27
Hari ini Afini dan Yus memutuskan untuk melawat
Dato Haalim. Seingat Afini sudah hampir sebulan dia tidak bertemu dengan lelaki
penyabar itu. Rasa rindu terhadap lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya
itu, menyebabkan dia memberikan cadangan kepada Yus untuk melawat bapa
mentuanya itu. Mujur sahaja Yus menyetujuinya.
“Kenapa pulak dia ada
dekat sini?!” Yus mendengus sebaik sahaja keluar dari kereta.
“Siapa?” soal Afini,
inginkan kepastian.
Namun, tiada jawapan
yang diberikan. Pandangan Yus masih tertumpu pada kereta Mercedes berwarna
hitam yang kedudukannya betul-betul bersebelahan dengan kereta miliknya.
Afini turut memandang
kereta itu. Seingatnya, bapa mentuanya hanya memiliki dua buah kereta sahaja
iaitu Mercedes berwarna silver dan juga sebuah Mitsuoka Galue III yang
merangkul takhta sebagai kereta kesayangan bapa mentuanya.
Sewaktu melangkah
masuk, Yus dengan cepat menggenggam jari jemari Afini.
Begitulah kebiasaannya,
lakonan dan sandiwara pasti akan mengaburi mata lelaki yang sudah pun tersenyum
ke arah mereka. Tetapi hari ini bapa mentuanya itu tidak keseorangan. Dia
ditemani seorang lelaki yang turut memberikan ekspresi wajah yang sama. Namun
Afini tidak senang dengan senyuman yang dilemparkan oleh lelaki itu. Nampak
tidak ikhlas. Dia mula berfikir, mungkinkah lelaki itu yang dimaksudkan oleh
Yus sebentar tadi? Dan kenapakah agaknya Yus tidak menyenangi akan kehadiran
lelaki itu?
“Kenapa menantu papa ni
tak beritahu nak datang? Kalau papa tahu Afini nak datang, mesti papa masak
makanan yangbest-best.”
“Tak payah
susah-susahlah papa. Afini datang sini bukannya nak makan, tapi nak jumpa papa.
Rindu…” kata Afini sambil tersenyum.
Melebar senyuman di
wajah tua itu. Sememangnya itu jualah rasa hati Dato Haalim pada anak
menantunya.
Selepas menyalami Dato
Haalim dan Dato Azlil, Yus membawa Afini untuk mengambil tempat berhadapan
dengan papanya serta sahabat papanya itu.
Seperti tadi, Afini
masih berasa tidak selesa dengan cara pandangan lelaki yang duduk bersebelahan
dengan bapa mentuanya itu.
Yus yang menyedari
keadaan Afini, meraih semula jari jemari isterinya itu dan digenggamnya erat.
Beberapa minit
kemudian, Mak Timah menatang sepinggan cekodok pisang dan empat cawan teh
panas.
Belum sempat Afini
ingin bertanya khabar, Mak Timah sudah pun berlalu ke dapur.
“Mak Timah kamu tu nak mengemas
barang-barang dia. Kejap lagi anak dia bongsu dia nak datang ambil dia. Katanya
nak bawak Mak Timah bercuti ke Langkawi,” terang Dato Haalim agar menantunya
itu tidak terasa hati dengan sikap kelam kabut Mak Timah sebentar tadi.
“Kamu tengok tu, Yus.
Mak Timah yang dah tua-tua tu pun dibawa bercuti ke sana ke mari. Kamu ni muda
lagi. Kenapa tak bawa Afini berbulan madu? Dahlah Afini ni asal orang susah.
Masa majlis kahwin pun, kamu buat dekat rumah aje. Mana ada orang yang
berpengaruh macam papa kamu ni buat majlis dekat rumah. Paling ‘cikai’ pun
orang buat dekat hotel bertaraf tiga bintang.”
Tersentap Afini
mendengar kata-kata sindiran yang dituturkan oleh lelaki yang bermulut lancang
itu. Sungguh! Dia tidak menyangka lelaki setua itu mampu mengeluarkan kata-kata
seperti itu. Berbeza benar sikap Dato Azlil dengan bapa mentuanya itu.
Dato Haalim
membetul-betulkan cermin matanya. Dapat Afini lihat riak ketidaksenangan di
wajah bapa mentuanya itu tika ini. Yus apatah lagi! Afini pasti, hati Yus kini
menjadi kayu pembakar sebagai pemangkin api yang sedang marak membakar jiwanya.
“Memang saya orang
susah. Tapi sekurang-kurangnya saya tak pernah mengemis untuk meneruskan
kehidupan. Pasal berbulan madu, saya yang minta Yus tunda dulu sebab nak
mencari waktu yang sesuai. Sekarang ni, kami agak sibuk dengan urusan syarikat.
Mengenai majlis perkahwinan tu, saya yang minta papa dan Yus buat di rumah ni
aje. Saya tahu papa orang berpengaruh. Tapi bagi saya tak ada beza pun dekat
mana kita adakan majlis perkahwinan. Apa yang penting kerukunan dan kebahagiaan
dalam sesebuah rumah tangga. Saya bahagia mendapat suami seperti Yus.” Lancar
Afini memberikan ceramah percuma kepada lelaki yang sedang memandang tepat ke
arahnya.
Dato Haalim sudah pun
tersenyum.
Yus pula pantas menoleh
ke arah Afini. Dia masih tidak menyangka yang Afini akan melahirkan kata-kata
akhir itu di dalam bicaranya sebentar tadi.
“Hmm… uncle bukan apa.
Uncle nak Afini faham yang status Afini tak sama dengan Yus dan Dato.”
“Apanya yang tak sama?
Kau ni pun… aku tak pernah pandang kedudukan Afini. Bagi aku, Afini menantu
yang baik dan dia ikhlas menerima Yus sebagai suami. Itu yang penting. Lagipun
cuba kau tengok zaman sekarang ni. Berapa banyak yang buat majlis perkahwinan
bagai nak ‘rak’ tapi tup-tup tak sampai setahun dan bercerai. Kalau boleh aku
tak nak nasib anak menantu aku jadi macam tu.”
Dato Azlil terdiam
seribu bahasa.
“Uncle... kalau boleh
lepas ni tak payahlah uncle nak serabutkan fikiran uncle fikirkan tentang saya
dan Afini. Tak perlu risau. Saya bahagia dengan pilihan saya. saya tak pandang
harta dia. Keikhlasan dia menerima saya dah cukup membahagiakan saya. saya
rasa, lebih baik uncle fikirkan anak-anak dan isteri uncle.” Andai tadi, Yus hanya mendiamkan diri dan
menjadi pemerhati, kini bom terakhir diletupkannya.
Jelas wajah Dato Azlil
bertukar kemerah-merahan akibat rasa geram bercampur malu dengan kata-kata Yus
itu.
Afini duduk
sendirian di tepi kolam ikan. Tenang hatinya melihat apa yang terbentang di
hadapan matanya. Ikan-ikan yang pelbagai corak itu sentiasa menggamit hatinya
untuk menjadi penonton bagi menyaksikan ciptaan Allah yang bebas berenang ke hulu dan ke hilir. Lenggokan
badan dan ekornya begitu mengasyikkan.
Yus berjalan
menghampiri Afini.
“Uncle dah balik?” soal
Afini setelah Yus mengambil tempat di sebelahnya.
“Belum. Bila entah nak
berambus!” marah Yus.
“Tak baik cakap macam
tu. Walaupun mulut dia macam tu, tapi you kena hormat dia sebagai orang tua.
Diakan lebih tua daripada kita. Kawan baik papa lagi.”
“Sebab I masih ingat
yang dia tu kawan baik papalah, I ‘basuh’ ala kadar aje mulut dia tadi. Kalau
tak, memang habislah I ‘basuh’ cukup-cukup sampai dia terus berambus.”
Afini hanya tersenyum
melihat sikap Yus. Persis seorang kanak-kanak yang marah apabila dirinya
dibebeli.
“You boleh senyum lagi?
You tak rasa terhina ke dengan kata-kata uncle tadi?”
“Tipulah kalau I tak
terasa. Biarlah apa pun orang nak cakap. Allah
itu Maha berkuasa dalam menterbalikkan sesuatu. Tak mustahil suatu hari nanti
dia akan berada di tempat I dan waktu itu, barulah dia akan menghargai setiap
patah perkataan yang dituturkan.” Afini masih membuang pandang ke arah kolam.
Yus pula memandang
Afini. Lain benar cara pandangannya. “Kenapa you pandang I macam tu?”
“Sebab… I nak tahu macam
mana you boleh bersikap macam ni?”
“Bersikap macam mana?”
Afini sudah mengerutkan keningnya.
“Yalah… bila orang
sakitkan hati you, you boleh buat tak tahu aje. Dahlah tu… senang pulak you
maafkan orang.”
Sekali lagi Afini
tersenyum. Seingatnya sudah dua kali soalan yang serupa dipersoalkan kepadanya.
“Kan I dah pernah
beritahu you… sebab nama I, Nur Afini dan bukannya Mohd. Yusuf. Hmm… tapi I nak
tahu, dah lama ke papa kawan dengan uncle?”
“Lama jugak. Selain daripada papa, tak ada orang nak rapat
dengan Uncle Azlil tu. Mulut mengalahkan perempuan! Disebabkan dialah, I
terpaksa berkahwin dengan you!”
‘Terpaksa berkahwin
dengan aku? Bukankah aku yang terpaksa berkahwin dengan dia?’
“Kalau tak disebabkan
mulut dia yang jahat tu, semua ni takkan berlaku!” Suara Yus sedikit tinggi.
“Maksud you?” soal
Afini untuk kepastian.
“Dia yang sebarkan
fitnah, kononnya I bercinta dengan lelaki! Habis mengamuk papa bila dapat tahu.
Jalan terbaik yang I terpaksa ambil untuk selamatkan keadaan… I terpaksa
bernikah dengan you.”
“Fitnah? Bukannya you
memang bercinta dengan lelaki ke? Lagi satu, mungkin you terlupa satu perkara.
Bukan you yang terpaksa bernikah dengan I, tapi I yang terpaksa bersuamikan
you!”
Yus serba salah dengan
kenyataan yang diutarakannya sebentar tadi. Kini otaknya yang tersumbat sudah
terbuka ruang memorinya untuk mengingati akan satu kenyataan bahawa Afinilah
yang menjadi mangsa sebenarnya.