BAB 4
DARI sini
semuanya tampak begitu kerdil. Setiap satu darinya seperti pasir yang
bertebaran di atas muka bumi. Manusia seperti semut-semut yang berkumpul
mencari rezeki di waktu pagi. Atap-atap corong tiga segi pula kelihatan seperti
sarang-sarang semut yang dibina berdekatan antara satu sama lain.
Asfahan tidak dapat menggambarkan
betapa gembira hatinya apabila dapat naik ke atas udara. Tambahan pula temannya
untuk hari ini adalah si cantik menawan yang bernama Jelita. Udara di atas awan
ini sangat nyaman walaupun sedikit menggigit sejuknya. Namun Asfahan tidak
menghiraukan semua itu. Yang paling penting, hajatnya untuk naik ke atas ini
sudah tercapai.
“Macam pesta tahun baru kan?” kata
Jelita secara tiba-tiba.
Asfahan mendekati Jelita yang berada
dihujung bucu sebelah kiri kantung penumpang belon udara ini. Terdapat beberapa
pelancong lain yang naik bersama mereka. Mereka datang dari pelbagai jenis
negara. Ada yang dari China, Amerika Latin dan Filipina.
“Tengok tu. Banyak belon yang
berwarna-warni kat atas ni. Belon-belon ni memenuhi langit yang kosong macam
bunga api. Kosong dan tiba-tiba saja meriah sebab ada belon-belon ni,” sambung
Jelita lagi. Dia kelihatan seperti seseorang yang banyak berfikir. Asfahan mula
menelah satu persatu perilaku gadis ini.
“Pandai awak bermetafora. Saya ni
tak pandai sangat nak bercakap soal falsafah.”
Jelita menyimpul senyuman. Dia
kemudian mengalihkan pandangannya semula ke udara. Menikmati saujana mata
memandang ini.
“So…
tadi saya ada tanya awak satu soalan, sebelum kita naik belon ni. Awak janji
nak jawab kalau saya belanja awak naik belon ni,” bicara Asfahan. Dia merenung ke
arah Jelita yang masih asyik memandang langit yang membiru itu.
“Hmm… soalan tadi tu?” Jelita
kembali menoleh ke arah Asfahan. “Saya tak duduk kat Malaysia dah sebab saya
dah tak ada sesiapa kat sana. Parents
dah lama meninggal. Lagipun saya ada kerja tetap kat sini.”
“Kerja apa?” Asfahan jadi kepingin
ingin tahu lagi.
“Awak ni macam wartawan kan? Nak
tahu semua benda tentang saya.” Jelita menurunkan fedora hitam yang dipakainya.
“Saja je nak tahu…” Fedora yang
dipegang Jelita dirampas Asfahan. Dia mula mengacu-acu fedora tersebut ke
kepalanya.
“Tak penting pun untuk awak tahu.”
Jelita berjalan ke bucu bertentangan mereka. Beberapa pelancong memberi laluan
kepadanya.
Asfahan menggeleng-geleng dan ikut
membontoni Jelita. Jinak-jinak merpati yang begitu sukar untuk didekati. Lelaki
memang mudah tertarik dengan wanita begini.
“Mana tahu… someday…awak adalah orang yang terpenting di dalam hidup saya.” Tanpa
Jelita sedar, Asfahan kini berdiri rapat di belakangnya.
“Jangan
bermain dengan…” Jelita berkalih. Kata-kata yang ingin kelar dari bibirnya
terbantut dengan tiba-tiba. Mata mereka berdua saling bertentangan. Jarak yang
begitu dekat di antara Asfahan dan dirinya membuatkan Jelita kurang selesa
dengan tingkah laku lelaki yang baru dia kenali ini.
“Jangan bermain dengan apa?” Asfahan
masih berada di posisi yang sama. Dia tidak mahu berganjak sehingga Jelita
menghabiskan kata-katanya.
Tindakan Asfahan seakan-akan mencabar
kesabaran Jelita sebagai seorang wanita. Jelita menikam pandangan Asfahan
dengan jelingan tajam. “Bermain dengan kata-kata. Padahnya nanti awak tak
tertanggung.”
Jelita menolak badan Asfahan dengan
perlahan. Dia tidak mahu pelancong lain yang menaiki belon udara bersama mereka
ini terganggu. Dia kemudian beralih ke bucu lain dan meninggalkan Asfahan
keseorangan di situ.
***
LINDA
sibuk memilih dress yang sesuai untuk
dipakainya pada malam ini. Bilik pakaian khas yang telah dibina untuknya penuh
dengan pelbagai jenis baju yang tidak cukup kain. Itu memang fesyen Linda atau
nama penuhnya Linda Kamilla. Gaya ala-ala mat saleh celup yang sering
dipraktikkannya itu memang membawa tuah. Pada usia 25 tahun, dia telah
berkahwin dengan usahawan terkenal bernama Datuk Azim.
Kini perkahwinan mereka sudah
berusia hampir enam tahun. Linda mulai bosan dengan kehidupannya yang terasa
agak sunyi. Tiada anak, tiada penghibur, mahupun masa untuk bercuti
bersama-sama suami oleh kerana Datuk Azim tidak begitu sihat seperti dahulu
lagi. Lelaki tua itu selalu saja sakit-sakit dan mahukan dirinya sentiasa
berada di rumah. Dia sudah jarang keluar bersosial bersama rakan-rakan. Ah!
Tapi nasib baiklah malam ini Datuk Azim ada temujanji di luar bersama rakan
kongsinya. Dapatlah juga dia curi-curi keluar malam ini untuk berpesta dengan
teman-teman.
“Haih! Dah lama tak shopping! Macam dah tak ada baju nak
pakai untuk malam niii!” rungut Linda sendirian. Tangannya terus
menggodek-godek ke dalam almari. Mencari pakaian yang mungkin terselit di tepi dinding
almari tersebut. Mana tahu ada yang belum dipakainya sebelum ini dan masih
terlekat tanda harga bersamanya sekali!
“Hah!” Linda mengeluarkan sehelai dress biru terang yang tidak berlengan.
Masih dengan tanda harga! Ini maknanya dia belum pernah memakai baju ini lagi.
“Lindaaa! You dekat mana tu?” Suara
Datuk Azim bergema dari bilik bacaan.
“Ish orang tua ni! Time-time ginilah nak panggil!” Linda cepat-cepat
memperosokkan baju yang dijumpainya tadi ke dalam almari. Bilik persalinan itu
dibiarkan lintang-pukang. Dia memanjangkan langkah terus ke bilik bacaan.
“Kenapa you?!” kata Linda dalam nada
yang sedikit tinggi terhadap si suami sebaik saja dia memasuki ruangan bacaan
itu.
“Aih marah..?” Datuk Azim mengeluh
kecil. Cepat sangat Linda tersentap semenjak dua menjak ini. Entah di mana
silapnya dia. “You sibuk ke?”
“Tak dalah. Kenapa?” Linda mula
memaniskan roman wajah. Tak baik pula bermasam muka. Nanti nampak sangat macam
aku ni dah menyampah dengan dia.
“Malam ni I tak jadi nak keluar
dengan Datuk Shahrul. I ingat nak ke surau dekat dengan rumah kita tu. You nak
ikut sekali tak?” tanya Datuk Azim. Harap-harap Linda terbuka hatinya untuk ke
sana. Semenjak dia berkahwin dengan gadis muda ini, tidak pernah sekalipun dia
melihat Linda bertelekung.
Linda membuntangkan matanya. Amboi!
Sejak bila pula Azim tiba-tiba rajin nak ke surau ni? Dah buang tabiat ke?
“Aah… I uzur. Lain kalilah kita pergi. You pergilah.”
“Laa ye ke? Hmm..” Datuk Azim
ragu-ragu. Dia tahu itu alasan yang selalu dilemparkan Linda setiap kali dia
mengajak isterinya pergi beribadat. “Oklah.. I pergi sorang sajalah.”
“Okay! So ada apa-apa lagi?” Langkah
Linda pantas saja mahu beredar dari situ. Dia tak sabar-sabar nak mencuba dress biru yang baru dia jumpai tadi.
“Eh kejaplah.. I ni ada benda lagi
nak cakap dengan you ni.”
“Apa?” Ada lagi yang dicakapkannya!
Linda menjeling.
“Tadi I call Asfahan. Dia tu pulak
asyik mengelak je dari jawab panggilan I. Hari tu Lara. Sekarang dia…” Datuk
Azim mengeluh. Bila teringatkan anak dan menantunya itu, dia jadi kusut
seketika. Entah apalah yang terjadi dengan mereka di sana.
“Kenapa? Dia buat alasan dia tak ada
lagi?”
“Yes.
Kali ni Asfahan ada kerja di negara luar. Tak tahulah dia dekat mana pulak.
Ditinggalkan Lara lagi… Patutnya bawak je isterinya tu ikut sekali.”
Linda mencebik. Kalau aku jadi
Asfahan pun, aku takkan bawa Lara tu ke mana-mana. “Dorang ada masalah kot..
You pun tahu Asfahan tu kena kahwin paksa kan?”
“Tapi dah lima tahun. Takkanlah dia
masih bersikap macam tu? Lara tu baik budaknya. Asfahan pasti akan jatuh cinta
dengannya,” tingkah Datuk Azim.
Linda menjulingkan matanya 180
darjah. Oh tidak! Lara? Asfahan? Memang pasangan yang tak kena langsung! Apalah
yang Azim nampak pada Lara tu? “Sayang… I tak rasa mereka happy pun sekarang ni. The
only reason why they are together now is because you want them to. Asfahan deserve a better woman. Kalau
Lara tu I tak tahulah…”
Datuk Azim tersentap seketika
mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya. Sampai hati Linda
mengutuk Lara sebegitu rupa! Lara itu tidak harus dinilai dengan pandangan mata
kasar. Dia tulus orangnya. Ikhlas dalam melakukan sesuatu dan juga baik hati.
Itu yang lebih penting!
“I
know you memang tak sukakan dia. Tapi dia tu budak baik.”
“Baik saja tak mencukupi sayang.
Dahlah I nak masuk bilik kejap. Kalau ada apa-apa Whats App I je. Tak payahlah
you susah-susah nak jerit.” Linda berlalu meninggalkan Datuk Azim keseorangan.
Datuk Azim menekur wajahnya. Adakah
keputusan yang dia lakukan lima tahun dulu itu suatu kesalahan? Jika ia suatu
penderitaan buat Asfahan dan Lara… maka dia memang patut menerima hukumannya.
Dialah manusia yang bersalah. Bukan Asfahan ataupun Lara jikalau mereka
berpisah.
***
SEBAIK
saja belon udara itu menjejak ke tanah, Jelitalah orang pertama yang ingin
turun darinya. Wajahnya merona merah menahan amarah. Sikap Asfahan tadi memang
berlebihan! Cuba menggodanya di atas belon udara. Ingat dia tidak sedar akan
hal itu?
“Hey Jelita! Wait! Tunggu sayaaa!” jerit Asfahan dari belakang. Marah sungguh
wanita ini. Nampaknya memang dia sudah tersalah langkah.
Asfahan berlari-lari anak mengejar
Jelita yang sudah hampir separuh perjalanan mendekati hotel. Tangan Jelita
direntap ke belakang. Tubuh wanita itu tersentak dan hampir-hampir saja jatuh
ke atas badan Asfahan semula. Namun Jelita cepat-cepat mengawal graviti
tubuhnya dari terus terjatuh dengan menegakkan kedua-dua belah kakinya.
“Eh apa ni? Main tarik-tarik!” marah
Jelita.
“Sorry!
Please! I just…”
“Lepaskan tangannya saya!” Jelita
bergelut untuk meloloskan tangannya dari cengkaman Asfahan yang kuat. Lelaki itu
seperti tidak mahu membiarkannya pergi.
“Please!
Kejap!” Asfahan melepaskan cengkamannya terhadap pergelangan tangan Jelita
namun dia cepat-cepat menahan wanita itu dari terus meloloskan diri dengan
mencengkam kedua-dua belah bahunya pula.
“Eh! Lepaskan! Kalau tak saya
jerit!” ugut Jelita. Dia sudah tidak tahan dengan sikap menggila Asfahan.
Ternyata lelaki ini sakit otak!
“Syy! Saya cuma nak cakap sorry je! Please…”
“Cakap sorry?” Jelita memandang tubuh Asfahan dari atas hingga ke bawah. Gila
ke apa nak cakap maaf sampai nak kena cengkam badan aku macam ni! Dia ingat aku
sayur?
“Yes…
kalau saya lepaskan you. Awak janji tak lari kan?”
Jelita mengecilkan matanya. Psycho! “Okay.. Saya tak lari..”
Tangan Asfahan perlahan-lahan
meleraikan cengkaman telapak tangannya dari bahu Jelita. Jangan lari! Jangan cuba
nak lari…
“I
am very sorry. Saya tak bermaksud nak buat benda-benda yang tak elok pada
awak. Saya faham, kita baru saja berkenalan. Sudah semestinya awak tak selesa
dengan tindakan saya tadi. Maafkan saya sekali lagi ya,” ujar Asfahan dengan
serius. Mimik wajahnya berubah serta merta. Seperti tidak menyangka kenapa dia
begitu mudah terleka sehingga melakukan perilaku buruk itu semasa di atas belon
udara tadi.
Jelita mengangkat keningnya tinggi.
“It’s okay.Saya… harap awak dah tak
buat lagi. Dan terima kasih jugak sebab memahami yang kita ni baru saja
berkenalan. Lagi satu saya nak ingatkan awak, kita orang timur. Bukan orang
barat… Jadi awak kena jaga maruah wanita macam saya.”
Asfahan menghela nafas lega. Nasib
baiklah dia tak marah! Tapi sempat lagi bersyarah. “Again I’m really sorry. Saya faham apa yang awak cuba sampaikan.”
Jelita menarik fedoranya dari tangan
Asfahan dan memakai semula topi tersebut ke kepalanya. “Yeah… I pergi dulu.”
“Wait!”
jerit Asfahan semula.
Jelita berpaling sambil mengherotkan
bibir. “Apa lagi?"
“Petang ni you free tak? Kita minum petang sama-sama?” Asfahan menyeringaikan giginya.
Jambul yang menutupi dahi ditarik ke belakang. Wajahnya ada iras-iras Hugh
Jackman yang kemas bercukur di wajah.
Jelita memejamkan mata sambil
tersenyum. “Pukul empat kat café. Bye!”
Asfahan bagaikan tidak percaya
dengan apa yang didengarinya. Dia setuju! Yes!
Yes! Dengan serta merta Asfahan terlompat-lompat ke udara tanpa
menghiraukan pelancong lain yang berada di sekeliling.