Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,959
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

15

OLEH kerana jumlah pelanggan yang agak ramai di Farmasi Nusantara, jam 2.30 barulah mereka bertiga dapat melangkah keluar dari perut farmasi itu untuk mengisi perut yang sudah mula berkeroncong. Itupun setelah ketibaan pekerja sambilan bernama Hanim.

Mereka mengatur langkah ke restoran yang terhampir untuk menjimatkan masa. Sesekali mata Lokman Azad tumpah ke wajah Nur Naziha yang jelas kelihatan lesu. Kepenatan mungkin. Kalau ditakdirkan ada jodoh aku dengan Ziha nanti, aku takkan izin dia bekerja. Aku mahu dia berada di rumah dan melayan aku saja. Aku tak sanggup lihat dia kepenatan begini. Hati kecilnya sudah mula merancang.

“You tau kan, sayang, isteri you ni macam mana orangnya? Melissa Ong Swee Lan ialah sejenis manusia yang tak boleh duduk diam di rumah. Jadi jangan sesekali you cuba memingit perempuan di depan you ni.” Suara itu bergaung semula lalu merasuk jiwanya.

Wajah perempuan bermata sepet itu mengepung seluruh ruang ingatannya. Membuatkan dia jadi nanar digasak oleh kenangan.

“Tapi sayang, you kan sedang berbadan dua? I tak nak bebankan you dengan segala urusan di restoran ni. I tak nak you dan baby kesayangan kita yang sedang berehat di dalam perut ni rasa penat. I rasa bersalah kalau buat macam tu. Apa kata kalau you suruh adik you aje yang handle restoran ni?” Dia memberikan cadangan kepada isterinya yang pada pandangannya terlalu kuat bekerja itu.

“Jangan haraplah Kelvin boleh jaga restoran ni. Dia tu budak tak guna!”

“Lisa, tak baik you tuduh adik you macam tu. Kalau you tak nak bagi peluang pada dia mencuba, sampai bila pun dia takkan dapat tonjolkan kebolehannya.”

“Restoran kopitiam ni hasil titik peluh I. Walaupun papa dan mama I yang menjadi pengasasnya, tapi I yang modenkan konsepnya hingga terkenal macam sekarang. Dulu, semasa mama dan papa I... restoran ni hanya dikunjungi oleh kaum Cina dan India aje, tapi you tengoklah keadaannya sekarang. Pelanggan-pelanggan kita terdiri daripada pelbagai kaum. I bukan macam Kelvin, dia tak kisah hukum halal haram sebab dia pun bukannya kuat beragama pun. I lain!” Melissa menegakkan pendapatnya.

Dia terkapa-kapa melihat Melissa yang sudah mula naik minyak itu. Dia menyuarakan hasrat itu kerana risau melihatkan keadaan isterinya yang terlalu sibuk di restoran walaupun kini sudah berbadan dua. Dia mahu Melissa berehat sementara, memanjakan dirinya sepanjang tempoh kehamilannya. Tapi, niatnya yang baik itu disalahertikan pula oleh Melissa dan kini ianya mencetuskan rintik-rintik pertengkaran di antara mereka berdua.

“Okeylah kalau you nak terus handle restoran ni. Tapi kalau apa-apa terjadi pada you atau baby kita nanti, jangan salahkah I pulak!”

Entah mengapa mulutnya lancar sahaja menuturkan kata-kata yang bakal menusuk perasaan isterinya itu. Apatah lagi perempuan yang senang berbadan dua memang senang terguris hatinya. Tetapi kata-kata yang telah meluncur keluar dari mulut, tidak mungkin ditarik kembali.

Mata Melissa membuntang merenungnya. Dia semakin serba salah.

“Lisa, I... I minta maaf. I tak bermaksud...”

“Cukup, Azad... cukup! I tak nak dengar sepatah perkataan pun dari mulut you lagi. I tak sangka you sanggup cakap macam tu!” tengking Melissa. Wajahnya yang cerah, merintik merah. Jelas dia cukup marah dan geram mendengar kata-kata yang dilontarkan suaminya seketika tadi.

“Kenapalah you ni degil sangat, Lisa? I bagi cadangan nipun sebab I sayangkan you.”

“Kalau you betul-betul sayangkan I, you akan sokong I!” Melissa menjawab. Sengit.

Jawapannya itu membuatkan Lokman Azad mengangkat tangan tanda menyerah kalah.

Up to you, dear. I tak nak bergaduh dengan you disebabkan hal ni, tapi pastikan you jaga diri dan kandungan you dengan baik.”

Seulas senyuman tersungging di bibir Melissa. “Terima kasih, sayang. I janji... I akan jaga diri dan baby kita dalam perut I ni dengan baik. You jangan risau, okey.”

Lokman Azad terasa lesu badannya tatkala digasak kenangan bersama arwah Melissa. Dia segera menghempaskan punggungnya di kerusi sebaik tiba di perut restoran. Kelakuannya yang agak pelik itu membuatkan Nur Naziha dan Murni saling berpandangan.

“Kenapa, Bang Azad?” soal Murni.

Lokman Azad tidak menjawab. Memori bersama arwah isterinya bagaikan baru semalam sahaja berlabuh dalam hidupnya.

Nur Naziha segera menarik kerusi lalu merenung jejaka itu dengan penuh prihatin. Kelihatan peluh dingin merenik pada dahi dan hidung Lokman Azad.

“Abang tak sihat ke?” soal Nur Naziha pula.

Lokman Azad menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia masih beku tanpa sepatah perkataan pun meluncur keluar dari mulutnya.

“Abang nak minum apa? Biar Ziha orderkan.”

Orderkan abang teh-O ais ajelah.” Akhirnya Lokman Azad bersuara.

Nur Naziha segera berkalih pandang ke arah Murni. “Tolong orderkan teh O ais dan teh O panas.” Pintanya ke arah Murni.

“Okey.” Sahut Murni lalu segera berlalu untuk memesan minuman yang dipinta.

“Ziha tengok abang lain macam aje tadi. Kenapa bang, tak sihat ke?” soal Nur Naziha lagi.

Lokman Azad tersenyum nipis. Dia tidak menyangka gadis yang biasanya dingin kaku di depannya itu, kini bertukar menjadi prihatin dan agak mesra pula.

“Abang ingat Ziha langsung tak pedulikan abang,” getusnya.

“Err...” Nur Naziha terkaku semula. Wajahnya yang cerah itu mula merintik merah. Malu mungkin dengan kata-kata yang baru terluah dari mulut Lokman Azad. Atau, serba salah sebenarnya.

“Apa kata kalau Ziha order makanan. Ziha nak makan apa? Abang teringin nak makan ikan patin masak tempoyak.” Lokman Azad segera mencari topik lain untuk diperbualkan supaya tidak terus-terusan memerangkap Nur Naziha dalam keadaan serba salah.

“Patin masak tempoyak pun okey jugak. Ziha suka.” Nur Naziha menjawab. Sejak dia menjadi warga Pahang, patin masak tempoyak sudah menjadi antara menu kegemarannya.

“Bagus! Nanti Ziha ambil tiga keping ikan, ya. Bawakan abang sambal belacan dan ulam-ulaman sikit. Abang nak nasi separuh aje.”

“Okey.” Sahut Nur Naziha lalu segera bangun meninggalkan Lokman Azad.

SEBAIK sahaja Nur Naziha menjauh, bayangan seseorang pula mendekatinya. Wajah arwah Melissa terpampang jelas di ruang mata. Wajah itu kelihatan sayu dan sedih, seolah-olah menyimpul persoalan yang tali-temali dalam arus pemikirannya.

“Lisa, aku takkan sesekali melupaimu. Kau yang pertama muncul dalam hidupku. Kau yang pertama menebarkan cinta yang mendalam di sudut hatiku. Masakan mungkin aku memadamkan dirimu daripada memoriku. Lisa, di sini aku meminta izinmu untuk membuka pintu hatiku supaya seorang wanita lain dapat bertapak di situ. Berikanlah aku keizinanmu.”

Lokman Azad seolah-olah sedang bermonolog dengan bayangan arwah Melissa yang masih berdiri tegak di depannya. Namun, arwah Melissa masih tidak mahu berganjak. Masih merenungnya dengan seribu persoalan.

“Tolonglah, Lisa. Lepaskanlah abang.” Lokman Azad terus bermonolog.

Dari jauh, dia nampak Nur Naziha dan Murni sedang mendekat. Dan, ketika Nur Naziha meletakkan dulang berisi hidangan tengah hari di atas meja, wajah arwah Melissa tiba-tiba sahaja ghaib daripada pandangan matanya.

Dia menarik nafas dalam-dalam lalu melemparkan senyum ke arah Nur Naziha dan juga Murni.

“Abang Azad dah okey ke?” soal Murni ketika menghenyak punggungnya ke kerusi.

Lokman Azad mengangguk.

“Abang dah okey. Prihatin jugak Murni dan Ziha pada abang, ya?”

“Eh, dah tentulah! Kalau abang terbongkang kat sini, kita orang jugak yang susah tau!” sahut Murni selamba.

“Murni!” suara Nur Naziha kedengaran.

Lokman Azad hanya ketawa kecil.

“Apa susahnya? Kalau apa-apa terjadi pada abang, telefon ajelah ambulans. Berdesuplah ambulans datang nanti.”

“Kenapa asyik cakap benda-benda yang tak elok aje depan hidangan ni?” bidas Nur Naziha.

Mata Lokman Azad dan Murni menujah ke arahnya.

Sorrylah, Kak Ziha. Jangan marah, ya,” getus Murni sambil tersengih panjang. “Jom... jom, kita makan. Terliurlah tengok patin masak tempoyak, ni!”

“Ya, jom kita makan! Jemput makan, Ziha.” Tukas Lokman Azad sambil matanya redup merenung gadis manis itu.

Nur Naziha tersenyum. Dia mengangguk perlahan. Perutnya yang lapar seakan merayu agar segera diisi apatah lagi setelah aroma tempoyak, daun kesum dan bunga kantan yang menemani tiga ketul ikan patin di dalam sebuah mangkuk besar, berlegar-legar di udara. Patin sungai memang terkenal dengan isinya yang halus, lemak dan manis. Dengan segala senang hati dia mencapai sudu untuk menceduk kuah tempoyak yang pekat itu ke dalam pinggannya.

KAK Ziha nampak tak cara Anim pandang sewaktu kita bertiga nak keluar dari farmasi tadi?” Murni berbisik ke arah Nur Naziha setelah Lokman Azad bangkit meninggalkan mereka menuju ke kaunter pembayaran.

Nur Naziha geleng kepala.

“Tak perasanlah pulak. Kenapa?”

“Dia macam jealous aje tengok kita keluar makan dengan Abang Azad.” Murni menyambung.

Nur Naziha ketawa kecil.

“Kenapa pulak Anim nak jealous?

“Eh, Kak Ziha ni! Akak tu aje yang buta mata, buta hati tau!”

“Sampainya hati tuduh akak macam tu!”

“Yalah... Abang Azad tu umpama lelaki Melayu terakhir di dunia ni. Mesti si Anim tu ada menaruh perasaan yang mendalam pada dia. Kak Ziha tu aje yang asyik jual mahal. Nanti Abang Azad dirembat dek Anim, padanlah dengan muka Kak Ziha.”

“Biarlah kalau memang Anim berminat dengan Abang Azad tu.” Nur Naziha selamba menjawab.

“Terus terang akak katakan yang buat masa ni akak tak berminat nak menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki termasuklah Abang Azad.” Dia bersuara, menyatakan ketegasan hatinya.

“Kenapa Kak Ziha cakap macam tu? Akak pernah kecewa dengan lelaki ke?” Murni mengambil kesempatan itu untuk menerbak ke sudut hati Nur Naziha.

Nur Naziha menjungkit bahunya. Memberikan petanda bahawa dia sudah tidak berminat untuk menyambung perbualan tentang isu itu.

“Murni, Ziha... jom kita balik!” suara Lokman Azad kedengaran memanggil mereka dari kejauhan.

“Jom!” Nur Naziha menyahut pantas.

LOKMAN AZAD melangkah masuk ke bilik Tuan Haji Saadun. Bilik kecil itu sengaja dijadikan pejabat oleh ayahnya. Dia meletakkan plastik berisi nasi bungkus yang dikirim ayahnya di atas meja.

Tuan Haji Saadun mengintai seketika isi bekas polisterina itu sebelum menutupnya kembali. Matanya kemudian menujah pandang ke arah anak lelakinya.

“Tadi kamu keluar makan dengan Ziha dan Murni ke?”

Lokman Azad senyum dan angguk.

“Baguslah! Cubalah ambil hati si Ziha tu. Ayah sokong 100 peratus kalau kamu nak jadikan dia calon isteri.”

“Tapi mak macam tak setuju aje?”

“Kamu ke, emak kamu yang nak kahwin, ni? Sewaktu kamu mula-mula kenalkan arwah Lisa pada dia dulu, ada dia setuju? Tapi bila Lisa dah selamat jadi isteri kamu dan pandai pula mengambil hatinya, bukan main sayang lagi dia pada Lisa.” Tuan Haji Saadun bersuara.

Lokman Azad mengangguk. Memang betul apa yang dikatakan oleh ayahnya. Sewaktu dia memperkenalkan arwah Melissa kepada ibunya, Hajah Hawa membangkang penuh. Pelbagai spekulasi negatif terkeluar dari mulutnya terhadap Melissa. Apatah lagi dengan status Melissa sebagai seorang mualaf. Tetapi, setelah beberapa lama Melissa menjadi isterinya ditambah pula dengan kebijaksaan perempuan itu mengambil hatinya, akhirnya Hajah Hawa mula menyayangi Melissa. Malah, Melissa mula menjadi menantu pujaannya.

Dia segera membayangkan wajah Nur Naziha sewaktu mereka makan bersama tadi. Pada keprihatinan gadis itu terhadap dirinya. Dan pada rintik-rintik kemesraan yang mula wujud di antara mereka berdua. Kalau macam ni, nampak gayanya hari-harilah aku kena berlakon jadi orang sakit. Hatinya menggerutu sendiri.

Alahai, kenapalah susah sangat nak memikat hatimu duhai gadis?

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.