Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 24

24

Deringan telefon di atas meja membingitkan telinga Afini. Terasa malas tangannya mahu mencapai gagang. Tetapi memandangkan hanya dia sahaja yang masih berada di bilik itu, tepaksa jua dia menjawab panggilan yang entah daripada siapa. “Helo. Nak bercakap dengan siapa?”

“Woi! Afini, kau tak keluar lagi ke? Aku dah lama tunggu kau dekat bawah ni. Cepatlah sikit!”

Alamak! Afini terlupa langsung yang dia ada temu janji dengan Siti. Dia meletakkan semula gagang ke tempatnya dan mencapaihandbag sebelum mengatur langkah.

“Kau nikan. Geram aku! Suruh aku jangan lambat. Tapi kau tu yang terhegeh-hegeh,” bebel Siti setelah menyedari kehadiran Afini.

Sorrylah. Aku banyak kerja tadi. Sampai lupa yang aku ada janji dengan kau,” pujuk Afini seraya memaut lengan Siti.

“Kau memang... selalu buat aku macam ni. Kau tau tak, aku dah jadi patung cendana dekat sini sebab tunggu kau.”

“Alah… janganlah merajuk. Okey, oleh kerana aku yang salah, hari ni aku belanja kaulunch.” Di saat telinga Siti menangkap perkataan belanja, cepat sahaja dia tersenyum.

Siti begitu berselera menjamah makanan. Lapar benar lagaknya.

“Kau takbreakfast ke?” tanya Afini saat melihat Siti tergopoh-gopoh menjamu selera.

Siti menggeleng. Mulutnya penuh dengan makanan. Sebaik makanan di dalam mulut ditelan, baru dia bersuara. “Aku tak sempat nakbreakfast tadi. Selepas berumah tangga ni, semua kerja aku yang nak kena buat. Nak harapkan suami aku… tak berkemaslah rumah. Dapur pun alamatnya tak berasaplah.”

Seingat Afini selama dia bersahabat dengan Siti, jarang benar sahabatnya itu berbicara tentang suaminya itu. Baik sebelum atau selepas mendirikan rumah tangga. Cuma apa yang dia tahu, Siti mengenali suaminya itu semasa mereka sama-sama menghadiri satu seminar di Terengganu. Bermula detik itulah, cinta mula berputik di hati mereka sehingga mekar ke alam perkahwinan. Lebih daripada itu, dia sendiri tidak tahu bagaimana sikap dan tingkah laku lelaki yang bernama Zaid itu.

Siti mengeluh. “Kadang-kadang aku penat dengan sikap suami aku tu. Kau bayangkan, satu kerja rumah pun dia tak nak tolong. Kerja sama-sama, tapi bab buat kerja rumah semua aku yang nak kena buat.”

Afini hanya diam.

“Afini… kadang-kadang aku jadi betul-betul tertekan. Dulu masa bercinta, bukan main manis lagi dia berjanji itu, berjanji ini dengan aku. Tapi bila dah kahwin, semuanya tak sama dengan apa yang dia janjikan. Aku penat Afini.”

Afini menggenggam jari jemari Siti untuk menyuntik sedikit kekuatan. Tiba-tiba dia teringat Yus. Sikap Zaid dan Yus jauh berbeza. Lelaki yang sudah bergelar suaminya itu tidak suka menabur janji tetapi apa yang dikatakan akan diusahakan sehingga berjaya. Dari segi kerajinan pula memang tiada tandingannya.

Semenjak dia duduk sebumbung dengan Yus, hanya beberapa kali sahaja dia mengambil tugas sebagai tukang masak. Kebiasaannya, Yus lebih suka memasak sendiri. Tidak dia nafikan, skill memasak suaminya itu memang lebih hebat berbanding dirinya.

Mengemas rumah pula, Yus lebih pantas melakukannya sendirian. Ketidakhadiran seorang wanita yang bergelar mama dalam hidup Yus semenjak usianya tujuh tahun itulah yang telah mendorong lelaki itu untuk lebih peka terhadap perkara-perkara seperti ini.

“Siti, aku tak tahu macam mana nak komen pasal suami kau. Tapi, apa yang aku boleh cakap, ada baiknya kau berbincang secara baik dengan dia tentang perkara ni.”

“Bukan setakat berbincang, dah bertekak pun. Tapi suami aku tu jenis buat bodoh aje bila aku marah dia. Sakit hati aku! Macam pagi tadi, bukannya dia tak nampak aku tengah kelam kabut bersiap nak pergi kerja. Apa salahnya bancuh kopi sendiri! Ni tak, nak tunggu aku jugak!”

‘Nasib baiklah Yus tak macam tu,’ bisik hati Afini.

“Kau kena banyak bersabar. Biasalah, semua orang tak sempurna. Masing-masing ada kekurangan,” nasihat Afini.

Senyap seketika suasana antara mereka.

Dalam diam, Siti menerima kata-kata Afini sebentar tadi sebagai kata sandaran untuk menyabarkan dirinya dalam menghadapi masalah ini.

“Kau dengan Yus macam mana? Ada masalah?” tanya Siti.

“Macam tu ajelah. Nak kata tak okey, tak jugak. Nak kata okey… entahlah. Tapi sekarang ni yang merunsingkan aku bukan Yus.”

“Habis, siapa?”

“Zack,” jawab Afini, lambat.

“Zack? Kenapa dengan Zack?”

“Entahlah. Semalam aku jumpa Zack… dia lain…”

“Lain macam mana?” potong Siti.

“Dia… dah tak ceria macam selalu. Maksud aku, dia dah lain. Tak macam dulu. Senyum pun macam terpaksa. Aku rasa dia ada masalahlah,” kata Afini.

Siti yang mendengar kata-kata Afini itu terdiam dan termenung sebentar. “Patutlah…”

Perkataan yang dituturkan oleh Siti walaupun dalam nada yang rendah dapat jua ditangkap oleh telinga Afini. “Patutlah apa?” Saat Afini bertanyakan soalan itu, Siti cepat sahaja memandang ke arahnya. Pandangan Siti bagai ingin menceritakan sesuatu.

“Kau tahu tak Afini. Dua hari lepas aku dengan Zaid pergi beli barang dapur dekat Tesco. Kau teka aku nampak siapa?”

“Siapa?” tanya Afini tidak sabar. Otaknya tidak dapat memikir siapa yang ditemui Siti.

“Zack dan Has!”

Membulat mata Afini mendengar nama pasangan kekasih itu.

“Aku jumpa dia orang masa dekat tempat letak kereta. Waktu tu aku dengan Zaid nak balik dah. Masa aku sibuk punggahkan barang dalam troli ke bonet kereta, tiba-tiba aku dengar suara orang menjerit. Mulanya aku tak ambil peduli. Tapi bila aku dengar betul-betul suara orang yang tengah bertekak tu. aku terus toleh ke belakang. Waktu tulah aku nampak Has tengah menjerit pada Zack. Lepas tu boleh pulak Has tolak badan Zack sampai nak terjatuh pun ada aku nampak.”

“Lepas tu?”

“Lepas tu, entah macam mana Has dan Zack terperasan aku tengah perhatikan dia orang. Zack nampak macam serba salah. Aku nampak Zack mengalah. Bila Has pukul… dia diam aje, tak melawan langsung. Kau tahukan yang Zack tu betul-betul cintakan Has. Kadang-kadang aku sendiri pun tak faham, macam manalah lelaki sesempurna Zack tu boleh nekad nak bercinta dengan Has… sampaikan dia sanggup ketepikan orang sekeliling dia.”

Afini mengerti akan maksud yang ingin disampaikan oleh Siti. Tapi apakan daya… bila cinta sudah menguasai diri, akal tidak lagi diperlukan dalam menghakimi baik buruk percintaan.

Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.