Tanah
peninggalan arwah ayah Ihsan telah menjadi milik kerajaan. Musnah sudah impian dia
di situ. Semua telah diambil demi sebatang jalan raya. Pokok manggis yang sudah
berpuluh-puluh tahun menjadi penanda sempadan di situ tiada lagi. Namun, ia tetap
wujud di dalam ingatan Ihsan. Tetap menjadi sebutan apabila bercerita tentang
tanah warisan itu.
Kehilangan
tanah kebun itu, sekurang-kurangnya terubat jua dengan kewujudan Aspalela
Enterprise. Ihsan sebagai pengurus. Tanggungjawab yang menanti terlalu besar.
Meskipun begitu, dirinya berkobar-kobar
menunggu cabaran. Berkeyakinan untuk bersaing. Semua itu dilakukan demi amanah.
Amanah emaknya. Amanah kak long. Dan amanah kak ngah. Lebih-lebih lagi amanah
arwah ayahnya. Dia seolah-olah masih melihat pokok manggis tua dulu. Pokok
manggis yang memberi ruang untuk dirinya berteduh. Pokok manggis yang memberi
mereka buah yang manis untuk basahan tekak. Menyejukkan badan setelah kepanasan
akibat memakan terlalu banyak durian.
Ihsan
menoleh ke arah fail plastik di depannya. Di dalam fail itulah maruah pokok
manggis, penanda lot. Maruah tanah kebun. Maruah keluarganya jua. Dia mesti
membela maruah itu. Di pundaknya terletak maruah tanah kebun itu.
Dicapai
fail plastik di atas meja kopi. Diselak-selak. Ditenung. Semua dokumen permohonan
telah diuruskan. Semua itu dengan bantuan Abang Mat. Meskipun begitu, Ihsan
dibawa sama. Menantu Haji Rokiman itu mahu Ihsan terlibat dalam setiap pendaftaran.
Dia mahu Ihsan belajar. Ilmu. Ya! Ilmu juga boleh diperolehi melalui
pengalaman. Dia tidak mahu Ihsan hanya menerima. Menganga, tunggu disuap. Dia
mahu Ihsan menghargai setiap sesuatu yang diterima.
Ihsan
kembali membelek-belek. Menyemak satu persatu. Perakuan pendaftaran dari
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), sijil kontraktor kerja taraf
bumiputera dari Pusat Khidmat Kontraktor, perakuan pendaftaran sebagai
kontraktor elektrik dari Suruhanjaya Tenaga, sijil perolehan kerja kerajaan
dari CIDB dan sijil pendaftaran kod bidang dengan Kementerian Kewangan. Ya!
Bangsi Ajaib telah ada. Tiba-tiba Ihsan
teringatkan Teori Do Re Me. Semua dokumen ini, kata Abang Mat di peringkat
‘Bangsi Ajaib’.
Apabila
bangsi ditiup, maka mintalah apa yang dihajati, pasti diperolehi. Kalau sudah
ada aliran tunai maka semuanya menjadi mudah. Ihsan cuba mengingat kata-kata
Abang Mat tempoh hari. Dia tersenyum.
“Apa
nama syarikat yang Ihsan daftar tu? emak bukan apa... nanti kalau kak long atau
kak ngah kau telefon tanya... senang emak bagitau, ” suara emaknya itu
mengerakkan Ihsan dari terus berteori. Kedua-dua kakinya dihulur ke depan. Berlunjur
di atas lantai sedepa dari Ihsan. Tangannya ligat melipat pakaian.
“Aspalela
Enterprise...” beritahu Ihsan, tersenyum.
Tangan
Mak Lela yang asyik melipat kain itu berhenti seketika. Dipandangnya muka Ihsan
dengan pandangan penuh aneh. Penuh tanda tanya.
“Aspalela?
macam nama emak aje...” katanya.
Ihsan
tergelak, mata masih tidak berkalih dari memandang emaknya.
“Dah
memang nama emak...” ujar Ihsan, mulutnya ditutup.
“Kenapa
tak bubuh aje nama Ihsan?”
“Ihsan
nak ambil berkat nama emak. Lagi pun ni syarikat kita. Nanti kita anak beranak
sama-sama bangunkan syarikat ini,” Ihsan cuba luahkan apa yang tersirat di
sebalik nama syarikat yang baru didaftarkan itu.
Mak
Lela tersenyum . Mungkin dia turut berbangga dengan syarikat baru mereka itu.
Juga dengan semangat yang ditunjukkan Ihsan itu. Ihsan bukan macam dahulu lagi.
Banyak sangat perubahannya. Badan Ihsan juga sudah berubah. Dia sudah semakin
berisi.
“Tu...
komputer, Ihsan baru beli ya?” tegur Mak Lela apabila dilihat Ihsan
mengeluarkan sebuah komputer riba berwarna hitam.
“Ya,
emak... nilah teropong ajaib kita. Ihsan akan intai lubang-lubang kerja,” kata
Ihsan mengajuk watak Re dalam filem Laksamana Do Re Mi. Emaknya
menggeleng-geleng, gelihati.
“Ihsan
dah daftar talian telefon, nanti ada talian internet... baru mudah nak
berniaga,” beritahu Ihsan, emaknya hanya memandang. Terkebil-kebil biji matanya.
“Abang
Mat cakap, sekarang ni... semua urusan untuk dapat kerja dari kerajaan melalui
internet. Bayaran pun dimasukkan terus ke bank. Semua urusan dokumen mesti
melalui internet,” kata Ihsan, emaknya mengangguk-angguk. Anggukan itu adalah
anggukan keramat Anggukan itu yang sentiasa memberi sokongan moral kepada
Ihsan.
“Orang
yang nak buat kerja? tak kan Ihsan sorang...” Mak Lela melahirkan rasa bimbang.
“Dah
selesai emak, Abang Yamin, Madi dan beberapa orang budak kampung kita ni,”
Ihsan asyik memandang papan kekunci komputer. Kedua-dua tangan dihulur. Jari jemari
kasar itu terkial-kial mencari lajur-lajur huruf. Ditekan-tekan.
“Abang
Mat dah sub kan satu projek di Tanah Merah kat kita, cubaan pertama, katanya,” beritahu
Ihsan, biji matanya melilau ke atas monitor komputer.
Mak
Lela meninggalkan penyapu dengan tersandar di belakang daun pintu. Menapak ke
ruang tamu. Merebahkan badan di sisi Iman. Iman mendongak. Memandang ke muka
neneknya. Kemudian dia kembali menyambung titik-titik huruf di setiap helaian
di buku aktivitinya.