Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,298
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 30

30

LANGKAH diatur laju apabila merasakan yang dirinya bagaikan sedang diekori. Ferrari Spyder merah di hadapan menjadi sasarannya. Namun baru sahaja kereta yang mempunyai dua pintu itu hendak dibolosi, tingkahnya terhalang. Sepasang tangan menarik kasar tubuhnya hingga tertarik ke belakang.

“Tak guna punya betina!!!” jerkah Datin Azilah.

Pucat wajah Melisa menghadapi ‘puting beliung’ di hadapannya itu. Tidak disangkanya yang pada hari ini dia akan ditangkap buat kali kedua oleh isteri kepada Dato Ezman itu.

“Kenapa? Kau terkejut tengok aku berdiri depan kau! Macam tu?” Datin Azilah semakin merapatkan dirinya dengan perempuan simpanan suaminya itu. Sahabat baik yang menemaninya jua turut melakukan perkara yang sama.

Datin Azilah memberikan isyarat mata kepada Datin Mazni. Segera sahabat baiknya itu memahami akan makna yang tersirat di balik bahasa tubuh itu. Datin Mazni menarik laju lengan Melisa dan dicengkamnya kuat lengan model muda itu.

“Sakitlah!” terjerit Melisa akibat kesakitan yang sedang dirasainya tika ini.

“Sakit? Tahu pun sakit! Kau ingat hati aku ni tak sakit ke bila kau sewenang-wenangnya berasmara dana dengan suami aku dekat hotel ni, ha?!!!” jerkah Datin Mazni lagi.

“Apa yang Datin cakapkan ni? Saya... saya tak faham.” Tidak lancar tuturan Melisa.

“Kau jangan ingat aku bodoh! Kau jangan ingat yang selama ni aku tak serang kau selepas ‘pertemuan’ kita dulu sebab aku takutkan kau! Aku masih ada maruah yang perlu aku jaga... untuk berdepan dengan perempuan murahan macam kau ni, memang bukan status aku... tapi makin aku diamkan, makin berani kau pijak-pijak maruah aku! Kau ni memang perempuan tak guna! Tak sedar diri!!!” Kali ini Datin Azilah bertindak di luar jangkaan. Habis ditarik-tariknya rambut panjang milik Melisa.

Terkejut Datin Mazni dengan sikap baran yang semakin meluap-luap sahabat baiknya itu, “Datin... dahlah tu. Karang mati pula perempuan ni you kerjakan.”

“Memang! Memang I nak perempuan ni mampus! Ada hati dia nak gantikan tempat I di hati Dato Ezman. Woi! Perempuan tak guna!!! Kau dengar sini baik-baik, aku takkan biarkan kau gantikan tempat aku! Segala harta kekayaan dan kasih sayang Dato Ezman hanyalah untuk aku dan bukannya perempuan tak bermaruah macam kau ni!” Datin Azilah sudah mencengkam kuat muka Melisa dan sepasang mata tajam miliknya menusuk ke sepasang mata milik perempuan simpanan suaminya itu.

“Kalau betul hati dan perasaan Dato Ezman hanyalah milik Datin, kenapa harus Dato mencari perempuan macam saya ni?” Kali ini Melisa tidak terus mendiamkan dirinya. Biarpun maruahnya hanya tinggal sisa, dia tetap jua mahu mempertahankannya.

“Tak guna!!! Kau ni memang betul-betul nak mampus!” Semakin naik hantu Datin Azilah dengan sindiran musuhnya itu.

“Salah ke apa yang saya katakan? Dato mencari saya di saat dia merasakan yang hati dan perasaan dia bukannya milik Datin. Dato sendiri mengakui yang dia tidak pernah cintakan Datin. Tapi dia terpaksa... terpaksa mempertahankan rumah tangga yang dibina hampir 25 tahun kerana arwah mama dia. Datin tak rasa ke yang Datin ni jauh lebih kejam daripada saya? Datin sanggup ‘ikat’ Dato kerana arwah mama dia sedangkan Datin tahu hakikat yang sebenarnya... Dato tak pernah cintakan Datin! Dia lakukan semua ini hanyalah kerana arwah mama dia dan kerana wanita yang telah melahirkannya itu jualah dia sanggup mengambil Datin sebagai isteri dia!” Kian berani Melisa ‘menyerang’ Datin Azilah.

Terhenti pergelutan yang tadinya sedang rancak memarakkan amukan di jiwa Datin Azilah. ‘Taring’ amarahnya jua sudah ‘tumpul’. Tidak disangkanya yang perempuan simpanan suaminya itu telah mengetahui tentang kisah silam dirinya dengan si suami yang telah menikahinya hampir 25 tahun yang lalu.

“Kenapa Datin diam? Datin malu? Malu sebab kawan baik Datin ni tahu tentang perkara ni?” soal Melisa kepada wanita yang sudah kebisuan itu.

Segera Datin Azilah menoleh ke arah Datin Mazni. Dari riak wajah sahabat baiknya itu, dia tahu yang wanita itu sedang cuba untuk menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Datin... kalau saya jadi Datin saya akan ‘lepaskan’ Dato Ezman. Sekurang-kurangnya perkara itulah yang akan saya lakukan sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.” Melisa mengukirkan segaris senyuman sinis. Dia mahu hati wanita tua itu turut merasai kesakitan yang dirasainya tika dirinya dicaci dan dihina sebentar tadi.

“Apa yang kau merepek ni? Kau jangan nak melalut macam orang hilang akal ya! Orang yang sepatutnya meninggalkan Dato Ezman adalah kau! Dan bukannya kawan baik aku ni. Sama ada Dato Ezman cintakan atau pun tidak Datin Azilah, mereka tetap jua suami isteri! Tapi kau... siapa kau untuk memperkatakan hal penceraian di antara mereka?” Kali ini Datin Mazni pula yang bersuara. Sakit benar hatinya dengan sikap bongkak model muda itu.

“Aku? Aku adalah perempuan yang teramat digilai dan dicintai oleh Dato Ezman. Tapi kawan baik kau ni... dia hanyalah seorang isteri yang langsung tidak pernah dipedulikan tentang hati dan perasaannya. Mungkin dari lahiriahnya, dia adalah wanita yang paling bahagia bersuamikan seorang lelaki yang penyayang. Tapi hakikatnya... hanya dia seorang sahaja yang tahu betapa kesunyian ‘mengunci’ keharmonian dalam rumah tangga mereka.” Habis menuturkan kata-kata itu, Melisa melangkah pergi. Ferrari Spyder merah pemberian Dato Ezman dibolosi dan segera kereta mewah itu berlalu meninggalkan kawasan parkir hotel mewah di ibu kota itu.

“Tak guna punya betina!!! Kau jangan ingat yang kau boleh terlepas daripada aku! Aku takkan biarkan kau menghancurkan rumah tangga kawan baik aku ni!” jerit Datin Mazni. Biarpun Datin Mazni tahu yang Melisa tidak mungkin akan mendengarkan jeritannya itu, tetapi dia tetap jua mahu melahirkan amarahnya terhadap wanita yang telah mengganggu gugat kebahagiaan rumah tangga sahabat akrabnya itu.

“You okey ke?” soal Datin Mazni sambil memimpin Datin Azilah ke kereta mewah miliknya.

Datin Azilah membukakan pintu kereta di bahagian penumpang di hadapan buat sahabat baiknya itu. Enjin kereta dihidupkan selepas dia mengambil tempat di bahagian pemandu. Namun kereta itu masih belum dipacu.

“You nak I kejar perempuan tu ke?” soal Datin Mazni kemudiannya.

“Tak... tak payah,” sayu suara Datin Azilah tika ini.

“You okey ke?” Sekali lagi soalan yang tidak dijawab oleh Datin Azilah sebelum ini ditanyai semula.

“I... I tak sangka yang Dato sanggup buat I macam ni...” Kali ini tangisan sudah kedengaran.

Segera Datin Mazni memeluk erat tubuh Datin Azilah, “Sabarlah... I faham perasaan you. Dahlah... tak payahlah you nak fikirkan lagi tentang apa yang diperkatakan oleh perempuan tu. You sendiri tahukan yang Dato takkan sanggup untuk membuka aib you.”

“Kalau bukan Dato, siapa lagi? Hanya kami berdua sahaja yang tahu tentang perkara tu. Hanya I dan Dato Ezman je yang tahu tentang sebab mengapa Dato terpaksa mengahwini I. I betul-betul tak sangka yang Dato sanggup aibkan I di hadapan perempuan tak guna tu. Apa salah I? Apa salah I sampai Dato sanggup buat I macam ni? Apa salah I, Mazni?” Terenjut-enjut bahu Datin Azilah menahan sengsara di jiwa.

“I... I bukannya nak sebelahkan Dato. Tapi I percaya yang Dato mempunyai alasannya yang tersendiri. Tapi I yakin yang Dato tak seburuk yang you sangkakan. Hanya perempuan tu je yang tak sedar diri! You dengar baik-baik apa yang I nak cakapkan ni... Walau apa pun yang terjadi you tak boleh berpisah dengan Dato. Kalau you buat macam tu, ini bermakna you telah memberikan kemenangan kepada perempuan tak guna tu!” nasihat Datin Mazni kepada Datin Azilah.

“Dia memang dah menang! Perempuan tak guna tu memang dah menang! Dia berjaya menakluki hati dan perasaan Dato. Tapi I? I tak pernah dikasihi dan dicintai biarpun seketika oleh lelaki yang telah menikahi I hampir 25 tahun yang lalu!” tangisan Datin Azilah menjulang. Hiba di hati Datin Mazni jua kian bertandang, “Itu I tahu. Tapi kalau you boleh tunggu selama hampir 25 tahun... kenapa you tak boleh nak tunggu untuk sedikit masa lagi?”

Datin Azilah terdiam. Namun sendu akibat tangisan masih kedengaran. Di dalam kesedihan dan kekecewaan dia mengakui kebenaran di sebalik kata-kata yang meluncur keluar dari bibir sahabat baiknya itu.

‘Ya! Kalau aku boleh tunggu selama hampir 25 tahun untuk menagih kasih dan sayang daripada suami aku... kenapa tidak sekarang? Biar apa pun yang terjadi, aku takkan ‘lepaskan’ suami aku! Lelaki yang telah menikahi aku hampir 25 tahun yang lalu akan tetap menjadi milik aku sampai bila-bila! Cinta dan kasihnya tetap jua ku tagih biarpun diri ini sering diketepikan!’ Tekad bergema di baris-baris akhir bicara hati Datin Azilah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.