Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
109,755
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 14

Hujan lebat dinihari tadi membuatkan jalan tanah merah itu becak. Motosikal yang ditunggangi Ihsan berpusing berkali-kali. Ada ketikanya, Ihsan terpaksa turun dari motosikal. Menuntun sambil tangan kanan memilin minyak besar-besar. Berderum enjin motosikal dalam gear rendah. Asap hitam tebal dari ekzos keluar berkepul-kepul. Ihsan yang berkasut but hitam itu terhuyung-hayang menapak sambil menahan motosikal. Sesekali kakinya tergelincir juga ke dalam alur kesan larian air hujan. Motosikal itu terpongkang. Dia terkial-kial mengangkatnya.

Sesampainya di tanah yang agak rata, dia berhenti seketika. Mencantas sebatang ranting kayu bagi mencungkil selut yang berkampung di bawah madgad. Turun naik nafasnya semakin laju. Termos dalam raga motosikal dicapai. Seteguk air sirap masih tidak dapat membasahkan tekaknya yang kekeringan. Dia meneguk lagi. Enjin motosikal dihidupkan kembali, berderum dan bergerak perlahan-lahan ke tengah, ke tepi mengikut alunan tanah yang berlopak-lopak. Kemudian, dia membelok motosikal ke kiri, menyelusuri denai sehingga sampai ke pintu tanah kebunnya.

Sebagaimana hari-hari yang lalu, motosikal diletakkan di bawah pokok manggis. Dia masih mengangkang di atas motosikal dengan kedua-dua kaki mencecah tanah. Segala debaran yang masih bersisa di dada dibiarkan reda. Bibirnya kumat-kamit melafazkan ayat-ayat al-Quran. Biar reda dan tenang segala gelora di hati. Belakang bajunya penuh dengan percikan selut dari tayar belakang motosikal.

Kemudian, dia bangkit dan mula berdiri. Kedua-dua belah kakinya yang tersarung dengan kasut but itu diseret berselang-seli di atas rumput basah. Biar hilang selut yang melekat di sekeliling kasut but itu. Dia mengatur langkah terus ke tengah kebun yang mula semak dengan lalang, resam, tapak gajah dan pulut-pulut hutan itu. Hatinya kembali disapa hiba.

Air dari anak sungai selebar sedepa setengah itu melimpah-ruah. Menenggelamkan beberapa pokok pisang, ubi kayu dan ubi keledek yang di tanamnya di tanah yang rendah. Ubi kayu bila sudah tenggelam banjir ia akan rosak. Ubinya akan buruk dan busuk.

Dia mendengus. Tiada kata yang dapat diucapkan selain bertasbih kepada Allah. Dia tahu, Allah sedang mengujinya. Namun begitu, air jernih mengalir jua di pipi yang sudah basah dengan keringat itu. Seluruh tubuhnya terasa tersangat longlai. Dia cuba memujuk hatinya. Dia teringatkan kata-kata Ustaz Ramli semasa tazkirah tempoh hari.

“Allah beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu,” dia mendengus lagi, seolah-olah melepaskan sesuatu yang tersekat di dalam dada.

“Subhanallah…” tuturnya, benar-benar ikhlas. Bergegar rasa jantung. Dia cuba mengingat kembali kata-kata yang pernah dibacanya dari sebuah buku.

‘Apa yang kita lakukan hari ini, akan menjadi masa depan kita. Bila kita ingin menata masa depan, maka mulailah menata hidup kita hari ini. Kerana hari esok belum tentu menjadi milik kita.’

Apa yang dia nampak, hanya tanah kebun ini masa depannya sekeluarga. Biar pun beribu-ribu halangan dan cabaran mendatang, tanah kebun ini perlu dikerjakan. Dia berpusing, membelakangkan limpahan air dari anak sungai itu. Dia lihat banyak pucuk pokok pisang yang masih bergulung kelihatan layu dan mati.

Ihsan menapak lagi, golok di tangan kanannya menetak putus daun-daun pisang yang digulung ulat. Dia pernah membaca tentang ulat ini di dalam satu artikel pertanian. Ulat itu bertelur pada daun muda. Apabila menetas, larvanya akan bersembunyi dengan cara menggulungkan daun ke arah tulang daun. Larvanya cergas pada waktu malam. Pada waktu ini ia akan keluar dari gulungan daun untuk makan daun pisang. Ia akan menggulungkan daun dan melekatkan dengan menggunakan benang-benang putih. Ihsan memenggal pelepah pisang yang daunnya bergulung itu. Dilonggokkannya ke bawah pokok-pokok pisang.

Dia mundar-mandir lagi ke sekeliling kebunnya itu. Mana-mana pokok yang rosak ditebang. Pokok-pokok renek yang meliar dibuang. Semangatnya masih ada. Tanah kebun ini mesti diusahakan. Biar betapa susah pun dia. Ini sahajalah harapan yang dia sekeluarga masih ada.

“Jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu,” ungkapya seorang diri, memujuk hati.

Dia terpandang pokok-pokok cili yang ditanamnya di tepi pagar. Hatinya merasa lega. Sekurang-kurangnya, dia masih boleh mendapat hasil dari kebun harapan itu. Dilibas daun pisang yang terjuntai di sebelah kanannya. Cili padi dan cili besar yang berwarna merah itu dikutip, lalu diletakkan ke atas daun pisang yang sudah terhampar di atas rumput.

Dia menghampiri pokok kacang botol yang meragas pagar. Diselak-selak daun yang lebat itu. Kebanyakan kacang botol yang terjuntai itu telah tua. Keras apabila dipatahkan. Malah banyak yang sudah bertukar warna, koko. Dia menyelak lagi, mencari dengan teliti. Kacang botol ini perlu dicari dengan teliti. Fikirnya. Warnanya seakan-akan warna daunnya. Bila terlepas pandang, besok apabila hendak mengutip ia telah tua. Sudah keras dan tidak sesuai untuk dibuat ulam.

Terpacul lafaz puji-pujian ke hadrat Allah. Tanda syukur kepada Allah. Hatinya melonjak gembira. Masih ada rezeki untuk keluarga. Ulam-ulaman yang masih muda itu dikutip. Dilonggok ke atas hamparan daun pisang yang telah dibuat pelapik. Dia terus melangkah, menyelinap ke dalam barisan pokok-pokok ubi kayu. Dia memaut batang ubi kayu satu persatu. Pucuk-pucuk yang muda digetus.

Itu sahaja hasil yang dapat dikutipnya hari ini. Dia termenung. Pandangannya kembali tertancap ke permukaan air sungai yang melimpah ke dalam kebun itu. Rona airnya macam air teh susu. Pekat. Dahulu, semasa menunggu arwah ayah dan emaknya berkebun. Dia selalu berkubang di dalam anak sungai itu. Kak longnya akan mengocak air cepat-cepat. Kain sarung batik jawa yang dibuat basahan itu akan menggelembung. Kak longnya akan berenang ke hulu dan ke hilir. Kak ngahnya pula hanya menjerit di tepi tebing. Dia tidak berani turun ke dalam sungai.

Apa yang dia tahu, air sungai itu tidak pernah kering. Pada musim kemarau, airnya tohor. Kadangkala pasir yang menimbun di dasar tertonjol keluar dari permukaan air. Namun, airnya tetap ada. Alurnya tetap setia menunggu air yang bakal tiba. Tebingnya sabar membentengi walau setohor mana pun ia. Apabila tiba musim tengkujuh. Airnya melimpah-ruah, menenggelamkan alur yang setia. Melompat ganas melepasi tebing yang penyabar, sehingga membanjiri kawasan sekitar. ‘Itulah adat resam kehidupan ini,’ tuntas hatinya.

‘Air sungai itulah aku,’ bisik hati lagi.

‘Ketika air sedikit, sopan mencari alur untuk mengalir, taat mengalir di bawah kepungan kedua-dua tebing. Namun, apabila air sudah banyak, ia mula lupa asal usulnya. Ia lupa, keadaan itu tidak berpanjangan,’ keluhnya sendirian.

“Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu,” dia mengulang-ulang kata-kata itu. Kedua-dua belah bibirnya diketapkan.

“Ya… ! Allah Maha Mengetahui… Dia tahu apa yang terbaik untukku,” akhirnya Ihsan berserah.

“Ihsan kena kuat... Ihsan ketua keluarga, Azza perlukan Ihsan. Iman perlukan Ihsan... emak juga perlukan Ihsan,” kata-kata emaknya suatu ketika dahulu masih terngiang-ngiang di kuping.

Dia mula teresak-esak. Kekesalan yang belum pernah padam di jiwanya itu meronta-ronta. Rasa bersalah itu tidak akan padam selagi dia tidak dapat membahagiakan ketiga-tiga orang yang dia sayang. Namun, Azza telah pergi meninggalkannya. Azza telah pergi mencari jalan hidupnya. Hidup yang lebih bererti.

*****

Malam itu, Ihsan bersolat di rumah. Seluruh anggota tubuhnya terasa lemah, suhu badannya panas. Hidung juga terasa panas dan sentiasa keluar ingus. Selesai solat maghrib, dia berlingkar di bawah selimut. Menggigil-gigil. Emaknya masuk menatang segelas air suam dan sepapan penadol.

“San… San,” Mak Lela menggoyang-goyang tubuh Ihsan yang dibungkus selimut tebal itu.

Ihsan menyelak kain selimut yang menutupi mukanya. Dahi dikerut-kerut. Sakit kepala semakin menjadi-jadi. Emak dan anak perempuannya yang berdiri di tepi katil itu direnung. Pusing kepalanya. Seluruh muka bagai berada di hadapan api. Perutnya gementar. Tiada kederat untuknya mengangkat badannya sendiri.

“Ni… emak bawa air suam dan penadol,” tutur emaknya, air suam itu diletakkan ke atas meja solek di tepi kepala katil.

Ihsan terkial-kial untuk bangkit. Kain selimut yang tadi menutup seluruh badannya jatuh ke atas riba. Dia terbatuk-batuk. Bersin beberapa kali. Sesekali terdengar dia menarik-narik nafas melalui rongga hidungnya.

“Ubat ni aje yang ada, besok nanti Ihsan pergi klinik,” nasihat emaknya yang mula bertenggek di birai katil. Iman yang tadi asyik memerhati Ihsan, perlahan-lahan menyusup masuk dan menerkam ke dada Mak Lela.

“Papa Iman tak sihat…” beritahu Mak Lela, kepalanya ditunduk. Mukanya dipalingkan ke arah Iman.

“Papa tak dapat nak peluk Iman, nanti demam papa berjangkit pulak kepada Iman…” kata Ihsan, bebola matanya memandang Iman sambil tersenyum.

“Telan ubat tu dulu…” arah Mak Lela. Ihsan mencapai papan penadol dari atas meja solek. Dibelek-belek, bagi melihat tarikh luput. Dia menekan pada pil yang terkurung di dalam papan ubat itu. Dua biji pil penadol yang berada di atas telapak tangan kanannya itu disuakan ke dalam mulut. Kemudian, gelas air suam dicapai dan diminumnya. Dua biji pil yang masih degil melekat-lekat di lidah dan lelangitnya itu tergelongsor jua melalui rongkong ke perut.

“Pokok pisang tu dah banyak yang nak keluar jantung. Sayang, banyak yang rosak… emak. Semua pokok ubi kayu yang di bawah lembah tu pun banyak yang tenggelam air,” rungut Ihsan, kain selimut ditarik sehingga menutupi bahunya.

“San… tak payah fikir lagilah tentang kebun tu. Kalau ada rezeki kita di situ, tak ke mana. Ihsan tu… kena jaga kesihatan diri jugak,” nasihat emaknya, gelas di tangan Ihsan dicapai dan diletakkan kembali ke atas meja solek.

“Ihsan tak apa-apa… selesema sikit aje. Insya-Allah, besok baiklah…” sahut Ihsan dngan suara yang sudah serak. Dia membetul-betulkan kain selimut yang terselak di hujung kaki.

“Banyak juga cili padi yang Ihsan bawa balik tadi…” kata emaknya, kedua-dua tangan emaknya dipaut Iman dan dirapatkan ke badan anak perempuannya itu.

“Emak sedekahkanlah pada jiran-jiran,” cadang Ihsan, tangannya menyapu-nyapu hidung dengan setangan.

“Dah… emak dah bagi pun,” beritahu emaknya, tersenyum berkulum.

“Pucuk ubi kayu tu nanti emak buatkan kerabu, kalau San telan ubat lagi besok jangan makan. Nanti mabuk…” pesan Mak Lela, bimbang.

Dia tahu, emaknya memang pakar membuat kerabu pucuk ubi kayu. Dia pernah lihat, emaknya meracik pucuk ubi kayu tipis-tipis. Kemudian dimasukkan kelapa goreng yang telah ditumbuk. Dicampur dengan ikan rebus, bawang merah dan lada hitam yang telah ditumbuk. Digaul-gaul sehingga sebati. Enaknya sehingga menjilat ibu jari. Ihsan dan kakak-kakaknya akan meratah begitu sahaja. Arwah ayahnya selalu memuji masakan emaknya. Jikalau arwah ayahnya memuji, emaknya tersipu-sipu malu. Hanya sepatah kata yang keluar dari mulut emaknya.

“Makanlah…”

Ihsan tahu, arwah ayah ikhlas memuji. Ihsan juga tahu, hati emaknya tentu berbunga bila dipuji suaminya. Arwah ayahnya seorang yang pendiam, namun mesra dengan anak-anak. Bengis arwah ayah sewaktu mengajar mengaji atau menyuruh anak-anak bersolat. Itu sahaja. Tubuhnya lanjai juga, Haji Rokiman kata Ihsan ada iras ayahnya. Ayahnya meninggal dunia selepas sakit hampir sebulan. Keracunan. Ayahnya meracun di kebun tanpa memakai penutup hidung. Wap racun menyelinap sehingga ke otak. Semasa ditahan di dalam wad, setiap hari darah arwah ayahnya diambil sebagai sampel. Kata doktor, darah arwah ayahnya mengandungi racun.

“Mari Iman, ikut nenek…” suara emaknya itu mematikan lamunannya. Emaknya memimpin tangan Iman. Melangkah keluar dari bilik Ihsan.

Bye... bye papa…” sapa Iman, tangannya melambai-lambai.

“Assalamualaikum Iman…” balas Ihsan, turut melambai ke arah Iman.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan