32
pagi ini Afini bangun awal. Dia mahu segera keluar dari
rumah ini. Biarlah saat dia melangkah keluar, pasangan kekasih yang masih
dibuai lena asmara itu tidak menyedari langkahnya. Itulah harapannya agar
mereka tidak dapat mengesan sembab di matanya akibat tsunami air mata yang
telah melanda.
Dia mengatur langkah perlahan dan
begitu berhati-hati. Saat pintu biliknya sudah ditutup, segera dia mengatur
langkah ke pintu utama untuk memboloskan dirinya keluar.
“Afini...”
Berderau darah Afini tatkala
namanya dipanggil.
“Cepat you pergi kerja?” soal Jeff
mesra.
“I ada kerja sikit yang nak
disiapkan. Tu yang awal ke pejabat hari ni,” kata Afini. Namun, pandangan
matanya tidak mahu dihalakan ke wajah Jeff.
“Tak nak sarapan dulu. I dah
siapkan sarapan.”
Afini tidak menyangka begini cara
layanan Jeff terhadap Yus. Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan
santapan ‘si buah hati’. “Rajin you bangun pagi-pagi. Siap buat sarapan lagi,”
sinis suara Afini. Dia yakin Jeff dapat mengesan nada suaranya yang begitu
sinis.
“Hmm… I tak dapat tidur malam
tadi. Tu yang pagi-pagi buta lagi I dah siapkan sarapan untuk you dan Yus.”
‘Tak dapat tidur? Ya Allah... apakah yang dilakukan oleh
kedua kaum Adam ini sehingga tidak tidur’ Serta merta seluruh tubuhnya terasa
sejuk saat mindanya segera memikirkan kemungkinan yang bukan-bukan.
“Afini, you okey ke? Kenapa muka
you nampak pucat ni? Kenapa you pakai cermin mata hitam? You okey tak?”
prihatin Jeff.
‘Kenapa ‘maduku’ ini berpura-pura
prihatin? Sedangkan dia tahu punca kenapa aku jadi begini. Semuanya kerana
kehadirannya di rumah ini! Semuanya kerana kasih sayang dan cinta yang terjalin
antara dia dan suamiku! Semuanya kerana mereka!’ Hati Afini menjerit.
Terasa sakit dadanya menahan sebak
agar emosi itu tidak akan meruntuhkan kekuatan yang tinggal sisa. Dia perlukan
sisa kekuatan saat ini agar benteng kelopak matanya dapat menahan empangan air
mata daripada menyerah.
“I okey. Cuma sakit mata aje. Tu
yang pakai cermin mata hitam ni. Jeff, I kena gerak sekarang. Dah lambat.”
Afini terus melangkah pergi.
“Afini, I lupa nak beritahu you.
Yus suruh pesan yang hari ni dia ada urusan sikit.Dia tak masuk ofis.”
‘Kenapa Yus tidak memberitahu dia?
Kenapa harus ‘maduku’ ini yang menjadi perantaranya? Kenapa?’ Air mata Afini
terus mengalir. Nasib baiklah kedudukannya membelakangi Jeff. Andai tidak,
pasti ‘madunya’ itu akan mentertawakan dirinya.
Tidak mahu Jeff mengesan getar
dalam bicaranya, Afini mengangguk. Dia segera melangkah keluar.
Memerah mata Afini akibat juraian
air mata yang tidak henti kunjung tiba. Mujur jua saat Siti menghadirkan
dirinya di bilik pejabatnya ini, May sudah keluar menikmati makan tengah hari.
Andai tidak, pasti pembantunya itu akan mengetahui kepincangan yang berlaku di
dalam rumah tangganya.
Siti yang mendengar tiap butir
bicara yang keluar dari bibir Afini, kian membuak amarahnya.
“Habis tu, kenapa kau tak blah aje
dari rumah tu malam tadi? Kalau aku yang berada di tempat kau, memang matilah
gay dua ekor tu aku kerjakan!” marah Siti.
“Entahlah, Siti. Aku sendiri tak
dapat nak fikir apa-apa malam tadi. Aku terkejut bukan kepalang bila… bila…”
Afini tidak dapat meneruskan ayatnya. Terasa sakit yang amat sangat dadanya
saat lidahnya dipaksa untuk menyebut nama lelaki yang menjadi ‘madunya’ itu.
Air mata yang mengalir disekanya.
“Sabar, Afini. Aku faham betapa
terseksanya kau sekarang. Tapi, kau kena kuat. Kau tak boleh nak biarkan setan
dua ekor tu mainkan perasaan kau! Kau kena kuat!” Siti menggenggam jari jemari
Afini.
“Aku… aku tak boleh terima bila
aku nampak sendiri depan mata aku macam mana mesranya Yus dan Jeff. Selama ni,
bila orang bercerita tentang dua jantan tak guna tu, aku cuba bayangkan. Tapi
bila… bila dah berlaku depan mata aku, baru aku tahu macam mana pedih dan
sakitnya hati ini. Aku betul-betul sengsara sekarang Siti. Tolonglah aku…”
Siti turut menangis melihat air
mata Afini. Tubuh Afini dipeluknya erat. “Afini, aku faham perasaan kau. Tapi…
kau sendiri tahukan bahawa perkahwinan kau hanyalah sebagai tabir untuk
menutupi perhubungan songsang antara Yus dan Jeff! Kau tahukan Afini? Kau
abaikan sahaja apa yang dia orang buat dekat kau. Sebab perkahwinan ini takkan
kekal. Tiba masanya talak akan dijatuhkan pada kau. Apa yang penting kau kena
pastikan yang hati kau bukannya milik Yus. Kau tak cintakan Yus kan?”
Serta merta Siti meleraikan
pelukannya. Mata mereka bertemu. Tapi hanya seketika. Afini menunduk.
“Afini, pandang aku. Kau tak ada
hati pada Yus, kan? Kau tak cintakan dia, kan?”
Afini masih tertunduk dan membisu.
“Afini…” Siti mendongakkan wajah
Afini agar memandang ke arahnya.
“Aku… aku cintakan Yus.”
Perlahan-lahan Afini tuturkan kata-kata keramat itu.
Membulat mata Siti. Dia terkejut.
“Ya Allah, Afini. Macam mana kau
boleh…” Siti tidak menghabiskan bicaranya.
Tetapi Afini mengerti apa yang ingin
disampaikan oleh sahabatnya itu. “Aku tak tahu. Aku tak sedar bila masanya rasa
cinta itu bercambah dalam diri aku. Apa yang aku tahu, aku jadi rindu untuk
melihat wajah Yus. Aku jadi… jadi tak keruan bila tak dapat lihat bayangnya dan
hati aku ni… hati aku ni jadi sakit bila melihat kemesraan yang terjalin antara
Yus dan Jeff. Apa semua tu Siti? Apa semua tu kalau bukannya cinta! Aku
cintakan dia… aku cintakan dia. Sebab tulah aku merana! Hati aku aku terseksa!
Semuanya kerana aku cintakan Yus!”
Siti berasa simpati kepada Afini.
Tidak disangkanya, Afini akan jatuh cinta dengan seorang lelaki yang memang
tidak layak untuk menerima juntaian kasih dan sayang daripada sahabatnya ini.
Hari ini Afini sengaja keluar lambat dari pejabat. Niatnya
satu, agar dia tidak perlu bertemu muka dengan Jeff. Dia berharap agar lelaki
itu sudah balik.
Harapan hanya tinggal harapan.
Sewaktu dia melangkah masuk ke dalam rumah, orang pertama yang dia nampak adalah
Jeff yang sedang bersenang-senang di ruang tamu. Lagaknya seperti sudah biasa
benar dengan ruang rumah itu.
“Eh… Afini. Lambat balik?” ramah,
Jeff bertanya.
Afini cuba memaniskan wajahnya.
“Banyak kerja tadi. Tu yang lambat
sikit balik.”
“Untung Yus dapat isteri dan
pekerja macam you. Dahlah cantik, rajin pulak tu.” Jeff tersenyum.
“Yus mana?” Sengaja Afini
bertanya.
“Solat. You tahulah, Yus tu kalau
solat memang lama. Mengalahkan tuan haji.”
Hendak naik loya tekak Afini
mendengar kata-kata pujian yang ditujukan oleh Jeff kepada ‘kekasih hatinya’
itu. Tidakkah Jeff berasa janggal mengungkapkan kata ‘solat’ sedangkan dirinya
sentiasa bergelumang dengan noda? Yus pula sepanjang perkenalan Afini, sentiasa
menjaga tiang agama itu. Namun, tidakkah lelaki itu terfikir kemungkinan
amalannya itu akan ditolak oleh Yang Maha Esa kerana dosa yang dilakukannya?
Terlalu besar dosa menyintai apatah lagi melakukan hubungan asmara dengan kaum
sejenis. Tidakkah Yus sedar akan hakikat itu.
“Afini, kenapa ni? Dari pagi tadi
lagi I tengok you lain macam aje.”
Afini menggeleng. “I okey. You
tengah buat apa tu?”
“I tengah tengok gambar lama. You
nak tengok gambar bekas isteri I?”
“Bekas isteri?” Afini terjerit
kecil.
Afini tidak menyangka bahawa ‘madunya’ itu
pernah mendirikan rumah tangga. Siapakah agaknya wanita malang itu? Adakah
nasibnya semalang Afini?
“Sinilah. Bukan senang tau I nak
tunjukkan dekat orang gambar bekas isteri I. Hanya orang tertentu sahaja yang I
izinkan. Orang-orang yang I percaya.”
Hati Afini berbelah bahagi. Tidak
tahu untuk mengambil keputusan yang bagaimana. Andai diikutkan hatinya, mahu
sahaja dia melihat gambar bekas isteri Jeff itu. Sekurang-kurangnya dapatlah
dia melihat wajah wanita malang itu. Tetapi andai diikutkan pula kewarasan akal
fikirannya, pastilah ditegah tingkahnya untuk mendekati Jeff yang masih
beria-ia menyuruhnya mengambil tempat di sebelahnya agar dapat ditunjukkan
gambar wanita yang pernah dinikahinya itu.
“Afini. Sinilah!” Sedikit mendesak
Jeff memanggil Afini.
Mahu tidak mahu terpaksa jua Afini
duduk di sebelah Jeff.
“Inilah gambar bekas isteri I.
Cantik tak?” Jeff menyuakan iPhone miliknya kepada Afini. Di skrin terpapar,
seorang wanita yang mempunyai ketinggian dan bentuk badan ala-ala model.
Rambutnya yang panjang beralun menambahkan lagi kecantikan wajahnya yang persis
wanita Parsi. Tapi sayang, penampilan wanita itu mencacatkan kecantikkan tubuh
badannya. Andai wanita itu menundukkan sedikit tubuhnya pasti terlihat jelas
lurah di dada dan skrit pendeknya pula menampakkan kecantikan paha serta
betisnya.
“Cantik. Cantik sangat,” puji
Afini ikhlas.
“Lelaki dekat sebelah tu kacak
tak?”
Afini mengalihkan pandangannya ke
arah lelaki yang merangkul mesra pinggang bekas isteri Jeff itu. Keningnya
berkerut. Dia macam pernah melihat lelaki itu. Tapi di mana? Tiba-tiba dia
mengeluh.
“Kenapa Afini? Kenapa you
mengeluh?”
“Tak… I rasa I pernah jumpa lelaki
ni. Tapi I tak ingat di mana.”
“You pernah jumpa dia?”
Afini mengangguk, yakin.
“You kenal siapa dia?”
Afini menggeleng. Namun mindanya
berputar ligat. “Hah! Baru I ingat. I pernah jumpa lelaki ni dekat Viva Home.
Waktu tu I jumpa dia sedang berjalan dengan mama Yus,” katanya. “Tapi… apa kena
mengena bekas isteri you dengan lelaki ni?”
Jeff mengeluh. Dia merenung wajah
Afini seketika.“You tahu kenapa I bercerai dengan perempuan ni?” Lain yang
Afini tanya, lain pula yang dipersoalkan kepada Afini.
“Tak tahu,” jawab Afini, polos.
“Ada dua sebab. Pertama, memang I
tak pernah cintakan dia dan kedua kerana dia pun tak cintakan I.”
“Habis tu kenapa you berkahwin
dengan dia? Sedangkan you tahu yang you tak cintakan dia.” Afini hampir terlupa
akan status perkahwinannya dan Yus. Perkahwinan tanpa wujudnya rasa cinta dan
yang ada hanyalah keterpaksaan. Layakkah wanita malang sepertinya bertanyakan
soalan itu kepada Jeff?
“Perkahwinan I diaturkan oleh
keluarga. I ikut ajelah. I ingat kalau I dah kahwin, I boleh berubah. Tapi… I
silap. Selepas I berkahwin dengan perempuan ni, barulah I tahu yang dia
sebenarnya ada hubungan sulit dengan lelaki ni. Lelaki ni anak tiri mama Yus.”
Membulat mata Afini. Kini barulah
dia mengerti mengapa saat pertama kali bersua muka dengan lelaki itu, lelaki
itu kelihatan begitu mesra dengan Datin Nur Kamiilah. “Maksud you, dia tu anak
suami kedua Datin Nur Kamiilah?”
“Betul. Anak dengan bapak sama
aje! Tak pernah puas dengan satu betina!”
Afini berasa simpati kepada Yus
saat mengetahui kebenaran yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Patutlah
Yus kelihatan marah benar hari itu. Rupa-rupanya perasaan itu hadir bukan hanya
kerana kebenciannya kepada mamanya sahaja. Tapi kerana kedua-dua insan yang
hadir di hadapannya saat itu, telah lama menanam benih-benih dendam dan benih
itu sudah bercambah mekar di hatinya.
“Afini, you okey?” sapa Jeff saat
menyedari seluruh tubuh insan di sebelahnya itu menjadi kaku akibat perasaan
terkejut yang masih menguasai dirinya.
“I okey. Cuma terkejut. Tak
sangka…” Ayat Afini tergantung.
“Tak sangka yang jantan tu anak
tiri mama Yus?”
Afini mengangguk. “Boleh I tahu
satu perkara?”
“Apa dia?”
“Hmm… Datin Nur Kamiilah tu isteri
nombor berapa? Maksud I pada suami dia sekarang.”
“Setahu I mama Yus isteri kedua.
Sebelum ni Dato pernah berkahwin dengan seorang wanita yang juga berkedudukan
orangnya. Tetapi setelah bertemu dengan mama Yus, dia telah mengambil keputusan
untuk menceraikan isterinya. Kebetulan mama Yus pula mendesak papa Yus untuk
menceraikannya. Selepas tu, apa yang I dengar mereka bahagia. Cuma ada satu
benda yang Dato mahukan daripada mama Yus. Sampai sekarang mama Yus tak dapat
berikan.”
“Apa dia?” soal Afini, laju.
Benar-benar ingin tahu.
“Anak.”
“Anak? Bukan ke Dato dah ada anak
dengan isteri pertama?”
“Betul. Lelaki tak guna nilah anak
dia.” Jeff masih menunjuk-nunjuk gambar lelaki yang sedang tersenyum mesra di
samping bekas isterinya.
“Jadi? Kenapa pulak you kata Dato
mahukan anak dengan Datin Nur Kamiilah?”
“Yalah, diakan cintakan sangat
dengan mama Yus. Jadi mestilah dia nak ada zuriat dengan perempuan tu!” jelas
Jeff. “Apa yang I dengar, dia nak anak perempuan. Sebab tulah dalam diam dia
telah berkahwin dengan seorang lagi wanita. Hasil perkahwinan itu, mereka
dikurniakan seorang anak perempuan. Siti Zulaika namanya.”
Siti Zulaika? Seingat Afini, dia
pernah mendengar nama itu… Ya! Pak tehnya pernah menceritakan tentang budak
perempuan itu kepadanya. Budak perempuan yang turut memiliki seorang adik
perempuan yang berlainan bapa tetapi lahir dari satu rahim. Rahim seorang
wanita yang bernama… Siti Jannah! Serta merta mata Afini berkaca dan dadanya
pula berombak kacil.
“Afini. You kenapa ni?” Jeff mula
risau melihat keadaan Afini.
“Siapa nama… nama perempuan tu?”
soal Afini dalam getaran.
“Yang mana satu?”
“Perempuan yang berkahwin dengan
Dato tanpa pengetahuan mama Yus. Siapa namanya? Siapa Jeff?”
“Kalau tak silap I namanya Jannah…
Siti Jannah. Tapi Dato dah ceraikan perempuan tu sebab mama Yus suruh Dato buat
pilihan sama ada ingin terus bersamanya atau melepaskan perempuan tu. Dah
tentulah Dato akan pilih mama Yus. Itukan cinta teragungnya. Jadi Dato ceraikan
isteri mudanya itu dan hak jagaan zuriat turut diserahkan pada Jannah. Itu juga
merupakan salah satu syarat yang telah ditetapkan oleh mama Yus.”
‘Ya Allah, benarkah apa yang sedang aku dengar kini? Benarkah
wanita yang diceritakan oleh Jeff merupakan wanita sama yang telah
menghancurkan kebahagiaan keluargaku? Benarkah insan yang pernah tercoret kisah
dukanya akibat sifat tamak Datin Nur Kamiilah merupakan insan yang telah
mencoretkan kisah duka di dalam hidup aku dan emak?’ Air mata Afini mula
mengalir.
“Afini, kenapa you menangis?” Jeff
sudah mula merapatkan dirinya dengan Afini.
Sikap prihatinnya itu menyebabkan
Afini menjarakkan semula kedudukan mereka. “I… I nak tengok gambar perempuan
tu.”
“I tak ada simpan gambar dia.
Kenapa Afini? Kalau you ada masalah, you boleh cerita dekat I. Mungkin I boleh
tolong.” Lembut bicara Jeff, seolah-olah memujuk gayanya.
“I cuma nak pastikan sesuatu...”
kata Afini.
“Pastikan apa?” Jeff memandang
Afini.
“I… ada seorang mak tiri.
Perempuan yang meruntuhkan kebahagiaan keluarga kami. Perempuan tu namanya…
Siti Jannah.”
“What? Oh no! Jadi
sekarang ni you fikir perempuan yang I ceritakan ni merupakan perempuan sama
yang telah menjadi mak tiri you?”
“Betul. Cerita you sama dengan apa
yang pak teh I cerita. Mak tiri I seorang janda. Hasil perkahwinannya dengan
suami terdahulu, dia telah dikurniakan seorang anak perempuan yang bernama Siti
Zulaika. Setelah dia berkahwin dengan arwah ayah I, dia melahirkan seorang lagi
anak perempuan yang bernama Siti Naailah. I yakin Jeff, dua orang perempuan ini
merupakan perempuan yang sama. Perempuan yang telah menghancurkan hati emak I!
Perempuan…” Kali ini tangisan Afini yang kian menggila menyebabkan bicaranya
terhenti.
Jeff pula kian jatuh simpatinya
kepada Afini.
Tidak Afini menyangka kebenciannya
yang menggunung kepada ‘madunya’ ini siang tadi telah terbang tinggi
meninggalkan dirinya. “You pernah tengok muka mak tiri you?”
“Pernah. Tapi dalam gambar aje.
Bapa saudara I yang tunjukkan pada I dan mak I. Sebab tu I perlukan gambar
perempuan tu supaya I dapat pastikan adakah mereka merupakan orang yang sama.”
Jeff mengeluh.
“Jeff. I minta maaf kalau I minta
sesuatu yang menyusahkan diri you.”
“Bukan! You salah faham. I
mengeluh sebab… sebab I tak sangka yang kisah hidup you dan Yus banyak sangat
persamaan. You perasan tak… kalaupun you tak berkahwin dengan Yus, tetapi
sebenarnya you dah terikat dengan dia. Persamaan itulah yang telah mengikat you
dan Yus.” Dalam diam Afini mengakui kebenaran kata-kata Jeff.
Memang selama ini, Afini mengakui yang dirinya
mempunyai kisah hidup yang hampir sama dengan suaminya itu. Namun malam ini
kisah hidup mereka memang saling terikat, di mana wanita yang memegang tali
ikatan itu adalah… Siti Jannah!
“You jangan risau. I akan usahakan
sebaik mungkin untuk pertemukan you dengan mak tiri you tu. Tapi I nak tanya
you satu perkara.”
Serta merta Afini mengalihkan
semula pandangannya ke wajah Jeff.
“Kalau you dah bertemu dengan mak
tiri you tu, you nak buat apa?”
Degupan yang tadinya sudah
memperlahan rentak iramanya kini bergema semula. Sesak dada Afini memikirkan
kemungkinan-kemungkinan yang mungkin akan berlaku saat dia bersua muka dengan
wanita yang telah mencambahkan rasa benci di dalam dirinya. Entahlah… dia
sendiri tidak pasti apa tindakan yang akan dilakukan apabila berjumpa wanita
itu.
Seusai solat Isyak, Afini terus merebahkan badannya ke
tilam. Dia cuba memejamkan matanya untuk tidur. Namun, matanya susah untuk
dilelapkan. Otaknya masih ligat berfikir. Mengimbau kembali apa yang telah
berlaku pada dirinya. Bermula dengan kehadiran wanita yang bernama Siti Jannah.
Disebabkan wanita itu jualah ayahnya mempergunakan emaknya untuk menggadaikan
tanah pusaka yang diwarisi oleh emaknya itu sehingga menjerumuskan dirinya ke
alam perkahwinan dengan Yus.
Saat merasakan baringan tidak
mampu memberikan keselesaan pada dirinya, Afini bangun dan duduk bersandar di
kepala katil. Rasa kecewa, sedih dan derita bergaul rasa sehingga menyebabkan
dia tidak mampu untuk bertahan lagi. Air matanya megalir laju.
Ketukan di muka pintu mengejutkan
Afini. Diurut sedikit dadanya sebelum mengatur langkah menghampiri daun pintu.
Dia tahu siapa gerangannya di balik pintu. Saat ini hanya dia dan Yus sahaja
yang menghuni ruang kondominium ini. Jeff sudah lama meminta izin untuk pulang.
“Afini…” panggil Yus lembut sebaik
sahaja Afini menjenggukkan wajahnya di balik daun pintu.
“Nak apa?” soal Afini sedikit
kasar. Dia tiada niat untuk bersikap kurang ajar, tetapi hatinya masih tidak
dapat memaafkan cara layanan Yus padanya semalam. Mungkin Yus hendak memujuk
hatinya yang masih berdarah. Tetapi Yus silap! Kali ini, dia tidak akan
membenarkan hatinya dicederakan lagi! Tidak akan!
“You nak apa?!” Afini mengulangi
soalan dengan menggunakan nada yang sama.
“Hmm… you okey?”
‘Aku okey ke tak, tak ada kena
mengena dengan kau!’ Namun, jeritan itu hanya bergema di hatinya sahaja.
“Hmm… you nak makan? Jom kita
makan sama-sama. Hari ni I masak.” kian lembut Yus berbicara.
‘Ooo… kau nak ajak aku makan?
Semalam aku ajak kau makan, kau tengking aku!’ marah Afini di dalam hati.
“Tak payah! You makanlah! I tak
ingin.” Setelah menuturkan kata-kata itu, Afini menutup daun pintu biliknya
dengan kuat. Puas hatinya dapat memulangkan paku buah keras kepada Yus.