BAB 15
Imbas kembali: New York, 2009
JIRANsebelah rumah ini memang pelik
orangnya. Jarang sekali keluar rumah. Jarang sekali juga nampak mereka
bermesra. Yang selalu dia dengar adalah kata-kata benci dan cemuhan dari si
suami yang selalu pulang lewat malam. Si isterinya pula memang tidak selalu
keluar rumah. Kadang-kadang dia terfikir juga, ada kemungkinan si isteri
dilarang dari keluar rumah.
Hari ini dia tidak putus asa untuk
cuba saling mengenal dengan jiran sebelah rumahnya ini. Mereka orang Melayu.
Dia juga orang Melayu. Bukan mudah nak bertemu dengan orang yang asal-usulnya
sama di New York ini.
“Nanti malam I balik lambat. Tak
payah nak tercegat kat depan pintu tu lagi.” Si suami dengan nada kasarnya mula
keluar dari banglo yang dia dan isterinya tempati. Lelaki itu sempat lagi
membetulkan tali lehernya di hadapan pintu rumah. Manakala rupa isteri masih
belum lagi kelihatan.
Dia seperti biasa tertinjau-tinjau
dari halaman rumahnya ke dalam rumah pasangan suami isteri tersebut. Manalah
isterinya? Tak pernah sekali pun aku bertegur sapa dengannya. Apalah pemalu
sangat sampai asyik duduk memerap dalam rumah saja? This is NY! Kenalah bersosial sikit dengan orang sekeliling.
“Assalamualaikum encik! Dah nak ke
tempat kerja ke?” Dia memberanikan diri untuk menegur si suami. Tudungnya yang
ala-ala makcik kampung itu dibetulkan bahagian muncung hadapannya.
“Hmm..” Sepatah itu saja balasan si
suami.
Dia mencebik dan sempat mengumpat di
dalam hati. Dasar Melayu lupa diri! Sombong kemain kau ya! Mat Salleh celup!
“Maafkan suami saya cik..” Tiba-tiba suara
halus yang kedengaran dari balik pintu rumah jirannya itu mencelah.
Terkedu dia dibuatnya. Lalu sepasang
mata miliknya mula mencari pemilik suara halus tersebut. Habis pokok dan pasu
yang bersusun di taman dipijaknya. Namun semuanya tidak berhasil. Dia hanya
mampu melihat dari jauh sebatang tubuh milik gadis itu yang menyorokkan dirinya
di balik pintu. Gadis itu tersenyum sambil perlahan-lahan menutup pintu
rumahnya.
Dia terpempan. Setelah hampir lima
ke enam bulan berjiran, inilah kali pertama mereka berbicara walaupun tidak
dapat bertemu secara dekat. Namun dia yakin dan pasti, itu bukanlah kali
terakhir dia menjumpai gadis bersuara halus itu lagi.
***
“ASFA! You dah siap tak?”
Nadya menjenguk ke dalam bilik
bacaan Asfahan Redza di tingkat bawah rumah
tersebut. Kelihatan kekasihnya sedang sibuk meneliti beberapa kertas
lukisan yang tersusun di atas meja.
“Eh?” Asfahan sempat mengangkat
kepalanya sejenak dan kemudian menumpukan semula konsentrasi pada kertas-kertas
lukisan yang ditatapnya tadi. “Tak dengar bunyi loceng pun? Macam mana boleh
masuk?” tanya Asfahan tanpa memandang ke wajah Nadya.
“Pintu rumah tu… tak berkunci! You
ni kan macam tak terurus je I tengok. Bilik bacaan bersepah, pintu rumah tak berkunci…
dah tiba masanya you ni berkahwin!” Nadya tergelak kecil. Dia mula mendekati
Asfahan dan duduk di atas meja kayu yang menjadi tempat Asfahan bekerja.
“Haih… awal you sampai? Belum pun
pukul lima petang lagi.” Asfahan cepat-cepat menukar tajuk bicara. Takut nanti
dia memberi harapan palsu pula pada Nadya. Matanya sempat mengerling pada jam
tangan yang menunjukkan detik pukul 4.30 petang.
“Alaa lagi setengah jam je…” rengek
Nadya. Dalam pada itu, matanya meliar ke seluruh ceruk bilik bacaan tersebut.
Di mana mungkin Asfahan menyimpan sijil perkahwinannya? “Apa kata kalau you
siap-siap cepat?”
“Siap? I dah siap dah ni…”
“Eh? Macam ni siap ke? Pakai t-shirt
putih simple macam ni untuk keluar date? Come on sayang… handsome-handsomelah
sikit.” Nadya mula melakonkan ulahnya. Peluang untuk mencari sijil perkahwinan
itu harus dicari. Sungguhpun dia tahu perkara ini amat berisiko untuk
dilakukan.
“Hmm, tunggu kejap. Jangan sentuh
lukisan-lukisan ni. I tukar baju kejap je tau!” pesan Asfahan yang kemudiannya
keluar dari bilik tersebut.
Sebaik saja kelibat Asfahan hilang
dari pandangan, Nadya melompat ke arah susunan fail yang menimbun di sebelah
meja. Dia membelek satu persatu fail tersebut. Tiada! Semuanya fail berkenaan
syarikat dan urusan berkaitan dengan pelanggan.
Nadya kemudian beralih ke rak-rak
buku yang tersusun rapi. Dia hanya melihat dari jauh tanpa menyentuh buku-buku
tersebut. Rasanya tak mungkinlah Asfahan menyimpannya di celah-celah tulang
buku ini. Tak logik langsung dan ia juga memakan masa untuk meneliti satu
persatu rak yang tersergam indah itu.
“Kalau aku jadi Asfahan… kat mana
tempat yang paling selamat untuk menyimpan sijil penting macam tu? Ahh otak
cepat berfikir! Cepat!” Nadya bermonolog seraya mengetuk-ngetuk kepalanya. Biar
neuron-neuron bergabung!
Pandangannya beralih kembali ke meja
kayu yang menjadi tempat Asfahan menyiapkan hasil kerjanya. Mata Nadya
dipicingkan ke arah laci-laci yang bersambung dengan meja tersebut. Salah satu
daripada laci itu mempunyai lubang kunci.
Tanpa berlengah, laci itu ditarik
buka untuk melihat isi dalamnya. Walaubagaimanapun, sekali lagi usahanya tidak
berhasil. Laci tersebut berkunci! Mana pulalah Asfahan menyimpan anak kuncinya?
Nadya serabut.
Perasaannya
juga semakin bertambah yakin yang ada kemungkinan Asfahan menyimpan sijil itu
di dalam laci ini. Mana lagi tempat yang lebih selamat selain menyimpannya ke
dalam laci yang berkunci? Sesuatu yang berkunci itu sudah pasti ada rahsia di
dalamnya!
“Nadya! You buat apa kat bawah meja
I tu?”
Bam! Kepala Nadya terhantuk ke meja.
Aduh, malang nasib aku!
“Tak.. tak.. I cuma nak bersihkan
bilik you ni je,” jawab Nadya sambil menggosok-gosok kepalanya. Robot ke apa si
Asfahan ni? Cepat betul bersiap. Pergilah mandi sekali ke, letak minyak wangi
banyak-banyak ke…
“Bersihkan? Dahlah, jom kita pergi…”
ajak Asfahan sambil berjalan keluar dari bilik tersebut.
Nadya tergopoh-gopoh membontoni
Asfahan dari belakang.
‘Cis!
Kena mintak pertolongan Jason lagilah nampaknya ni!’ rungut hati Nadya.
***
“FA
buatkan Jelita kopi… Minumlah. Masih panas lagi ni,” kata Arifah sambil
meletakkan secawan kopi Peranchis ke atas meja.
Kopi yang dibancuh Arifah dihirup
perlahan. Belum puas dia menikmati pekatnya kopi itu, panasnya dahulu menggigit
bibir Jelita. Ouch! Cawan itu diletakkan semula ke meja. Jelita menongkat
dagunya sambil memuncungkan wajah.
“Minum lagi kopi tu… nanti hilanglah
sakit kepalanya. Kau ni banyak fikir sangat Jelita. Nanti lama-lama boleh kena
penyakit darah tinggi tau. Yang sudah tu sudahlah…” ujar Arifah yang juga
memegang secawan kopi di tangannya. Dia kemudian duduk di kerusi bersebelahan
dengan Jelita.
“Kau ni Fa… apa yang sudah? Bagi aku
semua ni baru je bermula.” Kopi yang kepanasannya mulai menurun itu dihirup
kembali. Kali ini barulah dia dapat merasa betapa pekat pahitnya rasa kopi
buatan Arifah. Tak letak gula ke?
“Bermula? Aku rasa sudah-sudahlah.
Tak perlu kau berdendam sangat dengan si Asfahan tu. Apa kata kalau kau ambil
pendekatan untuk berbaik-baik? Maksud aku, bersemuka dengan dia dan cuba
beritahu dia apa yang kau rasa dan apa yang kau nak. Then, aku rasa barulah hati kau akan tenang. Kalau tak, kau terus
akan macam ni sampai bila-bila. Asyik je dirundung bayang-bayang masa lepas,”
jelas Arifah.
Jelita tidak setuju dengan apa yang
dituturkan Arifah. Baginya, tiada kompromi untuk lelaki seperti Asfahan Redza!
“Dahlah!
Tak payah nak sembang pasal dia. Kalau aku cakap apa pun, kau tetap juga nak
menangkan dia.”
“Ini bukan soal menangkan siapa-siapa
tapi…”
“Tapi apa?” Jelita mula meninggikan suara.
Sakit kepala pula kembali menyengat. “Stop
it lah. Kau buat aku sakit kepala.”
“Cuba kau tenangkan diri kau dengan
bersolat. Mendekatkan diri dengan ALLAH. Baca Al-Quran... Kau sejak akhir-akhir
ini dah jauh berbeza dari dulu.” Arifah masih berlembut. Dia risau dengan apa
yang dilihat dalam diri Jelita semenjak dia berubah seperti sekarang.
Sewaktu
dia mula berkenalan dengan Jelita, gadis ini seorang yang pemalu dan taat pada
suruhan agama. Tidak pernah tinggalkan solat, malah sentiasa mensyukuri dengan
apa yang dia ada. Namun sejak tragedi itu, Jelita menjadi manusia yang khilaf
dan sentiasa menyalahi TUHAN atas segala apa yang berlaku.
Tarbiah Arifah membuatkan Jelita
terdiam buat beberapa ketika. Dia sedar akan kekurangan dirinya kini namun
hatinya bagaikan semakin jauh dari hal-hal yang disebutkan Arifah tadi. Entah
mengapa dia merasakan dirinya yang dahulu itu sudah mati dan inilah dirinya
yang baru. Sikap baru, persekitaran baru dan wajah yang baru.
“Kau bercakap macam Ikhlas,” kata
Jelita. Dia kemudian bangun dan membawa cawan kopinya ke sinki untuk dibasuh.
“Bercakap tentang Ikhlas… kau ni
betul-betul ke cintakan dia? Ataupun kau sekadar nak memperdaya dia juga? Aku
tak sanggup… tak sanggup tengok dia tersenyum dan ketawa atas sandiwara cinta
yang kau hamparkan buat dia ni. Kalau kau tak cintakan dia, lebih baik…”
Kata-kata Arifah terhenti. Dia takut jikalau Jelita dapat mengesyaki sesuatu
dari sikap prihatinnya yang melambung terhadap Ikhlas.
“Aku cintakan dia. Dia lelaki yang
baik dan memang aku nak kahwin dengan dia. Tapi sekarang bukan masa yang
sesuai. Kau pun tahu yang aku masih isteri orang. Jadi Ikhlas harus bersabar,”
luah Jelita.
“Tapi bersabar sampai bila? Fa rasa
lebih baik Jelita selesaikan segala urusan Jelita dengan Asfahan secepat yang
mungkin. Ikhlas dah merancang nak kahwin dengan kau.”
“Dah rancang nak kahwin?” Jelita
berpaling ke arah Arifah. Kening kanannya diangkat tinggi. “Macam mana kau
tahu? Aku tak pernah pun bagitahu kau pun yang dia memang rancang nak kahwin
dengan aku.”
Arifah mengetap bibirnya kuat. Air
liur pula ditelan perit. “Aku mengagak je.”
“Anyway
kau dari mana eh tadi? Tiba-tiba je datang ke rumah aku ni?” tanya Jelita lagi.
Sekali lagi Arifah terpempan dengan
pertanyaan Jelita. Memang sulit keadaannya jikalau kita mencintai kekasih rakan
baik kita sendiri.
***
LA
SOPHIA yang terletak di Golbourne Road, London menjadi tempat pilihan Nadya
untuk menikmati makan malam bersama Asfahan. Restoran ini merupakan
satu-satunya restoran di sini yang menyediakan makanan Peranchis yang halal.
Asfahan dan Nadya memilih meja yang
berdekatan dengan jendela. Langsir restoran yang bercorak mewah serta
dindingnya yang diwarnakan emas dan perak itu menimbulkan aroma romantis di hati
Nadya namun sebaliknya pula dengan Asfahan. Asfahan sedang berdepan dengan
gelora di hatinya. Antara hendak diluah ataupun disimpan dengan begitu saja.
‘Ah, tapi sampai bila pulak nak
menyimpan perasaan cinta yang melimpah ruah ni? Kalau terlambat melepas!’ getus
hati Asfahan. Dia yakin suatu masa nanti Nadya akan mengetahuinya juga.
Bilamana dia dan Jelita akan bersatu nanti, semua orang akan tahu juga. Jadi
sampai bila?
Selepas membuat pesanan makanan,
Nadya mula melingkarkan tangannya ke jemari Asfahan. Dia ingin mengembalikan
saat bahagia mereka sewaktu mereka hangat bercinta dulu. Terimbau-imbau pula
kenangan pertama kali dia bertemu dengan Asfahan Redza di parti masquerade hampir tiga tahun dahulu.
“Nad…” Asfahan mula menarik
tangannya dari terus dipegang Nadya. Dia merasa tidak selesa. “Sebenarnya I ada
perkara yang dibincangkan dengan you.”
“Perkara apa?” Nadya terasa lain
dengan sikap Asfahan. Kekasihnya tidak pernah serius seperti ini. Sejak pulang
dari Cappadocia, Asfahan telah berubah menjadi seorang yang dingin terhadapnya.
“Tentang kita.”
“Kenapa dengan kita? You nak melamar
I ke?” tebak Nadya. Dia mula mengulum senyuman kecil.
“Bukan. Tentang perhubungan kita
yang I rasa semakin berantakan.”
Nadya terdiam seketika. Berantakan?
Maksudnya, semakin retak? “Bila masa hubungan kita berantakan?”
“Sekarang ni I rasa kita dah tak
sefahaman macam dulu. You mungkin tak rasa begitu. Tapi I mula merasakan yang
hati I ni… hati I ni semakin jauh dari perasaan yang dulu I rasakan terhadap
you. Cinta kita semakin hambar dan tiada penghujungnya, Nadya,” kata Asfahan
sambil menoktahkan kata-katanya dengan hirupan air kosong yang disediakan di
atas meja. Lega. Terkeluar juga ayat-ayat itu dari mulutnya.
“No!”
Nadya mula meninggikan suaranya. Dia sedar akan kehadiran orang sekeliling yang
memandang, namun dia tidak kisah. Hatinya terluka. Sampai hati Asfahan buat
begini kepadanya. Setelah sekian lama dan terlalu banyak pengorbanan yang dia
lakukan, Asfahan memang tidak pernah menghargai satu pun darinya!
“Bantahlah ataupun marahlah mahupun
salahkanlah I sebanyak mana pun. I dah tak kisah. I rasa hubungan kita sampai
disini saja.” Berat hatinya dengan tindakan yang dilakukan. Tapi ia adalah apa
yang dia harus lakukan. Dia tidak lagi mencintai Nadya. Hatinya kini terpaut
kepada Jelita.
“You kejam! Kejam sangat-sangat
Asfahan. I cintakan you dengan sepenuh hati I. I sanggup menipu dengan papa you
demi kesenangan hidup you. But this is
what I get?! How could you? Tegar
sungguh hati you ya!” Airmata mulai merembes keluar dari kolam mata Nadya.
Hatinya memang benar-benar terluka. Dia tidak menyangka Asfahan sanggup meninggalkannya.
“Nad…” Asfahan mencengkam kedua-dua
telapak tangan Nadya. Dia cuba menenangkan gadis itu. Pengunjung restoran mula memandang serong terhadapnya. Lelaki yang
membuatkan seorang gadis menangis! Kejam sungguh lelaki itu.
“Apa lagi yang tak cukup pada I? You
beritahu I! Semua yang tak ada pada isteri you tu ada pada I kan? You yang kata
dulu kan? Cuba you beritahu dengan I, kenapa kita perlu berpisah?” Suara Nadya
masih berserak. Airmata yang meleleh ke pipi juga masih belum berhenti.
“Bukannya kerana kelemahan you, Nad.
Tapi kerana…” Asfahan memandang ke bawah. Patutkah dia tahu? “I cintakan orang
lain.”
Nadya menarik nafasnya dalam-dalam.
Kemudian menangis dengan lebih kuat. Habis tisu yang tersedia di atas meja
digunakannya untuk mengelap airmata. “Cinta orang lain? Siapa perempuan yang
hebat sangat tu? Kat mana you kenal dia? Bila you bercinta dengan dia?!” tanya
Nadya bertubi-tubi.
“Dia… I kenal dia masa kat
Cappadocia. She’s nice, beautiful… I
tak tahu… macam nak gambarkan dia. Namanya Jelita.” Tergagap-gagap Asfahan
dibuatnya. Nadya memang benar sedang naik angin!
“What?
Kat Cappadocia? Patutlah… patutlah you asyik mengelamun lepas tu dingin dengan
I.” Nadya mengelap airmata pantas. Dia berhenti menangis. “Dah, I nak balik.
Don’t ever try to say sorry to me! I
takkan berpisah dengan you. Dan I akan pastikan si Jelita tu akan menyesal
sebab cuba rampas you daripada I!”
Nadya bangun dari kerusi yang
didudukinya. Dia terus menuju ke pintu keluar restoran dan mula menahan teksi.
“Eh Nad! Tunggu! Biar I hantarkan
you.”
Asfahan
mengejar Nadya dari belakang. Saat Nadya masuk ke dalam perut teksi yang ditahannya, Asfahan menarik lengan Nadya.
“Lepas!
Kalau tak I jerit panggil polis,” ugut Nadya.
Asfahan
terpaksa membiarkan Nadya pergi. Hatinya juga sedih dengan tindakan melulu yang
diambilnya. Entah betul, entah tidak. Entah Jelita akan menghargainya ataupun
tidak.