13
Air panas di dalam
cawan dikacau laju agar serbuk kopi dan gula dapat dilarutkan. Sesekali lelaki
itu mengerling ke arah temannya. Terlihat temannya itu bagaikan tidak sabar
untuk menyampaikan sesuatu kepadanya. Lantas, langkah diayun sebelum punggung
dilabuhkan di sebelah lelaki yang sudah terbuka bibirnya untuk melahirkan
kata-kata.
“Kau tak rasa pelik
ke?” laju Ainal bertanya saat Zakaria mengambil tempat di sebelahnya.
“Pelik apa pulak?”
jawapan berupa soalan diberikan oleh Zakaria terhadap soalan yang diutarakan
oleh Ainal.
“Yalah, baru beberapa
hari lepas si Afini tu kena pecat. Tup… tup, hari ni dia masuk kerja balik. Kau
tak pelik ke? Setahu aku, bos kita tu kalau dah pecat orang, jangan kata nak
panggil masuk kerja balik! Nak dengar nama orang tu pun dia tak nak.”
“Mungkin syarikat
betul-betul perlukan dia. Tu yang Encik Yus ambil dia bekerja semula. Lagipun
aku tengok minah tu memang cekap buat kerjalah,” balas Zakaria, positif.
“Ya ke? Ke… dia ada
hubungan sulit dengan bos kita?!”
“Hisy! Kau ni
merepeklah! Bukan ke kau yang beria-ia beritahu aku yang bos kita tu gay.
Takkanlah gay boleh ada hati dengan perempuan?”
“Memanglah bos kita tu
gay. Tapi manalah tahu kot-kot bos kita tu jenisbisexual,”
kata Ainal masih tidak berputus asa menarik perhatian Zakaria untuk turut serta
menabur fitnah.
“Maksud kau… bos kita
tu jenis yang tertarik pada perempuan dan lelaki dalam satu masa?” ragu-ragu
Zakaria bertanya.
“Mungkin… manalah
tahukan. Lagipun dia kan dah lama duduk dekat UK. Tak mustahil dia terpengaruh
dengan gaya hidupbisexual ni. Tapi yang aku tak sangka perempuan
tulah…” sengaja Ainal menggantungkan bicaranya seperti itu untuk menghadirkan
tanda tanya di dalam diri Zakaria.
“Maksud kau Afini?”
soal Zakaria mencari kepastian.
“Yalah! Bukan dia tak
tahu jenis lelaki apa bos kita tu. Boleh pulak dia nak ada hubungan dengan
mamat tu. Hai… muka aje baik tapi…”
Zakaria hanya terdiam.
Afini yang berdiri
sebalik daun pintu berlalu ke biliknya semula. Dia telah mendengar semua
perbualan Ainal dan Zakaria. Sakit hatinya.
Sebaik sahaja sampai di
biliknya, dia terus menuju ke tempat May. “May… tolong serahkan fail ni pada
Encik Zakaria. Tadi I pergi bilik dia tapi tak ada orang,” bohong Afini.
May pantas mengambil
fail yang dihulurkan. Dia mengatur langkah ke bilik Zakaria.
Afini duduk di tempatnya. Dia rasa ingin menangis
tatkala mindanya masih kuat mengingati kata-kata fitnah daripada Ainal dan
Zakaria. Mengapa mudah sekali mereka menghukum sedangkan mereka tidak tahu
perihal sebenarnya? Adakah ini dinamakan lumrah dunia, menjatuhkan hukum
sebelum diri diadili?
‘Ya Allah... kau tabahkanlah hatiku dalam
menghadapi ujian-MU ini.’ Doa Afini di dalam hati.
AFINI menyibukkan
diri dengan kerja untuk melupakan apa yang diperkatakan Ainul dan Zakaria.
Tanpa disedari, jam sudah melewati 9.00 malam. Dia mengemas barang-barangnya,
mencapaihandbag sebelum melangkah keluar. Sesampainya di
tempat letak kereta, dia pantas mendapatkan kereta buruknya dan cuba
menghidupkan enjin. Beberapa kali dicuba, namun tetap juga gagal.
“Buat hal lagilah ni?”
rungut Afini. “Apa aku nak buat ni?”
Ingin sahaja rasanya
Afini menghubungi Siti. Tetapi tatkala matanya terpandangkan kereta Porsche 911
Carrera milik Yus masih berada di tempat letak kereta, dia lantas mematikan
niatnya. Dia mengatur semula langkahnya ke bangunan dua tingkat di hadapannya
itu. Dia yakin lelaki itu masih berada di pejabatnya.
“Encik Yus,” tegur
Afini tatkala melihat lelaki itu sedang khusyuk memandang skrin komputer di
hadapannya.
Yus tersentak mendengar
teguran Afini. Dia mengurut dadanya kerana terlalu terkejut. “You nikan, nak
bunuh I ke?! Kenapa tak ketuk pintu dulu!” marah Yus.
‘Aku dah ketuk, kau tu
yang pekak!’ marah Afini di dalam hati.
“Hmm… maaf, kalau I
mengganggu,” kata maaf tetap sahaja Afini ucapkan walaupun dirinya tidak
bersalah. Biarlah hari ini dia merendahkan diri kerana sebentar lagi dia amat
memerlukan pertolongan daripada lelaki di hadapannya itu.
“Nak apa?” soal Yus
masih lagi tidak senang dengan kehadiran Afini.
“Hmm… Encik Yus… tahu
tak nak betulkan kereta?”
Yus memandang tepat ke
arah Afini. “You ingat I ni mekanik ke? Kenapa? Kereta rosak?”
Afini mengangguk.
“Habis macam mana nak
balik?” Suara Yus tidak sekasar tadi.
“Tak tahu… Hmm… tak
apalah, I minta Siti ambil,” jawab Afini lantas berpaling untuk mengatur
langkah.
“Tak payah. You tunggu
I sekejap. Nanti siap kerja ni, I hantar you balik,” kata Yus.
Terhenti langkah Afini
mendengar suara lembut Yus. ‘Yus nak hantar aku balik! Biar betul!’ bisik hati
Afini, tidak percaya.
“Tak apalah… susahkan
Encik Yus aje nanti.”
“I kata I hantar you
balik, I hantarlah!”
Terdengar ketegasan
dalam bicara Yus kali ini. Afini hanya mampu mengucapkan kata terima kasih dan
mengambil tempat di sebuah sofa empuk yang kedudukannya bertentangan dengan
meja bosnya itu.
Hampir jam 10.30
malam, barulah Yus menyudahkan tugasannya. Dia pantas mengemas mejanya agar
dapat segera menghantar Afini pulang. Namun, sewaktu matanya terpandangkan
wajah Afini yang sedang lena akibat kepenatan menunggu dirinya, dia menghampiri
gadis itu. Jarak wajahnya dengan Afini kini hanya sejengkal.
Diperhatikan wajah itu
penuh teliti. Afini memiliki seraut wajah yang bersih. Tidak terlihat parut
jerawat ataupun jeragat. Tona kulit yang putih sekata menambahkan kejelitaanya.
Hanya bibirnya sahaja tercalit warna merah akibat sapuan gincu, itupun nipis
sapuannya. Sedangkan matanya tidak bercelak dan pipinya juga tidak diwarnai
dengan apa-apa warna. Biarpun tidak banyak solekan dikenakan, tetapi seraut
wajah itu mampu menggetarkan hati milik Yus tika ini.
‘Semua perempuan sama
macam perempuan jahanam tu! Jangan kau terpedaya Yus!’
Terdengar bisikan dari
bahagian paling dalam di hati milik Yus! Dia pantas berpaling dari terus
menghadap wajah mulus milik Afini yang masih tidak terganggu lenanya.
“Betul! Semua perempuan
jahanam! Tak guna!” jerit Yus berserta tumbukan buku lima dihadiahkan ke atas
mejanya.
Tersentak lena Afini saat
terdengar dentuman yang kuat. Matanya ditenyeh-tenyeh untuk menghapuskan
pandangan kaburnya. Kini jelas dipenglihatannya, Yus sedang memandang tajam ke
arahnya. Bagaikan harimau yang ingin menerkam mangsa, lagaknya. Afini
ketakutan. Terketar-ketar bibirnya…
"En. Yus… dah siap
kerja… ke?" rasa takut masih menguasai diri Afini, apatah lagi Yus kian
menghampiri dirinya dengan wajah yang kian membengis.
Berombak dada Afini
saat dirian lelaki itu betul-betul di hadapannya saat ini. Tubuh yang kian
membeku akibat rasa takut, pasti sahaja sudah memucatkan wajahnya.
"Kalau… En. Yus
banyak kerja lagi, tak… apalah… saya boleh call
Siti untuk ambil saya."
Afini memberanikan
dirinya untuk bangkit. Namun baru langkah sulung hendak diatur, terasa
tangannya disentap kuat.
"Ya ALLAH…
bantulah aku. Bantulah aku Ya ALLAH…" Hati Afini memanjatkan doa saat
otaknya sudah mula membayangkan pelbagai kemungkinan yang menakutkan. Apatah
lagi hembusan nafas Yus yang kasar jelas di pendengarannya.
"En. Yus… maaf
sebab saya menyusahkan En. Yus. Tapi… tolonglah jangan apa-apakan saya."
Afini sudah
mengetepikan perasaan malu. Biarlah… biarlah air mata ketakutan itu mengalir
asalkan maruahnya tidak 'dicemari' oleh lelaki gila di hadapannya ini.
Saat Yus terdengarkan
esakan kecil daripada Afini, dirinya bagaikan tersedar.
"Astaghfirullahal
azhim…" istighfar di hati segera bergema dan perlahan Yus melonggarkan
genggaman tangannya sebelum melepaskan tangan Afini. Yus meraup wajahnya
berkali-kali.
Afini pula masih
ketakutan. Andai diikutkan hatinya saat ini, hendak sahaja dia berlari keluar.
Tetapi tidakkah tindakan itu bakal menaikkan semula kemarahan Yus?
"Aku hantar kau
balik." sedikit kasar Yus bersuara.
Afini masih mematungkan
diri. Otaknya sedang berkira-kira akan keselamatannya di dalam kereta nanti.
Yus yang dapat menelah pemikiran Afini segera bersuara.
"Aku bagi masa
seminit. Kalau kau tak berginjak, jangan salahkan aku kalau sesuatu perkara
buruk berlaku pada diri kau dalam bilik ni," ugut Yus.
Debaran di dada kian
kencang menghentak ketakutan dan tanpa sempat Afini memutuskan akan tindakan
yang hendak diambil, terasa tangannya disentap kuat sekali lagi.
"Tolong… tolong
jangan apa-apakan saya En. Yus," rayuan Afini hanya dibalas dengan
senyuman sinis daripada Yus yang kian mendekatkan jarak tubuhnya dengan Afini.
"Kalau tak nak aku
apa-apakan kau. Jangan melawan. Aku kata, aku nak hantar kau balik. Jadi kau
kena ikut. Faham!"
Afini menganggukkan
kepalanya lemah sebelum kakinya melangkah meninggalkan bilik itu bersama Yus
yang masih enggan melepaskan genggaman tangannya.
'Ya ALLAH…
selamatkanlah hambaMU ini daripada kekejaman manusia di hadapanku ini.
Selamatkanlah aku Ya ALLAH...' rintihnya doa Afini bersama rintikan air mata
yang membasahi pipipnya.
HARI ini Afini
terpaksa ke KWSP di Bukit Tinggi. Kebetulan Siti juga akan ke destinasi yang
sama untuk bertemu dengan klien yang sepatutnya bertemu janji dengan Yus.
Tetapi atas sebab tersendiri, Yus meminta Siti menggantikan tempatnya.
Setelah selesai urusan
di KWSP, Afini mengikuti Siti untuk bertemu dengan kliennya. Restoran mewah
menjadi tempat pertemuan mereka.
Afini yakin pasti klien
itu mempunyai kedudukan. Andai tidak, masakan syarikat sanggup mengeluarkan
budget yang agak tinggi untuk pertemuan seperti ini. Dia mengikuti langkah kaki
Siti menghampiri sebuah meja yang kedudukannya agak terpencil.
“Hai, I Siti. Staf
Encik Yus.” Siti menghulurkan salam, namun lambat disambut oleh wanita anggun
serta begitu cantik walaupun usianya sudah meningkat.
Afini turut melakukan
perkara sama seperti yang dilakukan oleh Siti. Mereka mengambil tempat
berhadapan dengan wanita itu.
Di saat Afini
bertentang kedudukan menghadap wanita itu, barulah dia menyedari yang raut
wajahnya persis seseorang. Ligat mindanya memikirkan siapakah gerangan yang
mempunyai seraut wajah persis wanita anggun ini? Yus! Ya, Yus! ‘Tapi apakah
kaitan wanita ini dengan Yus? Siapa dia?’ soal hati Afini.
‘Adakah dia wanita yang
pernah diceritakan oleh Siti? Wanita yang mencurangi Dato Haji Mohd. Haalim?
Wanita yang meninggalkan Yus dan Dato kerana seorang lelaki yang lebih
keududukannya berbanding Dato tika itu? Adakah dia wanita yang menjadi punca
kebencian Yus terhadap kaum wanita sehingga menyebabkan Yus memilih gay sebagai
cara hidupnya? Adakah benar wanita cantik di hadapanku ini mama Yus?!”
Tiada satu pun soalan
yang diutarakan oleh hatinya, dapat diberikan jawapan. Selepas ini dia akan
bertanya dengan Siti untuk mengetahui cerita sebenar.
“Kenapa Yus tak
datang?” Terdengar nada kekecewaan dalam tuturan persoalan itu.
“Maaf, Datin Nur
Kamiilah. Encik Yus ada perkara penting yang nak diuruskan. Jadi dia minta I
gantikan tempat dia hari ni.” Begitu berhati-hati Siti menuturkan setiap patah
perkataan.
“Habis, I ni tak
penting?! You tolong beritahu Yus, I nak dia yang datang jumpa I, bukan orang
suruhan dia! Faham!”
Andai tadi nada
kekecewaan hadir di awal bicara wanita yang bergelar datin ini, kini nada
bongkak dan angkuh pula mengambil tempat. Saling tidak tumpah seperti Yus! Wanita
yang mengenakan blaus dan skirt labuh itu sudah pun mengatur langkah
meninggalkan Afini dan Siti yang masih terkejut dengan tingkahnya.
“Anak dengan mak sama
aje!” marah Siti setelah kelibat Datin Nur Kamiilah kian jauh menghilang.
“Anak? Maksud kau?”
tanya Afini untuk kepastian.
“Kalau kau nak tahu,
Yus tu dapat sikap bongkak dan kurang ajar tu bukannya daripada Dato. Tapi
daripada Datin Nur Kamiilah tu!”
“Maksud kau… Itulah
mama Yus?”
Siti mengangguk.
Afini terdiam. Patutlah
Yus kacak. Mamanya sangat cantik.