8
“Betul! Semalam aku nampak dengan mata
kepala aku sendiri. Bos kita tu bercumbuan dengan Encik Jeff.” Berkobar-kobar
Ainal, jurutera di syarikat ini menceritakan apa yang dilihatnya semalam.
“Kau biar betul?
Entah-entah salah orang kot?” soal Zakaria pula.
“Kau ingat aku ni rabun
malam ke sampai tak dapat nak cam bos kita tu. Dia orang siap cium-cium mulut
lagi tau. Eeii… gelilah aku tengok. Nak termuntah. Kalau ya pun dah tak tahan
sangat, janganlah tunjuk depan orang ramai. Dia ingat ini UK ke? Boleh buat
sesuka hati. Kalau dekat UK dulu dia nak buat adegan-adegan asmara macam tu,
lantak dialah.”
“Hai… tak sangka pulak
aku yang dia tu betul-betul gay. Aku ingat gosip aje,” kata Zakaria.
“Gosip apanya. Dia tu
memang gay! Memang nafsu dia tu untuk lelaki aje. Kalau betul dia bukan gay,
kenapa sampai sekarang dia tak kahwin lagi? Padahal umur dah 30 lebih dah.
Kenapa? Tapi bagi aku, baik dia tak payah kahwin. Bukan apa, kesian perempuan
yang kahwin dengan dia tu nanti.” Setelah Ainal mengakhiri kata itu, dia
meledakkan tawanya dan disambut oleh Zakaria.
Afini, Siti dan May
yang sedang menikmatibreakfast di pantri hanya membisu melihat gelagat
dua orang lelaki yang sedang menikmati kopi di hadapan mereka ini menambahkan
gunungan dosa.
‘Hebat juga orang
lelaki kalau mengumpat. Mengalahkan joyah tepi jalan,’ bisik hati Afini.
Sebaik sahaja Afini
duduk di tempatnya, telefon di meja May berbunyi. May pantas mengangkatnya.
Beberapa minit kemudiannn, dia meletakkan kembali gagang telefon.
“Cik Afini, Encik Yus
nak jumpa sekarang.”
“Dia ada suruh bawak
apa-apa dokumen tak?”
“Tak ada pulak.”
“Okey, terima kasih
May,” kata Afini lantas bangkit dari kerusi dan mengatur langkah.
Sebaik sahaja Afini
masuk ke dalam bilik Yus, lelaki itu terus memberinya sepucuk surat. Afini
terpinga-terpinga sebentar.
“Surat peringatan.
Sebagai orang yang lebih arif, pasti you tahukan kenapa you dapat surat tu?”
kata Yus sebaik sahaja nampak dahi Afini berkerut melihat surat itu.
“I tahu,” kata Afini.
“Kalau sekali lagi you
buat kesilapan, syarikat terpaksa memecat you!”
Berderau darah Afini.
Apakah dia akan kehilangan pekerjaan di saat dia dan emaknya bergantung harap
terhadap punca rezekinya ini? “Baiklah... kalau tak ada apa-apa lagi I minta
diri dulu.”
Yus mengangguk.
Afini melihat jam
di pergelangan tangannya. Waktu kian menghampiri 1.00 petang. Afini berlari
menuruni anak tangga dan tanpa sedar dia terlanggar tubuh seseorang. Tatkala
dia melihat insan di hadapannya, ternyata lelaki itu sedang merenung tajam ke
arahnya.
“Maafkan I, Encik Yus.
I tak sengaja,” kata Afini, lantas meninggalkan lelaki itu. Bukan niatnya untuk
bersikap kurang ajar. Tetapi dia benar-benar memburu masa. Hari ini dia sudah
nekad untuk bertemu semula dengan Encik Hashim bagi meminta bantuan supaya
dapat memberikannya sedikit tempoh lagi untuk menyelesaikan masalah yang
berkaitan dengan tanah pusaka emaknya itu.
Afinitermenung di
tempat duduknya sebaik sahaja pulang dari bank. Gugur air matanya tatkala
bantuan yang diharapkan tidak kesampaian. Menurut Encik Hashim, dia tidak dapat
membantu Afini. Tempoh pembayaran balik tinggal dua hari sahaja! Apakah akan
ada keajaiban untuknya dalam tempoh sesingkat itu?
“Afini! Masuk ke bilik
I sekarang jugak!” jerkah Yus di hadapan tiga orang kakitangan syarikat dan
salah seorangnya ialah Siti.
Afini terkejut. Dia
pantas mengelap air matanya dan bergegas ke bilik Yus.
Siti memandang Afini
dengan raut wajah simpati.
Afini redha andai kali
ini dia dimaki hamun sekali lagi kerana kelewatannya masuk ke pejabat. Dia
terlewat sejam.
“Baru pagi tadi I bagi
youwarning letter! Tak sampai sehari you dah buat perangai
balik!” Yus terus menghamburkan kemarahannya sebaik sahaja Afini masuk ke dalam
biliknya.
Afini masih membisu dan
menundukkan wajahnya ke lantai.
“Apa masalah you? Kalau
you rasa you dah tak ada hati untuk bekerja di sini, you boleh berambus
sekarang! Berambus!”
Adakah kata ‘berambus’
yang dituturkan oleh Yus membawa makna yang Afini telah dipecat!
“Apa maksud Encik Yus?”
kata Afini beserta linangan air mata yang sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi.
Dia tidak sanggup untuk kehilangan pekerjaannya. Dia amat memerlukannya di saat
ini.
“Cik Afini! Mulai saat
ini, perkhidmatan you tidak lagi diperlukan. Jadi tolong ambil semua barang you
dan keluar dari syarikat I hari ini juga!”
“Tolonglah Encik Yus. I
betul-betul perlukan pekerjaan ni. Tolonglah...” rayu Afini dan tanpa sedar dia
sudah memegang lengan milik lelaki yang masih menyinga wajahnya.
Yus menolak kuat tubuh
Afini sehingga jatuh terjelepok ke lantai. “Keputusan I muktamad!”
Mendengar perkataan ‘muktamad’
itu, Afini sedar harapannya untuk melembutkan hati milik Yus tidak mungkin akan
terjadi. Dia bangun dan mengatur langkah meninggalkan bilik yang lebih banyak
meninggalkan kenangan pahit berbanding manis itu.
Siti segera mendapatkan
Afini sebaik sahaja ternampak kelibat sahabatnya itu. “Kau okey tak?” soalnya
seraya memegang lembut bahu Afini.
Afini hanya diam. Dia
mengatur langkah menuju ke biliknya. Siti mengekori dari belakang.
Sebaik sahaja sampai di
biliknya, Afini meminta May meninggalkan dia dengan Siti.
Sambil tangannya lemah
mengemas barang yang ingin dibawa pulang, Afini menceritakan segala apa yang
telah terjadi. Ke mana dia menghilang, kenapa dia lewat masuk ke pejabat,
keputusan Yus memecatnya dan kekasaran lelaki baran itu menolak tubuhnya turut
diceritakan kepada Siti.
Siti menangis semahunya
dan hanya pelukan yang mampu memberikan sedikit kekuatan untuk Afini mengatur
melangkah meninggalkan Yus dan dunianya!