BAB 7
“NADYA?”
Jason hanya mampu menepuk dahi sambil mengetuk meja gadis itu berkali-kali
dengan harapan Nadya akan tersedar. Mengelamun dah sampai ke Malaysia tu
agaknya!
“Eh Jason! Bila you sampai ni?”
Nadya tersedar ke alam realiti. Jiwanya telah terbang hilang entah ke mana
tadi.
“Alahai you ni! Dari tadi I ketuk
meja, dah dekat lima minit dah. Baru you nak sedar?! Kenapa termenung panjang
ni?” balas Jason, rakan sejawat Nadya dan Asfahan. Lelaki berbangsa Cina ini
adalah di antara rakan Malaysia mereka yang paling rapat di syarikat Empressive
Design milik Asfahan Redza.
“Huh… sorry sangat ye Jason. I tak sedarlah…”
Jason mengeluh sambil menarik kerusi
di hadapan meja Nadya untuk duduk. “Cuba cerita dengan I, apa masalah you ni?”
“Masalah I ialah Asfahan! Dia ni
makin menjadi-jadi pulak perangainya sejak akhir-akhir ini.” Nadya bingkas
bangun dari kerusi yang diduduki. Panas pula hatinya. Kalau lama-lama begini,
boleh masuk wad mental!
“Apa pulak si Asfahan tu?”
“Semalam I call dia, nak cakap dengan dia… tapi tiba-tiba je dia letak telefon
dekat I! Panas tau hati ni! Dia ingat I ni apa? Tak sempat I nak cerita kat dia
pasal papa dia call I beberapa hari lepas,” rungut Nadya. Nasib baiklah Jason
masuk biliknya pagi ni. Terlepas jugalah perasaan marah yang bertakung di hati.
“Laa… itulah I pesan dengan you.
Ikut bercuti dengan dia. Ini tak! You workhaholic
sangat! Anyway, tadi you cakap papa dia call kan.. Kenapa pulak?” Cerita
Nadya dirasakannya bertambah hangat. Jikalau papa Asfahan menelefon, pasti ada
cerita panas yang bakal dikisahkan Nadya.
“Hmm… macam biasalah. Mesti nak
tanya khabar Lara. Papa dia tu rindu sangat nak Asfahan dan Lara balik
Malaysia.”
“And
then, you cakap apa?” tanya Jason sambil menelan air liurnya. Risau rahsia
terbongkar tanpa diduga.
Nadya berjalan semula ke arah kerusi
miliknya sambil menjawab, “Biasalah… I terpaksa mengaku jadi Lara. Nak cakap
apa lagi kan? I pun dah pening dengan sikap Asfahan tu. Sampai bila dia nak
biar masalah ni tergantung! I kadang-kadang rasa dia tu memang sengaja tak nak
bercerai dengan Laralah!”
“Haiya ini Asfahan! I pun dah cakap
banyak kali tau dengan dia. Suruh dia pergi jumpa dengan Lara. Divorce dengan perempuan tu dan kahwin
dengan you. Tapi bila I cakap soal ni, dia diam je. Macam tak ada respon.
Sampai bila you pun nak menipu dengan papa dia kan? Emm apa kata kalau you je
yang jumpa dengan Lara tu!” Jason cuba memberikan buah fikirannya kepada Nadya.
Manalah tahu boleh menyelesaikan masalah.
“Oh
I can’t do that! I tak tahu kat mana si Lara tu sekarang. Tengok muka dia
pun tak pernah! Sepanjang I kawan dengan Asfahan, mana ada dia ceritakan
tentang Lara or tunjukkan gambar Lara dekat I. Misterius betullah perempuan tu,”
jawab Nadya sambil memicit-micit kepalanya. Sakit pula kepala ni bila fikir
macam-macam!
“I pun peliklah. Asfahan memang tak
pernah nak ceritakan tentang Lara dekat kita. Habis tu you nak buat apa
sekarang?”
Nadya terdiam sambil memejamkan
matanya. Hanya ada satu jalan saja yang bermain di mindanya. Beberapa saat
kemudian matanya dibuka. “I dah fikir masak-masak. Bila dia balik je dari
Cappadocia, I nak dia berkahwin dengan I. And…
I nak dia cari Lara dan ceraikan perempuan tu. Dia juga kena berterus terang
dengan papa dia mengenai hal dia dengan Lara tu. Kalau tak…”
“Kalau tak, you nak buat apa?” Jason
menyoal.
“I akan tinggalkan syarikat ni! I
dah tak nak jadi designer lagi. Biar bankrupt
syarikat dia!”
***
“AWAK tahu ke bawak skuter ni?”
Jelita seperti kurang yakin dengan
kebolehan Asfahan Redza. Dahlah menunggang skuter tersemput-semput. Nak naik
bukit berbatu ni pun lebih dari setengah jam!
“Tahulah! Saya ada lessen motor tau.
Jangan ingat saya ni tak reti bawak motor.” Asfahan mencebik. Duduk je lah
diam-diam kat belakang tu. Banyak cakap pulak Cik Jelita kita ni!
“Hmm ada lesen je buat apa kalau
jarang-jarang bawak. Ntah-ntah… dah bertahun tak bawak motor tak awak ni?”
sindir Jelita lagi. Matanya menjeling tajam. Rasa sia-sia pula mengikut
perancangan Asfahan yang dikatakan ‘superb’
ini.
Kedua-duanya mengunci bicara.
Masing-masing menahan panas di hati. Dari sudut diri Asfahan, Jelita dirasakannya
berlagak jual mahal. Pantanglah dia tahu ada orang sukakannya, mulalah nak buat
macam-macam ragam. Manakala Jelita pula merasakan Asfahan sering berpura-pura
dengannya. Sengaja berbuat baik hanya kerana ingin menambat sekeping hati
miliknya.
“Permandangannya dari bawah ni
biasa-biasa je…” bicara Jelita secara tiba-tiba. Matanya meneroka setiap sudut
tanah lapang yang terbentang di Cappadocia. Permandangan berselang-selikan
pepohon renek hijau dan juga batuan berpasir membuatkan gadis ini mudah terasa
bosan.
“Biasa-biasa bagi awak. Tapi bagi
saya, ia adalah suatu pengalaman yang menarik dan menenangkan. Nanti saya bawa
awak naik ke Kaymakli Underground City,” jawab Asfahan dengan nada lembut.
Kalau diikutkan hatinya memang dia tidak mahu bertekak lagi dengan Jelita. Tapi
gadis ini ada saja poinnya untuk menyindir Asfahan.
“Ada apa kat situ?”
Skuter yang diboncengi mereka mula
menuruni kaki bukit yang berpasir. Asfahan menoleh sedikit ke belakang dan
mengarahkan Jelita memegang erat besi pemegang yang berada di belakang skuter.
Nasib baiklah ada besi pemegang
tersebut. Kalau tak memang tidaklah dia menaiki skuter bersama Asfahan.
Takkanlah pula dia nak berpaut erat di belakang tubuh jejaka ini? ‘Awkward!’ getus hati Jelita.
“Underground
city yang kita nak pergi ni dah dibuka pada tahun 1964. Di dalamnya ada
lebih kurang lapan tingkat bawah tanah, tapi empat je yang dibuka kepada orang
awam. Kat dalam tu basically, awak
boleh merasalah macam mana orang dulu-dulu duduk di dalam gua. Dorang ni dulu famous dalam bidang membuat tembikar…”
jelas Asfahan panjang lebar. Gemar pula dia bercerita mengenai sejarah.
“Oh… macam mana awak tahu tentang
semua ni eh?” Jelita terkebil-kebil mendengar penjelasan Asfahan. Pandai jugak
mamat ni ye!
“Saya bacalah awak. Sebelum saya
sampai sini… saya dah buat research
dulu dah. Tempat mana yang mesti saya pergi selama saya ada di Cappadocia ni.”
“Hmm… untunglah kekasih awak kan?
Ada boyfriendyang bijak macam awak
ni.”
“Ha’ah memang dia beruntung.”
Asfahan tersenyum mendengar pernyataan yang terkeluar dari lidah Jelita. Dia
pulak yang nak ‘test market’ sekarang
nampaknya!
“What?
Jadi awak memang ada girlfriend?”
Jelita seperti tidak percaya pula dengan kata-kata yang baru dilontarkan
Asfahan.
“Iyelah. Awak ingat saya main-main
ke?”
“Lepas tu awak keluar dengan saya
macam ni? Mesti dia mengamuk kalau dia tahu ni!” Wajah Jelita mulai memerah.
Cis! Memang semua lelaki sama saja. Tak ada erti kata berbeza atau berubah!
“Dia dah mengamuk pun… Eh!!!”
Skuter yang mereka naiki mula
terhincut-hincut. Ia kemudiannya semakin menderas menuruni bukit. Asfahan cuba
menarik pedal brek namun ia tidak berhasil.
“Eh kenapa ni? Awak, kita
berhentilah!!” Jelita mulai resah. Makin lama, makin laju pula skuter ni. Macam
tidak mahu berhenti. Bahaya!
“Kita tak boleh nak berhenti! Brek
tak makan!” jerit Asfahan. Skuter yang dinaiki mereka mulai melelong. Tayar
skuter tersebut tidak dapat bertahan dengan lebih lama lagi. Kemungkinan mereka
bakal terbabas atau menjunam turun dari kaki bukit yang berbatu-bata ini.
“Jelita! Awak pegang besi pemegang
kat belakang seat tu kuat-kuat! Saya
nak tahan skuter ni dengan kaki saya!” arah Asfahan.
Jelita mula perit menelan air liur.
Menyesal! Menyesal aku ikut dia tadi! Kalau tahu benda ni nak terjadi memang
dia tak adalah beriya-iya nak ikut lelaki separa sewel ini.
Asfahan mengeluarkan kaki kanannya
ke tanah yang berbatu-batan itu. Skuter itu digelecekkan ke sebelah kanan lalu
lutut kanannya digunakan sebagai penahan untuk memberhentikan skuter tersebut.
“Aaa!!!” Jelita menjerit sambil
memejamkan mata. Wajahnya disorokkan ke belakang tubuh Asfahan.
Akhirnya mereka berdua tercampak ke
tanah bersama-sama dengan skuter yang dinaiki. Tubuh Asfahan tergolek beberapa
meter ke hadapan. Manakala Jelita pula hanya tercampak dengan jarak lima kaki
dari skuter yang dinaiki mereka.
“Asfahan!” panggil Jelita. Matanya
dimasuki debu-debu kecil, namun dia masih boleh bangun dan mulai merangkak
untuk mencari jasad Asfahan. Mujurlah dia tidak cedera apa-apa terutamanya pada
wajah yang halus mulus ini. Cuma tangan dan kakinya saja sedikit calar balar.
Jelita terus merangkak lagi. Tubuh
Asfahan cuma beberapa kaki saja dari dirinya. Ya ALLAH, masih hidupkah lagi
lelaki itu? Janganlah apa-apa terjadi kepadanya!
“Asfa…! Asfahan!” panggil Jelita
lagi. Namun lelaki itu masih tidak menyahut. Jelita menggagahkan lagi kudratnya
untuk terus mendekati Asfahan.
Alangkah terkejutnya dia apabila
tubuh jejaka itu didekati. Astaghfirullah! Kepala lelaki ini berdarah. Darah
yang keluar makin lama makin melimpah. Apa yang harus dia lakukan?
Jelita mula menangis teresak-esak. Dia seperti
orang yang kehilangan arah. Tidak tahu apa yang seharusnya dia lakukan.
“Help! Help me! Help me please!”
Hanya
perkataan itu sajalah yang bisa keluar dari lidahnya yang semakin tumpul dari
kata-kata.
***