Motosikal
Honda 70 pusaka arwah ayah Ihsan itu berderum
garang ketika mendaki bukit Masjid Hidayah. Meskipun telah berusia lebih 30
tahun, kederatnya itu masih mampu membawa bebanan walaupun lebih seratus
kilogram. Bukit masjid setinggi tiga meter setengah itu berjaya dipanjat
biarpun dengan enjin yang tersemput-semput.
“Okey,
Iman jangan bising-bising tau,” kata Ihsan sebaik Honda 70 itu diberhentikan di
perkarangan masjid. Iman yang tercongok di hadapan dengan kedua-dua kaki
berpijak di dalam bakul besi motosikal itu mengangguk patuh.
Mak
Lela memegang bahu Ihsan sambil turun dari motosikal. Apabila kedua-dua kaki
sudah mencecah ke permukaan bumi yang berturap, dia membetul-betulkan telekong
sembahyang yang membalut tubuhnya itu dahulu. Kemudian, Ihsan mengangkat Iman
lalu diletakkan di tepi motosikal. Mak Lela mencapai pergelangan tangan kanan
Iman. Ditarik perlahan sambil melangkah ke ruang solat wanita. Anak kecil yang
baru mencecah tiga tahun setengah usianya itu terkodek-kodek mengiringi
neneknya.
Mata
Ihsan mengekori emak dan anaknya berjalan beriringan sehingga terlindung di
sebalik dinding konkrit. Semenjak dia keluar dari CCVC, jarang sekali dia solat
di rumah. Dia benar-benar ingin berubah. Dia tahu, dia perlukan tapak yang
kukuh untuk berpijak di bumi nyata. Apabila tapak sudah kukuh, binalah bangunan
setinggi manapun. Dia akan tetap berdiri teguh. Dia juga tahu, agama itu
nasihat. Apabila hati sering disapa nasihat, hati akan menjadi lebih waspada. Seperti
tumbuhan yang sentiasa disapa hujan. Justeru itu, dia bertungkus lumus cuba
mencari tapak yang kukuh di dalam dirinya.
‘Sesungguhnya,
solat itu dapat mencegah dari segala kemungkaran’, bisik hati kecilnya dan
itulah tapak yang dicari. Dia tidak akan
berhenti mencari kerana di situlah letak asas kekuatan diri. Begitulah
fikirnya. Dia memerlukan kekuatan diri. Kekuatan yang dibina dari kekuatan
rohani. Kerana dia tahu, 13 tahun Nabi Muhammad S.A.W berdakwah di Mekah.
Berdakwah bagi meneguhkan iman. Bagi membina asas yang kuat. Ampuh di dalam
diri umat Islam.
Tiba-tiba
kedengaran di kupingnya suara orang memberi salam. Pada ketika itu dia sedang
menarik tongkat motosikal. Ihsan mengangkat kepala. Dipusingkan muka ke arah
suara yang menyapa. Seorang lelaki
berjubah putih, berserban putih berbunga merah yang sudah lanjut usia berdiri
di sisi kiri. Bau minyak atar Mekah dari pakaian lelaki itu turut menerjah ke
rongga hidungnya. Wajah tenang itu menghadiahkannya sebuah senyuman yang tidak
pernah dilupakannya. Haji Rokiman, pengerusi masjid sudah pun berdiri di
sebelah kiri.
“Oh,
pak cik!” sahut Ihsan setelah menjawab salam. Kedua-dua belah tangan dihulur.
Tangan Haji Rokiman dicium. Lelaki sebaya arwah ayahnya itu direnung sebentar.
Haji Rokiman sahabat baik arwah ayahnya. Generasi pertama yang sama-sama
membanting tulang dan memerah keringat di Kampung Ayer Lanas ini. Tanah kebun
mereka bersebelahan. Apabila memandang Haji Rokiman, Ihsan merasakan
seolah-olah dirinya sedang memandang arwah ayahnya. Lelaki warga emas itu masih
pekat pelat jawanya walaupun telah bermukim di situ berpuluh-puluh tahun. Dia
memeluk bahu Ihsan lalu menuntun ke serambi masjid.
“Bapak
tengok dah dibersih tanah kebun arwah bapak kau tu,” kata Haji Rokiman. Matanya
yang dilindungi kaca mata setebal lima milimeter itu memandang tepat ke muka
Ihsan. Tangannya menggosok-gosok bahu Ihsan. Seperti semasa Ihsan kanak-kanak
dahulu. Tidak pernah berubah. Sentuhan Haji Rokiman itu terlalu bermakna
baginya. Sekurang-kurangnya, dia dapat merasakan perubahan ke atas dirinya itu
disenangi Haji Rokiman.
“Ihsan
bersihkan sedikit-sedikit aje pak cik,” jawab Ihsan tersipu-sipu.
“Baguslah…
kalau kau tak usahakan, mak kau nak harapkan siapa lagi.”
Ihsan
bungkam. Di dalam hatinya turut mengiakan apa yang dicakapkan oleh Haji Rokiman
itu. Kedua-dua orang kakaknya telah berumahtangga dan tinggal jauh bersama
suami masing-masing. Kak longnya mengikut suami yang bertugas di Kem Batu Kawa,
Sarawak. Manakala kak ngahnya pula seorang ustazah yang bertugas sama negeri
dengan suaminya di Sabah. Hanya dia yang menjadi galang ganti dan harapan
emaknya. Dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Kalau tidak dia yang
mengusahakan tanah tinggalan arwah ayahnya itu, siapa lagi yang boleh
diharapkan? Ihsan membetul-betulkan kopiah putih di atas kepala.
“Kalau
kau perlukan apa-apa bantuan, bagitau saja pada bapak. Insya-Allah, kalau bapak
mampu bapak tolong. Kalau bapak tak mampu, bapak tolong carikan jalan,” pelawa
Haji Rokiman bersungguh-sungguh.
“Insya-Allah
pak cik…”
“Kau
nak tanam apa tu?”
“Tapak
yang sudah terang tu… Ihsan dah tanam dengan anak-anak pisang, pohon ubi kayu
pun ada,” beritahu Ihsan, tersengih. Tangan kanan menggaru-garu pelipis.
“Bagus
la tu, nanti kalau ada apa-apa yang perlu, jumpa saja dengan bapak. Anak-anak
pisang berangan, tanduk, nangka, nipah,
lemak manis, mas, rastali masih banyak lagi tu. Benih sayur-sayuran pun ada,” pelawa
Haji Rokiman, bersungguh-sungguh.
“Terima
kasih pak cik, nyusahkan pak cik aje,” balas Ihsan, malu-malu.
“Tak
ada usah-usahnya... kau tak usah malu-malu dengan bapak. Arwah bapak kau dulu
sahabat baik bapak. Kami dah macam adik-beradik. Kau pun membesar di depan mata
bapak,” kata-kata Haji Rokiman itu berjaya melontarkan sekelumit kenangan indah
dalam hidup Ihsan. Pada ketika itu, dia sering dibawa arwah ayahnya ke kebun
pada setiap hujung minggu. Kadangkala, dia turut menjamah bekal makanan tengah
hari Haji Rokiman di dangau. Dia cukup suka pada sambal tumis tempe yang
dicampur dengan ikan bilis masakan isteri Haji Rokiman. Selalunya, pada hujung
minggu Haji Rokiman sengaja bawa sambal tumis tempe itu untuknya.
Kini,
sahabat karib arwah ayahnya itu sedang berdiri di sebelahnya. Masih tetap
memberi sokongan walaupun telah beberapa kali dia mengecewakan harapan arwah
ayahnya. Ihsan merasa teramat malu terhadap kebaikan Haji Rokiman. Dia malu
kerana memusnahkan impian yang pernah diungkapkan arwah ayahnya dan disaksikan
oleh Haji Rokiman suatu masa dahulu. Saat itu, mereka sama-sama menjamu selera
di dangau.
“Ihsan
nilah satu-satunya anak lelaki aku, Man. Kalau aku dah tiada, aku nak dia jadi
pemimpin keluarga. Aku nak hantar dia sekolah aliran agama. Biarlah dia bukan
seorang ustaz pun, tetapi apa yang aku harap dia boleh jadi imam solat jenazah
aku nanti,” ungkap Kadir, tangan kanannya mencekau sepotong kuih seri muka dari
dalam rantang.
Haji
Rokiman mengangguk-angguk, barangkali bersetuju dengan kata-kata ayah Ihsan
itu.
“Kalau
dimakbulkan tuhan, aku mahu biar apapun kerja dia… tapi dia boleh jadi imam
solat. Dia boleh jadi khatib, yang paling aku harap sangat-sangat dia menjadi
seorang anak yang soleh, bila aku dah tiada... dia boleh kirim doa untuk aku,”
sambung Kadir, mulutnya mengunyah-ngunyah. Bebola matanya masih memandang ke
arah Ihsan yang sedang asyik memukul-mukul semak dengan sebatang ranting pokok
yang sudah kering.
“Bagus
sangat impian kau tu Kadir, aku turut doakan, moga-moga dimakbulkan Allah,
aamiin...” sahut Haji Rokiman, kedua-dua tangannya di angkat dan disapu ke
muka. Dipandangnya Ihsan yang masih bersilat dengan pokok paku pakis. Ranting
kayu di tangan bagaikan sebilah keras. Dihunus. Ditarik. Kedua-dua kaki
dibengkuk, dengan lagak pendekar Melayu. Memasang kuda-kuda.
Kenangan yang terimbau itu benar-benar
mengguris hati Ihsan. Dia seolah-olah seorang pelari pecut. Detik itu adalah
garisan permulaan baginya. Hanya menunggu bunyi tembakan pistol dari penjaga
garisan. Langkah pertamanya itulah yang akan menentukan kalah menangnya nanti. Ternyata,
dia hanya mampu bertahan beberapa langkah. Tersungkur, menyembah bumi. Lantas,
kenangan itu mampu menitiskan air matanya. Hatinya diruntun pilu.
Dia telah memusnahkan harapan ayahnya.
Dia
cuba menahan sebak yang mula bersarang di hati. Dia tidak mahu Haji Rokiman
mengetahui perasaannya pada ketika ini. Dia mengalihkan muka cepat-cepat ke
sebelah kiri. Mendongak. Kelopak mata mengerlip-ngerlip. Dilemparkan pandangan yang
sudah dihalang rembesan air jernih itu ke menara masjid. Menara yang tinggi menjulang
ke langit. Ketinggian menara masjid itu mencapai 20 meter. Menara itu adalah
punca maklumat penduduk-penduduk Kampung Ayer Lanas ini. Keempat-empat corong
suara yang dipasang di puncak menara itu bukan sahaja berperanan sebagai alat
menyampaikan waktu solat. Bukan juga hanya sekadar menguatkan suara ustaz atau
ustazah semasa menyampaikan kuliah-kuliah agama. Malahan melalui corong-corong
suara di menara itulah para penduduk di sini mengetahui tentang berita
kematian. Berita agihan baja-baja subsidi. Bahkan berita segala aktiviti yang
berlaku di kampung ini. Tanah tumpah darahnya. Dia bangga menjadi anak kampung
ini. Biarpun dia pernah meninggalkan tompok hitam pada keindahan kampung itu.
Dia nekad, dia akan tebus kembali kesilapannya yang lalu. Walaupun dia tahu,
ramai di kalangan masyarakat kampung sudah tidak mempercayainya lagi. Dia tidak
salahkan mereka. Malahan dia akui, dirinya yang bersalah. Maka selayaknya, dialah
yang perlu berusaha mengembalikan kepercayaan orang-orang Kampung Ayer Lanas
ini kepada dirinya. Dia perlu buktikan. Biarpun mengambil masa yang terlalu
lama. Setahun? Dua tahun? Atau berapa lama sekali pun. Kerana perubahan yang
diambilnya itu untuk dirinya sendiri. Demi masa hadapannya. Masa hadapan
anaknya. Masa hadapan mereka sekeluarga. Bukan hanya sekadar dijadikan bukti.
Perasaan
Ihsan masih tidak tenteram. Lebih-lebih lagi apabila tersedik di dalam hati
beberapa impian arwah ayahnya, yang pada anggapan dia mustahil untuk ditunaikannya.
Jangan kata hendak berkhutbah di mimbar, menjadi imam solat lima waktu pun
belum tentu lepas. Apa-apapun, dia tetap bersyukur. Bersyukur kerana berkesempatan
mengimami solat jenazah ayahnya tujuh tahun yang lalu.
“Bapak
gembira sangat bila tengok kau dah kembali seperti dulu Ihsan,” suara gembira
Haji Rokiman kembali menerjah ke rongga kupingnya yang lebar itu.
“Bapak yakin kau mampu tunaikan harapan arwah
ayah kau dulu. Sekarang, kau kerjakan betul-betul tanah kebun bapak kau tu.
Rezeki Allah ni, ada di mana-mana. Kita perlu usahakan aje, selebihnya... kita
tawakkal aje,” nasihat Haji Rokiman itu bagaikan mengulangi impian dan harapan
arwah ayahnya dahulu.
“Insya-Allah,
insya-Allah pak cik…” ungkap Ihsan, terangguk-angguk. Kelopak matanya
terkebil-kebil. Jauh di sudut hatinya masih ragu-ragu, apakah harapan yang baru
ini mampu digalas lagi? Atau terbiar bersawang tanpa hala tuju?
“Cuma
satu aje yang bapak nak pesan, Ihsan. Apa aje yang kau lakukan, kau kena banyak
sabar. Sementelah dalam cucuk tanam ni. Musuh banyak sangat, kalau tidak kera,
siput. Kalau tidak siput, kerbau kaki pendek. Banyak betul la… musuh-musuhnya.
Apa yang penting kau kena sabar... ikhtiar kena jugak. Pagar? Haa... pagar kena
ada. Baiki elok-elok mana yang rosak,” sambung Haji Rokiman.
Sementara
itu, kata-kata Haji Rokiman tentang ‘kerbau kaki pendek’ itu mengundang geli di
hati Ihsan. Sebaris senyuman dengan sedikit bunyi kekehan jelas kedengaran.
“Kerbau
kaki pendek... ya... pak cik?” ulang Ihsan, wajahnya memandang ke muka lelaki
keturunan jawa itu.
Haji
Rokiman turut ketawa. Tangan kasar, kesan baktinya kepada bumi selama ini
dilurut-lurut dari pangkal bahu ke siku Ihsan.
“Baiklah
Ihsan, bapak nak ke tandas dulu. Nanti masuk waktu maghrib, kau pergi azan.
Bilal Pak Usop ke Manik Urai, ada kenduri kahwin anak saudaranya,” minta Haji
Rokiman, tubuhnya yang penuh berisi itu perlahan-lahan menghala ke bilik air.
Selepas
beberapa langkah Haji Rokiman meninggalkannya keseorangan, Ihsan melangkah ke
pintu masjid. Sebelum melangkah masuk, bibir
Ihsan kumat-kamit membaca doa sambil kedua-dua tangan menadah ke langit.
Disapu telapak tangan ke muka. Baru dia melangkah masuk serta memasang niat
iktikaf. Kemudian, dia solat tahiyatul masjid dua rakaat. Semua doa itu sudah
tersedia di setiap dinding masjid. Jiwanya terasa tenang. Lapang. Selesa semasa
berada di dalam rumah Allah itu. Dia dapat merasakan. Dirinya bagaikan seorang musafir
yang tersesat di tengah-tengah Gurun Sahara. Masjid Hidayah itu pula seumpama wadi
yang menakung penuh, air yang jernih. Sejuk. Dan menyegarkan. Di situlah
tempatnya mencari ketenangan. Setiap hari. Mencuci saki-baki kotoran yang
melekat pada diri. Biar hilang segala lumpur. Yang terlalu lama menyaluti diri.
Jam
digital empat segi tepat sebesar poster anti denggi itu berbunyi lantang. Digit
rona merah yang sebaris dengan tulisan maghrib itu berkelip-kelip. Diikuti
dengan bunyi putus-putus, membingitkan. Memberi isyarat, sudah masuknya waktu
solat Maghrib.
Ihsan
bangkit. Mengayun langkah ke tepi mimbar. Suis yang melekat di dinding, tepi
mimbar itu dipetik. Dia berdiri tegak. Betul-betul menghadap alat pembesar
suara. Diketuk-ketuk permukaan alat pembesar suara itu dengan menggunakan jari
telunjuk. Apabila kupingnya dapat menangkap bunyi yang keluar dari corong suara
di menara, dia menekapkan kedua-dua telapak tangan ke kuping kiri dan kanan. Nafas
dihela. Dalam-dalam. Dilontarkan suara daripada hatinya itu. Lantang. Selantang
yang dia mampu. Gema alunan suaranya itu membelah kesunyian pada waktu Maghrib.
Kalimah puji-pujian tentang kebesaran Allah itu menjelajah ke serata. Bahkan ke
segenap ceruk kampung. Tidak
semena-mena, hati Ihsan diruntun oleh segala kesalahannya yang lalu. Tanpa
disedari, ada air jernih yang mula tergenang di kelopak mata. Inilah kali
pertama dia mengumandangkan azan dengan sepenuh hati. Suaranya yang selunak
suara arwah Ustaz Asri Rabbani itu begitu menyentuh jiwa. Menyusup ke kalbu
setiap kuping yang mendengarnya. Begitu syahdu.
*****
Suara
Ihsan yang mengalunkan laungan azan itu bukan sahaja dapat mematikan beberapa
bualan kosong di serambi masjid. Malahan ia juga turut memukau perhatian beberapa
ahli jemaah yang lain. Masing-masing memanjang-manjangkan leher. Membulatkan
biji mata, memandang ke arah mimbar masjid. Suara itu belum pernah mereka
dengar.
“Siapa
azan tu haji?” tanya Pak Moin, tauke warung roti canai sebaik sahaja Haji
Rokiman melintas di hadapannya.
“Ihsan…
anak arwah Kadir,” sahut Haji Rokiman sambil terus menapak ke pintu masjid.
“Sedap
suara budak ni… tak pernah-pernah aku dengar dia azan,” sambung Pak Moin,
memuji.
Haji Rokiman hanya tersengih dan melangkah
masuk ke dalam masjid. Kepala Ihsan masih terhinggut-hinggut mengikut rentak
alunan lagu azan yang dibawanya. Semasa mengungkapkan, “hayya alassolah…” kelihatan mukanya dua kali dipusingkan ke sebelah
kanan. Dia memusingkan muka dua kali ke sebelah kiri apabila mengungkapkan, “hayya alaffalah…” Haji Rokiman hanya
memerhati dari belakang. Dia teringatkan arwah sahabatnya. Hatinya mula
mengerti akan harapan yang cuba digarapkan oleh arwah sahabatnya dahulu. Arwah
Kadir tentu sudah mengesan bakat anak lelakinya ini. Perasaan hiba tiba-tiba
menyapa ke raut wajahnya yang sudah berketak itu. Setitik manik jernih
kelihatan berguling-guling dari kelopak mata dan berkecai di hujung
bibirnya. Dia juga turut merasa bersalah
dengan ada yang telah dilalui Ihsan. Namun, apakan daya. Semua telah berlalu.
Doanya, semoga Ihsan diberi kekuatan dalam membina jati diri. Kuat dan tabah
mengharungi mehnah kehidupan yang bakal mendatang.
“Moga-moga
roh kau dicucuri rahmat, Kadir,” perlahan-lahan Haji Rokiman berbisik ke dalam
dirinya.
“Semoga
Allah permudahkan segala urusan anak lelaki kau ni, Kadir,” doanya sambil
mencium hujung jari kedua-dua tangannya.
*****
Usai
solat sunat selepas maghrib, Ustaz Ramli yang tadi mengimami solat mula
bertenggek ke atas kerusi yang terletak betul-betul di hadapan mimbar. Di
hadapannya, terletak sebuah meja setinggi paras paha menghalang mata jemaah
dari terus melihat keseluruhan susuk tubuhnya itu. Kitab nipis berwarna koko di
atas meja itu diselak satu persatu. Sebuah buku setebal seruas jari diletakkan pula
melintang di bahagian atas halaman kitab itu. Hujung kertas yang menjadi
halaman kitab itu terselak-selak. Terjahan angin dari kipas berdiri yang berada
di belakang Ustaz Ramli itu masih tidak berputus asa, mendesing-desing menepuk
setiap helaian kitab nipis itu. Seolah-olah
tidak sabar untuk menelaah helaian seterusnya.
Sesudah
membaca puji-pujian ke hadrat Allah, selawat nabi dan ungkapan salam, ustaz
muda yang segak dibaluti jubah putih itu kelihatan membetul-betulkan mikrofon
yang tersemat di pangkal kolar jubah yang dipakainya. Mukanya diangkat. Bebola
mata yang tajam itu memandang ke segenap ruang masjid. Gema suaranya mula
memecah kesunyian. Menenggelam bunyi gegaran putaran kipas-kipas yang ada di
dalam masjid.
Ihsan
membuka lebar-lebar rongga telinganya. Muka ustaz yang bersih itu direnung.
Lama. Apabila Ustaz Ramli membuka bicara dengan meminta semua jemaah menyelami
perasaan seorang anak. Seorang anak yang telah menderhaka kepada kedua-dua
orang tuanya. Lalu lari meninggalkan rumah. Namun, setelah menghadapi berbagai-bagai
kesulitan, kepayahan dalam hidup, anak itu terpaksa kembali. Bersua muka semula
dengan ibu bapanya. Perasaan Ihsan begitu tersentuh. Dia terbayangkan anak yang
diungkapkan ustaz itu adalah dirinya. Tentulah terlalu mencengkam jiwa dan
perasaan. Dia terbayangkan wajah emaknya yang sentiasa tenang dan rela
menerimanya. Hati emaknya begitu tabah. Tidak mudah melatah. Masih terbayang di
ruang mata, bagaimana emaknya setia mengorakkan sebaris senyuman. Meskipun
diherdik dan dimaki oleh jiran tetangga. Emaknya masih mampu menyembunyikan
perasaan sedih apabila dituduh tidak tahu menjaga anak. Semua lontaran kata
nista itu kerana bencikan sikap Ihsan. Sikap seorang penagih. Betul kata orang,
ibu seorang dapat menjaga 10 orang anak, tetapi anak 10 orang belum tentu dapat
menjaga ibu yang hanya seorang. Ihsan tunduk. Dia malu kepada diri sendiri. Dia
melepaskan perasaan kesal yang tidak pernah putus-putus datang menyapa. Dia
biarkan air mata menitis ke atas ribanya.
“Tuan, puan sekalian, malam ni kita sambung
balik apa yang kita bincangkan dalam tazkirah minggu lepas. Ana akan sambung tentang khusyuk dalam
solat,” kata-kata ustaz muda yang berada di hadapan itu menyapa gegendang
kupingnya lagi.
Ihsan
mendongak. Badannya dipusing-pusing. Dilihat sekeliling, Pak Moin yang
bersandar di tiang tengah masjid mengangguk-angguk, mungkin bersetuju dengan
tajuk tazkirah. Haji Rokiman yang berada di sebelah kanannya hanya bungkam.
Semua ahli jemaah yang lain kelihatan ralit memerhati ustaz yang sedang tekun
berhujah dengan dalil dari petikan firman Allah dan hadis nabi itu.
Ihsan
kembali tunduk. Pandangannya ditala tepat ke atas karpet rona merah darah ikan.
Hujung jari telunjuk tangan kanannya dilorek-lorek ke atas permukaan karpet. Bagaikan
sebatang ballpen. Dia menulis
beberapa perkataan, kemudian digosok-gosok dengan tapak tangan. Seolah-olah
pemadam. Namun, setiap butir bicara ustaz yang berjambang. Tanpa kumis. Dan
dengan lilitan serban putih di kepala itu menyentuh, jauh ke dalam lubuk hatinya.
“Pasti
si anak tadi akan merasa teramat bersalah. Dia akan rasa sangat... menyesal,
bukan? Hah... begitulah juga kita, setiapkali berdiri hendak menghadap Allah
dalam solat, biar wujud perasaan bersalah. Biar ada perasaan menyesal
sangat-sangat,” perbandingan yang diberikan oleh Ustaz Ramli itu sekali
lagi mengingatkan dia kepada sikapnya yang
lalu. Sikap semasa menjadi seorang penagih dadah.
Lebih
kurang tiga tahun dia terlibat dengan najis dadah. Selepas dua tahun ayahnya
meninggal dunia dan setelah setahun bergelar suami kepada Azza. Semua kerana
kawan. Usianya pula terlalu muda pada ketika itu, terlalu naif. Dia silap memilih
kawan. Silap menilai kawan. Kawan yang suka melepak sehingga jauh malam. Kawan yang tidak ikhlas. Kawan makan kawan.
Dia
tidak dapat menghidu niat sebenar Shamsul, kawannya sewaktu sekolah rendah.
Salahnya juga. Terlalu percayakan Shamsul. Mereka memang kawan rapat. Mungkin
itu yang menjadi senjata bagi Shamsul. Sumpah! Dia benar-benar tidak sedar
semasa Shamsul memasukkan sesuatu ke dalam air minumannya. Ketika itu, dia dan
kawan-kawannya sedang leka bersorak. Gembira apabila penjaga gol pasukan pilihan
mereka dapat menyelamatkan satu tendangan penalti. Semenjak itu, Shamsul sering
sahaja berada di sebelahnya. Lebih-lebih lagi semasa mereka berada di
warung-warung. Shamsul akan mengambil peluang apabila dilihat Ihsan terleka. Keadaan
itu berpanjangan. Berhari-hari, sehingga barang yang dimasukkan ke dalam badan Ihsan
itu mula memberi kesan. Mula menyelinap ke segenap saluran darah. Lantas
membuat Ihsan menjadi ketagih.
Di
situ titik mulanya. Ihsan berubah menjadi seorang hamba yang engkar. Dia berubah
menjadi anak yang derhaka. Dia berubah menjadi suami yang bengis dan kasar. Dia
berubah menjadi seorang bapa yang tidak bertanggungjawab. Dia juga berubah
menjadi seorang pekerja yang tiada integriti. Sering ponteng. Sering tidur pada
waktu bekerja. Justeru itu, dia hilang pekerjaan. Dia hilang kawalan diri. Dia
sering mengamuk. Mangsanya, emaknya dan Azza yang sentiasa bergenang dengan air
mata. Juga Iman yang sering dalam ketakutan. Hilang tempat bermanja.
Walaupun
sikapnya sudah berubah 360 darjah, dia masih mampu mengawal diri dari mencuri
atau meragut wang orang lain. Dia hanya merampas apa yang ada di dalam rumahnya
sahaja. Meskipun begitu, dia tahu. Tanggapan orang ramai terhadap semua penagih
dadah sepertinya tetap sama. Mencuri dan meragut. Juga merampas keharmonian
hidup bermasyarakat.
Ihsan
merasakan kata-kata ustaz itu tadi begitu menusuk ke kalbu. Kata-kata itu
berjaya melelehkan air jernih di bibir matanya. Kehangatan air yang baru
merembes keluar itu bagaikan terapi minda. Dapat menolak keluar saki-baki
sengsara yang masih melekat di dalam hati.
Kesal.
Ya! Perasaan itulah yang bersarang di dalam hatinya kini. Dia kesal dengan
sikap naifnya terhadap Shamsul. Kawan yang dianggap olehnya sebagai kawan karib
itu rupa-rupanya seorang pengedar dadah. Shamsul sedang mengintai ruang untuk
membuka kawasan baru bagi pasaran dadah yang diedarkannya.
Apa
yang menghairan Ihsan, mengapa dia yang dijadikan sasaran? Bukankah mereka
bersahabat baik sedari kecil lagi? Ihsan menutup hidungnya. Nafas ditarik. Dia
tahu, Shamsul telah meninggal dunia di tali gantung. Berita itu menjadi tajuk
utama bualan semua penduduk kampung ini berbulan-bulan lamanya. Dalam diam, dia
turut sedekahkan al-fatihah untuk sahabatnya itu. Sahabat yang pernah memesongkan. Atau lebih tepat
lagi merosakkan hidupnya kerana sedikit perasaan dengki.
Semua
itu telah jelas. Sudah terang lagi bersuluh. Ihsan masih ingat. Dia pernah
menerima sepucuk surat daripada Shamsul. Ketika itu, sahabatnya itu telah
ditahan dan telah dijatuhkan hukum mandatori. Surat pengakuan dan permohonan
maaf itu membuatkan Ihsan terkedu. Surat itu benar-benar membuat Ihsan faham.
Faham, mengapa dia dijadikan mangsa?
Sahabatku Ihsan,
Bertahun-tahun kita
menjadi kawan. Ya, dari sekolah rendah sehinggalah aku berhijrah ke Kuala
Lumpur. Kau anggap aku sahabat karib kau. Sebenarnya, tidak pada aku. Kau
dahulu menjadi kebanggaan penduduk-penduduk kampung kita. Tapi aku, tidak.
Ihsan, sahabatku,
Aku benar-benar
menyesal atas apa yang telah berlaku. Kau memang seorang sahabat,anak dan
pemuda yang baik. Tanpa kau sedari, aku telah gunakan kebaikan kau itu untuk
kepentingan aku. Maafkan aku, Ihsan! Aku benar-benar memohon maaf kepada kau.
Aku sangka, apabila aku banyak duit. Kaya-raya. Bermewah-mewahan.
Penduduk-penduduk kampung akan memandang tinggi kepada aku. Maka, sanjungan
mereka kepada kau akan hilang. Lantaran itu, aku mencari jalan untuk kaya
dengan cepat. Disebabkan terlalu rakus, aku mengambil jalan mudah. Aku
melibatkan diri dengan sindiket pengedaran dadah. Memang benar, belum sampai
setahun, aku sudah menjadi kaya.
Sahabatku,
Rupa-rupanya, aku
silap. Mereka tidak memandang kepada kebendaan. Tapi, mereka memandang kepada
akhlak. Budi pekerti. Aku kalah lagi. Kalahnya aku kali ini menambahkan cemburu
di hati. Aku berusaha mencari jalan. Ingin memenangi hati orang-orang kampung.
Namun, masih tidak berjaya.
Entahlah, mungkin
datangnya dari sikap buruk dan dengki aku. Aku gunakan serbuk dadah bagi
merosakkan kau. Biar kau dibenci oleh masyarakat kampung. Akhirnya, kau tewas.
Aku kira, aku akan bahagia apabila melihat kau menderita sebagai hamba
dadah.Tidak, sejujurnya memang aku juga sedih melihat kau menderita. Namun,
semua itu telah terlambat.
Kini, aku meringkuk di
dalam penjara. Menunggu hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah.
Ihsan, aku hanya ingin
kau tahu. Sebelum nyawa aku dibawa pergi. Kalau dahulu aku tidak ikhlas
berkawan dengan kau. Tidak kini, aku benar-benar ikhlas mengharapkan keampunan
daripada kau. Baru aku sedar mengapa orang-orang kampung menyanjungi kau. Aku
berdosa kerana mengkhianati kepercayaan kau kepadaku.
Maafkan aku, Ihsan.
Sekian, wassalam.
Shamsul Bahri Sulaiman
Suasana
yang hening seketika itu dikejutkan semula dengan suara Ustaz Ramli
menyampaikan tazkirah.
“Apabila
perasaan kita dalam keadaan sesal, takut, teringatkan dosa yang terlalu banyak.
Maka ana rasa akan wujud kekhusyukan
dalam solat kita.”
Benar.
Setuju Ihsan. Apa yang dihujahkan oleh ustaz itu seperti dengan apa yang
dirasai oleh dirinya pada ketika ini. Memang berbeza daripada semua solat yang
dilakukannya sebelum ini. Hati terasa tenang. Setenang air di tasik. Dia juga turut
merasai kenikmatan solat yang terbina di atas keruntuhan mazmumah dan bertiang
seri keinsafan. Sungguh indah.
Suara
lantang Ustaz Ramli dengan nada yang menurun dan menaik itu terus mengasak-asak
gegendang kupingnya. Ihsan kembali merenung ustaz itu dengan pandangan yang
bersinar-sinar.
“Rasulullah
S.A.W. dalam sebuah sabdaan baginda yang maksudnya, sesungguhnya Allah S.W.T
itu sentiasa menghadapkan wajah-Nya atau memberi perhatian sepenuhnya kepada
orang yang mendirikan solat, selagi orang solat itu hatinya tidak berpaling
dari-Nya,” tukas Ustaz Ramli, kedua-dua belah tangannya ditekan ke hujung meja.
Lengan jubah yang menutupi keseluruhan tangan itu mengigil-gigil dek hembusan kencang
angin dari kipas-kipas.
Kedengaran
ada suara daripada kalangan jemaah. Ihsan memusing-musing kepala, mencari-cari
suara yang mengajukan pertanyaan. Dia lihat Fahmi, ahli rakan masjid yang
bersimpuh di hujung sebelah kiri Ustaz Ramli sedang mengangkat tangan.
“Ustaz,
apa yang dimaksudkan dengan... tidak berpaling dari-Nya tu?” Soalan Fahmi itu
menarik perhatian semua, termasuk Ihsan. Semua jemaah menunggu jawapan daripada
ustaz muda ini.
“Ya...
terima kasih saudara yang bertanya. Soalan tu sungguh bagus,” puji ustaz sambil
tersenyum.
“Maksudnya,
hati orang yang sedang solat itu tidak lalai dari memberi tumpuan kepada Allah.
Bila Allah menghadap wajah-Nya tu bermakna Allah bersedia mendengar segala apa
yang bakal kita ungkapkan itu nanti. Malah Allah akan memperkenankan apa-apa
yang dipohon di dalam solatnya itu,” jelas Ustaz Ramli.
Semua
jemaah mengangguk-angguk. Ihsan juga. Hatinya berbisik, ‘Allahuakbar… Allah
Maha Besar,’ hidung dan matanya terasa pedih.
Sekonyong-konyong,
kuping Ihsan menangkap satu suara ahli jemaah yang bertanya lagi. Dia melilau. Dilihatnya
Pak Akop tersengih-sengih.
“Bolehkah kita berdoa semasa kita dalam solat,
ustaz?”
Semua
jemaah memandang ke muka ustaz, menunggu jawapan. Ustaz muda itu dengan bersahaja
menjawab;
“Tentu
boleh… tapi... kena dalam Bahasa Arab la kan? jangan jawab dalam Bahasa Melayu pula. Nanti kantoi solat tuan, puan,” disambut
dengan gelak para jemaah.
“Lagipun
pengertian solat itu sendiri… doa, iaitu permintaan atau disebut juga
permohonan. Kita memohon kepada suatu Zat yang Maha Agung bagi memperolehi
sesuatu yang mustahil dapat diberi oleh mana-mana pihak.” Ustaz Ramli memberi penjelasan
lanjut sebaik sahaja ketawa para jemaah reda.
Ihsan
melihat Ustaz Ramli berhenti sekejap. Air mineral 230 mililiter di dalam gelas
plastik di kanannya dicapai. Hujung straw yang tajam itu ditusuk menembusi
penutup lembut. Disedut. Bergerak-gerak rengkungnya. Mungkin rongkongan ustaz
itu terasa perit. Kemudian, ustaz itu menyambung lagi.
“Pemberian
Allah ni... bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani sahaja, tetapi yang
dipohon dalam solat tu ialah hidayah seperti yang terdapat dalam ayat keenam
surah al-fatihah, iaitu hidayahkanlah kami jalan yang lurus,” beritahu ustaz
yang berkulit sawo matang itu lagi.
Lebih
kurang 40 minit ahli-ahli jemaah dihidangkan dengan santapan rohani oleh ustaz
muda yang berkelulusan Ijazah Sarjana dari Timur Tengah itu. Selepas Ustaz
Ramli menutup tazkirah dengan bacaan doa, Haji Rokiman mencuit paha Ihsan dan
menggerakkan muka ke arah alat pembesar suara.
Ihsan
bangun, melangkah sopan dan berdiri di
hadapan alat pembesar suara. Dia melaungkan azan dengan lenggok yang amat
mendayu-dayu. Kedua-dua belah tapak tangannya menelungkup kemas di kedua-dua
kuping. Ada ketikanya, jari-jemari yang melekat di pelipisnya itu bergerak-gerak.