Sudah hampir sebulan arwah pergi menghadap Ilahi. Ini bermakna sudah hampir sebulan jualah Afini dan
emaknya mengetahui satu kebenaran yang amat menyakitkan. Hancur berkecai hati
Afini tatkala mengetahui emak kesayangannya itu dimadukan oleh lelaki yang amat
dicintainya.
Semenjak mengetahui perkara itu, emaknya sudah
tidak setabah dulu. Malah mulut becoknya sudah tidak lagi mengalunkan omelannya
kepada Afini. Afini rindu… Rindukan bebelan, rindukan belaian dan juga rindukan
segala perhatian emaknya yang selama ini tidak pernah kurang walaupun sedikit.
Sementelah dia anak tunggal.
“Mak nak makan?” soal Afini dan seperti biasa
hanya isyarat gelengan tanpa suara diterima.
“Mak tak boleh macam ni. Makanlah sikit. Kalau
mak sakit, macam mana?” Afini masih memujuk. Namun, emaknya itu masih membisu
seribu bahasa sedangkan pandangan matanya yang berkaca masih terhala ke
hadapan, membuang pandangan ke luar rumah menghadap pokok kelapa yang kian
redup menghadap senja.
“Kalau mak tak nak makan, Afini mandikan mak
dulu ya. Lepas tu bolehlah kita solat maghrib sama-sama.”
Emaknya hanya mengangguk. Sekali lagi air
matanya mengalir. Tidak sanggup rasanya untuk Afini terus melihat kesedihan
itu. Tetapi apakan daya, dia sendiri sudah tidak tahu hendak berbuat apa.
Semalam dia menerima surat daripada bank.
Terkejutnya dia tatkala membaca isi kandungan surat itu. Arwah ayahnya sudah
tujuh bulan tidak membayar ansuran pembayaran cagaran tanah di bank. Cagaran
pula di atas nama yang tercatit pada geran tanah... Fathimah binti Ahmad Shuib.
Pening kepalanya. Ditambah lagi dengan emaknya yang mengalami masalah
kemurungan.
Sudah hampir sejam Afini duduk termenung di pangkin bawah pokok mangga.
Fikiran yang tadinya berserabut kini tenang sedikit apabila menikmati
pemandangan yang mendamaikan. Jam menghampiri pukul 6.00 petang.
“Afini!”
Hampir gugur jantung Afini tatkala mendengar
namanya dijerit dengan begitu nyaring sekali.
“Siti…” kata Afini sebaik ternampak kelibat
sahabat baiknya itu. Namun, entah mengapa mudah benar air mata mengalir tatkala
tubuhnya didakap begitu erat oleh insan yang amat diperlukan kehadirannya.
“Maafkan aku, Afini. Maafkan aku sebab tak dapat
hadir ke pengkebumian arwah ayah kau hari tu. Maafkan aku.”
Afini hanya diam. Dia terlalu sedih.
“Afini… kau marahkan aku?”
Afini menggeleng.
“Aku ada seminar di Singapura waktu tu. Maafkan
aku Afini,” pinta Siti lagi.
“Aku faham,” kata Afini sambil mengesat sisa air
matanya.
“Afini… Kenapa? Maksud aku, aku tahu yang kau
masih bersedih dengan pemergian arwah ayah kau… tapi…”
“Tapi apa?” soal Afini.
“Ada sesuatu ke yang kau cuba sembunyikan
daripada aku?”
Afini terdiam.
“Please,
Afini. Jangan sembunyikan apa-apa daripada aku.
Kita berkawan sejak dari sekolah rendah lagi. Mata kau tu… bengkak bukan hanya
kerana kau rindukan arwah ayah kau, kan?”
Air mata Afini
kian laju tatkala mendengar kata-kata Siti. Dalam tangisan, dia meluahkan
segala penderitaan yang sedang ditanggungnya. Bermula dengan cerita arwah
ayahnya yang berkahwin dengan perempuan perampas yang bernama Jannah itu!
Sehinggalah kedatangan surat dari bank dan pihak peguamnya yang diterima
semalam. Tidak lupa juga penderitaan dan perubahan sikap emaknya kini.
“Ya Allah…
sabar banyak-banyak, Afini. Habis, mak kau tahu tak yang pihak bank bagi kau
tempoh 14 hari sahaja untuk menjelaskan tunggakan tu?”
“Tak, Siti. Aku tak sampai hati nak beritahu.
Lagipun aku dah tak boleh nak bebankan mak aku. Doktor beritahu, mak aku tak
boleh terima apa-apa tekanan.”
“Habis,apa perancangan kau sekarang?”
“Aku pun buntu. Aku dah tak ada apa-apa. Yang
aku ada sekarang, tanah dan rumah pusaka yang sedang aku duduki dengan kereta
Wira arwah ayah aku. Itu aje,” kata Afini. “Dahlah aku tak bekerja,” keluhnya
lagi.
“Kau dah berhenti kerja?”
Afini mengangguk.
“Hmm... aku sendiri tak ada kemampuan nak tolong
kau selesaikan masalah kau. Tapi, hanya satu sahaja yang aku boleh tolong.”
“Apa dia?” soal Afini tidak sabar.
“Tempat kerja aku sekarang ni memang tengah cari
pekerja yang ada pengalaman macam kau. Aku yakin dengan ijazah yang kau ada,
dapat membantu kau untuk mendapatkan kerja tu.”
“Jawatan apa?”
“HR Manager.”
“Sama denganpost aku sebelum ni,” kata Afini.
Siti tersenyum. “Hah… sebab tulah aku kata yang
kau ada peluang untuk dapatkan kerja tu.”
“Terima kasih ya Siti. Kau dah banyak tolong
aku.”
“Jangan cakap terima kasih dulu. Aku nak kau
pergi dulu temu duga tu. Lepas tu barulah kau ucapkan terima kasih dekat aku.”
Lembut jari jemari Siti menyentuh bahu Afini.
“Afini… aku nak kau ingat satu perkara, walaupun
aku tak berada di sisi kau, itu tidak bermakna aku mengabaikan kau. Sebagai
sahabat kau boleh harapkan apa-apa sahaja pertolongan daripada aku. Jadi aku
nak kau janji yang kau takkan rahsiakan apa-apa lagi daripada aku selepas ini.”
Afini mengangguk. Sekali lagi terbit permata di
kelopak matanya, tanda terharu dengan perhatian dan kasih sayang daripada
sahabat yang turut membalas pelukannya di saat ini… Siti Aminah!