BAB 10
DATUK AZIM hanya
memerhatikan Sheriena dari sebalik jendela di ruang tamu. Gigih benar anak
gadisnya ini membersihkan kereta kesayangannya, Honda Accord pada pagi yang
terik sebegini.
Sheriena memang begitu sejak dari
kecil lagi. Sikap ringan tulang yang dimilikinya itu membuatkan hati Datuk Azim
tertawan. Lalu atas perasaan belas kasihan, dia mengambil Sheriena menjadi anak
angkatnya. Dia tidak rela melihat anak gadis seusia 14 tahun sudah bekerja
sebagai kuli membasuh pinggan di restoran. Lebih menyedihkan, ibu bapa Sheriena
telah lama meninggal dunia disebabkan kemalangan.
Datuk Azim ke perkarangan rumah.
Cahaya matahari yang terik mula membasahi seluruh tubuhnya. Terasa hangat dan
tak semena-mena kepalanya seperti berpusing-pusing. Lalu Datuk Azim mengambil
keputusan untuk berlindung di bawah porch
kereta.
“Sherie!” panggil Datuk Azim.
Sheriena menoleh sambil berjalan ke
pili air untuk menutup pancutan air yang semakin melimpah.
“Papa! Buat apa keluar ni? Terik
matahari kat luar ni,” balas Sheriena.
Datuk Azim menggamit tangannya ke
arah Sheriena. Dia kemudiannya mengajak Sheriena untuk berteduh di porch kereta bersamanya.
“Ada apa papa?” tanya Sheriena
sambil mengelap tangan serta wajahnya menggunakan tuala kecil yang tersangkut
di leher.
“Diet
ke malam semalam? Tak turun dinner
pun dengan papa..”
Sheriena mencebik. Malas pula dia
nak menjawab soalan papa yang ini. “Sherie… malaslah.”
“Kamu gaduh dengan Linda?” tebak
Datuk Azim.
“Hmm… si Linda tu… eh Mama Linda tu
memang tak suka dengan Sherie!” Ops! Terlepas cakap pulak! Habislah papa
meleter nanti.
“Sherie, macam mana dia nak suka
dengan kamu… tak pernah pun kamu cuba hormati dia. Cuba biasakan diri panggil
mama kat dia.”
“Mama tu hanya untuk mama je. Mama
Khalisa je yang faham Sherie,” jawab Sherie dengan nada penuh kebencian. Mama
Khalisa adalah wanita yang paling baik pernah dia temui. Saat dia perlukan
kasih seorang ibu, Mama Khalisa tak pernah membandingkannya dengan Abang
Asfahan.
“Hmm, papa tahu kamu adik beradik
memang tak pernah suka dia. Tapi dah lima tahun dia jadi isteri papa.” Datuk
Azim menunduk sedih. Sungguh dia terkapai-kapai tanpa Khalisa. Oleh sebab
itulah segala keputusan yang dilakukannya tidak pernah yang betul dan adil
sejak akhir-akhir ini.
“Dahlah papa, apa yang penting
sekarang ni… Sherie tetap sayangkan papa. Sherie cuma nak papa tahu yang Sherie
akan selalu disisi papa tau..!” Sheriena memeluk sisi tubuh Datuk Azim dengan
erat. Dia tidak bagaimana untuk menggambarkan perasaannya pada ketika ini, tapi
apa yang dia tahu dia sungguh bersyukur dipertemukan dengan Datuk Azim. Papa
yang telah memberikannya semangat untuk terus hidup dan berjaya dalam apa jua
cita-cita yang dia azamkan.
“Hmm Sherie… papa tak tahulah kalau
Sherie tak ada. Papa ni sunyi. Rindukan Asfahan dan Lara. Tapi mereka berdua
tu… macam nak jauhkan diri dari kita. Macam dah tak nak balik lagi dah ke
sini,” ujar Datuk Azim yang mula bergenang kolam mata.
Sheriena melepaskan rangkulan
tangannya pada Datuk Azim. Dia terasa sedikit sebak di hati. Memang benar dia
juga terasa kesunyiannya semenjak Abang Asfahan ke New York.
“Abang ada call papa?”
“Dua hari lepas papa call Lara. Kata dia Asfahan tak ada.
Entah ke mana pulak dia.”
“Papa ada suruh dia orang balik?”
Sheriena mula meragui jawapan yang diberikan Lara. Asyik tak ada memanjang.
Dulu masa aku call pun tak ada juga!
“Ada. Siap papa suruh mereka berdua
tu bawak balik cucu. Tapi Lara macam nak tak nak je jawab soalan papa,” jawab
Datuk Azim.
“Haih… maybe mereka masih jauh hati dengan papa kut. Kak Lara tu… setahu Sherie
lah, dia bukan jenis macam tu. Dia selalunya akan jawab pertanyaan papa, lemah
lembut dan juga baik hati orangnya. Takkanlah dah berubah bila duduk negara
orang. Culture shock kut!” telah
Sheriena.
“Entahlah Sherie.”
Penyesalan mulai terbit di hati
Datuk Azim. Benar kata Sheriena, Lara bukan begitu orangnya. Lara yang mereka
kenal adalah seorang gadis ceria, suka membantu mereka yang dalam kesusahan,
rajin dan juga selalu saja ada idea-idea bernas jikalau mereka dirundung
permasalahan.
Lara, gadis yang Datuk Azim ambil
sebagai pembantu isterinya apabila wanita itu telah dikesan mengalami kanser
ovari dua tahun sebelum kematiannya. Gadis itu telah mereka berdua anggap
sebagai anak mereka sendiri. Tambahan pula Lara anak yatim dan tidak mempunyai
ahli keluarga yang lain. Oleh kerana itulah atas nasihat Khalisa, dia memilih
Lara sebagai jodoh Asfahan walaupun keputusan itu mendapat tentangan dari
Asfahan sendiri.
Jikalau benar telahan Sherie yang
mengatakan Lara sudah berubah, maka Azim sanggup dipertanggungjawabkan di atas
segala dosa yang telah berlaku. Cuma satu saja impiannya, dia mahu melihat
Asfahan dan Lara bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain. Lima tahun
sudah berlalu, takkanlah sehingga kini Asfahan dan Lara masih seperti dulu?
***
KETIKAN di
laptop Mac Book Pro milik Jason itu memecah kesunyian pagi. Jam yang berdetik
pukul empat pagi itu tidak dihiraukannya. Malah dia memang tidak merancang pun
untuk tidur awal pada malam ini.
Kepalanya digaru-garu. Nampaknya
pencarian masih menemui jalan buntu. Lara yang dicari masih belum ditemui.
Siapa sebenarnya gadis ini? Susah benar dia ingin mencari walau sekelumit
informasi pun mengenai Lara. Isteri
rakannya baiknya ini seperti tidak pernah wujud di mana-mana.
Jason cuba menggunakan enjin
pencarian Google sebagai sumber utamanya. Berbekalkan secubit informasi yang
diperoleh dari Nadya mengenai Lara, dia mula menaip nama Lara dan tempat
tinggal beserta warganegara gadis itu di enjin carian tersebut. LARA, NEW YORK,
MALAYSIAN – itulah antara perkataan yang dimasukkan di ruang carian.
Memang Jason tahu, informasi seperti
setitis air di lautan ini tidak akan membuahkan sebarang hasil. Dia memerlukan
nama penuh Lara dan alamat penuh tempat tinggal terakhir isteri Asfahan Redza
ini. Tetapi bagaimana dia harus mendapatkannya?
Kopi panas yang meliuk-liuk wapnya diteguk
perlahan. Ketap! Jejarinya dipetik.
“Asfahan mesti ada simpan sijil
nikahnya kan? Mungkin aku boleh selongkar pejabat atau rumahnya untuk dapatkan
nama penuh Lara!” monolog Jason.
***
IKHLAS mundar
mandir di balai ketibaan ataupun disebut dalam bahasa Peranchis sebagai ‘halls des arrivées’ lapangan terbang
Charles de Gaulles. Nampaknya kapal terbang yang dinanti sudah lewat sejam!
Tunangnya pula tidak memberitahu apa-apa berkenaan kelewatan kapal terbang yang
dinaikinya.
Sungguh tidak tenang hati Ikhlas
dibuatnya. Dia yang memakai kemeja hitam yang dipadankan dengan jeans putih duduk
di kerusi yang disediakan setelah penat berulang-alik ke kiri dan kanan.
Rambutnya yang kemas tersisir ke sebelah kiri itu ditolak ke belakang. Tensi
pula menunggu lama-lama begini.
Ikhlas mengeluarkan iPhone miliknya
dan mula membuka aplikasi Instagram. Berpura-pura cuba untuk menenangkan
dirinya dengan melayari laman sosial yang lagha itu. Namun setelah hampir
sepuluh minit meneliti gambar-gambar moden ala vintaj di aplikasi sosial itu,
Ikhlas mulai terasa resah kembali. Lalu dia bangun dari kerusi yang didudukinya
dan memanjangkan langkah menuju ke La
Maison de Chocolat, sebuah kedai coklat yang terkenal di Paris.
Figaro Noir menjadi pilihannya.
Sejenis coklat hitam yang berintikan kacang hazelnut, almond dan karamel.
Coklat ini merupakan seleksi kegemaran tunangnya. Selain dari itu, Ikhlas juga
memilih sekuntum mawar merah sebagai penyeri untuk menyambut kepulangan tunang
yang dikasihinya itu.
Sedang Ikhlas sibuk membuat
pembayaran di kaunter, dia terasa seperti bahunya dicuit. Tanpa ragu-ragu
Ikhlas berpaling.
“Ikhlas, ma cher? You beli apa untuk I ni?” tegur gadis yang tersenyum manis
di hadapannya ini.
“Mon
amour, Jelita!” Hati Ikhlas yang di dalam kerisauan tadi telah terubat
sepenuhnya. Tangan Jelita dikucup lembut. Kemudian, bunga ros dan Figaro Noir
dihulurkan ke tangan tunangnya itu. Sungguh rindunya kini terlerai sudah. Jelita, je t’aime!
***