BAB 12
CERMIN mata
hitam berbentuk ‘cat eyes’ itu
dilaraskan kedudukannya. Linda Kamilla bimbang jikalau ada yang mengintip atau
mengenalinya di Mukha Café ini. Demi menghilangkan gemuruh di dada, mango smooties yang masam-masam manis
itu dihirup laju sambil anak matanya melilau melihat pelanggan yang sedang sibuk
menikmati sarapan pagi mereka.
Orang yang membuat janji temu
dengannya pada pagi ini lewat. Penat-penat dia bangun seawall jam lapan pagi
dan menipu Azim dengan mengatakan dia ingin berjumpa dengan ibunya. Walhal
sekarang ini sudah hampir sejam menunggu, orang yang dinanti tak sampai juga!
Telefon pintar Sony Xperia
dikeluarkan dan dia menghubungi orang yang membuat janji tersebut. Nak kasi
gertak sikit, kalau lambat baik aku chow! Namun belum sempat panggilan itu
dijawab, Linda Kamilla terasa bahunya dicuit. Ah! Dah sampai rupanya!
“Sorry
aku lambat,” kata Helmi sambil menghirup mango
smoothies milik Linda.
“Eh! Sedapnya mulut kau minum air
aku! Kalau nak orderlah sendiri!”
Linda menarik semula bekas airnya dari tangan Helmi.
Helmi mengecilkan pandangan terhadap
Linda. “Malaslah. Ni apahal nak jumpa aku ni? Suami kau tak marah ke jumpa aku
kat sini?”
“Nak jumpa kau ni pasal dia lah.”
Helmi, seorang lelaki berbadan tegap
dan berkulit putih. Orangnya pendiam, namun dalam diam-diam ubi berisi.
“Kenapa? Kalau kau dah nak jumpa aku macam ni, mesti ada benda yang kau nak aku
buat untuk dia kan?”
Linda meleretkan senyuman kecil.
Helmi sudah boleh membaca kata hatinya. “Exactly!
Tapi hal ini kau kena buat betul-betul. Kalau kita gagal, kita akan mengalami
kerugian besar. Silap-silap masuk jel! Tapi aku yakin… kau memang dah biasa
dengan perkara ni semua kan?”
“Apa yang aku dapat kalau aku terima
tawaran kau ni? Lagi satu, kau nak aku lakukan macam mana?” tanya Helmi.
Baginya tugasan yang diberikan Linda bagai menjentik di hujung jari saja.
Perkara mudah. Datuk Azim itupun lelaki berumur, jadi tak payahlah dia
merancang lebih-lebih sangat.
“Hmm… RM10,000? Amacam okay tak? Anyway tentang bagaimana perkara ini
hendak dilakukan tu… aku serahkan je pada kau. You know better!Cumanya, I
want it to look like an accident,” jawab Linda sambil menurunkan cermin
mata hitam ‘cat eyes’nya.
***
DAPUR
rumah Nadya berasap. Nasi yang cuba digorengnya hangus. Ah, memang dari dulu
lagi dia tidak bijak dalam soal masak memasak ini. Fail! Kalau dia nak memasak pun hanyalah kerana keadaan yang
memaksanya untuk melakukan perihal tersebut. Jikalau tidak, jangan haraplah
dapur rumah nak berbunyi.
Asap yang meruap dari kuali yang
hangus itu mula memenuhi ruang dapur dan memasuki kawasan ruang tamu. Nadya
mengambil secawan air lalu dituangnya ke dalam kuali tersebut. Huh! Kalau tak
reda juga asap kat kuali ni tak tahulah! Nadya kemudian membuka luas-luas
tingkap dapur yang terletak berdekatan sinki. Mungkin dengan cara ini asap
hitam yang berkepul di dalam ruangan dapur boleh dikeluarkan.
Ding dong! Loceng rumah berdecing.
Siapa pulalah yang nak bertandang ke rumah orang malam-malam kelam begini?
Dapur yang semakin reda dengan kepulan asap tersebut ditinggalkan Nadya dan dia
berjalan terus ke arah pintu utama rumah.
“Jason?” Nadya bagaikan tidak
percaya melihat kehadiran rakan sekerjanya, Jason ke rumah diwaktu malam
begini.
“Hai Nad! Sorrylah I datang rumah you lewat malam macam ni. Boleh I masuk?”
tanya Jason sambil memuncungkan wajah 50 sennya.
Nadya mempelawa Jason ke ruang tamu
rumahnya. Segelas air kopi disediakan buat rakannya ini. “Ada apa datang
malam-malam gini? Penting sangat ke?”
“Penting babe! Ia mengenai Lara,” kata Jason sambil menghirup air kopi panas
yang mengigit hujung lidahnya.
“Dah dapat apa yang I suruh cari
hari tu?”
“Well
I shall say… it’s a bit hard! Informasi yang you bagi tu memang sikit
sangat! Nak cari apa pun tak boleh.”
“So
macam mana sekarang? You nak tahu apa lagi tentang dia supaya kita boleh locate kat mana dia sekarang?” Nadya
sudah mula mengurut dahinya. Peninglah dengan masalah yang tak pernah selesai
ni!
“Asfahan balik bila?”
Nadya menjungkitkan bahunya ke atas
tanda tidak tahu.
“Aku cadang kita dapatkan nama penuh
Lara. Dan… kita boleh dapatkannya dari sijil nikah dia orang berdua. Kemungkinan sijil tu ada kat pejabat atau
rumah dia.”
Nadya mengetap bibirnya kuat.
Selongkar? “Hmm… kau yakin ke dia ada bawak sijil tu ke sini?”
“Mesti dia ada simpan dengan dia
punyalah! Itu sijil manyak penting kan? You geledah rumah dia, I pulak geledah
bilik dia. Sementara dia tak balik lagi, I rasa baik I cari kat bilik dia esok.
Mana tahu ada kan? Tapi kalau tak ada… nampaknya you kenalah tunggu dia balik
kalau nak geledah rumah Asfahan,” kata Jason yang bersemangat melontarkan
ideanya.
“If
that so… baguslah! Selasai tugas you nanti, just inform I je tau?”
Jason dengan pantas mengangguk
sebagai tanda menurut perintah.
***
BUKU
The Alchemist milik Paolo Coelho dikatup rapat. Dalam jangka masa satu hari
saja dia boleh menghabiskan 192 muka surat karya tersebut. Sebuah buku yang
mengisahkan pengembaraan dalam pencarian diri ini benar-benar menusuk hati
Asfahan. Ia seakan-akan kisah tentang dirinya yang terumbang-ambing dalam
lautan hidup. Perkara ini membuatkan dia terasa lemas dan kadang-kadang mudah
membuat keputusan yang salah kerana mengikut nafsu diri.
Sudah sehari dia pulang ke Kota
London, namun hal ini masih belum lagi dimaklumkan kepada siapa-siapa. Nadya
mahupun Jason masih menganggap dia bercuti di Cappadocia. Kali ini biar dia
yang berikan mereka kejutan.
Asfahan bangun dari kerusi malas
yang dia duduki di ruang tamu lalu menuju ke bilik tidur. Rumah teres empat
bilik ini mengadaptasi ciri-ciri rumah Georgian yang terletak berdekatan dengan
Hyde Park dan Kensington Street. Asfahan membelinya dengan harga titik peluhnya
sendiri. Semenjak tinggal berjauhan dengan ahli keluarga lima tahun dahulu,
Asfahan tidak mengharapkan wang dan harta dari papanya lagi. Bagi dia, segala
apa yang bakal Datuk Azim berikan hanyalah suapan supaya dia terus hidup
bersama Lara.
Dalam diam tak diam sudah lima tahun
pergolakan dalaman keluarga ini telah berlaku. Dia juga sudah lima tahun tidak
pulang ke Kuala Lumpur, Malaysia. Jikalau dia pulang pun, dia hanya pergi
menjenguk kubur mama dan menyelesaikan urusan diri dan syarikat. Tak pernah dia
terfikir pun untuk pulang ke rumah.
Namun keheningan malam ini
membuatkan Asfahan terimbau hal-hal dahulu. Tentang papa, Sheriena, Linda
Kamilla dan juga… Lara. Dia memejamkan matanya lalu kenangan dahulu dipasangkan
ke kotak minda bagaikan pita rakaman yang dimainkan semula setelah
bertahun-tahun tersimpan kemas di dalam kotak.
***
Imbas kembali – Kuala Lumpur - 2008
SETAHUN
sudah mamanya meninggal dunia. Setahun jugalah dia sudah bermastautin di Kuala
Lumpur semula setelah lima tahun menuntut ilmu di New York. Asfahan Redza yang
sedang sibuk melakarkan busana pengantin buat pelanggannya itu tidak
semena-mena menghentikan pekerjaannya. Suara seorang gadis yang sering menjadi
kebenciannya itu memanggil dari luar bilik. Apa pula yang dia kehendakkan kali
ini?
“Masuk.”
Asfahan Redza dengan pantas menyorokkan hasil lukisannya ke dalam salah sebuah
fail yang tersusun di atas meja lukisan.
Gadis yang berbaju kurung serba
putih itu menguak perlahan pintu bilik tersebut dan berjalan ke arah mejanya. Asfahan
menilik perilaku gadis itu dari atas hinggalah ke bawah. Gadis itu memiliki
rambut hitam berkerinting yang dibiarkan mengerbang. Wajah comotnya yang penuh
dengan bekas jerawat itu cuba meleretkan senyuman manis buat Asfahan. Segelas susu
yang berada di atas talam yang dibawanya itu diletakkan ke meja Asfahan.
“Thanks,”
jawab Asfahan tanpa memandang ke arah wajah gadis itu.
“Tuan nak apa-apa lagi? Tuan
langsung tak makan hari ni. Datuk minta saya tanyakan keadaan tuan. Malam ini
katanya nak bawa Cik Linda datang ke rumah. Nak dikenalkan dengan kita semua,”
kata gadis itu dengan santunnya.
“Tak nak apa-apa. Dah-dah boleh
keluar,” arah Asfahan.
Gadis itu masih tercegat di
hadapannya mejanya. Dia tidak mahu berganjak.
“Eh? Nak apa lagi ni? Dahlah…
keluar!” sergah Asfahan. Hampir saja terjatuh talam yang dipegang gadis itu
oleh kerana terkejut.
Saat gadis itu menghampiri pintu
biliknya menuju ke koridor, Asfahan bersuara kembali, “Beritahu papa, kami dah
kenal Cik Linda. Tak perlu nak diperkenalkan lagi. Dia bukan wanita yang baik
untuk menggantikan mama.”
Gadis itu berpaling. Dia hanya
menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menutup pintu bilik Asfahan
perlahan-lahan.
***