Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
108,780
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 7

Ketika loceng berdering panjang, Ihsan sedang berdiri di atas anak tangga kayu yang kedua sebelum yang teratas. Bahagian dada hingga ke kepala dari tubuhnya berada di dalam siling. Punggungnya pula bertenggek di atas puncak tangga lipat. Wayar merah, biru dan hijau yang menjulur dari batang paip putih itu di tarik keluar dengan menggunakan batang pemukul. Suasana sekeliling mula dibingitkan dengan gelak-tawa, senda gurau, derapan kasut dan deruman kenderaan. Selang sepuluh minit, suasana kembali tenang. Hanya kedengaran siulan merbah jambul yang banyak di padang sekolah.

“San… San, jom! kita isi perut dulu,” panggil Yamin dari bawah.

Ihsan menyelit pemukul di celah tali pinggang seluar. Kedua-dua tangannya menggenggam erat pada kasau jantan. Kemudian dia menonggeng, kedua-dua paha dan betis bertemu. Kepala dan badannya lencun dengan peluh. Kakinya perlahan-lahan menginjak turun anak tangga satu persatu. Retina matanya yang lama terperap di dalam suasana malap itu mula mengembang. Berpinar-pinar.

Di hadapannya, Yamin dan Madi sedang menanti. Mereka melangkah bersama-sama ke van Vannette biru muda yang diparkir di hadapan dewan sekolah.

“Ke mana dulu ni?” tanya Madi yang mula menghidupkan enjin van. Dia berpaling ke arah Yamin yang duduk di sebelah kirinya. Tangan kirinya menggenggam stereng. Pemuda yang baru tamat belajar di kolej vokasional itu adik Kak Imah. Adik ipar Yamin. Dia telah lama mengikut Yamin bekerja. Semenjak dia masih belajar lagi. Bila cuti sekolah, dia akan mengikut Yamin. Kebetulan dia juga belajar tentang elektrik. Jadi, memang sesuai dengan kerja-kerja yang diceburinya sekarang.

“Macam biasa, kita solat zuhur dulu… lepas tu kita makan,” arah Yamin, hujung jari-jemari tangan kanan dirapat dan dihalakan ke mulut .

Van menderum perlahan-lahan keluar dari kawasan pagar Sekolah Kebangsaan Sungai Embak. Yamin mengarahkan Madi membelok ke Pondok Sungai Durian. Mereka mendirikan solat zuhur di Masjid Ar-Rahman.

Masjid itu sungguh cantik dan bersih. Ada dua tingkat ruang solat. Ukiran di sebelah dalam dinding hadapan sungguh halus. Hasil seni itu sentuhan pekerja yang ditempah khas dari Negara Timur Tengah. Negara mana? Ihsan sudah lupa. Masjid itu dibangunkan dari hasil wang derma orang ramai. Memang lama sungguh Ihsan tidak datang solat ke masjid itu. Dahulu, arwah ayahnya yang selalu membawa dia bersolat ke situ.

Arwah ayahnya selalu bercerita tentang Tok Guru Haji Abdul Rahman Sulaiman, pengasas pondok itu. Panggilan pendeknya, Tok Guru Haji Deraman. Ihsan juga pernah beberapa kali mendengar ceramah agama di masjid itu. Ustaz yang memberi kuliah di masjid itu selalu berseloroh dengan para jemaah.

“Kalau nak buat PHD, tak payah pergi jauh-jauh. Buat di sini aje,” katanya sambil tersenyum meleret. Semua ahli jemaah ketawa berdekah-dekah. Mereka sudah faham maksud ustaz yang juga merupakan anak pengasas pondok itu.

Ihsan memandang ke muka arwah ayahnya.

“PHD tu Pondok Haji Deraman…” bisik arwah ayahnya ke kuping Ihsan.

Ihsan tersengih sendirian. Yamin memandang, ragu-ragu. Ihsan buat muka dua puluh sen dan terus menapak ke depan mimbar.

Usai solat zuhur, van mereka membelok ke arah Kampung Guchil. Satu kampung di dalam Jajahan Kuala Krai. Penduduknya terlalu padat. Maka tidak hairanlah nama kampung ini wujud sampai ke angka enam, iaitu dari Guchil Satu sehingga Guchil Enam. Perut masing-masing mula mendondang. Meminta untuk diisi.

“Nanti kita berhenti di bank dekat lampu isyarat tu kejap,” kata Yamin dari kerusi penumpang di sebelah tempat duduk pemandu. Mukanya memandang ke hadapan sambil menuding jari telunjuk ke tepi sebelah kiri jalan.

“Okey bos… beres bos...” akur Madi. Kakinya menekan brek. Stereng dipilin ke kiri.

“Aku ke dalam kejap,” beritahu Yamin. Jari telunjuknya dihalakan ke Bank CIMB. Madi mengangguk, faham.

Ihsan yang duduk di kerusi penumpang belakang pemandu itu melilau ke luar van. Wap panas yang terkurung di dalam van itu semakin merengsakan badan. Usia kenderaan itu sudah menjangkau 30 tahun. Udara yang keluar dari penyaman udara sedikit pun tidak terasa sejuk. Lebih-lebih lagi pada musim kemarau begini. Ihsan menarik cermin tingkap van itu hingga berselisih dengan cermin sebelah kanan. Udara dari luar menyelinap masuk melalui lohong yang ternganga. Dia menggoyang-goyang baju T tengkuk bulat yang dipakainya. Bebola matanya lepas bebas memerhati seberang jalan sana. Ralit melihat orang ramai yang sedang berjual beli di Pasar Siti Aisyah. Tiba-tiba, pandangan matanya diganggu oleh sebuah badan bas ekspres yang berhenti di simpang lampu isyarat. Dia mendongak. Memerhati ke cermin bas dua tingkat itu. Penuh dengan penumpang. Ada yang menoleh ke kiri kanan. Ada yang nyenyak tidur. Dan ada yang asyik berborak-borak.

Semasa Ihsan hendak memusingkan badan ke hadapan, pandangannya tertumpu kepada sesusuk tubuh. Seorang perempuan muda duduk di tingkat bawah bas. Di kerusi penumpang barisan kedua dari hadapan. Tubuhnya hanya kelihatan dari separuh bahu sehingga ke kepala. Perempuan itu menyandarkan bahu rapat ke cermin. Jantung Ihsan mula berdegup kencang. Mata tidak berkelip memandang. Umpama ada magnet yang menarik pandangannya. Apabila perempuan itu memalingkan muka, menghadap cermin. Bagai hendak tercabut jantung Ihsan. Sebelum Ihsan sempat menjulurkan tangan menerusi keluar tingkat van, bas ekspres itu telah dipecut laju. Meninggalkan Ihsan yang terkulat-kulat. Bau asap tebal itu melemaskan setiap rongga hidung yang berada berhampiran dengannya.

“Azza!” getus hati kecil Ihsan.

Ya! Itu memang Azza. Fikir Ihsan lagi. Degupan jantung Ihsan semakin kuat. Dia kenal benar, raut wajah itu. Dia hanya berada tiga meter dari Azza tadi.

Sekonyong-konyong, bibirnya mengukir sebuah senyuman. Manis. Semanis senyuman Ustaz Nabil dalam Program Tilawah Interaktif. Dia sempat lihat sebai rona coklat tua di bahu Azza tadi. Sebai itu hadiah pertama daripadanya. Bunga-bungaan di taman hatinya mekar segar. Dia tersengih lagi.

Sebelum sempat dia berfantasi. Yamin menyergah dari hadapan.

“Hoi! kau ni apa pasal? dari tadi aku tengok asyik tersengih aje. Kau angau ke apa?” usik Yamin sambil mengekeh-ngekeh. Madi memandang Ihsan melalui cermin pandang belakang. Dia turut tergelak. Ihsan gelak sama, cuba menyembunyikan gelora rindu yang meronta-ronta di hati.

“Kita berhenti makan kat Restoran Tanjung ya, macam mana? Boleh?” kata Yamin minta persetujuan. Kepala dipalingkan ke arah Madi yang sedang memandu. Dan Ihsan yang masih leka dipanah rindu.

“Beres bos…” sahut Madi tersengih-sengih, stereng dipilin ke kanan.

*****

Kesesakan di dalam Restoran Tanjung semakin reda. Orang ramai telah mula kembali ke tempat kerja masing-masing. Ihsan yang duduk menghadap muka ke jalan besar itu bungkam. Sesekali dia hanya memerhati Yamin dan Madi menyedut rokok. Kemudian, asap dari mulut kedua-dua sahabatnya itu bergulung-gulung keluar. Ada yang sempat hinggap ke rongga hidung Ihsan. Ihsan mula terbatuk-batuk. Dia sudah lama tidak merokok. Apabila dia bersumpah dengan nama Allah di depan emaknya tempoh hari, dia benar-benar lakukannya. Alhamdulillah, Allah taala beri kekuatan kepadanya. Bukan sahaja dia sudah tidak sentuh benda haram itu, tetapi rokok pun dia tidak jamah.

Pandangan Ihsan kembali ke atas meja yang dihadapnya. Sisa-sisa makanan bersepah-sepah. Makan tengah hari pada hari ini, Yamin belanja makan nasi hidang. Nasi putih, ikan bakar, daging masak halia, tomyam campur, telur dadar dan ulam-ulaman. Kata Yamin, sebab hari ini adalah hari terakhir mereka di Kuala Krai. Makan pun kena lebih sedikit. Sudah dua minggu mereka berulang-alik sejauh dua ratus kilometer lebih pergi dan balik.

Ihsan menarik straw dari gelas plastik panjang di depannya. Baki air barli ais itu disedut. Benaknya masih meneropong perempuan muda yang di dalam bas tadi. Hatinya kuat mengatakan bahawa itu Azza. Dia kenal benar. Masakan tidak. Mereka menyulam cinta hampir setahun. Selepas itu mereka berkongsi hidup sebagai suami isteri hampir empat tahun.

‘Abang yakin, masih ada cinta buat abang di hati Azza. Sebai itu jadi bukti,’ detik hati kecilnya. Seolah-olah menghafal skrip untuk cerekarama. Namun, dia tidak mahu melajak lagi. Takut-takut dikesan Yamin yang lagaknya bagaikan pegawai parol.

‘Tapi ke mana Azza pergi? Dia dah kerja ke?’ soal Ihsan sendirian.

‘Dia bekerja di Kuala Lumpur agaknya,’ akhirnya dia sendiri yang menjawab.

Dia mula merasakan satu cabaran baru dalam hidupnya. Mungkin Azza telah berjaya mengubah hidup. Namun, dia masih teraba-raba mencari petunjuk. Masih tiada kerjaya tetap. Atau sekurang-kurangnya ada punca pendapatan yang dapat menjamin keperluan Iman. Keperluan yang tidak tergendala bagi memastikan Iman meniti terus ke hari dewasa. Tidak semena-mena, mukanya mulai kelat. Dia takut Azza datang mengambil Iman sebagaimana dalam mimpinya tempoh hari. Itu tidak mustahil. Azza telah berkerjaya. Dia mampu menyara Iman. Tidak seperti aku. Dia mulai gelisah.

‘Aku mesti majukan diri aku. Tapi bagaimana?’dia buntu, akalnya masih belum dapat membantu.

“Hey, San! Aku tengok kau gelisah aje? kau tak sihat?” tegur Yamin setelah dilihat Ihsan asyik memegang dahi.

“Aku okey bang,” jawab Ihsan, cuba menyembunyikan perasaan dari dihidu ‘pegawai parol’ di depannya itu.

Yamin membawa bil yang telah diserahkan kepadanya itu ke kaunter. Mereka kemudian kembali ke Sekolah Rendah Sungai Embak menyambung kerja-kerja yang tergendala tadi.

“Kita kena siapkan hari ni jugak, tadi… Cikgu Shukri bagitau, lusa ada majlis di dewan ni,” beritahu Yamin. Kepalanya didongakkan ke siling. Jari telunjuk mengira-ngira poin kipas siling yang telah siap dengan wayar yang terjuntai.

“San, kerja kau banyak lagi?” Yamin memandang Ihsan yang mula menginjak anak tangga di bawah sekali.

“Tak banyak dah, hari ni boleh siap,” balas Ihsan.

“Kau Madi?”

“Sedikit lagi.”

Yamin mengangkat ibu jari. Kemudian, dia membuka kotak kipas siling yang berada di atas simen. Ihsan mula memanjat ke dalam siling. Madi menggantung kipas siling ke cangkuk sebelum dia menyambung wayar. Masing-masing khusyuk dengan kerja-kerja yang telah diagihkan itu.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan