Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,081,755
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 26 - Kerana aku terpaksa

Mataku masih terpaku memandang Mr. Lion King. Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Jadi isteri dia? Aku salah dengar kot? Tapi bukan tadi dia suruh aku menyamar jadi adik dia ke? Bukan- bukan lah dia ni. Malas aku nak layan.  Kataku di dalam hati.

“Apa? Apa kau pandang-pandang aku?” Soalnya.

“Hah?” Aku terkebil-kebil.

Encik Izzaz tersenyum senget. “Kau percaya ke apa aku cakap tu? Jangan perasan boleh? Kau jadi isteri aku tak pernah ada dalam fikiran pun. Tak pernah terfikir pun.” Dia bagaikan mengejekku sinis.

Aku sekadar buat muka toya. Aku ni hina sangat ke, buruk sangat ke sampai tak layak jadi isteri dia. Kalau ya! Aku pun tak ingin lah. Bongkak! Kutukku di dalam hati. “Saya tak cakap apa-apa pun.” Balasku perlahan. Tidak memandang wajahnya.

“Aku sekadar bagi kau cadangan je. Bukan suruh kau ikut pun. Tadi kau kata nak kahwin dengan Datuk, aku bagi cadangan tadi muka kau dah macam terkejut beruk. Apatah lagi nak kahwin dengan Datuk.” Bukan main syok dia mempersendakan aku.

“Kalau iya pun saya tak menyusahkan Encik.” Balasku malas.

“Suka hati kaulah. Aku dah bagi tawaran baik kau jual mahal. Tapi untuk kali terakhir aku tanya kau ni, kau nak terima tak tawaran aku tu..”

“Encik berapa kali saya nak cakap yang saya...” Aku segera memotong percakapannya.

“Aku bagi kau tiga puluh ribu sekarang!” Pintasnya pula.

Aku melopong. Adakah aku tidak salah dengar?

Lelaki itu mengangguk. “Yes. Aku bayar kau tiga puluh ribu ringgit untuk kau terima tawaran aku iaitu jadi adik aku!” Jelasnya.

“Tapi ini bukan perkara mudah.” Kataku.

“Aku dah mudahkan untuk kau. Kau fikir boleh ke kau nak cari duit sebanyak tu hari ni. Kau sendiri yang kata tadi kan yang kau perlu duit tu by today? Jadi buat apa fikir lagi. Aku bukan jenis yang nak minta, merayu banyak kali tau. Dengan kau je aku berlembut sikit itu pun sebab aku kasihan kat nasib kat kawan kau je. Kau tak kasihan?”

Aku terdiam. Ada benarnya juga apa yang dikatakan Encik Izzaz itu. Aku sebenarnya sudah kesuntukan waktu untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan hutang arwah Akmal. Ketika itu hatiku berbolak-balik sama ada untuk bersetuju menerima tawaran Encik Izzaz atau tidak. Encik Izzaz bagaikan pula satu macam, sengaja saja mengambil kesempataan di atas kesempitan yang sedang aku hadapi. Perlu ke aku terima tawaran tersebut?

‘Err...boleh Encik bagi saya masa untuk berfikir?” Pintaku.

Dia mengangguk. “Boleh. Seminit aje aku bagi.”

Aku mengetap bibir. Memang lelaki ini pandai bermain dengan psikologi orang lain. Dia tahu aku sedang dalam kesempitan dan mahu tidak mahu aku kena bersetuju dengan tawarannya. Dia tahu itu, sebab itulah dia berani membuat tawaran seperti itu. Terbit satu persatu wajah orang yang aku kasihi di hadapan mata ketika itu. Wajah Norzie yang sedang menangis, Dania dan Adib yang masih kecil yang tidak berupaya untuk melakukan apa-apa untuk meneruskan kehidupan. Aku tidak boleh pentingkan diri. Mungkin ini adalah jalan terbaik. Siapa tahu? Hatiku cuba memujuk. Perlahan-lahan aku memejam rapat kedua belah mataku. Mencari kekuatan dan ketenangan sebelum satu keputusan bulat aku lakukan.

“Kau tak rasa pertemuan kita ni ada maknanya?” Suara lelaki itu kembali mengganggu fikiranku untuk membuat keputusan. Aku berkalih memandangnya.

“Ada sebab kau langgar kereta aku dan kita jumpa macam ni. Kau tak rasa keadaan ini win-win situation untuk kau dan aku. Masing-masing tak rugi apa-apa. Kau dapat tolong kawan kau bayar hutang lintah darat tu dan aku dapat gembirakan hati Umi. Pasal menyamar jadi adik aku tu nanti aku jelaskan dengan terang. Cuma kau fikir tujuan kita sama bukan, hanya satu iaitu untuk bahagiakan orang yang kita sayang. Tak begitu Cik Maya Ariana?”

Agak lama aku diam. Berfikir. Mungkin dia sudah hilang sabar agaknya menunggu jawapan dariku, beberapa kali dia mendengus. “Kalau tak nak sudah, kau tak payah....”

“Saya setuju!” Kataku. Satu kata putus yang aku tahu akan mengubah hidupku kelak.

“Apa?” Encik Izzaz minta kepastian.

Aku menelan liur sebelum mengulanginya sekali lagi. “Saya setuju. Saya setuju dengan tawaran Encik tadi.” Dengan hati berat, rasa sedih dan terpaksa aku merelakan keputusan itu.

Lelaki itu senyum lebar. Puas hati. “Bagus.” Ujarnya. Wajahnya bangga, tanda dia menang. 

Aku tidak kenal langsung siapa sebenarnya lelaki di sebelahku itu. Aku tak tahu apa yang ada di dalam fikiran lelaki itu. Aku tidak tahu apa rancangan lelaki itu sebenarnya. Harap-harap rancangan menyamar lelaki itu tidak memakan diriku kelak. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.