16
Di pantry terlihat
kelibat tiga orang manusia sedang menikmati sarapan pagi sebelum waktu pejabat
bermula. Namun ada seorang di antara mereka terlihat berminat untuk mengumpul
dana dosa di pagi hari.
“Tak sangkakan Afini tu
macam tu?”
Kali ini bukan Ainal
yang memegang kunci dosa. Zakaria! Ya lelaki itu telah berjaya dilatih oleh
Ainal untuk menjadi pengikutnya yang paling berjaya menabur fitnah!
“Kenapa pulak?”tanya
Eliz.
“Yalah. Sabtu nikan dia
nak bernikah dengan mamat gay tu! Peliklah aku, muka cantik tapi sanggup kahwin
dengan lelaki yang bukan lelaki!” laju Zakaria menjawab persoalan Eliz.
“Hmm… tapi aku rasa bos
kita tu bukan gaylah. Kalau gay, takkanlah Cik Afini sanggup nak rosakkan masa
depan dia kahwin dengan lelaki yang tak boleh bahagiakan dia.” Eliz menjawab
dengan pandangan rasionalnya.
“Bukan gay? Kau tahu
tak… dulu Ainal pernah beritahu aku, dua biji mata dia sendiri nampak yang
Encik Yus tu bercumbuan dengan Encik Jeff. Cuba kau bayangkan kalau dah
bercumbuan, lepas tu buat apa? Cubalah kau fikir sendiri!” Beria-ia Zakaria
menambah saham dosanya.
“Tapi aku tak rasa Cik
Afini tu perempuan tak baik. Sebab sepengenalan akulah, dia tu baik orangnya.”
Eliz masih cuba menepis fitnah yang dibajai Zakaria.
“Dah, cukup! Kau nikan
Zakaria, namanya orang terpelajar. Tapi otak, letak kat lutut. Kau sibuk sangat
pasal Afini dengan Yus tu kenapa? Ke kau yang ada hati dengan Afini?” Omar yang
tadinya hanya menjadi pemerhati, lantas bersuara meluahkan ketidaksenangan
terhadap sikap Zakaria.
Zakaria terdiam.
Merah padam wajah Siti
saat telinganya menjadi medan lontaran penghinaan Zakaria terhadap insan di
sisinya. Semenjak dia dan Afini berdiri di sebalik pintu pantri itulah mereka
mendengari tiap butir bicara yang hina dilancangkan oleh mulut longkang milik
Zakaria. Siti menoleh ke arah Afini. Terlihat kesuraman dan kesedihan mewarnai
wajah mulus itu. Siti mengerti mengapa sebegitu kelam sekali wajah sahabatnya
itu.
Afini tidak menunggu
lama. Cepat sahaja kakinya melangkah pergi meninggalkan insan keji yang sudah
membisu mulutnya setelah diteguri Omar. Kaki diayun laju menghampiri bilik
pejabatnya dan Siti setia mengekori.
“Kau dengar tak Afini
apa yang si Zakaria tu cakap?”
Afini faham akan maksud
Siti. Mestilah persoalan itu berpusatkan tentang apa yang mereka dengari
sewaktu menghampiri pantri sebentar tadi.
“Dengar,” jawab Afini
sepatah.
“Kalau dengar, kenapa
kau tak lanyak aje muka Zakaria tu. Aku nak belasah dia, kau tak bagi. Kau tak
sakit hati ke dengar semua tu?”
Afini hanya menundukkan
wajah. Masih terasa kepedihan di hati.
“Kenapa kau senyap?”
soal Siti tidak berpuas hati dengan sikap kebisuan Afini.
“Apa yang Zakaria cakap
tu betul. Takkan aku nak pukul orang yang bercakapkan tentang kebenaran. Memang
aku ni perempuan yang entah apa-apa… sanggup hancurkan masa depan, kahwin
dengan Yus. Lelaki yang bukan lelaki! Semua tu betul, Siti.” Kali ini Afini
tidak mampu menahan air mata daripada terus mengalir. Biarlah air matanya itu
mengalir deras andai ia mampu mengurangkan kepedihan di hati.
“Afini… aku… aku tak
berniat nak sakitkan hati kau,” seraya menuturkan kata-kata itu, Siti sudah
menggenggam jari jemari Afini.
“Aku tahu… ini bukan
kali pertama aku dengar Zakaria cakap yang bukan-bukan pasal aku. Entahlah… aku
redha. Andai ini yang terpaksa aku lalui setelah apa yang aku korbankan untuk
mak aku. Aku redha!” kata Afini.
Afini melihat inai
yang dipakaikan di sepuluh jari jemari tangan dan kakinya. Bukan setakat jari
jemari, tetapi tapak tangan dan sekitar kakinya jua penuh dengan ukiran halus
yang dihasilkan daripada pewarna semula jadi itu.
Siti yang berada di
sebelah Afini begitu gembira dapat menginaikan sahabatnya itu. Andai empat
bulan lepas Afini menginaikan dirinya, kini tiba pula gilirannya.
“Tak sabar aku nak
tengok kau bersanding esok. Mesti cantik,” kata Siti dengan gembira.
Afini terdiam. Adakah
Siti sudah terlupa? Perkahwinan esok menandakan satu lagi episod hitam akan
tercatat dalam diari hidup Afini. “Kau seronok sebab dapat jadi pengapit aku ke
atau sebab… aku akan menderita lepas ni?”
Afini tidak berniat
untuk menyindir Siti, cuma sekadar ingin memperingatkan akan penderitaan yang
bakal mengekori dirinya selepas ini.
“Afini, aku minta maaf.
Aku tak ada niat… maaf,” kata Siti penuh sesal. Air matanya sudah pun gugur.
“Dahlah… kau tak salah.
Aku aje yang ‘emo’ sangat.” Afini cuba menceriakan kembali suasana, agar
insan-insan yang berada di sekeliling mereka tidak menyedari kelam yang sedang
menyelubungi hati mereka.
“Wah! Tak sangka cepat
juga jodoh kau ya Afini. Taklah mak usu ni risau kau jadi anak dara tua.
Tahniah,” kata mak usu Siti seraya mencium lembut dahi Afini.
“Mak usu pulak bila nak
ada pengganti?” usik Afini.
“Alah, tak ada maknanya
nak fikir pasal cari pengganti. Besarkan anak lagi baik.”
“Anak lain. Yalah...
kalau dah ada pengganti tu bolehlah Siti dapat sepupu lagi.” Kini Siti pula
mengambil tempat menyakat Mak Usunya itu.
“Dah tua-tua ni, tak
ada maknanya nak tambah anak lagi. Kau ni pun agak-agaklah. Kau tu yang patut
berusaha dapatkan anak. Nanti kalau kau dah tua, senang. Anak-anak dah besar.”
bebel mak usu.
Afini dan Siti hanya
tersenyum kerana sudah biasa dengan sikap wanita berusia itu.
Mak usu meminta izin
untuk keluar kerana ada urusan yang ingin diselesaikannya.
“Kau rasa… kau boleh
hadapi hari esok?” Kali ini begitu berhati-hati Siti menanyakan soalan.
“Kalau aku kata aku tak
bersedia, perkahwinan tu tetap akan berlangsungkan? Tak ada bezanya pun Siti,”
Balas Afini dalam kesayuan.
Entah mengapa, malam
ini hati Afini benar-benar tidak mampu dipulihkannya lagi sementelah menyedari
hari esok merupakan hari keramat yang amat ditakuti.
Siti hanya membisu
sambil memandang wajah sahabatnya itu penuh simpati.
Sekali lafaz, Afini
sudah sah menjadi isteri kepada Yus. Masih tersarung sepasang kurung moden
putih berkerawang di badan Afini. Baju itu sangat cantik dan amat bermakna
sementelah ia hasil tangan emaknya. Cincin platinum bertakhtakan sebutir
berlian yang begitu bersinar menjadi petanda yang Afini kini sudah tidak
mungkin dapat melarikan diri daripada Yus. Hanya cerai daripada lelaki itu yang
boleh membebaskan dirinya. Tapi bilakah agaknya dia akan diceraikan?
Pelik! Persoalan itu
pula yang berputar di minda Afini sedangkan baru dua jam lepas dia bergelar
isteri. Jelas riak terharu dan kegembiraan di setiap wajah yang menghadirkan
diri di masjid tadi untuk menyaksikan peristiwa keramat itu. Emak dan bapa
mertuanya merupakan orang yang paling gembira tika itu.
“Afini, tunggu apa
lagi? Cepat salin pakaian,” bebel Imah, tatkala melihat anaknya itu masih
mematungkan diri di atas katil.
Afini hanya diam.
“Kenapa ni, sayang?”
tanya Imah pabila Afini masih tidak mengambil pusing akan arahannya.
“Mak, apa perasaan mak
setelah bernikah dengan ayah?”
Terlihat riak kesedihan
di wajah emaknya, saat Afini menuturkan soalan itu. Salahkah dia mengutarakan
soalan sedemikian? Adakah emaknya masih terluka dengan kecurangan arwah
ayahnya? Masihkah emaknya tidak dapat memaafi arwah ayahnya?
“Maafkan mak, Afini.
Mak dah tak ingat perasaan tu dan kalau boleh mak tak nak ingat dah. Tapi, apa
yang penting anak mak ni lebih bertuah sebab dapat suami macam Yus.” Air mata
Imah bergenang.
Afini pantas memeluk
emaknya untuk menenangkan hati emaknya dan hatinya juga.
Duduk di atas
pelamin dengan Yus menjadikan Afini kian gundah. Ingin sahaja rasanya dia
berlari meninggalkan majlis ini. Tetapi ke manakah arah tujunya? Walau di
hujung dunia sekalipun dia melarikan diri, dia tetap tidak boleh mengubah
kenyataan yang dirinya adalah isteri Yus yang sah.
Siti yang menyedari
akan perubahan riak di wajah Afini, lantas berbisik. “Afini, senyumlah sikit.”
Afini cuba mengukirkan
senyum walaupun tidak ikhlas. Sedari tadi, Yus asyik menjeling beberapa kali ke
arahnya. Lelaki lebih pandai melakonkan wataknya. Mana tidaknya, sedari awal
berada di atas pelamin, senyuman sentiasa menghiasi wajahnya. Jeff yang menjadi
pengapitnya turut tersenyum riang.
‘Riang sungguh mereka
dapat mempergunakan aku…’ sayu rintihan hati Afini.
Imah dan Dato Haalim
merupakan orang yang meraikan majlis ini dengan rianya. Tatkala Afini menyalami
tangan tua milik lelaki yang selayaknya digelar papa, lelaki itu menyentuh
perlahan kepalaku. Terukir kegembiraan di wajahnya. Bunga telur dihulurkan
selepas bapa mentua Afini itu menepung tawar.
Kini tiba pula giliran
Imah. Setelah menepung tawar, wanita itu mencium dahi Yus. Terlihat jelas
dipenglihatan Afini, Yus berasa terharu dengan tindakan emaknya itu. Mungkin
kerana ketandusan kasih seorang ibu menyebabkan Yus bereaksi seperti itu.
Selepas bersanding dan
makan beradab, Afini dan Yus bergambar di pelamin bersama kawan-kawan dan
saudara mara. Ainal turut serta.
“Afini cantiknya you
hari ni. Bos pun apa kurangnya,” bodek Ainal yang sedang mendukung anaknya.
Afini melihat sekilas ke arah Yus yang siap
mengenakan pakaian tradisional Melayu. Bertanjak, bersampin dan berkeris
menjadikan Yus tampak seperti pahlawan Melayu. Dia pula mengenakan kebaya ungu,
senada warnanya dengan Yus.
“Isteri you mana?” soal
Yus, apabila tidak melihat kelibat isteri Ainal.
“Dia tengah makan bos.
Biasalah orang perempuan ni, kalau makan memang lambat. Tak macam kita, laju,”
sempat lagi Ainal mengumpat isterinya. Tidak hairanlah andai Ainal gemar
mencanang tentang keburukan orang lain. Dia meminta izin untuk beredar setelah
menyalami Yus dan Afini. Sempat lagi dia mengucapkan kata tahniah. Ikhlas atau
tidak, dia tidah tahu.
“Afini...” panggil
seseorang.
Di hadapn Afini kini,
berdirinya lelaki pertama yang pernah mencuri hatinya.
“Tahniah Yus, sebab you
dapat ikat Afini. Dia ni bukan sembarangan gadis. Jaga baik-baik, kalau tak
kena sambar nanti,” gurau Zack.
“Jangan risau, I akan
jaga Afini baik-baik. Supaya tak ada orang pun yang boleh rampas dia daripada
I,” kata Yus sambil sambil merenung Afini penuh kasih.
“Has mana? Tak nampak
dia pun?” soal Afini setelah menyedari Has tidak menyaingi Zack ke majlisnya.
“Sorrylah… Has, ada urusan sikit. Dia kirim salam dekat you.
Dia ucapkan tahniah.”
Entah mengapa kali ini
Afini dapat melihat riak ketidakjujuran dalam tutur kata Zack.
Afini memandang
dalam kelam malam. Malam ini tiada bulan yang menerangi bumi dan tiada bintang
yang menaburi angkasa. Sebagaimana kelamnya malam ini, begitu jualah hatinya
saat ini. Kepenatan akibat majlis yang berlangsung dari pagi ke malam tidak
mampu menjadi penyebab lenanya.
Yus dan bapa mentuanya
sudah pun meminta izin untuk pulang setelah berakhirnya acara membuka hadiah.
Sewaktu Yus melangkah
keluar dari rumah Afini, terdengar usikan daripada tetamu. Mana tidaknya,
walaupun Afini dan Yus sudah sah menjadi suami isteri tetapi kerana adat, Yus
tidak dibenarkan bermalam di rumah Afini sehingga berlangsungnya majlis
perkahwinan di pihak lelaki. Menurut kata emaknya, adat itu perlu agar seri pengantinnya
terjaga semasa persandingan untuk kali kedua di kediaman Yus pada minggu
hadapan.
Andai selama ini, Afini
tidak menyenangi beberapa adat Melayu yang dianggap menyusahkan. Namun berbeza
kali ini. Dia bukan sahaja menyenangi tetapi amat bersetuju dengan adat yang
dianjurkan. Kalau boleh, dia mahukan kewujudan satu adat yang melarang terus
seorang lelaki yang sudah sah bergelar suami ‘menggauli’ isterinya. Andai adat
itu wujud, dialah insan yang paling gembira.
Afini mengerling ke
arah jam yang terletak elok di dinding. Jam sudah melewati 2.00 pagi. Rasa
mengantuk masih tidak kunjung tiba menyebabkan mindanya terus berputar
memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang perlu dihadapinya.
Bahagiakah dirinya
selepas ini? Apakah yang akan terjadi andai benar ditakdirkan jodohnya dengan
Yus bukan sekadar sekejap cuma? Andai diceraikan Yus pula, akan adakah lelaki
yang mahu menerimanya setelah gelaran janda diperolehi? Berapa lamakah mampu
disembunyikannya kebenaran di sebalik perkahwinan ini daripada emaknya dan bapa
mentuanya? Persoalan demi persoalan menyesakkan hati dan minda Afini tika ini.