Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
72,862
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

BAB 6

ASFAHAN merenung ke luar jendela. Tenang pula cuaca pada malam ini. Bayu yang berhembus lembut ke wajahnya itu dibiarkan terbang masuk ke dalam kamar hotel itu. Biar segar sedikit suasana ruangan yang kian meruwap ini.

Kepalanya menoleh ke atas langit hitam yang terbentang seluas saujana mata memandang. Kerdipan bintang-bintang yang menabiri malam itu menambahkan syahdu di hatinya. Damai sungguh terasa hati ini, bagaikan bersatu semuanya bersama alam sekeliling. Subhanallah! Sesungguhnya ciptaan TUHAN memang tiada tolok bandingnya. Asfahan terus-terusan memuji keindahan alam sambil menginsafi dirinya dengan kekuasaan ALLAH Yang Maha Esa.

Tidak lama kemudian dia mengeluh. Jendela yang terbuka luas itu ditutup semula. Hatinya tidak tenteram. Mungkin untuk seketika waktu, ya. Tetapi bukan untuk jangka waktu yang lama. Dia sering teringat-ingat akan segala dosa lampaunya yang tidak boleh dihadam oleh akalnya sendiri. Dosa-dosa itu bagaikan menghantui dirinya dari terus maju ke hadapan dan membuat segala keputusan. Sungguh dia manusia yang khilaf. Sungguh selagi dia masih tergantung dengan permasalahan ini, dia tidak mungkin akan menjalani hidup dengan tenang!

Tetapi entah mengapa semenjak dia bertemu Jelita, dia seakan-akan terlupa seketika dengan permasalahan itu. Asfahan seperti orang dahaga yang bertemu dengan oasis, terleka dengan nikmat bertemu air itu sehinggakan dia terlupa masih ada perjalanan yang jauh menantinya di hadapan.

Asfahan kembali ke birai katilnya. Dia menekur wajahnya sambil memejamkan mata. Ya ALLAH, begitu banyak khilafku… mengapa aku masih mahu bermain dengan api? Mengapa aku bagaikan orang yang tak serik dengan permasalahan yang menimpaku? Adakah ia kerana… cinta? Aku cintakan dia? Tetapi cintakah dia kepadaku? Nadya pula bagaimana?

Badannya dibaringkan ke katil bercadar satin putih itu. Asfahan perlahan-lahan memejamkan mata. Bayangan wajah Jelita yang tersenyum indah kian menerangi pandangan. Benarkah aku cintakan dia? Jikalau benar, berikanlah petunjuknya, Ya TUHAN!

***

WANITA secantik awak tak ada boyfriend? Boleh percaya ke?”

Kata-kata milik Asfahan semasa makan malam tadi masih bergema di telinganya. Seakan-akan suatu kalimah yang membakar jiwanya setiap kali kata-kata tersebut terlintas di fikiran. Dia tahu apa sebabnya. Malah dia juga tahu bara api yang membakar jiwa ini makin lama makin membesar. Suatu masa nanti, sekam ini akan berubah menjadi api besar yang bakal memakan dirinya sendiri.

Jelita merenung cermin bulat yang tergantung di atas meja solek itu. Kapas yang berada di tangan dipedap-pedap ke muka. Ini memang rutin hariannya. Mengenakan toner ke wajah lalu memakai krim malam sebagai penutup sebelum dia melelapkan mata. Baginya penjagaan wajah itu begitu penting. Ia asset dirinya. Ia adalah perisai baginya. Ia adalah… adalah kebanggaan dirinya!

Kapas yang digunakan untuk memedap wajah tadi dibuang ke dalam bakul sampah disebelah meja solek itu. Bekas bulat berisi krim malam itu digapai pula. Tangannya mula mengoles krim tersebut perlahan-lahan ke dagu dan kemudian naik ke kiri dan kanan tulang pipi. Setelah selesai dengan sapuan krim tersebut, Jelita beredar dari meja solek dan terus ke katil.

Badannya perlahan-lahan direbahkan. Selimut ditarik rapat. Namun matanya masih tidak dapat dilelapkan. Wajah Asfahan masih terbayang-bayang di kotak fikirannya. Kata-kata lelaki itu, perilakunya serta bagaimana emosinya ketika Jelita sampai lewat tadi. Kenapa dia serius sangat? Benarkah lelaki itu ada hati padanya? Jikalau benar….

Kata hati Jelita terdiam seketika. Banyak perkara yang bergelumang di mindanya. Jikalau benar Asfahan menyukainya… ini bermakna dia telah berjaya. Berjaya menakluk hati seorang lelaki. Lelaki seperti Asfahan Redza!

***

LANGIT mendung pada tengahari itu. Sheriena yang sedang sibuk mengangkat beg tariknya keluar dari but kereta meliarkan mata pada sekeliling perkarangan banglo rumahnya.

“Mana pulaklah Pakcik Kassim ni? Bukannya nak tolong orang angkat beg ni semua,” rungutnya perlahan. Beg yang berhasil dikeluarkan dari but kereta tersebut ditarik masuk ke dalam rumah.

Ruang tamu kelihatan kosong. Sheriena menapak masuk ke ruang makan pula. Kelihatan Mak Cik Fuziah sibuk mengemas meja makan.

“Mak cik! Amboi sibuk mengemas sampai tak sedar saya balik ke?” tegur Sheriena. Dia seterusnya memeluk Mak Cik Fuziah dari belakang dengan erat. Pembantu rumah itu bagaikan ibu kepadanya semenjak kematian ibu angkatnya, Puan Khalisa.

“Eh? Laa dah balik ke Sherie??” Mak Cik Fuziah mengalihkan badannya dan membalas pelukan Sheriena. Rindunya dia pada anak gadis ini.

“Cuti sem lah mak cik… Dua bulan tau!” Pelukan dileraikan. Sheriena meliarkan matanya lagi di sekeliling ruangan rumah. “Linda mana?”

“Datin Linda Kamilla? Ada kat atas tu..” jawab Mak Cik Fuziah sambil menjuihkan bibirnya.

“Tak bangun lagi lah tu ye?”

“Dia balik lambat semalam. Datuk pun dah balik dulu dah.” Mak Cik Fuziah memperlahankan nada suaranya. Takut pula ada yang mencuri-curi dengar.

“Iye ke? Haih… tak ubah-ubahlah perangai dia tu. Dari awal kahwin sampai sekarang. Eii malas saya nak bertembung muka dengan dia.”

“Tak apalah.. apa kata kalau Sherie pergi tukar baju, lepas tu turun bawah tolong makcik masak nak? Kita masak menu favorite papa kamu, ayam goreng berempah!”

Okay set! Lagi sepuluh minit saya turun!” jawab Sheriena sambil mengenyitkan matanya ke Mak Cik Fuziah.

***

JELITA menatap jam tangan Swatch yang berlingkar di tangannya. Mana dia ya? Dah pukul lapan pagi. Selalunya pukul tujuh dah tercongok kat depan café ni. Takkanlah dah serik nak jumpa dengan aku kut?

Pelik. Hari ini bukan Asfahan yang selalu tercari-cari akan dirinya tetapi Jelita pula yang begitu. Ini memang suatu perubahan pelik yang sedang berlaku ke atas dia. Selalunya dia tidak pula begini. Takkanlah dia pula tiba-tiba sudah mula jatuh rindu dengan Asfahan?

Jelita menggeleng-gelengkan. Dia harus lebih pandai menguruskan soal hati dan perasaan. Jikalau dia mudah jatuh cinta, alamatnya mudahlah juga dia jatuh ke lembah derita.

Jus oren yang masih tidak terusik itu dihirupnya. Nak buat apa ya pagi ni? Rasanya banyak lagi tempat yang belum dia terokai di Cappadocia ini. Bukan senang nak datang ke mari lagi. Jikalau kerja dah menimbun nanti, nak jenguk tiket penerbangan secara online pun tak sempat!

“Hai! Awal sampai café hari ni… Tunggu saya ye?”

Terbantut seketika hirupan jus oren dari terus membasahi tekak. Asfahan! Datang jugak dia ni ya!

“Hai… Tak sangka pulak awak lambat hari ni?” sindir Jelita.

“Eh… Awak tu yang awal sangat kut. Makan apa? Hari ni nak ke mana?” Asfahan seperti biasa mengajukan persoalan-persoalannya itu dengan selamba pada Jelita. Macam wartawan gossip sepenuh masa!

“Tak seleralah nak breakfast… emm tak tahu nak ke mana lagi ni,” jawab Jelita dengan nada yang acuh tidak acuh. Walhal dia begitu tidak sabar ingin mendengar cadangan Asfahan tentang tempat mana yang boleh mereka kunjungi di Cappadocia ini.

“Oh…” Asfahan tersenyum. “Hmm saya ingat nak menjelajah kota Cappadocia ni. Nak ikut?”

“Menjelajah? Awak nak sewa kereta ke?”

“Taklah, nak naik skuter. Awak nak join?” Asfahan berharap Jelita akan menerima ajakkannya. Dia masih belum puas bersembang dengan gadis ini.

“Skuter? Tapi…” Jelita mengerutkan dahinya. Alahai! Apa hal pulak nak naik skuter ni? Mana aku reti naik skuter!

“Tapi… tak pandai bawak skuter?” jawab Asfahan. Dia menyeringaikan giginya yang lurus berbaris itu. “Naik dengan saya? Saya janji bawak perlahan-lahan. Tapi awak kena pegang seat skuter tu elok-eloklah. Karang terjatuh pulak.”

Jelita mengangguk laju. Nampaknya dia dah macam terpaksa akur pula dengan cadangan Asfahan. Apa kena dengan dirinya ni? Sihir apa pulalah mamat ini dah kenakan ke atas dirinya. Jelita wake up! Wake up!

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.