BAB 1
HUJAN
membasahi bumi Cappadocia. Inilah kali pertama setelah hampir lima tahun di
perantauan Asfahan merasai hujan selebat itu. Hujan yang tidak terduga
turunnya. Tak ada ribut mahupun guruh sebagai penanda. Tiba-tiba saja sudah
lencun seluruh badannya.
Orang kata bumi Cappadocia mempunyai
laras cuaca yang tidak menentu. Sungguhpun dalam musim sejuk, tiba-tiba cahaya
matahari boleh terbit membahang di sebalik kepulan awan tebal. Kadang-kadang
pula kabus menyelubungi corong-corong guanya, tetapi pada sebelah petang langit
membiru seperti musim sejuk bakal berakhir. Begitu jugalah dengan hari ini. Hujan
turun tak semena-mena. Entah apa petanda yang dibawanya.
Asfahan duduk berlindung di bawah
atap salah sebuah restoran yang terkenal di Cappadocia. Beberapa hari yang
lepas dia ada menjamu selera di sini. Ternyata masakan selera Mediterraneannya
memang sedap. Bagi Asfahan, Cappadocia adalah di antara destinasi percutian
yang terindah. Esok, jikalau cuaca dalam keadaan baik, dia bercadang untuk
menaiki belon udara. Suatu aktiviti wajib bagi sesiapa saja yang datang bercuti
ke Cappadocia.
Hujan masih belum mahu berhenti. Sudah
hampir sepuluh minit dia menunggu. Kalau diikutkan hati mahu saja dia meredah
hujan ini. Hotel Kelebek yang didiaminya itu tidaklah jauh mana. Hanya tinggal
beberapa meter saja dari restoran ini. Ah! Berapa lama lagi aku harus menunggu?
Ketang! Bunyi tersebut menyentap
jantung Asfahan secara tiba-tiba. Ada orang lain yang berteduh di sini selain
dirinya. Asfahan tertoleh-toleh ke belakang. Tercari-cari kelibat manusia yang
senasib dengan dirinya.
“Who’s
there?” tanya Asfahan. Dia berjalan ke lorong belakang restoran. Hujan yang
kini sudah mula merintik ke badannya dibiarkan begitu saja. Perasaan ingin
tahunya itu telah membatasi segala-galanya.
Seorang wanita berkot putih paras
lutut keluar dari tempat persembunyian. Dia memegang sekaki payung lutsinar
putih dan berkasut but hitam. Rambut hitamnya diikat sanggul siput dan bibir
mungilnya pekat dengan calitan lipstik merah. Mata bundarnya teragak-agak
hendak memandang tepat ke mata Asfahan. Mungkin dia masih kurang yakin sama ada
dia boleh mempercayai Asfahan ataupun tidak.
“Miss?
Are you okay? What are doing here? At this… dark place?” Memang lorong
belakang restoran ini agak bahaya tempatnya. Gelap dan boleh mengundang
pelbagai jenis jenayah. Bagi wanita secantik dia, ia adalah suatu perkara pelik
untuk berlindung di ceruk lorong begini. Sedangkan Asfahan sendiri berteduh di
hadapan pintu restoran yang agak cerah suasananya. Kalau apa-apa terjadi, mudah
baginya untuk menyelamatkan diri.
“You
need an umbrella?” Wanita itu tidak menjawab pertanyaan Asfahan. Dia
menghulurkan payung lutsinarnya kepada Asfahan dan meleretkan senyuman kecil.
Asfahan mengagak mungkin wanita ini tidak memahami apa yang diperkatakannya.
“Thank
you. I think I’d better send you to your hotel. Where is your hotel?”
Asfahan membuka payung yang telah diberikan kepadanya. Dia berharap kali ini
wanita itu menjawab pertanyaannya dengan betul. Sekurang-kurangnya dapatlah dia
menghantarnya pulang dengan selamat.
“Kelebek. Hotel Kelebek.”
“Oh
that’s my hotel too!” Nasib baiklah dia faham pertanyaan aku tadi.
Untunglah juga dia tinggal satu hotel dengan aku rupanya. Boleh tumpang payung
sekali kan?
“Thank
god! Well.. I’m Jelita!” Wanita itu menghulurkan tangannya kepada Asfahan.
Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Sungguh manis dan menawan. Buat seketika
waktu, fikiran Asfahan melayang entah ke mana-mana.
“What?
Sorry, I’m not listening..”
“Jelita!
My name is Jelita.”
“Jelita?!” Nama orang Melayu.
Entah-entah orang Malaysia. Kalau tak Malaysia mesti warganegara Indonesia
ataupun Singapura. “Awak orang Melayu ke?”
“Haa?” Suara Asfahan tenggelam dalam
bunyi hujan yang makin melebat. Nampaknya payung yang melindungi mereka juga
tidak dapat menampung kelebatan hujan tersebut.
Asfahan terpaksa menarik lengan
Jelita dan berlari-lari anak ke arah hotel mereka yang berada selang dua
simpang dari tempat mereka berteduh. Hujan yang bercampur dengan sedikit angin
membuatkan payung yang dipegang Asfahan hampir-hampir melayang. Namun nasib
baiklah tenaga lelaki yang dimilikinya masih mampu bertahan.
Akhirnya mereka sampai di
perkarangan hotel Kelebek. Asfahan memperkemaskan pegangan eratnya ke lengan
Jelita lalu menolak keras pintu kaca berwarna-warni yang menghalangi langkah
mereka. Rempuhan masuk secara mengejut
itu mengkagetkan seisi pelancong yang berada di lobi. Payung yang berada di
tangan Asfahan tercampak ke meja resepsi. Manakala mereka berdua terduduk
melepaskan lelah di tengah-tengah lobi yang berlantaikan marmar itu.
Pekerja hotel serta pelancong yang
berada di sekeliling lobi melihat mereka dengan wajah yang menjengkelkan.
Sudahlah masuk tak beri salam, lepas itu boleh pulak buat perangai duduk di
atas lantai serba indah ini dengan keadaan basah kuyupnya! Asfahan mahupun
Jelita kedua-duanya saling melepaskan sesak di dada dan tersenyum antara satu
sama lain. Akhirnya mereka berdua menghamburkan ketawa akibat geli hati dengan
perilaku mereka sendiri.
Asfahan bangun dan bergerak ke arah
Jelita. Tangannya dihulurkan untuk membantu Jelita bangun dari posisinya.
“Are
you okay?” tanya Asfahan sambil menarik kedua-dua belah tangan Jelita.
Jelita bangun dan memperbetulkan
rambutnya yang kusut masai. Ikatan siput itu dileraikan. Rambut hitam panjang
mengurainya memperlihatkan lagi sisi Jelita yang memang sungguh jelita.
Padanlah dengan namanya, wanita ini memang menawan.
Asfahan menghulurkan payung lutsinar
putih yang tercampak di tepi meja resepsi tadi kembali kepada Jelita. Manakala Jelita
pula hanya mengangguk dan tersenyum kecil.
“So
sorry about what happen. Anyway I’m Asfahan.” Asfahan masih mengharapkan
balasan jawapan daripada wanita ini. Mungkin soalan terakhirnya tadi sebelum
mereka berlari melulu ke sini tidak didengari Jelita oleh kerana hujan terlalu
lebat.
“Terima kasih banyak-banyak ye,”
balas Jelita dengan selamba. Tanpa berlengah, dia terus berlari naik ke atas
tangga kecil di ceruk lobi tanpa menunggu kata-kata balasan dari Asfahan.
Asfahan yang masih diawang-awangan
terasa seperti bermimpi. Dia cakap apa tadi? Terima kasih..? Terima kasih
banyak-banyak? Astaghfirullah! Dia orang Melayu!
“Cik! Cik! Tunggu!” Asfahan meluru
ke arah tangga kecil yang dinaiki Jelita tadi. Wanita itu sudah tidak
kelihatan. Kalau tak silap dia, tangga ini menghubungkan ruangan lobi dengan bilik-bilik
King Suitsyang serba mewah itu.
Bilik yang kaya dengan gaya Mediterranean ini mengadaptasi konsep gua dan
susunan batu-batu melengkung pada dinding hotel yang amat unik. Sekali imbas
seperti berada di zaman pemerintahan Rom di suatu ketika dulu.
Asfahan duduk termangu di anak
tangga tersebut. Malam ini dia terasa bagaikan bermimpi. Sepertinya dia telah
bertemu seorang bidadari yang memakai kot putih. Siapakah dia? Dia orang
Malaysiakah? Aku teringin sekali bertemu dengannya lagi….