Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
72,870
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

BAB 3

NADYA menyelak beberapa keping kertas yang tersusun kemas di atas meja tulisnya. Di kertas-kertas tersebut terlukis beberapa hasil rekaan fesyen milik dia yang kini menjadi kebanggaan negara di persada antarabangsa.

Siapa yang tidak kenal Nadya Darnata? Pelajar jurusan seni dari Princeton University. Mulai terlibat dalam bidang fesyen pada umur sehijau 22 tahun. Bakatnya terserlah apabila pakaian hasil rekaannya disarung penyanyi terkenal Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza semasa membuat persembahan di London hampir tiga tahun lepas. Sejak dari kejayaan itu, nama Nadya sering meniti di bibir-bibir penyanyi serta pelakon terkenal Malaysia. Mereka semua ingin memperagakan hasil rekaan Nadya.

Walaubagaimanapun Nadya masih belum berpuas hati. Bukan dia tidak bersyukur dengan kejayaan yang telah dicipta. Namun dia merasakan kejayaan ini masih belum cukup kuat. Dia di mata tanah airnya adalah permata. Namun di mata dunia… dia hanyalah butiran pasir di pantai.

Lagipula Malaysia bukanlah tanah airnya yang sebenar. Dia tidak pernah tinggal di sana. Dia tidak pernah mengingati pun berapa banyak negeri yang ada di Malaysia. Malah dia tidak begitu pandai berbahasa Malaysia! Dia hanya belajar bahasa itu dari mama dan papa yang sebenarnya jarang sekali bertutur dalam bahasa ibunda mereka ketika di rumah.

Nadya mengeluh sendirian. Dia kemudian terduduk di kerusi malas sambil memejamkan matanya. Fikirannya menerawang teringatkan banyak hal yang telah dia lepaskan sejak akhir-akhir ini….

‘Asfahan! Bagaimana agaknya keadaan dia kini?’ bisik hatinya.

“Sayang…” bicara Nadya perlahan. iPhone yang terselit dikoceknya dikeluarkan.

Aplikasi Instagram ditekan. Dia menyoroti gambar-gambar yang telah dimuat turun di profilnya sendiri. Gambar Asfahan dan dirinya. Saat-saat bahagia, amarah mahupun duka. Dia merindui kesemuanya.

“Oh kenapa aku tak ikut dia sekali ke Cappadocia?! Ruginya..!” rungut Nadya sendirian.

***

“HI, boleh saya duduk sini?”

Asfahan bersama secawan kopi di tangan menegur Jelita dari arah belakang. Dia melebarkan senyuman sebaik saja Jelita mempelawa dia duduk bersama.

“Macam mana awak boleh tahu saya kat sini?” tanya Jelita.

Wajah Jelita pagi ini kelihatan jelas lebih jelita dari semalam. Tak berkedip mata Asfahan memandangnya. Pipi wanita ini memerah saat dia tersenyum dan giginya kelihatan tersusun rata apabila dia mula berkata-kata.

“Ah, saya ternampak awak tadi. Paling obvious rasanya… dengan kot berwarna violet ni. Semua orang pun mesti nak tahu siapa yang berani memakai kot berwarna terang macam ni kat Cappadocia.” Asfahan tergelak sendiri mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya. Nak buat lawak tapi tak menjadi. Macam nampak sangat aku ni tercari-cari dia dari tadi. Aduh!

“Oh ye ke? Kot ni tak cantik ke?” Jelita mulai membelek-belek kot violetnya. Jenis kain yang tebal serta warnanya yang menarik perhatian orang sekeliling memang menjadi pilihan Jelita. Dia sukakan pakaian yang memberi keperluan dua dalam satu. Melindungi dan menawan!

“Eh taklah! Cantik.. awak memang dah cantik. Pakai apa pun cantik.”

Jelita tersengih. Lelaki ini memang pandai mengambil hatinya. “Thank you anyway.”

Mereka berdua terdiam. Menikmati masa masing-masing dan memikirkan apa yang perlu diperkatakan kepada satu sama lain supaya percakapan mereka tidak tergantung hanya di sini.

So, saya sebenarnya ada benda nak tanya dengan awak…” Asfahan memecah kesunyian di antara mereka dahulu.

“Apa dia?”

Since awak dah bercakap Bahasa Melayu ni… awak orang Malaysia ke?”

Jelita tersengih lagi. Dia merenung tajam ke mata Asfahan dan bertanya kembali, “Awak rasa saya orang mana?”

“Malaysia maybe?”

“Well…” Jelita main tarik tali. Dia dapat mengagak yang Asfahan mulai tertarik padanya. Lelaki oh lelaki! Semuanya sama saja. “Yes, you’re right! Saya orang Malaysia. But… saya tak menetap kat Malaysia dah.”

Oh really? Tak sangka kita dari negara yang sama! Tapi kenapa tak duduk Malaysia lagi? Awak tinggal mana sekarang?” tanya Asfahan lagi.

“Kenapa awak nak tahu?”

“Sebab… saya hanya nak tahu. He he he.. Maksud saya, saya cuma nak tahu sebab… kita dari negara yang sama kan?” Asfahan jadi makin tertarik dengan Jelita. Perilakunya sangat misteri. Wanita ini lebih suka mempersoal dari memberi jawapan yang dia pinta.

“Itu alasan awak yang paling kukuh?” Jelita berbalik soalan kepada Asfahan. “Saya tak kenal awak. Lagipun saya kurang percaya dengan orang yang baru saya kenal.”

Asfahan menggeleng-geleng kepalanya. Dia ketawa kecil sambil memejamkan mata. Memang dia bukan macam wanita yang pernah Asfahan kenal selalu. Pantas saja meluahkan isi diri dari A sampailah Z, walhal baru kenal beberapa minit. Oleh kerana itulah wanita seperti ini mudah diperdaya.

“Baiklah… how about kita…” Mata Asfahan terarah ke permandangan di luar hotel. Belon udara! Belon udara sudah dinaikkan! Lebih dari lima buah kini terapung di sekitar bandar Cappadocia.

“Look!” sambung Asfahan sambil menuding jarinya ke arah belon-belon yang berterbangan di awanan. “Awak nak join saya naik belon tu? Sambil-sambil tu kita bolehlah berkenalan.”

Jelita merenung wajah Asfahan dalam-dalam. Dia berbeza. Tidak seperti seseorang yang pernah dia kenal dahulu.

“Awak belanja?” tanya Jelita.

“Well okay! Demi untuk persahabatan yang bakal terjalin?” jawab Asfahan sambil menghulurkan tangan kanannya kepada Jelita.

***

TELEFON milik Nadya berbunyi. Dia menatap skrin besar Samsung Note miliknya yang terpampang nama ‘Papa Asfahan’ sebagai nama pemanggil.

“Nak jawab ke tak ni?” Nadya menelan air liurnya perit. Jikalau dia mengangkat panggilan ini, ia bermakna dia akan melakukan satu lagi penipuan. Cukuplah hampir tiga tahun dia sudah temberangkan orang tua ini.

“Kenapa tak letak-letak lagi?” Telefon tersebut terus berbunyi. Tiada tanda-tanda ayah kepada Asfahan ini bakal mengalah. Panggilan mati dan kemudian berbunyi semula.

Melihatkan keadaan berkenaan terus-terusan terjadi, Nadya merasa berat hati untuk membiarkan panggilan itu terus berbunyi. Lalu dia menjawab panggilan tersebut.

“Hello…”

“Lara! Lama papa tak dengar suara kamu!” Suara lelaki separuh umur bergema di talian sebelah sana. Suaranya gembira tak terkata.

Hello papa. Lama jugak tak dengar suara papa…” Nadya mengetap bibirnya. Apa pulalah yang orang tua ini nak kali ini?

“Kamu dengan Asfahan apa khabar? Kenapa Asfa dah lama tak call papa?”

“Asfa… dia busy papa. Sekarang ni pun dia tak ada kat sini.”

“Dia pergi mana?” Suara orang tua itu berubah dengan serta merta. Kecewa apabila suara orang yang paling dia nanti-nanti tidak akan kedengaran kali ini.

“Dia… ada hal. Ada kerja kat negara luar.” Penipu! Berapa kali aku nak menipu ni? Aku penatlah! Penat!

“Oh ye ke..? Lara dan Asfahan baik-baik je kan?”

Okay. Saya dengan Asfahan okay je papa. Don’t worry about us.”

“Kalau ada masa…” Orang tua itu terhenti dari berkata-kata. Batuk mengganggu percakapannya. “Baliklah Malaysia ya. Kalau nak balik tu bawa berita gembira sekali. Papa teringin nak cucu. Kamu berdua tu dah lama sangat kat London tu. Dah lima tahun kat sana…”

“Hmm..” Nadya tidak tahu hendak membalas kata-kata orang tua itu bagaimana. Dia seolah-olah tersepit dalam keadaan yang begitu memaksa. “Okaylah papa. Nad… eh Lara ada kerja ni, kita cakap lain hari ya. Bye!” Klik! Telefonnya dengan pantas dimatikan.

Nadya menghela nafas lega. Seperti baru sahaja terlepas dari dikejar hantu. Sungguh dia tidak sanggup lagi membuat kerja ini. Kenapalah Asfahan tidak berterus terang saja dengan ayahnya? Katakanlah dia dan Lara itu… Ah! Payah kalau berbincang dengan Asfahan mengenai Lara.

Lara… Lara! Siapa dia? Kenapa Asfahan tidak mahu melepaskan gadis itu? Kenapa Asfahan terlalu berahsia dengannya mengenai Lara? Selama tiga tahun dia mengenali Asfahan, satu kali pun Asfahan tidak pernah menunjukkannya gambar gadis itu kepadanya. Malah Asfahan tidak menyimpan satupun kenangan antara dia dan Lara.

Nadya kembali menyandar di kerusi malasnya. Semua hal ini begitu berat baginya untuk dihadam. Lalu Nadya menyambung semula pekerjaannya yang tergendala sebentar tadi.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.