BAB 2
BILIK
putih itu lagi. Jelita mengerutkan dahinya. Mengapa dia selalu bertandang ke
sini? Bilik putih yang tiada berpenghujung. Tiada pintu atau jalan keluar
darinya. Seakan-akan dia terkurung dalam kebebasan bergerak.
Jelita berjalan tanpa arah yang
jelas. Melangkah mengikut kata hati. Baginya itulah jalan yang terbaik.
Walaubagaimanapun dia tetap berhati-hati dengan ancaman yang mungkin datang
tanpa diduga. Baginya hidup ini penuh misteri. Sedangkan air yang tenang jangan
disangka tiada buaya.
Setelah beberapa ketika berjalan,
langkah Jelita jadi terbantut seketika. Dari kejauhan dia terlihat suatu cahaya
yang bersinar-sinar. Makin ia mendekat, makin cahaya itu membesar. Dia tidak
tahu apakah maksud cahaya tersebut, tetapi kata hatinya meronta-ronta ingin
mendekatinya. Lalu Jelita panjangkan langkahnya dengan berlari-lari anak sambil
menggapai cahaya itu dari jauh.
Cermin! Cermin panjang sebesar
dirinya. Itulah gambaran yang terpampang di hadapan mata apabila dia kian
mendekat dengan cahaya itu. Sebelum ini memang dia pernah ke sini, namun dia
belum pernah menemukan cermin ini lagi. Mungkinkah jalan keluarnya di sini?
Pada cermin ini?
Cermin besar itu berada tiga kaki
jauh dari dirinya. Jelita melihat ke dalam biasan tersebut. Seperti biasa wajah
jelita miliknya menghiasi biasan cermin itu. Dia sendiri memang mengkagumi
wajahnya ini. Wajah yang bisa meranapkan hati jejaka-jejaka yang pernah dia
kenali sebelum ini kecuali…. yang satu itu!
Tenungan Jelita ke arah cermin yang
membiaskan wajahnya itu berubah. Makin lama ditenung, makin berbeza biasan
wajahnya. Rupanya bertukar sedikit demi sedikit kepada seorang gadis yang
berambut kerinting, berwajah comot dan… aahh!
Jelita menumbuk cermin tersebut
dengan sepenuh hatinya. Prang! Ia retak seribu. Cermin itu retak seribu seperti
hatinya. Hatinya yang sudah luluh harapan terhadap cinta.
***
TEGANG. Urat-urat
dikeliling matanya tegang. Jelita mengerdipkan matanya berkali-kali. Barangkali
kerana suasana bilik yang berbeza, dia kurang mendapat tidur yang jerap malam
tadi.
Ah semuanya kerana mimpi itulah!
Mimpi yang seringkali bertandang setiap kali dia melelapkan mata di waktu
malam. Sudah sebulan lebih dia bermimpi akan hal yang sama. Berulang-ulang kali
ke ruangan putih itu mencari jalan keluar yang tidak pernah dia jumpai. Cuma
kali ini berbeza sedikit dari kebiasaannya. Dia bertemu dengan cermin itu dan
mimpinya berakhir dengan sesuatu yang dia kurang pasti apa.
Lupakanlah hal itu. Yang lebih
penting adalah realiti hari ini. Ada beberapa hal yang harus dia uruskan. Oleh
itu, dia tidak boleh membuang masa lagi!
Kasut baldu merah jambu disarungkan.
Tanpa berlengah, Jelita mencapai tuala yang tersangkut di besi ampaian dan
bergerak ke bilik mandi serba mewah itu.
***
BURUNG-BURUNG berkicauan
meriah menandakan hari ini bakal menjadi hari yang indah. Hujan malam semalam
sudah pun reda. Maka pelancong-pelancong di Cappadocia seperti biasa meneruskan
aktiviti harian mereka dengan menjelajah ke tempat-tempat menarik di daerah
itu.
Asfahan awal-awal pagi lagi sudah
terpacak di lobi. Perkara pertama yang melekat di mindanya sebaik saja dia
bangun dari tidur ialah Jelita. Oleh itu, demi untuk menghilangkan kegusaran
yang melanda di hatinya, Asfahan bercadang ke meja resepsi untuk bertanyakan
soal gadis misteri yang dia temui malam tadi.
Ting! Ting! Loceng di meja resepsi
dibunyikan. Seorang gadis Turki berhidung mancung keluar dari belakang kaunter.
“Hello,
may I help you sir?” tanya gadis Turki tersebut.
“Oh
yes.. I was wandering.. umm if there is a Malaysian woman stayed at this
hotel?”
“A
Malaysian woman?”
“Yes!
Could you check it for me?”
“Sure.”
Gadis Turki itu membuka buku tebal berwarna putih. Kemungkinan itu adalah buku log
masuk dan keluar pelancong di hotel ini.
“Sorry
sir, I can’t find any Malaysian woman check in to this hotel.”
Asfahan menggaru-garu kepalanya.
Lepas itu, dia warganegara apa? Indonesia? Singapura? “Are you sure? How about a person name Jelita?”
“Sorry
sir, I could not reveal the names of our guest. This is against the law…”
Gadis Turki itu mula mengecilkan anak matanya terhadap Asfahan. Dia mula terasa
ragu-ragu dengan sikap pelik Asfahan yang seperti penyiasat ini.
“I’m
sorry. It’s okay.” Akhirnya Asfahan terpaksa mengalah. Dia tahu gadis Turki
itu mulai tidak berasa senang dengan pertanyaannya. Seolah-olah dia seorang
penjenayah yang ingin mengetahui nombor bilik mangsa yang seterusnya.
Asfahan membawa dirinya ke café
hotel. Dia mencari sudut meja yang paling dekat dengan permandangan luar.
Melihat keindahan kota Cappadocia yang dipenuhi gua-gua berbentuk corong tiga
segi. Sekali pandang seperti atap-atap istana kisah dongeng yang meninggi di
awan.
Hatinya masih lagi tidak tenang.
Dari malam semalam hinggalah membawa kepada pagi ini. Entah mengapa pertemuan
singkat antara dia dan Jelita itu sangat bermakna baginya. Dia terasa seperti
ada sesuatu yang berbeza mengenai wanita itu. Sesuatu yang dia sendiri tidak
dapat mengungkapkannya. Namun dia yakin ini bukanlah cinta. Takkanlah cinta
berputik dengan hanya sekali bertemu dan itu pun hanya dalam jangka masa
beberapa minit sahaja.
Asfahan memesan kopi dari pelayan.
Dia kembali menghamparkan pandangannya ke arah luar hotel. Tempat ini begitu indah.
Mengapa dia tidak terfikir untuk membawa Nadya sekali bersamanya? Pasti teman
wanitanya itu terkesima.
Ah Nadya! Dia tu wanita zaman moden
yang sentiasa sibuk dengan hal kerjayanya. Masa terluang hanya dihabiskan
dengan berkunjung ke konvensyen serta pesta fesyen sedunia. Lagipula dia
dibesarkan di New York. Bercuti ke negara luar sudah terlalu ‘mainstream’ baginya. Lainlah aku, anak
jati Malaysia. Dilahirkan serta dibesarkan di tanah tumpah darahku. Cumanya
bila sudah menetap agak lama di sini, sisi-sisi kemelayuan itu makin menghakis.
Lama-kelamaan aku juga akan menjadi seperti Nadya juga.
Kopi Cappadocia yang dipesan tadi
akhirnya tiba. Kopi hitam itu dihirup perlahan-lahan. Rasa pahitnya terlekat di
rengkung. Hmmm! Lain benar rasa kopi ini dari kopi biasa yang selalu dia minum.
Tak ada rasa manis langsung! Pekat pahitnya sampai ke hujung lidah.
Pandangan Asfahan kini terarah
kepada pengunjung café hotel Kelebek. Dia masih tercari-cari akan batang tubuh
yang dinanti-nanti itu. Jelita.. Jelita… Awak di mana?
Bebola mata Asfahan yang
berlegar-legar ke sekeliling café itu terhenti. Seorang wanita yang memakai
fedora hitam berserta kot panjang berwarna violet menangkap perhatiannya. Itu
dia bukan? Memakai lipstik merah semalam dan matanya.. ya mata bundar yang
sentiasa malu untuk memandang tepat ke arah sesiapa saja yang menatapnya!
Bagaikan tidak percaya, Asfahan
bangun dan mengangkat bersama secawan kopi Cappadocia tadi berjalan ke arah
meja Jelita. Dirinya kini bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal!