BAB 11
ASFAHAN REDZA menjenguk
permandangan diluar jendela kapal terbang. Awan-awan yang berada di sekeliling
kapal terbang yang menuju ke London ini berarak perlahan. Matahari pula mula
menerobos di antara lubang-lubang awan yang terbentuk dan kemudian membiaskan
cahayanya ke mata Asfahan
Asfahan memalingkan wajahnya dari
jendela tersebut. Matanya dikatup rapat. Entah mengapa begitu berat hatinya bila
mengenangkan London. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang empat jam ini
bakal menemui noktahnya. Jikalau cuaca berterusan baik, kemungkinan dalam
jangka masa sejam saja lagi dia akan tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London.
Pulang ke London ini seperti pulang
semula ke alam realitinya kembali. Selepas sehari kepulangan Jelita ke Paris,
Asfahan sudah tidak betah tinggal di sana lagi. Nampaknya dia sudah harus mula
memikirkan cara bagaimana untuk menyelesaikan semua persoalan dan
permasalahannya. Dia harus kotakan janji-janjinya kepada Jelita jikalau dia
benar-benar mencintai gadis itu.
Nadya. Dia harus berterus terang
dengan gadis itu. Kekasih hatinya perlu tahu kedudukan sebenar hati dan
perasaannya. Perhubungan mereka nampaknya telah menemui jalan pengakhiran.
Asfahan boleh melepaskan Nadya untuk lelaki yang lebih layak untuk memilikinya
dan lelaki itu bukanlah dia! Nadya adalah seorang gadis lugu yang kurang kasih
sayang. Dia perlukan lelaki yang dapat memberikan sepenuh masa dan kasih sayang
yang tidak bertepi.
Manakala Lara pula… Asfahan masih
tiada jawapan untuk pemilik nama yang ini. Kesalahan dahulu menghurungnya
sehingga kini. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan atas segala
perlakuannya ke atas gadis ini. Malah dia juga tidak dapat memaafkan papa
kerana mengahwinkan dia dengan gadis ini. Tiada sekelumit cinta pun yang
tersisa kepada Lara. Dia hanyalah bayangan yang sering menghantui masa depan
Asfahan.
Bagaimana
jikalau tiba-tiba Lara kembali semula ke dalam hidupnya? Apa yang harus dia
jelaskan kepada Nadya mahupun Jelita? Apa pula tanggapan mereka terhadap lelaki
seperti dia?
Asfahan terseksa dengan bicara
hatinya. Sejam berlalu dengan begitu pantas dan kini dia telah tiba di Lapangan
Terbang Heathrow, London. Sebaik saja segala urusan di lapangan terbang
selesai, Asfahan menaiki teksi dan terus pulang ke rumahnya yang terletak di
Kensington Square, London.
Dia harus mendapatkan rehat yang
mencukupi. Hari esok adalah hari yang penuh dugaan buatnya. Moga ALLAH
memberikan dia kekuatan untuk menghadapi realiti kehidupannya kini.
***
L’OREAL GROUP merupakan
di antara syarikat kosmetik dan kecantikan yang terbesar di dunia. Ditubuhkan pada 1909 oleh Eugené Scueller,
bangunan yang menempatkan hampir 1,400 pekerja ini terletak di bandar Clichy,
Hauts-de-Seine yang berdekatan dengan Paris.
Jelita dan Ikhlas adalah di antara
1,400 pekerja yang berkhidmat kepada syarikat kecantikan ini. Kefasihan mereka
bertutur dalam bahasa Peranchis menambat hati majikan mereka, Madame Sephora
Leonard. Kini selepas empat hari bercuti, Jelita akhirnya kembali semula ke
pejabat kesayangannya di Jabatan Perhubungan Awam, L’Oreal Group, Paris.
“Bonjour
mes amis!” Hello kawan-kawanku! Ucapan selamat itu diluahkan saat Jelita
memasuki ruangan kerjanya. Rakan-rakannya yang kebanyakan berbangsa Peranchis
dan Amerika mula berpusu-pusu mendekati Jelita dan memeluknya erat. Sungguh
mereka semua rindukannya!
“Comment-allez
vous, Jelita? Tu nous manques!” Bagaimana keadaanmu, Jelita? Kami rindukan
awak, kata Carla, gadis Peranchis yang berbibir nipis.
“Je
suis bien! Merci, I miss you guys too!” Saya dalam keadaan baik. Terima
kasih, saya juga rindukan awak semua, jawab Jelita. Lalu dia berpaling dan
kelihatan tunangnya, Ikhlas tersenyum sambil membawa secawan kopi panas.
“Oh
Ikhlas! Why you always come at the wrong time?” rungut Carla. Dia dan
rakan-rakan lain kemudian meminta diri untuk kembali menyelesaikan kerja.
Jelita terketawa kecil melihat
gelagat rakan-rakan sekerjanya sambil berjalan ke arah Ikhlas yang menyandar di
pintu pejabat. Cawan kopi yang masih panas itu dicapai dan airnya diteguk
perlahan-lahan.
“Thanks
sebab buatkan kopi untuk I! Rajin you pagi-pagi ni ye?” kata Jelita. Dia
menghirup kopi itu lagi. Ah memang menyegarkan! Hilang sedikit kedinginan pagi
yang mencengkam hingga ke tulang hitam itu.
“Kenalah rajin… tunang I baru balik
dari cutikan? Bersemangat sikitlah!” jawab Ikhlas. Lelaki yang berbadan tegap
serta berkulit sawo matang ini memang gemar tersenyum. Walau apa pun yang
menimpa dirinya, senyuman itulah kunci yang meredakan hati Jelita.
“Nah! Dah abis!” Jelita menghabiskan
sisa kopi yang bertakung lalu cawan yang kosong itu diserahkan kembali kepada
Ikhlas. Haa, siapa yang pandai buat kopi dialah yang membasuh cawannya!
“Eh? I pulak yang kena basuh cawan
ni? Pandai you eh?” jawab Ikhlas sambil mencuit hidung mancung milik Jelita. “Anyway, Arifah dah ada kat pejabat tau.
Dari semalam lagi dia asyik tanya you dah balik ke tak..”
“What?
Fa dah ada kat bilik dia? Jap sayang ye.. I pergi dulu!”
Tak sempat Ikhlas mengerdipkan
matanya, Jelita sudah menghilangkan diri! Wah, memang kalau bab-bab bergosip ni
perempuan memang pantas ya? Ikhlas hanya mampu ketawa sendirian melihat tingkah
laku Jelita yang sememangnya bagaikan kartun itu.
Pintu bilik Arifah dikuak perlahan.
Jelita mengintai dari luar. Seorang gadis bertudung satin Turki yang berwarna
biru gelap sedang tekun menatap komputer riba. Dia menjengket masuk
perlahan-lahan dan… “Bah!”
“Opocot mak kau! Ehhh!” Habis
tersembur longhat Melayu yang jarang ditonjolkan Arifah sebelum. Kalau selalu,
asyik saja berslanga Peranchisnya yang pelat huruf ‘R’ itu. Sampaikan nak sebut
nama sendiri pun dipelatkan namanya menjadi “Agheefah”.
“Hoi!” sergah Jelita sambil ketawa
terbahak-bahak. Tubuh badan Arifah dipeluknya erat sampaikan hampir-hampir tak
bernafas rakannya itu. Makin comel pula si Arifah ini, atau nama manjanya Fa.
“Eh Jelitaaa! Kau ni selalu datang
mengejut macam ni tau. Boleh sakit jantunglah aku dibuatnya. Ish, bila balik
ni?” tanya Arifah sambil cuba meleraikan pelukan Jelita yang dianggapnya boleh
membunuh jikalau seminit lagi dia bertahan.
“Semalam aku balik Fa! Lupa nak
beritahu kau...” jawab Jelita. Mereka berdua seterusnya berjalan ke arah sudut
santai di bilik Arifah yang menempatkan sofa dan meja kopi.
“So…
I wanna hear the story! Macam mana? Kau jumpa dia?” Terbeliak mata Jelita
mendengar pertanyaan Arifah. Pertanyaan itu mengundang gelisah dan sedikit
gelojak gembira di hatinya.
“Eh Fa! Tutup pintu tu dulu! Nanti
ada pulak yang pasang telinga,” arah Jelita. Tanpa berlengah Arifah menuruti
permintaan Jelita. Mereka berdua kemudian duduk bertentangan antara satu sama
lain. Sembang gila-gila tadi tiba-tiba berubah menjadi lebih serius.
“Kau rasa?” Jelita mengembalikan
semula persoalan itu kepada Arifah. Dia lebih suka berteka-teki dengan
sahabatnya ini.
“Ish! Kau ni kan… tengok muka pun
dah tahu! Mestilah kau jumpa dia kan?” tebak Arifah.
“Well…
you’re totally right! Aku jumpa dia on
the first day at Cappadocia. And… I succeed!” Jelita menyeringaikan giginya
penuh. Ketawa sinis mula bergema. Hatinya memang terasa puas!
“Wow! Dia tertawan dengan kau?”
“Gila tak tertawan? Memanglah dia
jatuh hati dengan aku. Macam orang dah mabuk cinta. Sekarang ni barulah aku
rasa lega sikit…” Nada suara Jelita kian mengendur. Dia kemudian menoleh ke
arah permandangan luar jendela pejabat Arifah. Paris masih lagi diselubungi
kabus sejuk.
“So
now… semuanya dah selesailah kan?”
“Apa yang selesai?”
“Hubungan kau dengan dia? Ikhlas should have known about this!”
tegas Arifah.
“Oh no no… Aku rasa masih tak cukup kalau aku reveal the truthpada dia dengan secepat itu. So I plan something better for him…” Jelita bangun dari sofa yang
didudukinya lalu berjalan ke arah meja kerja Arifah. Arca bunga ros yang
berdiri tegak di atas meja tersebut dicapai.
“Apa lagi yang kau plan ni?
Sepatutnya kau dah selesaikan semua hal kau dengan dia masa percutian ni.
Patutlah kau balik awal,” balas Arifah. Dia tidak tahu apa yang masih
difikirkan Jelita. Namun dia tahu kemungkinan besar Jelita masih belum puas
dengan apa yang dia lakukan. Dia mungkin mahukan lebih. Lebih dasyat dari apa
yang telah dia lalui sebelum ini.
“Aku tinggalkan dia sebuah harapan.
Biar dia menderita dan terkial-kial bila dia tahu hatinya disakiti.
Ditinggalkan oleh seseorang yang dia sayangi. Walaupun aku sebenarnya tahu…
sakitnya hati dia nanti memang tak dapat menandingi derita yang telah aku lalui
dulu. But its okay! At least dia
dapat merasa!” jawab Jelita. Dia kemudian meletakkan semula arca tersebut ke
atas meja dan mula berjalan ke arah susunan cermin empat segi yang memenuhi
ruang dinding sebelah kiri pejabat Arifah.
Arifah yang mendengar kata-kata
Jelita tidak habis-habis menggelengkan kepalanya. “Jelita… kau tak rasa ke
macam benda ni dah semakin over the limit?
Sudah-sudahlah tu. Aku rasa… baik kau selesaikan kes kau ni cepat-cepat.
Lagipun aku tengok Ikhlas tu dah mula merancang nak kahwin dengan kau, Jelita.”
Jelita yang sedang membelek wajahnya
di susunan cermin empat segi itu tersentak mendengar kata-kata Arifah.
Merancang untuk berkahwin? Tapi… “Ikhlas ada cakap dengan kau ke? Tapi, kau
tahu kan yang aku memang tak boleh nak kahwin dengan dia lagi.”
“Sebab tulah kau kena berterus
terang dengan kedua-dua orang lelaki ni and
stop playing around! Semua plan-plan
ni tak membawa apa-apa faedah pun! Kalau kau terus main-mainkan Asfahan… kau
pun boleh dikategorikan lebih kurang sama saja sikapnya dengan dia! Jelita? Eh
Jelita kau dengar tak ni?”
“Haa?” Jelita bagaikan berada di
dimensi yang lain. Dia terlalu obses dengan cerminan dirinya sendiri. Menatap
wajahnya sendiri itu langsung tidak membuahkan sebarang kebosanan malah dia
semakin teruja. Entah mengapa dia sering terasa begitu sejak akhir-akhir ini.
Mungkinkah kerana sebelum ini dia tidak pernah merasai sebegitu?
“Aku rasa kau ni… dah semakin
berubah.” Arifah mendekati Jelita dan seraya memeluk bahu rakannya.
“Kau tak faham, Fa. Aku memang
cintakan Ikhlas. Dia memang lelaki yang paling baik yang pernah aku jumpa. Aku
janji yang aku takkan sakiti hati dia. Tapi Asfahan, dia berhutang jiwa dengan
aku! He cost me a life! Jangan
salahkan aku kalau aku berubah. Tapi salahkan dia.” Air jernih mulai meleleh ke
pipi mulus Jelita. Sebaknya tak tertanggung. Rakan baiknya itu dipeluk erat.
Arifah
pula terpaksa akur dengan bicara Jelita walaupun dia tahu niat tidak semestinya
menghalalkan cara. Semua in berlaku kerana Jelita terlalu hebat dilukakan. Namun
begitu, secara logiknya sesiapa saja bisa bertindak seperti Jelita jikalau
kurang iman di dada. Ya ALLAH, berikanlah rakanku ini petunjukMU. Janganlah
biarkan dia hanyut dari arah jalanMU.
***