BAB 9
Bayu
berlalu lembut. Dress putih berlengan panjang yang disarungkan Jelita itu
berombak tatkala angin sepoi-sepoi bahasa mula mengelus ke arahnya. Suasana
makan malam yang berlatarkan bukit-bukau yang berbatu dan limpahan cahaya lampu
kecil di sekeliling restoran itu mencambahkan aroma romantis antara Asfahan dan
Jelita.
Jelita tidak banyak menata rias
wajahnya yang sudah sedia mulus itu. Palitan maquillagehitam pada pelepuk mata serta lipstik merah jambu cair
sudah memadai bagi wanita seindah Jelita. Manakala Asfahan pula mengenakan
kemeja putih yang disarung jaket kulit coklat ke atasnya. Dahi Asfahan masih
lagi berbalut namun pertemuan malam ini sudah cukup meredakan segala
kesakitannya.
“Saya happy sangat sebab awak sudi makan malam dengan saya,” ucap Asfahan
sambil menggulungkan spaghetti. Namun gulungan spaghetti itu tidak dimasukkan
ke dalam mulut.
Jelita tersenyum. Tangannya masih
lagi pantas memotong beef steak yang
kenyal itu dan mulutnya pula masih tersisa daging steak yang sedang dikunyah.
“Kenapa awak nak balik awal sangat?
Saya ingat awak nak duduk lagi dua tiga hari kat sini,” tanya Asfahan. Memang
hatinya sedikit kecewa dengan pertemuan yang singkat ini. Tak sempat hendak
mengenali Jelita dengan lebih dekat.
“Saya…” Jelita menyudahkan kunyahan
daging yang tersisa di dalam mulut. “Ada banyak kerja kat office yang harus diselesaikan. Lagipun memang saya bercadang nak
bercuti tiga empat hari je kat sini. Awak bercuti sampai bila?”
“Oh ye ke… saya ingat nak sambung
lagi dua tiga hari. Tapi memandangkan awak dah nak balik… saya bercadang nak
balik jugaklah dengan secepat mungkin. Bosan tak ada teman.” Gulungan spaghetti
yang terbiar tadi baru dimasukkan ke dalam mulut. Hampa hatinya apabila
terkenangkan London.
“Laa kenapa pulak? Kat sini kan ada
ramai lagi orang. Anyway saya nak
kena berterima kasih dengan awak juga atas apa yang berlaku pagi tadi. Awak dah
korbankan diri awak demi untuk selamatkan saya. Kalau tak, tak tahulah apa yang
terjadi. Mungkin saya pun berbalut di kepala macam awak jugak,” kata Jelita
sambil ketawa dihujung bicaranya. Helaian hadapan rambutnya yang mula meliar di
hadapan mata ditolak ke belakang telinga. Dia kembali menyambung menguyah
daging steak yang dikiranya amat
seksa untuk dihadam.
“Its
okaylah! Lagipun saya tak sepatutnya bawa skuter tu. Patutnya tadi kita
naik kereta je. Senang sikit,” balas Asfahan. Perasaan bersalah mulai menyelinap
ke hatinya. Pada masa yang sama, ada hal yang ingin dituturkan kepada Jelita
pada malam ini. Kedua-dua perasaan ini menambahkan kegelisan pada perlakuannya.
Peluh sejuk mulai merintik di dahi Asfahan.
“Emm Jelita…” Asfahan menyambung
bicaranya semula.
“Yes?”
“Sebenarnya the reason why saya ajak awak dinner
is because… saya ada sesuatu yang terbuku di hati dan saya nak luahkannya
pada awak,” kata Asfahan sambil membetulkan posisi kedudukannya. Matanya pula
memandang tepat ke arah mata Jelita.
Jelita jadi gemuruh. Apa hal pulak Asfahan
ni? Tiba-tiba je serius. “Hal apa yang terbuku di hati tu?”
“Actually…
I …” Kata-kata Asfahan tersangkut. Dia tidak tahu sama ada ini perkara yang
seharusnya dia lakukan ataupun sebenarnya dia memang sengaja ingin
menyeliratkan dirinya ke dalam kancah masalah.
Jelita pula ternanti-nanti dengan
perkataan yang bakal diluahkan Asfahan. Dia dapat merasakan ia adalah sesuatu
yang amat personal.
“I
really like you. Saya tak tahu macam mana perkara ini boleh terjadi tapi
saya memang sukakan awak. Kadang-kadang saya rasa perasaan ini semacam…”
“Semacam cinta?” potong Jelita. Dia
memang sudah mengagak! Ternyata tenggelam juga Asfahan ke dalam lautan
cintanya.
“Yes!
Itulah yang saya rasakan walaupun ia seawal tiga hari perkenalan kita. Saya tak
mahulah awak menganggap saya ni macam… macam satu pelakon kat Malaysia tu, tiga
hari berkenalan terus ajak kahwin! Tapi saya cuma nak mengenali diri awak
dengan lebih dekat… dan…”
“Asfahan..!” Jelita mencelah
kata-kata Asfahan Redza lagi. “Awak dah ada kekasih! Awak dah lupa dengan dia?”
“No…
saya tak lupakan dia. Biar saya jelaskan…”
“Semua lelaki akan memberikan
penjelasan dan saya dah faham sangat dengan penjelasan yang bakal awak
berikan.” Jelita berpeluk tubuh. Daging
steak yang kenyal itu tidak lagi disentuhnya. Pandangan matanya pula
dilemparkan ke arah bukit-bukau berbatu-batan itu.
Asfahan melepaskan keluhan berat.
Dia tahu Jelita tidak mudah untuk diyakinkan. Namun begitu dia tidak mudah
mengalah. Cinta ataupun kesukaan ini telah membuatkan dia berfikir panjang
sejak akhir-akhir ini.
“Saya tahu awak tak suka pada lelaki
macam saya kan? Saya ni macam buaya darat. Dah ada kekasih tapi masih menagih
kasih orang lain. Tapi terus terang saya katakan, cinta saya pada kekasih saya
tu dah mula pudar sedikit demi sedikit. Kami mungkin tampak bahagia tapi
sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang seperti orang sangkakan,” kata Asfahan.
“Pudar? Alasan apa yang cuba awak
berikan ni? Saya tak faham kenapa awak masih tergila-gilakan saya dan mudah
jatuh hati dengan diri saya. Tapi satu perkara yang saya tahu, kebanyakan orang
macam awak hanya jatuh cinta pada paras rupa saya saja.” Bebola mata Jelita
menjegil saat patah perkataan itu keluar dari lidahnya.
“Please
Jelita! Saya benar-benar jujur dan ikhlas. Saya dah berjanji dengan diri saya
untuk berubah jikalau… saya dapat mengenali diri awak dengan lebih dekat. Saya
akan berusaha untuk bersama-sama dengan awak dan cuba untuk menyelesaikan
segala permasalahan yang sedang melingkari diri saya…” jawab Asfahan sambil
mengendurkan kata-katanya apabila soal permasalahan mula melatari perbincangan
mereka berdua.
“Masalah apa yang awak hadapi
sekarang ni? Saya kurang faham…”
“Ada banyak perkara tentang diri
saya yang awak takkan faham. Tapi saya berjanji, jikalau di antara kita ada
masa depan bersama… saya pasti akan menceritakan kepada awak,” balas Asfahan.
Dia masih lagi berselindung tentang hal yang menyelubungi kehidupannya.
Walaupun Nadya adalah antara individu yang paling rapat dengan dirinya sekarang,
gadis itu pun tidak mengetahui keseluruhan jalan cerita mengenai hidupnya.
Jelita menekur wajahnya. Asfahan sudah
benar-benar menggilainya. Apa yang harus dia lakukan?
“Jelita… mengenai kekasih saya tu,
saya yakin ada ramai lagi jejaka yang boleh mengisi kekosongan hatinya. Dia…
Nadya Darnata. Saya tak pasti awak kenal dia ataupun tidak…”
“Dia pereka fesyen tu kan? Yang
rekakan baju untuk Dato’ Siti Nurhaliza?” Jelita pantas menjawab persoalan
Asfahan.
“Awak kenal?”
Jelita terketawa kecil. “Siapa yang
tak kenal dia… bukan orang Malaysialah! Awak tak rasa rugi ke nak tinggalkan
wanita sehebat dia?”
“Bagi saya… saya akan rasa rugi
jikalau kehilangan wanita sehebat awak. Sikap awak yang lain dari yang lain,
perilaku awak yang menarik dan juga tidak dinafikan kejelitaan awak…”
Jelita mendengus kencang.
Kejelitaan? “Bagaimana awak nak yakinkan saya dengan kata-kata awak ni?”
“Kita boleh mengenali antara satu
sama lain… awak boleh beritahu kat mana awak tinggal, saya boleh beri awak contactnumber saya. Kita boleh
berhubung. Dalam dunia serba moden ini, nothing
is impossible! Awak ada Facebook? Twitter? Instagram?” kata Asfahan. Dia
kemudian mengeluarkan sekeping kad perniagaan dari koceknya lalu dihulurkan
kepada Jelita.
Jelita menepuk dahinya. Tak makan
saman langsung! “Awak tinggal di London? CEO Empressive Design?” katanya sambil
membelek kad empat segi berwarna putih.
“Yes
I am. Awak tinggal kat mana?”
“Paris, France.”
“Ada kad tak? Kerja apa?”
“Kerja kuli kat cosmetic company. Kad memang tak ada sebab… saya rasa kuli macam
saya tak perlukan kad,” jawab Jelita dengan selamba.
Asfahan menggelengkan kepalanya.
“Jelita… Awak jujur dengan saya kan?”
Jelita hanya tersenyum sinis. “Macam
ni lah, apa kata kalau kita berjumpa lagi dua minggu dari sekarang? Dalam 20
Januari?”
Pertanyaan Jelita melahirkan sinar
di mata Asfahan. “Kat mana dan pukul berapa?”
“Kat Muzium Louvre. Kita lunch di
sana.”
“Insya-ALLAH saya akan datang ke
sana. Terima kasih Jelita. You don’t know
how much this means to me,” kata Asfahan dengan penuh pengharapan.
Jelita pula tidak lekang dari
senyuman sinisnya. Dia hanya mengangguk dan mengiyakan kata-kata Asfahan. 20
Januari? Kita tunggu siapa yang akan tepati janji siapa.
***