai dirinya, tetapi Firqin lebih pantas memintas kata-kataku.

“Kita putus. Walau apa pun definisi hubungan kita, sekarang dari mulut saya sendiri di hadapan awak saya terima keputusan awak yang kita sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Saya janji tak akan muncul di hadapan awak lagi selepas ni. Begitu juga awak, saya harap awak takkan cari saya lagi. Sampai bila-bila.” Lelaki itu cuba menahan airmatanya dari gugur.

Bibirku terasa menggigl-gigil. Aku ingin cakap sesuatu kepadanya tetapi tidak terkeluar dari mulutku. Kenapa kenyataan yang baru keluar dari mulutnya itu betul-betul menyakitkan hatiku?

“Awak main-main kan Kin?” Soalku bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru aku dengar.

Lelaki itu menggeleng. “Ini yang awak nak kan. Saya dah tunaikan permintaan awak iaitu saya tak akan ganggu awak lagi dan akan pergi jauh dari hidup awak selama-selamanya.”

Aku terdiam. Tidak mampu untuk berfikir lagi. Otakku masih cuba menghadam kata-kata Firqin kepadaku. Benarkah kata-kata yang dilafazkannya tadi? Adakah ini bermakna aku telah kehilangannya? ‘Ya maya, kau telah kehilangan Firqin buat selama-lamanya kerana ego dan pendirian yang kau pertahankan tu!’ Aku menyalahkan diriku sendiri di atas perpisahan ini. Aku lah yang sebenarnya yang mencipta perpisahan ini. Tapi kenapa hatiku terasa yang aku tidak boleh menerima keputusan ini? Mahu aku luahkan kepada lelaki itu yang aku tidak mahukan perpisahan kerana aku cintakannya dan hatiku sudah terikat padanya. Tiada lelaki lain di dalam hatiku selain dirinya malah aku tidak terfikir untuk mencari pengganti dirinya. Aku tidak mahu orang lain, aku hanya mahukan dirinya.

“Firqin saya sebenarnya ada sesuatu nak beritahu pada awak.” Ujarku. Aku ingin berterus-terang tentang perasaanku dan juga mahu menceritakan kepadanya tentang perjanjianku dengan sepupunya, Izzaz.

“Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari awak. Kata-kata awak saya anggap sebagai tidak bermakna lagi bagi saya.” Firqin bagaikan telah benar-benar membenciku.

Aku terasa malu. Malu untuk berhadapan dengannya lagi. Malu untuk mengakui yang aku telah menyesali akan tindakanku yang terlalu ego untuk mempertahankan pendirian dan persepsi negatifku terhadapnya selama ini.

“Berhenti.” Pintaku.

Firqin memandangku. Aku mengesat airmataku. “Maya saya hantar awak sampai rumah.” Ujarnya.

Aku tidak pandang wajahnya. “Awak turunkan saya kat perhentian bas depan tu. saya suruh Farhin ambil saya.” Kataku sambil aku membuka tali pinggang keselamatan.

“Tapi dah malam ni.”

“Awak tak payah risau. Saya boleh jaga diri” Balasku.

Firqin memberhentikan keretanya di perhentian bas yang aku maksudkan. Aku membuka pintu kereta untuk keluar. Perlahan-lahan aku turun dari keretanya. Di dalam hati sebenarnya aku berharap dia akan menghalang dan menarik semula kata-katanya tadi. Tapi hampa apabila saja aku berpusing untuk menutup kembali pintu keretanya, aku nampak Firqin langsung tidak sedikit pun menoleh memandangku. Matanya fokus memandang ke hadapan.

Kali ini aku benar-benar sedar yang aku telah berjaya membuatkan dia membenciku dan aku juga telah berjaya menyakitinya sampai dia telah berputus asa terhadapku. Tahniah Maya. Tapi mengapa ucapan tahniah ini tidak menggembirakan hatiku malah membuatkan hatiku terasa semakin berat menanggung kesedihan.

Sebaik saja aku menutup kembali pintu keretanya, Firqin terus memandu pergi tanpa menoleh pun ke arahku. “Aku dah hilang dia buat selama-selamanya. Dia dah pergi. Firqin dah tak ada dalam hidupku lagi.” Rintihku sendiri.

Aku duduk berseorangan di perhentian bas itu sambil teresak-esak. Jam di tangan menunjukkan pukul 10.45 malam. Aku ingin menelefon Farhin untuk memintaku mengambilku, tiba-tiba aku baru teringat yang Farhin balik ke kampungnya di Kuantan. Farhin ada memaklumkan kepadaku semalam.

Aku menoleh ke arah kiri dan kanan berharap ada teksi atau bas menghampiriku tetapi hampa. Aku baru tersedar yang kawasan ini jarang dilalui kenderaan awam pada waktu-waktu begini. Mahu jalan kaki pulang ke rumah agak jauh juga. Salah aku juga mengapa aku minta Firqin turunkan aku di kawasan yang sunyi begini. Tidak ada kenderaan yang lalu lalang, sunyi yang jauh dari perumahan. Aku menoleh ke belakang, semak samun yang gelap membuatkan aku mula merasa takut.

Aku segera mendail nombor Aaron. Tidak sampai beberapa saat panggilanku berjawab. “Aaron I nak minta tolong you ambil I boleh? I sorang ni kat perhentian bas dekat dengan gudang kayu yang kita pergi minggu lepas tu.” Pintaku.

“You buat apa kat sana Maya? Are you okay? Kawasan situ gelap, bahaya. I sebenarnya ada di hospital sekarang ni. Melina tiba-tiba demam panas. I tak janji boleh ambil you tapi I minta tolong pada kawan I untuk ambil you kat sana. You tunggu situ ya.”

“Okay Aaron, thanks.”Ucapku dan terus mematikan talian.

Aku kembali teringat akan segala kata-kata Firqin terhadapku. Rasa sedih kembali menjalar ke dalam diri. Mengingati kembali luahan rasa amarahnya terhadapku membuatkan hatiku bertambah sakit dan perit yang kesakitannya bagaikan sedang ditoreh-toreh dengan belati yang paling tajam.

Aku menangis teresak-esak sendirian di sana. “Firqin maafkan saya. Saya tak ada niat menyakiti awak. Saya sayangkan awak. Tapi semuanya dah terlambat bagi saya. Saya malu dengan awak. Saya malu.” Aku merintih menyesali akan kesilapan yang aku sendiri cipta.

Mengapa tiada pengakhiran yang bahagia buatku? Sejak dari kecil hanya derita yang selalu mendampingi yang hadirnya bukan untuk menemani tetapi hanya untuk menyakiti. Aku tidak minta banyak di dalam hidup ini, aku hanya mahu kasih sayang dari orang yang benar-benar menghargai kewujudan diriku di atas muka bumi ini. Namun bila orang yang aku nantikan itu telah muncul dan dengan ikhlas dia menyayangiku, aku pula yang telah melepaskan dia pergi dari hidupku buat selama-lamanya. Jadi adakah kasih dan sayang benar-benar wujud buat diriku? Soalku kepada diriku sendiri.

“Maya...” Suara seseorang memanggilku. Aku mengangkat wajahku untuk melihat pemilik suara yang kedengaran agak asing di telingaku.

Tidak berkelip mataku memandang ke arah seseorang yang sedang melutut di hadapanku. “Taufiq.” Aku sebut namanya. Aku pantas berdiri menjauhi Amar Taufiq.

“You buat apa kat sini? You nak buat apa pada I?” Badanku mula terasa menggigil ketakutan. Aku berundur beberapa langkah ke belakang dan bersedia untuk lari.

Relax Maya. I bukan nak apa-apa kan you. Aaron yang call I minta tolong I ambil you kat sini. You okay ke? Ada apa-apa jadi pada you? I risau bila Aaron kata you sorang kat tempat sunyi macam ni. Jadi I terus rushing dari rumah terus datang sini.” Terangnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.