Tidak
pernah terfikir pun di dalam tempurung kepala Ihsan. Semua itu bagaikan mimpi.
Atau ilusi di siang hari. Namun, itulah hakikatnya. Sebuah impian yang dicipta arwah ayahnya
dahulu semakin menjadi kenyataan. Amanah
yang baru dibisikkan oleh Haji Rokiman pada awal pagi tadi begitu berat baginya.
“AJK
masjid udah setuju, sebulat suara melantik Ihsan,” bisik Haji Rokiman, selepas
solat subuh tadi.
Ihsan
terkesima. Dia memandang Haji Rokiman. Matanya dikerutkan sedikit.
“Lantik
Ihsan?” soalnya, tidak faham.
“Ya…
AJK mahu lantik seorang daripada ahli rakan belia masjid jadi imam. Jadi
pelapis,” jelas Haji Rokiman, tangannya menepuk lembut bahu Ihsan.
“Tapi...
bukankah masjid kita dah ada dua orang imam?” tanya Ihsan lagi, mohon
kepastian.
Haji
Rokiman ketawa. Tangannya masih memegang bahu Ihsan.
“Betul…
tapi Ihsan seorang daripada tiga orang tu,” terang Haji Rokiman, tangannya yang
masih di bahu Ihsan itu diturunkan.
“Tapi...
saya rasa, saya tak layaklah pak cik,” kata Ihsan, merendah diri.
Dia
cuba menolak dengan cara yang paling berhemah. Dia tahu, salah satu prasyarat
hendak dilantik sebagai imam, mesti diterima oleh semua ahli kariah. Dia
merasakan dirinya tidak seperti itu.
“Ihsan,
AJK tak lantik kalau orang tu tak layak…”
“Pak
cik, saya ni bukan…”
“Kalau
Ihsan tolak, maknanya Ihsan nafikan pilihan AJK,” pintas Haji Rokiman,
kata-katanya itu mematikan alasan yang sedang disusun oleh Ihsan.
‘Ya
Allah, permudahkanlah segala urusanku…’ getus hati Ihsan, dia tidak dapat
menolak lagi. Segala-galanya dia serahkan kepada Allah.
“Orang
kampung kita ni perlukan orang yang mahir macam Ihsan. Mereka nak sangat
belajar baca al-Quran. Bapak harap, Ihsan tak hampakan permintaan AJK. Dalam
seminggu… cuma satu malam… cukuplah,” sambung Haji Rokiman, memujuk.
“Bapak
tau… Ihsan sibuk, tapi AJK tak mahu bebankan Ihsan. Lagi pun, ni hanya tugas
sukarela,” jelas Haji Rokiman lagi.
Ihsan
Bungkam. Dia bukan tidak mahu mengajar al-Quran tetapi dia takut masyarakat
kampung masih tidak dapat menerimanya. Dia tahu, itu salah satu amalan yang
boleh dibawanya ke ‘sana’. Kemudian, dia mula mengangguk-angguk. Setuju.
Haji
Rokiman yang bersila di sebelah kanan Ihsan itu kelihatan gembira. Dia menepuk
paha Ihsan, sekali.
“Terima
kasih…” ucapnya, puas.
“Eh…
! sepatutnya… Ihsan yang berterima kasih dengan pak cik. Pak cik sudah banyak
buka peluang kepada Ihsan,” sela Ihsan, cepat-cepat.
Dia
tidak menyangka sejauh ini Allah s.w.t anugerahkan kelebihan dan kebaikan
kepadanya. Kadangkala, terasa malu dia dengan dirinya sendiri. Apa tidaknya,
dia selalu gelisah dan berkeluh kesah apabila ditimpa musibah tetapi Allah
s.w.t sentiasa mendengar rintahannya. Allah s.w.t sentiasa mengampuni dosa-dosa
hamba-Nya. Allah s.w.t sentiasa menyediakan rezeki untuk hamba-Nya. Dia yakin.
Betul-betul yakin.
Masih
terngiang-ngiang di kupingnya, lafaz nasihat daripada seorang ustaz semasa
berceramah di CCVC dahulu.
“Orang
yang tahu tak semestinya dia sedar, orang yang sedar… insya-Allah, dia tahu,”
ungkap ustaz muda yang berambut kerinting itu. Kulitnya, sawo matang. Sentiasa
bersongkok hitam di atas kepala. Suaranya, memang lantang dan lunak menjamah
kuping yang ternganga. Apabila dia membaca al-Quran, masya-Allah merdu sungguh
suaranya. Apa yang Ihsan dengar, ustaz muda itu bekas vokalis sebuah kumpulan
muzik rock.
“Lihat
saja sahabat Rasulullah s.a.w, contohnya, Saidina Umar. Apabila dia sedar
tentang kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, dia tahu… apa
yang dilakukannya selama ni silap. Lalu, dia jadi hamba Allah yang bertaubat.
Kuat ibadat.”
Semasa
itu, perasaan Ihsan masih lagi menggelodak. Benci. Marah. Kesal. Dia bencikan
sikapnya. Dia marahkan dirinya. Dia kesal dengan segala perbuatannya. Semua
perasaan itu menggelodak selepas dia menerima surat kiriman Azza.
“Satu
contoh lagi… saudara-saudara kenal Abu Lahab?” tekan ustaz itu dengan lenggok
suara semakin meninggi.
“Kenal…
!” sahut para pelatih CCVC serentak.
“Bohonggg…
!” tingkah ustaz itu, suaranya sengaja dibuat-buat dengan nada orang sedang
marah. Kedua-dua biji mata dicelik. Luas-luas. Membengis. Macam rupa singa
lapar.
“Pasal
apa saya kata bohong?” dia melilau, biji mata masih dicelik luas-luas.
“Saudara
pernah jumpa Abu Lahab?” jari telunjuknya menghala kepada salah seorang pelatih
yang berada di hadapannya. Pelatih itu menggeleng-geleng. Tersipu-sipu. Ditanya
lagi dengan soalan yang sama kepada dua, tiga orang lagi pelatih di hadapannya.
Masih menggeleng-geleng. Tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Hah!
pasal tu la saya kata bohong… saudara-saudara tak pernah jumpa pun dia. Macam
mana pula boleh kenal…” ungkapan ustaz itu disambut dengan hilai tawa para
pelatih. Ada ketawa sampai keluar air mata.
Tiba-tiba,
kedengaran ustaz muda itu membaca surah al-Lahab dengan bertaranum. Ayat demi
ayat yang dilagukan dengan suara merdunya itu menyentuh kalbu. Dihuraikan pengertian
ayat demi ayat. Diceritakan sebab surah itu diturunkan. Dikisahkan tentang
perihal Abu Lahab.
“Abu
Lahab ni orang yang tahu… tapi dia tak sedar. Sebab tu... lah kita dengar,
selalu orang-orang yang baru masuk Islam kata, sekiranya dia lihat orang Islam
dulu… belum kenal agama Islam tu lagi… mungkin dia tak terpikat nak masuk
Islam,” ucap ustaz itu, menggeleng-geleng.
“Sebab
apa… ? sebab ramai sangat orang yang mengaku Islam, nama Islam, agama dalam kad
pengenalan Islam, ayam yang dicurinya… kalau tak sembelih dengan nama Allah,
marah. Takut berdosa,” jelas ustaz itu lagi. Para pelatih tergelak-gelak
mendengar ungkapan ustaz itu.
Ihsan
mendengus. Lembaran kertas putih digenggamnya dengan kemas.
‘Ya,
jika kita sedar… kita akan tahu. Macam orang yang baru terjaga dari tidur… dia
akan tahu yang mana nyata dan yang mana
sekadar mimpi,’ sela hatinya, sendirian.
Dia
melangkah. Kemudian bersandar pada tiang berdekatan tangga rumah. Berkalih
sedikit ke tepi. Punggungnya dilabuhkan ke atas gelegar papan yang tingginya paras
paha. Disediakan oleh arwah ayahnya dahulu sebagai pangkin di beranda rumah.
Matanya
mula memandang sekeliling. Halaman rumah pusaka itu agak bersepah dengan timbunan
pasir, batu kerikil dan batu bata di sebelah pohon pulasan. Selalunya, pada pagi
sebegini sudah bingit di halaman dengan bunyi enjin mesin pembancuh simen.
Namun, pada pagi ini mesin pembancuh simen yang berada di bawah pohon pulasan
itu seakan-akan masih berdengkur. Diberikan rehat setelah hampir seminggu
bekerja.
Kerangka
rumah barunya di sebelah kanan rumah pusaka itu dipandang. Rumah batu dua
tingkat yang dalam proses pembinaan itu diuruskan sendiri oleh Syarikat Aspalela
Enterprise. Tingkat bawah sudah pun siap diikat dengan batu bata tanah merah.
Selepas
penat merayau ke serata sudut. Pandangan matanya kembali berlabuh ke atas
lembaran kertas putih yang terselit kemas di celah jari-jemarinya. Bibirnya
kumat-kamit. Menghafal ayat-ayat yang tertera di lembaran itu. Lembaran yang
diserahkan oleh Haji Rokiman itu diteliti satu persatu. Dia cuba menghayati segala
yang telah dicatatkan itu. Biar apa yang tercatat itu dapat disampaikannya
nanti dengan sepenuh hati. Biar dia berkhutbah. Bukan membaca teks khutbah.
Khutbah untuk diri sendiri. Bukan hanya untuk makmum Jumaat nanti.
“Apa
yang Ihsan hafal tu?” tegur Mak Lela yang baru menginjak bendul. Di tangan
kanannya tergenggam pisau nipis yang selalu digunakan untuk mengupas bawang. Tangan
kiri pula menggenggam beberapa batang serai. Matanya memandang ke arah lembaran
di tangan Ihsan.
“Oh!
Emak... tak ada apa. Cuma... Haji Rokiman minta Ihsan baca khutbah jumaat hari
ni…” beritahu Ihsan, tangan kanannya mengangkat lembaran teks khutbah itu
sedikit.
“Ooo…
macam tu,” sahut Mak Lela, sambil melangkah masuk terus ke ruang dapur.
*****
Selepas
Bilal Pak Usop membaca pesanan daripada petikan hadis nabi, meminta para jemaah
menahan diri daripada bercakap-cakap semasa khatib membaca khutbah. Ihsan
bangkit. Mengatur langkah dengan berhati-hati. Dia perlu melakukan yang
terbaik. Walaupun ini merupakan kali pertama dia memanjat ketiga-tiga anak
tangga mimbar. Berdiri di hadapan ratusan ahli jemaah. Langkahnya dihenti
seketika. Betul-betul di sisi Bilal Pak Usop yang sudah bersedia menggenggam
sebatang tongkat kayu sepanjang lima meter. Di hujung tongkat itu disalutkan
dengan tembaga berbentuk kubah masjid. Ihsan mencapai tongkat yang dihulurkan
itu dengan sopan. Perlahan-lahan dia menggerakkan langkah. Mendaki anak-anak
tangga sehingga ke atas mimbar. Selesai memberi salam, Ihsan duduk. Menunggu
Bilal Pak Usop menghabiskan laungan azan kedua.
Peluang
sebegini mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Meskipun pengalaman pertama Ihsan
menghadap orang ramai secara begini membuatkan dadanya tidak berhenti-henti
bergetar. Jantung berdegup kencang. Terasa dirinya terlalu kerdil. Bebola matanya
pula melilau-lilau ke segenap ruang masjid. Melimpah-ruah dengan para jemaah di
setiap ruang. Tangannya mula menggigil. Kedua-dua betis bergoyang-goyang. Jubah
putih, hadiah daripada Azza yang dipakainya itu bergerak-gerak mengikut rentak
ayunan kedua-dua betis itu. Menggigil. Di bahunya pula tersebai sehelai serban
hitam, berkotak-kotak kecil. Kepala ditutupi ketayap putih, hadiah daripada
Azza. Dililitkan pula dengan serban putih. Kaca mata ditolak ke atas sedikit.
Gelora
di dalam dirinya itu cuba ditenangkan. Bibirnya semakin rancak berkumat-kamit.
Membaca selawat dan doa-doa penenang yang dihafalnya. Pada ketika itu, dia cuba
mempraktikkan semua teori yang pernah dibacanya. Semua itu bagi menangani darah
gemuruh yang meyerangnya kini.
Ihsan
mencapai tongkat di sisi kirinya. Diketatkan genggamannya. Ditekan kuat ke
lantai mimbar. Punggungnya diangkat dari kerusi. Tangan kiri masih menggenggam
erat tongkat dengan hujung jari telunjuk dan ibu jari bertemu.
“Alhamdulillah…”
ucapnya lantang. Suaranya itu bergema di setiap ruang masjid. Suaranya itu
jelas dapat didengar melalui corong-corong suara di setiap penjuru menara
masjid. Bergema membelah angkasa raya.
Ihsan
mula tenang. Mula beryakinan. Darah gemuruh semakin hilang. Dia melafazkan ayat
demi ayat yang telah dihafalnya itu seperti seorang pelakon drama. Penuh
penghayatan. Dia mengalunkan ayat-ayat al-Quran dengan lenggok suara yang
menyentuh perasaan. Dia seolah-olah berbicara dengan dirinya sendiri. Mengajak
diri, bertaqwa kepada Allah. Mengingatkan dirinya mendekati Allah. Menjauhi semua
perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah.
Pada
khutbah yang kedua, dia bangkit lagi. Membaca hadis-hadis nabi. Tiba-tiba
matanya terpaku kepada sekujur tubuh di hujung masjid. Wajah itu bersih. Mengukirkan senyuman yang teramat menarik.
Pakaiannya serba putih. Di dalam hati, Ihsan berbisik, ‘ayah!’. Namun, tidaklah
lama. Lembaga itu telah sirna dari pandangannya. Dia tahu, ayahnya selalu
datang dalam dirinya. Dia tahu, bayangan itu hanya berada di dalam tempurung
kepalanya sahaja. Arwah ayahnya sentiasa berada di dalam ingatan. Sentiasa
hadir dalam mimpinya. Sampai bila-bila.
Semasa
mengimami dua rakaat solat Jumaat, Ihsan mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci
al-Quran. Persis bacaan Sheikh Abdelkarim Edghouch, dengan maqam ajam. Hatinya
bagaikan disapa rasa pilu, diamanahkan memimpin makmum bermunajat di hadapan
Allah s.w.t. Dirinya dirasakan terlalu kerdil. Terlalu banyak dosa yang perlu
pengampunan Allah. Kehangatan air jernih, yang baru merembes di celah-celah
bebola matanya itu luruh ke pipi.
Semasa
keluar dari kawasan masjid, Ihsan tidak terus pulang ke rumah. Motosikal arwah
ayahnya itu dibelokkan ke arah jalan kebunnya dahulu. Lebih kurang satu
kilometer dari kawasan masjid. Dia membelok ke kanan. Memasuki kawasan
perkuburan. Bibirnya mengucapkan salam sejahtera buat semua penghuni alam
barzarkh. Penghuni yang sentiasa menanti. Menunggu. Malah mencari-cari hadiah.
Sedekah. Dalam nilaian pahala. Dari bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Atau
zikrullah daripada insan-insan yang masih hidup.
Dia
mencapai kendi dari gelegar wakaf. Diisikan dengan air dari paip yang berada di
situ. Langkahnya diayun mencelah-celah batu nisan. Melangkah menuju ke bawah
rimbunan pohon rumia yang tinggi lebih kurang 15 meter. Kendi air yang masih di
tangan itu diletakkan ke atas bibir belindan. Konkrit yang melingkari kedua-dua
batu nisan kubur arwah ayahnya. Dia bertinggung menghadap ke belindan kubur
ayahnya. Bacaan ayat-ayat suci daripada surah fatihah dan diikuti oleh surah
yasin. Surah yang kedua puluh tujuh di dalam al-Quran itu terpacul dari
bibirnya.
Ketika
dia menadahkan kedua-dua tangan ke langit. Cahaya matahari begitu setia
memancarkan sinar. Percikan cahayanya yang jatuh melalui celah-celah dedaunan
itu bertaburan ke bawah pohon rumia. Namun, masih ada ruang redup yang
dilindungi dedaun rumia untuk Ihsan berteduh. Sungguhpun begitu, badannya
lencun jua oleh peluh. Kendi di bibir belindan itu dijangkau. Dijirus ke dalam
belindan, dari batu nisan kepala hingga ke kaki.
“Ayah…
!” terpacul panggilan itu dari bibirnya. Suasana ketika itu terlalu hening.
Namun, keheningan itu sekali-sekala dirampas jua oleh deruman motosikal
pemuda-pemuda kampung yang melintas di situ.
Matanya
memandang ke arah bibir belindan. Nama ayahnya terukir di situ. Tarikh lahir
dan tarikh kematian ayahnya tercatat di situ. Semenjak dia keluar dari CCVC
beberapa tahun yang lalu, setiap minggu dia akan menziarahi pusara ayahnya itu.
Keadaan di kawasan tanah perkuburan itu sekarang tidak seperti kali pertama dia
menziarahinya dahulu. Keadaan sekarang lebih terurus. Tanah perkuburan itu
telah dipecahkan kepada tiga bahagian. Bahagian A, B dan C. Setiap pusara
ditandakan mengikut bahagian dan turutan nombor. Senarai itu digantung di
keliling wakaf. Supaya senang ahli keluarga yang datang menziarah mencari
pusara kaum keluarga mereka nanti.
“Terima
kasih… kerana doa ayah dulu, Ihsan mampu bangkit,” katanya, air mata bercucuran
di pipi.
“Kami
tak pernah lupakan ayah… semakin hari berlalu, semakin kuat rindu kami kepada
ayah,” ujarnya lagi. Angin lembut tiba-tiba menyapa. Mengibas-ngibaskan hujung
kain serban di bahunya.
Di
dalam benaknya, dia seolah-olah mampu melihat. Ayahnya tersenyum dengan mata
berkaca. Mengharapkan doa daripada anak-anak yang ditinggalkannya. Dia
teringatkan satu cerita yang pernah dibacanya. Kisah penghuni-penghuni alam
barzakh sedang mencari-cari pahala. Pahala yang mungkin disedekahkan oleh
setiap manusia yang masih bernafas. Hampir sejam dia di situ. Mendoakan dengan
alunan doa-doa yang syahdu, kerana dia tahu. Doa anak kepada kedua-dua ibu
bapanya itu tiada hijab.