Sepanjang
Ihsan berada di samping emak dan anaknya, Iman. Belum pernah dia mendengar
khabar berita tentang Azza. Sungguhpun cinta Azza terhadapnya mungkin tidak
bernadi lagi. Telah mati dan dikuburkan tanpa meninggalkan batu nesan. Dia
tetap akan menanti. Biarpun beratus. Beribu. Atau mungkin beratus ribu kali. Cinta
yang tiada pusara itu tetap bersemi di dalam dirinya. Barangkali. Ya, kebarangkaliannya,
pusara itu berada di dalam dirinya. Cinta itu mungkin tertanam rapi di hatinya.
Kalau tidak, masakan setiap hari. Hatinya meronta-ronta untuk membaca surat
itu. Surat tinggalan bekas isterinya itu bagaikan bacaan talkin. Dibaca ketika
hatinya dirundum rindu. Ketika wajah Azza datang bertamu.
Ihsan
yang masih bertenggek di bendul rumah itu melemparkan pandangannya. Jauh.
Melepasi pandangan Mak Lela. Di situ, dia nampak Azza. Dia nampak dirinya juga.
Azza
dengan muka yang cengkung. Mata yang sentiasa berkaca, memandangnya sayu. Merayu.
“Abang...
itu aje yang ada pada Azza. Kalau abang ambil jugak, kat mana lagi kita nak
dapatkan duit? Azza tak bekerja bang. Kesian emak, kesian Iman. Mana nak cari duit
untuk ubat lelah emak? Mana nak cari duit untuk makan minum Iman? Makan minum
kita sekeluarga?”
Ihsan
yang asyik menggenyeh-genyeh hidung berairnya itu bagaikan sudah dirasuk. Rayuan
Azza sedikit pun tidak melembutkan hatinya. Malah dia menempis kasar tangan
halus isterinya itu. Akibat tempisannya itu tubuh kecil Azza terdorong.
Hampir-hampir tersungkur di sisi kirinya. Wang yang berada di dalam genggaman
tangan kanannya itu dijulang. Dilarikan daripada dapat dicapai oleh Azza. Dia
mengekeh-ngekeh. Kelopak matanya kelihatan hampir-hampir tertutup. Sesekali
kedengaran dia menghela nafas. Panjang-panjang. Percakapannya melalut. Bau
masam, hancing dan hapak tubuhnya itu amat merengsakan hidung.
Seminggu
Ihsan tidak pulang ke rumah. Hilang mengikut rakan-rakannya. Melayan hidup di
dalam dunia yang penuh dengan fatamorgana. Penuh fantasi. Berkhayal di bawah
pengaruh dadah. Sekejap ke awan. Sekejap berpijak di bumi. Mengekeh-ngekeh. Hanyut.
Dan terus hanyut dibawa alunan akal yang tercemar diracun dek najis dadah.
Hakikatnya,
batang tubuh yang kurus kering itu masih tersadai di bawah pondok buruk. Di
pinggir hutan belantara. Jauh daripada mata manusia. Bergelimpangan sesama
mereka. Tewas. Tersungkur dengan beberapa sedut. Beberapa tiub yang disuntik.
Asap, cecair dan pil benda haram yang berada di dalam badan mereka itu, cepat
sahaja terus menyelinap. Menyerbu. Merosakkan otak. Maka, jadilah mereka seolah-olah
mayat hidup. Bukan Zombie, tetapi mayat yang jasadnya kaku. Namun masih
bernyawa. Rohnya terbang. Bebas. Memburu keseronokan yang sementara. Sementara
akal ditipu oleh iblis yang bersembunyi di dalam setiap najis terlarang itu.
Apabila
rohnya kembali. Mayat itu bangkit lagi. Mengutip jejak yang ditinggalkan.
Mencari. Mengamuk. Memukul. Menempelak. Agar apa yang diburu. Wang. Barangan
kemas. Tong gas. Barang-barang berharga yang mampu ditukarkan. Dijadikan
‘makanan’ mereka.
Begitulah
Ihsan. Jauh daripada kehidupan asalnya. Dia bukan lagi Ihsan yang dididik
dengan dengan pegangan asas agama yang kukuh. Bukan Ihsan yang suka membaca
kisah para wali. Bukan juga anak yang gemar bercerita kisah-kisah nabi,
Sahabat-Sahabat Nabi Muhammad S.A.W dan para wali kepada emaknya. Apatah lagi
suami yang sentiasa balik dengan senyuman walaupun diburu beribu masalah di
tempat kerja. Hilang. Hilang terus sifat penyayang. Sifat lembut. Sikap sayang.
Malahan Iman, anak perempuannya juga sudah hilang tempat bermanja. Tiada lagi
tempat yang boleh dikongsi masalah. Melayani naluri kanak-kanaknya. Sirna.
Semua kerana benda haram itu. Meracun. Membunuh semua kebaikan Ihsan.
Ihsan
memejamkan mata. Tunduk. Kesalan demi kesalan menghantui perasaannya kini. Dia
seakan-akan dapat merasakan. Emaknya masih memerhatikannya. Biarlah. Itulah
sikap emaknya. Sikap seorang ibu yang sentiasa peka tentang setiap inci
perubahan anak mereka. Emaknya tidak pernah kenal erti berputus asa. Emaknya seorang
ibu yang tidak pernah meninggalkan anaknya keseorangan. Apatah lagi untuk
membuang terus. Namun, terdetik di dalam hatinya. ‘Huh... ! terlalu banyak
dosaku. Dosa membiarkan emak menderita. Benar kata Azza...’ Dia bungkam
seketika. Seolah-olah terfikirkan sesuatu.
“Azza...”
bisiknya perlahan. Dia tidak mahu emaknya mendengar bisikannya itu. Dia malu. Malu?
Ya... perasaan malu sudah mula menjelma di dalam dirinya. Ini bermakna, dia
sudah kembali. Kembali kepada sikap Ihsan yang asal. Seorang pemuda pemalu dan
tidak sombong. Suka menolong orang-orang yang memerlukan. Itulah label
orang-orang kampung kepadanya dahulu. Seorang anak muda yang sering dijadikan
ikon oleh orang-orang tua di kampungnya. Lebih-lebih lagi ketika menasihati
anak-anak mereka. Ketika itu, Ihsan seolah-olah dutanya. Duta bagi menggalakkan
anak-anak muda berakhlak baik. Duta bagi mengimarahkan masjid pada ketika
solat-solat lima waktu.
Semua
itu sebelum dia terjebak di dalam najis dadah. Setelah dia terjebak, semuanya
sirna. Tiada lagi kebaikannya yang disebut-sebut. Semua yang buruk akan
ditalakan kepadanya. Ayam hilang. Tiada lagi kesalahan musang. Biawak yang
selalu mencuri ayam pun tidak lagi disalahkan. Itu semua kerja-kerja konco-konco
Ihsan.
Dahinya
dirapatkan ke atas belakang tapak tangan kanan. Dia membetul-betulkan kedudukan
kedua-dua tapak kaki yang menopang kedua-dua belah tangannya di atas kepala
lutut.
“San...!”
Tengkingan Mak Lela itu masih terngiang-ngiang di kupingnya.
“Kenapa
kau buat Azza macam tu? Mana pergi sikap kasih sayang kau dulu? Sikap yang
menjadi semua orang bangga pada kau dulu?” merah padam muka emaknya melihat
telapak tangan Ihsan jatuh ke pipi menantunya itu.
Azza
yang terjelepok di atas lantai papan itu teresak-esak. Tubuh kecilnya diangkat
perlahan-lahan oleh Mak Lela. Matanya bengkak. Bibir berdarah. Pipi lebam. Dia
mengerang. Menahan sakit.
Ihsan
membentak. Kemudian terkocoh-kocoh ke pintu. Menghilang. Mungkin seminggu lagi
akan pulang. Azza. Ya, Azza yang setia itulah yang akan menjadi mangsanya nanti.
Berulang kali. Peliknya, perempuan ini tidak pernah serik. Tetap setia melayan
kerenah suami yang sudah hilang kewarasan akal fikiran itu. Bukan sahaja
diherdik. Dimaki. Malah dipukul. Azza masih setia di sisi suaminya. Berusaha
bersama-sama mentuanya. Mencari penawar. Demi mengubati suami. Demi untuk
mengembalikan suami tercinta ke jalan kebenaran. Jalan yang pernah dirintis
oleh suaminya dahulu.
Air
mata lelaki Ihsan gugur lagi. Dia mengangkat kepala. Memandang dengan pandangan
redup ke hadapan. Kedua-dua belah tangan merangkul betis. Kemas. Benaknya
menerawang lagi. Membilang setiap inci kesilapan yang telah dilakukannya.
Sesekali tanpa disedari, dia menggeleng-geleng. Bibirnya diketap kejat. Badan
dipusing, betul-betul menghadap emaknya. Kemudian, bebola matanya beralih,
menyapa lembut ke muka Iman. Anaknya itu masih lena. Sesekali kedengaran Iman
mengekeh. Badannya dipusingkan ke lambung kiri. Menggaru-garu betis yang
terdedah itu. Seekor nyamuk yang udah kembung perut kelihatan terbang. Namun,
tersungkur di atas lantai. Mak Lela menepuknya dengan cermat. Nyamuk itu tewas
dengan meninggalkan sedikit darah merah.
Ihsan
kembali memandang emaknya. Wanita yang udah lanjut usia itu mengesat-ngesat
telapak tangan yang dicemari darah itu dengan ibu jari. Dia baru sahaja selesai
melipat pakaian yang baru dikutip dari ampaian. Susunan lipatan pakaian yang berada
di hadapannya itu ditolak ke sisi kiri.
“Mak...”
suara Ihsan kedengaran seperti orang sedang berbisik. Biji matanya dikerling
sekejap ke arah Iman. Dia tidak mahu suaranya nanti mengganggu tidur sang
puterinya itu.
Mak
Lela mendongak. Membalas pandangan Ihsan. Dan Ihsan menarik bibir
panjang-panjang. Tersenyum lebar. Di dalam kotak kepalanya sudah ada sesuatu
yang penting. Sesuatu yang baru terfikir dek akalnya. Sesuatu yang perlu
diminta persetujuan emaknya.
“Err...
tanah kita kat hutan sana tu, ayah belum jualkan?” kelopak mata Ihsan
berkelip-kelip. Sabar menunggu jawapan daripada emaknya.
Mak
Lela tidak terus menjawab. Dia menelan liur. Tenang memandang Ihsan. Mungkin
dia sedang memikirkan sesuatu.
“Belum...
kenapa? Ihsan nak jual ke?” Tenungan Mak Lela itu seperti menyimpan kerisauan
di dadanya.
“Tak
ada la mak... Ihsan terfikir nak kerjakan tanah tu. Macam dulu-dulu,” beritahu
Ihsan sambil mengekeh. Dia dapat rasakan kerisauan yang bersarang di hati
emaknya itu.
“Ihsan
seorang? Larat ke? Mak dah tak larat nak tolong...” suara Mak Lela ragu-ragu.
“Ihsan
kerjakan sikit-sikit. Setakat Ihsan larat. Daripada tak ada apa-apa kerja, baik
Ihsan kerjakan tanah tu. Mana tau, di situ ada rezeki kita,” bersungguh-sungguh
Ihsan menyakinkan emaknya.
Mak
Lela tersenyum. Dia mendengus. Matanya masih memandang Ihsan sambil
terangguk-angguk.
“Kalau
Ihsan sanggup, mak suka sangat. Sudah lama tanah tu terbiar. Entah setinggi
mana la semaknya,” keluh Mak Lela lagi.
“Terima
kasih mak... sekurang-kurangnya ada kerja yang boleh Ihsan buat. Ihsan akan
cuba kerjakan... insya-Allah,” sambut Ihsan dengan perasaan gembira.
“Mak
doakan...” balas Mak Lela, segaris senyuman terukir manis di wajahnya.
Ihsan
membalas senyuman itu. Benaknya mula terasa bebas. Sekarang dia sudah ada
kerja. Walaupun kerja sendiri. Dialah tauke. Dialah kuli. Sekurang-kurangnya,
dia sudah boleh menyibukkan diri. Apabila sibuk, ia boleh melupakan kisah
silamnya. Mengerjakan tanah yang sudah
lama terbiar itu, tentu sahaja menyihatkan tubuh badan. Masakan tidak,
hari-hari boleh menghirup udara segar. Dikelilingi hutan rimba yang mala segar.
Dan yang paling penting, dengan izin Allah,
hasil usaha itu nanti boleh memberi rezeki kepada mereka sekeluarga.
Ihsan
menarik nafas lega. Dipandangnya Iman. Anak kecil itu masih nyenyak . Bunyi
turun naik nafasnya jelas kedengaran. Sementelah pada ketika itu suasana
sekeliling begitu sunyi sekali. Jauh di sudut hatinya, terdetik perasaan
bersalah kepada anak itu. Namun, semuanya telah berlaku. Rumah tangganya telah
runtuh. Azza pun telah lama meninggalkannya. Apakah masih ada peluang kedua
untuknya? Ah... ! dia menggeleng. Cuba melupakan cerita duka itu. Apa yang penting
baginya kini, Iman dan emaknya. Dia nekad. Dia akan menjaga emak dan anaknya
sebaik mungkin. Perlahan-lahan dia memanjatkan doa untuk mereka sekeluarga.