28
Segalanya ada di One Stop Beauty Centre. Bermula dengan salon,
gimnasium, kelas yoga, kelas aerobik dan butik turut tersedia. Kebanyakan
mereka yang mengunjungi kelab ini terdiri daripada kelas atasan.
Datin Nur Kamiilah antara
pelanggan tetap kelab itu.
“Lama you tak datang sini?” soal
Datin Saidah setelah Datin Nur Kamiilah mengambil tempat di hadapannya.
“Busy sikit,” malas Datin Nur Kamiilah mahu berbual mesra
dengan sahabatnya itu.
Andai tidak disebabkan perihal anak lelaki
yang amat dirinduinya bakal menjadi tajuk utama perbualan mereka, pasti
diberikan seribu alasan untuk tidak bertemu dengan wanita di hadapannya itu.
“Dato macam mana?” Datin Saidah
masih cuba memancing Datin Nur Kamiilah untuk berbual mesra. Nyata sangat riak
sahabatnya itu bagai tidak mahu berbicara dengannya.
“Okeylah.”
“Dato ada perempuan lagi?
Perempuan yang lahirkan anak Dato tu sekarang macam mana?”
“Manalah I tahu. Dato dah lama
ceraikan betina tu! Beranilah dia kalau main-mainkan I lagi!” Suara Datin
Kamiilah sudah meninggi.
Cubaan Datin Saidah untuk
membangkitkanmood sahabatnya itu berjaya. Wajah putih milik sahabatnya
itu bertukar kemerah-merahan akibat rasa marah kerana dirinya pernah dicurangi.
“I pun tak sangka yang Dato
sanggup duakan you. Mesti budak tu dah
besar panjang. Yalah dah berapa tahun dah Dato bercerai. Anak Dato tu lelaki
ke perempuan?” Datin Saidah masih belum puas menjadi pengikut syaitan untuk
membangkitkan amarah dalam diri wanita yang merenung ke arahnya.
“Yang you sibuk nak tanya pasal suami I ni apa hal?! You ingat
ye, kalau suami I boleh curang tak mustahil yang suami you tu pun boleh buat
benda yang sama!” geram Datin Nur Kamiilah mendengar mulut celopar sahabatnya
ini.
‘Suami dengan isteri sama aje!’ getus hati Datin Nur Kamiilah.
“I tak rasa yang suami I berani. You sendirikan tahu siapa kawan
baik suami I? Bekas suami you! You tahukan jenis macam mana Dato Haji tu.
Kalaulah dia tahu yang suami I berani main kayu tiga dekat belakang I, memang
bernanahlah telinga suami I tu dengar bebelan Dato. Mesti dia takkan izinkan
suami I curang! Sebab dia tahu macam mana sakit dan sengsaranya bila diri
dicurangi! Macam you buat dekat dia dulu. You tinggalkan dia untuk bersama
suami you sekarang.”
Rasa malu dan marah bergaul rasa sehingga menerbitkan rasa benci
terhadap bicara sahabatnya itu. Memang Datin Nur Kamiilah akui kata-kata sahabatnya itu benar belaka.Tapi tidak
perlulah wanita di hadapannya ini menambahkan ‘garam’ pada luka yang sedia ada.
Pedihnya hanya dia sahaja yang tahu. “Kalau you ajak I keluar semata-mata nak
dengar you perli I. Terima kasih ajelah.” Datin Nur Kamiilah sudah bangkit
untuk mengatur langkah.
“Duduklah dulu. I minta maaf kalau you terasa. Baiklah, sekarang
I dah tahu macam mana caranya untuk you bertemu dengan Yus,” pujuk Datin
Saidah.
Serta merta Datin Nur Kamiilah berpaling menghadap sahabatnya dan
kerusi yang sebelum ini menampung beratnya, kini menjalankan tugasnya kembali.
“Macam mana?” Bersinar mata wanita yang amat merindui anak
tunggalnya itu.
“Melalui menantu you.”
“Menantu I?”
“Nama budak perempuan tu Afini. Semalam suami I ke rumah bekas
suami you. Ada hal sikit nak dibincangkan. Tak lama lepas tu, Yus dan isterinya
datang.” Datin Saidah menghentikan kata-katanya dan memandang ke arah Datin Nur
Kamiilah. Jelas riak ketidaksabaran terpamer di wajah wanita itu untuk menunggu
butir bicaranya.
“Suami I kata budak perempuan tu taklah semoden kita. Perempuan
kampunglah katakan. Tapi menurut suami I, budak perempuan tu ada budi pekerti
yang elok walaupun mulutnya agak ‘laser’. Dari pandangan mata suami I…
nampaknya anak you sangat sayangkan Afini.”
“Jadi apa kena mengena perempuan kampung tu dengan harapan I
untuk bertemu Yus?”
“You ni lembaplah. You boleh gunakan si Afini tu untuk capai
hasrat you!” Datin Saidah tersenyum.
“I tak faham.”
“You cakap you pernah bertemu dengan Afini sebelum dia berkahwin
dengan anak you. Betul?”
Seperti orang bodoh Datin Nur Kamiilah mengangguk.
“Agak-agak youlah, Afini tu nampak macam budak bodoh ke pandai?”
“I tak pasti. Tapi terus terang, I tak berapa berkenan dia
menjadi isteri Yus. Yus berhak mendapat wanita yang lebih kaya dan moden.
Perempuan tu… entahlah, I pun tak tahu nak cakap macam mana atau mungkin I
memang tak berhak nak komen apa-apa setelah apa yang I buat pada Yus dan bekas
suami I.” Datin Nur Kamiilah mengeluh.
“Baguslah kalau you dah mula rasa menyesal dengan apa yang you
dah lakukan!” Sinis benar kata-kata itu ditujukan pada wanita yang masih
melayan perasaan hibanya.
“Tapi itu bukan point utama
perbincangan kita. Apa yang penting sekarang… you kena rapatkan diri you dengan
budak perempuan tu. Kalau you tak lalu nak tengok muka dia pun tak apa. You
boleh direct call pejabat Yus dan minta
disambungkan pada Afini. Selepas tu, you kena cuba beramah mesra dan timbulkan
rasa sedih untuk meraih simpati daripada dia supaya mempertemukan you dengan Yus.”
Tercengang Datin Nur Kamiilah mendengar perancangan sahabatnya
itu. Sudah berpuluh tahun dia tidak dapat memeluk dan mencium tubuh anak
tunggalnya itu. Rasa rindunya andai dapat dihitung, pastilah lebih tinggi jika
dibandingkan dengan tingginya Gunung Everest.
“You rasa I akan berjaya?”
“I yakin! Sebab I tahu budak perempuan tu memang mudah untuk
dipergunakan. Cukup you jentik sikit hatinya. Pasti dia akan lembut hati untuk
membantu you mencapai impian you selama ini.” Senyuman Datin Saidah kian melebar.
Datin Nur Kamiilah pula masih mempertimbangkan rancangan
sahabatnya itu. Antara yakin dan tidak, antara berani dan takut dia mesti
membuat pilihan yang satu.
“Ini aje peluang yang you ada,” pujuk Datin Saidah lagi.
Akhirnya Datin Nur Kamiilah mengangguk.