Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,972
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 19

Hari ini cuaca panas. Fatamorgana dilihat wujud di atas jalan berturap di sebalik pagar pejabat tanah itu. Cuaca kering seperti ini turut memberi rezeki kepada penjual-penjual ais di bawah payung di tepi jalan, berhampiran pintu masuk pejabat. Cuaca sebegini bagaikan mengerti perasaan segelintir pekebun kecil seperti Ihsan. Pekebun yang bakal hilang lubuk, tempat mencari rezeki untuk keluarga.

Semasa Ihsan dan emaknya keluar dari pejabat tanah, Haji Rokiman sedang berbual-bual dengan ahli keluarganya di bawah pohon sena, di hujung bangunan. Tanah kebunnya juga terlibat sama. Projek untuk membina jalan raya itu melibatkan banyak lot. Dia berpaling ke arah Ihsan sambil melambai-lambai.

“Apa cerita Ihsan?” Soal Haji Rokiman, ingin tahu.

Ihsan yang baru sahaja berada di hadapannya itu mengangkat kedua-dua bahu. Kurang jelas dengan pertanyaan Haji Rokiman. Kalau mengikutkan kata hati, dia ingin cepat-cepat pulang. Moodnya terganggu dengan apa yang berlaku ini. Dia mahu menyendiri seketika. Apabila difikirkan balik, ramai lagi orang yang tanah mereka pun terlibat. Dia tenang seketika. Mungkin ada hikmat di sebalik semua ini. Ihsan mula pasrah.

Sejujurnya, apa yang menimpa ke atas keluarganya ini memberi impak yang agak besar kepada sumber pendapatannya. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana penat lelah, Jerih payahnya membangunkan tanah kebun itu. Malang baginya, pada masa dia dan keluarga mula menikmati kemanisan hasil dari titik peluhnya. Tanah itu pula akan dirampas. Betul, dia akan dibayar sejumlah wang. Wang? Ah! Wang akan habis. Wang macam air. Apabila bekas bocor, cepat sahaja keluarnya. Berapa tahun keluarga aku akan bertahan dengan wang sebanyak itu.

“Jumlah pampasan dah jelas pak cik, cuma... kena tunggu keluar Borang H dulu. Lepas tu kena ke pejabat pusaka kecil pulak,” beritahu Ihsan, sebagaimana yang dijelaskan oleh pentadbir tanah tadi. Dia kurang pasti apakah itu jawapan yang dikehendaki oleh Haji Rokiman. Apa yang pasti, dia tidak gembira dengan berita ini.

Mak Lela yang mengekori Ihsan bungkam. Dia hanya tersenyum. Kelat. Iman yang masih di atas gendongan Ihsan itu diturunkan.

“Ooo... kira nak agihkan wang pampasan lah tu,” ujar Haji Rokiman, mengangguk-angguk.

“Tapi... sayang... pokok-pokok pisang tu tengah galak berbuah...” rungut Ihsan, suaranya kedengaran sarat dengan kesalan yang semakin bertali.

“Sabarlah Ihsan...” celah anak lelaki Haji Rokiman, melahirkan rasa simpati.

“Ya Ihsan, sabarlah... rezeki Allah ni ada di mana-mana. Mungkin Allah nak beri Ihsan yang lebih baik lagi, kita mana tau,” tokok Haji Rokiman, seolah-olah memujuk hatinya jua.

“Tanah kebun abang haji kena semua juga ke?” tegur Mak Lela, apabila dilihat Ihsan masih bungkam.

“Tak... laluan jalan tu kena di hujung aje,” jawab Haji Rokiman.

“Tanah kebun Ihsan diambil semua sekali... kan?”

“Haah, kata pentadbir tanah tu, jajaran jalan tu kena di tengah-tengah kebun. Kalau kerajaan tak ambil semua, tanah tu sudah tak cantik. Cacat. Jadi... dia cadangkan diambil semua,” beritahu Ihsan, yang cuba menenangkan emosi.

“Okey la tu... nanti dapat wang pampasan tu, beli tanah kebun lain,” cadang Haji Rokiman.

Ihsan dan Mak Lela mengangguk-angguk. Angguk emaknya, Ihsan tidak pasti untuk apa? Mungkin bersetuju dengan cadangan Haji Rokiman. Namun, anggukan Ihsan sekadar mengambil hati Haji Rokiman. Jauh di sudut hati Ihsan masih ragu-ragu. Di mana hendak aku cari tanah baru? Mudahkah hendak mendapatkan tanah yang baru? Berbaloikah harganya nanti? Ihsan mendengus. Berat. Mak Lela melirik. Haji Rokiman merenung sayu ke wajah Ihsan. Semua terdiam. Seketika. Macam kata orang tua-tua, ada malaikat sedang melintas.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan