Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,954
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 4

“Papa! papa!”

Termengah-mengah Iman berlari dan menempa ke betis Ihsan. Tubuh kecil itu diangkat. Dijulang beberapa kali. Anak comel dengan pipi gebu itu mengekeh-ngekeh, keriangan. Dahi mulus itu dikucup berkali-kali. Iman menghulurkan kedua-dua tangan, menolak bahu Ihsan. Ada ruang di antara tubuh kedua-dua beranak itu. Ihsan merapatkan hidung ke pipi Iman. Menggesel-gesel, sayang. Namun, kanak-kanak itu memalingkan muka. Mengelak. Telapak tangan kecil itu menolak pelipis papanya. Sakit bila kulit nipis pipinya ditujah oleh bulu-bulu misai yang baru tumbuh.

“Papa... Iman nak ikut,” minta Iman. Mata jernih itu kembali memandang Ihsan. Mengharap simpati.

“Papa nak ke kebun kejap, papa nak kerja. Kat sana... banyak pacat, macam ni dia panjat betis Iman. Hisap darah Iman, tak takut?” gurau Ihsan, jari telunjuk dan jari hantu digerak-gerakkan ke betis Iman. Merengek sedikit anak kecil itu. Mukanya ditutup dengan kedua-dua belah tangan.

“Iman sayang nenek tak?” Tanya Ihsan, lembut.

Kanak-kanak itu mengangguk. Kemudian, dia berpaling ke arah Mak Lela yang asyik memerhati keletah dua beranak itu.

“Kalau sayang, Iman kena tinggal kat rumah. Kena jaga nenek tau. Nanti kalau Iman ikut, nenek tinggal seorang. Tiada orang yang jaga. Okey?” pujuk Ihsan, bibirnya mengulum senyum. Iman yang masih bertenggek di atas lengan kanan itu mengangguk-angguk. Setuju.

Tubuh kecil itu mula meronta-ronta. Minta diturunkan. Ihsan seperti memahami permintaan anak perempuannya itu perlahan-lahan menurunkan Iman. Diletakkan kembali ke atas lantai papan yang diselubungi tikar getah bercorak kotak-kotak. Mak Lela sudah pun menghampiri Iman dan Ihsan. Bahu kiri Iman dipegang. Lembut.

“Iman kan dah besar, mana nenek larat nak gendong lagi...” tegur Mak Lela apabila Iman berpusing menghadapnya. Menghulurkan kedua-dua tangan.

Ihsan senyum-senyum. Geleng-geleng melihat keletah Iman. Anak kecil yang agak kecewa kerana kemahuannya tidak kecapaian itu merebahkan punggung. Duduk congok di atas riba Mak Lela setelah neneknya itu merebahkan diri dan bersandar rehat di sofa.

“Jangan paksa diri sangat, buat apa yang mampu aje,” nasihat Mak Lela.

Ihsan mengangguk. Kaki melangkah ke bendul. Dicapai kasut but yang berada di tepi kiri tangga simen. Diterbalikkan satu-satu. Dihentak-hentak di tepi tangga. Berhamburan debu dan daun-daun kering keluar.

“Iman... jangan usik, tu bekal papa…” tegah Mak Lela, memegang tangan Iman yang cuba menjangkau mangkuk tingkat yang diletakkan Mak Lela tadi di atas meja.

Iman menarik balik tangan kecil yang baru hendak menjamah mangkuk tingkat rona perak itu. Meloncat-loncat. Kemudian dia berlari menghampiri neneknya. Dicium pipi neneknya itu berkali-kali. Mulut kecil itu asyik mengulang-ulang;

“Hmmm... sayanggg… nenek,” kedua-dua belah tangannya pula kejat memeluk kepala Mak Lela. Ditarik ke hidung.

Ihsan mengekeh-ngekeh. Senang hati melihat keletah puteri kesayangan, rambut seperti mayang mengurai. Bentuk hidung laksana jambu air dibelah dua tetapi tinggi sedikit. Muka bujur sirih. Rona kulit kuning langsat. Wajah ada sedikit mirip roman muka mamanya.

Mamanya? Ihsan terkaku seketika. Tiba-tiba sahaja gerimis mengundang di hatinya. Entah mengapa, setiap kali teringatkan Azza, hati akan disapa sayu. Rindu. Ah! Bermacam-macam perasaan yang sukar digambarkan. Memang sukar untuknya melupakan Azza. Perasaan itu semakin bercelaru apabila melihat Iman membesar tanpa pelukan dan belaian seorang mama. ‘Mampukah aku, membesarkan Iman tanpa Azza. Mampukah Azza, mengharungi hidupnya setiap hari tanpa Iman?’ benaknya mula berdiskusi, mula mengambil berat pasal Iman. Pasal masa depan Iman.

Dia mendengus perlahan-lahan. Galau di hati yang mengasak itu cuba disembunyikan. Takut-takut dapat dihidu oleh emaknya. Dia telah nekad untuk menjadi seorang anak yang baik. Dia mahu merubah kembali segala yang telah dilakukannya dahulu. Dia tidak mahu mengecewakan harapan emaknya lagi. Dia mahu emaknya berbangga dan ketawa hidup bersamanya. Dalam diam, dia berterima kasih kepada Azza kerana tidak membawa pergi Iman yang menjadi penyeri hidup dia dan emaknya. Dia tahu, Azza tentu juga merindui anaknya ini.

“Eh... eh Ihsan! Kenapa tak ambil bekal tu,” tegur Mak Lela sebaik sahaja dilihat anak bongsunya itu mencapai golok bersarung. Menyarung kaki ke dalam kasut but hitam. Dan mula melangkah turun.

Langkah Ihsan terhenti. Dipalingkan muka ke muka emaknya sambil tersengih. Tangan kanan dihulur. Menyambut mangkuk tingkat dan termos kelabu yang diunjuk oleh emaknya itu. Sebelum dia melangkah turun menghampiri motosikal, sempat dia mencium tangan emaknya. Memohon doa restu yang tidak pernah kering untuknya. Mencubit pipi gebu dan menggosok ubun-ubun Iman.

Mangkuk tingkat dan termos itu diletakkan ke dalam raga motosikal. Golok pula diselitkan di celah besi raga yang agak luas sedikit. Diangkat kaki kanan. Tinggi. Melepasi kusyen motosikal. Sebaik sahaja punggung mencecah kusyen, kaki kanannya menendang ke belakang penghidup enjin. Berderum bunyi enjin Honda 70 itu. Tuil gear ditekan. Tuil minyak dipilin, berkepul-kepul asap keluar dari ekzos. Iman melambai dan meloncat-loncat. Mulutnya pula becok dengan teriakan , bye... bye... sambil dibalas oleh Ihsan. Motosikal hitam yang tidak segagah bunyi enjinnya itu meluru keluar ke jalan berturap. Meninggalkan Mak Lela dan Iman yang masih berdiri di bendul rumah kayu itu.

*****

Bagaikan harimau lapar, Honda 70 itu mengaum-ngaum. Mendaki beberapa bukit tanah merah dengan meninggalkan debu-debu berterbangan. Beberapa minit mendaki. Menuruni bukit-bukit kecil di tengah-tengah rimba. Motosikal yang udah banyak jasa bakti itu dibelokkan ke kiri. Denai yang berlekuk-lekak itu diselusuri dengan berhati-hati. Ada ketika tayar motosikal terselulur. Cepat-cepat dia menghulurkan kaki ke tanah. Mengawal keseimbangan badan. Kaki kanan diangkat, pedal brek ditekan sehingga habis. Menggelongsor tayar belakang di atas rumput. Terhuyung-hayang motosikal ke kiri dan ke kanan.

Dari jauh, kelihatan sebatang pokok manggis tua berdiri megah. Batangnya sebesar satu pemeluk Ihsan. Ia masih galak berbuah. Pokok manggis itulah yang menjadi penanda. Sempadan lot tanah kebunnya. Sudah bertahun-tahun pokok manggis tua itu berbakti kepada keluarganya. Buah manggis itu amat manis dan menyejukkan badan. Sesekali, Ihsan tersenyum. Dia terkenangkan zaman kanak-kanak. Dia selalu memanjat pokok manggis itu. Mengutip buah yang semua berada di hujung julai. Dahannya liat, susah patah. Jadi, Ihsan dapat berpaut dengan penuh yakin. Buah-buah manggis itu akan diisi di dalam raga lusuh. Diturunkan oleh Ihsan menggunakan tali yang panjang. Buah manggis kalau dijatuhkan ke tanah tanpa disambut, akan merosakkan isinya. Ia akan menjadi lembam, kesan hentakan. Ia tidak boleh disimpan sehingga esok. Itu pesan arwah ayahnya. Kakak-kakaknya pula akan menjerit-jerit. Meminta Ihsan mengambil buah yang separuh masak. Buah yang kulit baru hendak bertukar ke warna ungu. Kakak-kakaknya suka makan buah manggis yang belum masak sepenuhnya. Kulit manggis dituris sekeliling. Kadangkala terkena ke atas isi. Dicungkil isi lalu dimakan. Kelat getah manggis yang melekat di tangan jelas terasa. Namun, sikap kanak-kanak. Berwarna-warni. Banyak ragam. Banyak kerenahnya. Sukar untuk dijangkakan.

Di bawah pokok manggis. Di situ dahulu menjadi tempat parkir motosikal arwah ayahnya. Bakti pokok manggis itu tidak pernah dilupakan. Ihsan masih memarkir motosikal di situ. Di bawah pokok manggis, bersebelahan dengan dangau yang baru dibinanya bulan lepas.

Ihsan menghela nafas. Kesan peluh mula nampak di belakangnya yang berbungkus dengan baju kemeja hijau kain tebal. Lengan baju panjang. Dan berkocek tampal. Seluar panjang hitam pula berkocek tebuk kiri dan kanan. Kocek tampal, dua di belakang dan dua di paha kiri dan paha kanan. Kaki seluar dimasukkan ke dalam kasut but hitam kurang tiga potong jari di bawah lutut.

Dia menarik golok yang masih bersarung. Lalu diikat kemas-kemas ke pinggang. Sebelum dia bangkit dari kusyen, tempat bertenggek di atas motosikal, bibirnya bergerak-gerak. Membaca beberapa patah ayat al-Quran. Sebagai pelindung semasa berada di dalam hutan. Itu yang selalu dilihat, arwah ayah dan emaknya lakukan.

Mangkuk tingkat dan termos yang berada di dalam raga motosikal itu dicapai. Diatur langkah dengan berhati-hati. Suasana sekeliling sepi sekali. Derap kasut but di kakinya jelas kedengaran. Matanya ditalakan ke arah dangau. Pondok kecil yang dibina dari batang-batang pokok hutan. Atapnya pula dari daun-daun pisang dan pelbagai spesies daun-daun lebar. Semua itu sudah memadai bagi menyekat tempias cahaya panas mentari.

Mangkuk tingkat dan termos di tangan itu diletakkan ke atas lantai dangau. Lantai yang dibuat dari batang-batang kayu hutan. Disusun dengan jarak sebatang jari. Topi tikar yang tergantung di tiang dangau itu dijangkau. Disarung terus ke kepala. Batang cangkul yang berada di atas dangau itu ditarik. Diletakkan ke atas bahu. Persis langkah pendekar yang baru tamat tempoh perguruan dia menapak. Berjalan menuju ke kawasan yang telah terang ditebasnya sebulan lalu. Matanya melilau. Liar memerhati sekeliling kawasan kebun yang masih jenuh dengan semak-samun. Tiba-tiba dadanya berdebar. Jantung berdegup kencang.

Cangkul di bahu cepat-cepat dihempaskan ke tanah. Terkocoh-kocoh dia berlari. Menghampiri ke barisan anak-anak pisang yang baru separas pinggang itu. Semua dilihatnya patah. Ada yang sudah terbongkas. Dia terduduk sambil menggeleng-geleng. Belum sempat dia mengeluh, matanya terpandang pula kepada batas-batas ubi kayu. Darahnya menyirap lagi. Batang-batang ubi kayu yang tengah berceding, berdaun dan ada yang sudah setinggi lutut turut terbongkas. Dia melepaskan keluhan yang amat berat. Payah untuk dilepaskan. Matanya bagaikan kemasukan habuk. Mula bergenang dengan air mata. Mencurah laju ke pipi. Dirinya mula bermain dengan perasaan. Sungguh pedih. Menyakitkan hati. Perasaan sayu yang teramat sangat semakin mencengkam jiwa. Dia berisytighfar.

Ihsan berteleku sebentar. Dagu diletakkan ke atas kedua-dua lutut. Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Haji Rokiman. Tentang musuh-musuh yang akan mengganggu tanamannya. Juga teringatkan nasihat Haji Rokiman yang meminta dirinya bersabar. Bersabar dalam semua perkara. Dia teringatkan ‘kerbau kaki pendek’ yang dikatakan oleh Haji Rokiman. Dia mencebik bibir. Dahi dikerutkan.

“Huh! Tentu semua ni mesti kerja kerbau kaki pendek,” tuntasnya separuh merungut, seorang diri.

“Sebulan aku usahakan… kau kerjakan sehari aje, hish...” omelnya dengan nada marah.

Asyik dia merenung tanaman yang punah itu. Sehinggalah kupingnya menangkap bunyi deruman motosikal memasuki kawasan kebunnya. Dia bangkit berdiri. Berpaling ke belakang. Didongakkan kepala. Leher pula ditegangkan macam angsa betina tengah marah.

“Kenapa Ihsan?” sapa Haji Rokiman yang muncul tiba-tiba. Susuk tubuhnya semakin menghampiri. Langkah kakinya diayun perlahan-lahan. Kepalanya yang botak itu sentiasa tersarung dengan ketayap putih.

“Ooo… ni semua perkara biasa dalam bercucuk tanam. Ni kira belum teruk lagi. Ada lagi dugaan yang amat berat,” belum sempat Ihsan bersuara, Haji Rokiman telah memberikan kesimpulannya.

“Tak usah risau... tak payah nak cepat putus asa. Kalau kau usaha... insya-Allah akan berjaya,” Haji Rokiman terus membakar semangat juang Ihsan, tangan kanannya mengelap peluh yang bermanik di dahi.

“Tapi Ihsan... kau kena baiki pagar tu dulu. Buat kukuh-kukuh. Kalau tak disondolnya lagi. Dekat dangau bapak tu ada dua gulung dawai mata punai yang udah terpakai. Menantu bapak yang bagi. Kau ambiklah,” nasihat Haji Rokiman setelah meninjau sekeliling kebun dengan lontaran pandangannya. Mulut dengan bibir tebal itu pula dimuncung. Diangkat tinggi menghala ke arah tanah kebunnya.

“Tak apalah, pak cik… nanti Ihsan guna kayu aje,” tolak Ihsan, malu-malu.

“Hish... kau ni, ambik aje… lagi pun bapak bukan guna, udah lama terperuk kat situ. Daripada rosak di situ baik kau ambik. Mana yang boleh pakai, kau ambik aje,” tegas lelaki warga emas itu lagi.

“Iya... iyalah... terima kasih pak cik.”

“Haaa… tu, kat dangau kau tu. Bapak ada bawak banyak benih. Ada keladi... badak... keledek. Kau tanam… Anak-anak pisang, nanti kau pergi ambik kat kebun bapak. Kalau bapak tak ada pun, kau ambik aje,” pesan Haji Rokiman sebelum berpaling mengayun langkah kembali ke motosikal.

“Ingat tu... kau baiki pagar tu dulu Ihsan. Baiki kukuh-kukuh. Ingat... banyakkan sabar. Tu baru permulaan. Nanti bila tanaman kau udah besar, banyak lagi yang berkenan. Apa yang penting, kau tahu cara nak atasi. Insya-Allah... nanti bapak ajar kau caranya.” Laung Haji Rokiman mengulangi nasihatnya sambil meneruskan langkah yang terhenti tadi.

“Ya lah! terima kasih banyak-banyak pak cik,” balas Ihsan, lantang. Supaya didengar oleh Haji Rokiman yang telah pun berada jauh dari tempatnya berdiri. Matanya masih mengekori tubuh Haji Rokiman hingga ke motosikalnya.

Deruman enjin motosikal Haji Rokiman kedengaran sayup-sayup meninggalkan kawasan kebun Ihsan.

“Alhamdulillah...!” Ihsan meneguk liur. Menadah kedua-dua belah tangan ke langit. Dia bersyukur. Sekurang-kurangnya masih ada orang yang mengambil tahu akan keperitan hidupnya. Dia kagum dengan sikap Haji Rokiman. Sentiasa tenang dan tidak mudah melatah. Kerap membantu orang-orang yang dalam kepayahan. Walaupun susuk tubuh dan kulitnya tidak semacam 25 tahun dahulu, tetapi hati budinya tetap sama seperti Pak cik Rokiman yang dia kenal dahulu.

Memanglah dua gulung dawai mata punai tidak mencukupi untuk melingkari sekeliling penuh tanah kebun itu. Tanah yang seluas tiga ekar. Namun, sekurang-kurangnya dua gulung dawai mata punai itu dapat juga menutup mana-mana kayu pagar yang udah patah. Punah diredah oleh babi hutan.

Sebelum Ihsan berpaling dan melangkah ke arah pagar yang udah rosak. Matanya sempat meneropong ke arah longgokan benih-benih ubi di atas dangau. Hatinya mula berbisik, sendirian. ‘Pasal anak benih, aku dah tak perlu risau. Allah dah beri jalan penyelesaian. Allah dah kirim Pak cik Rokiman untukku. Oh...! terima kasih Allah. Kau telah permudahkan segala urusanku.’

Dia memeritkan mata. Melilau. Berpusing-pusing memandang keliling. Di dalam kotak kepalanya mula tergambar apa yang diimpikannya. Dia cuba membayangkan keadaan semak-samun itu bertukar menjadi pokok-pokok pisang, betik, ubi kayu dan berbagai tanaman renek yang lain. Dia tersengih sendirian. Sekurang-kurangnya, dia sudah nampak misi kerjanya. Biar pun sekadar ilusi. Namun, itulah cita-citanya. Dia berazam. Dia udah nekad. Ilusi itu akan dijadikan realiti.

“Anak-anak benih sudah ada. Apa yang tinggal... dan... yang penting sekarang... kemahuan, kegigihan, kesabaran dan ketaqwaan,” dia cuba membangkitkan semangat sendirian. Berlagak bagai seorang pakar motivasi. Menggepal jari-jemari tangan kanan.

Wajahnya mula berseri-seri semula. Bibir kering itu menguntum senyum. Dadanya terasa lapang. Luas bagai samudera. Semangat yang kendur tadi mula tegang semula.

“Abang akan sahut cabaran Azza…” bisiknya perlahan-lahan, lalu dia membuka langkah. Langkah seorang pendekar yang baru hendak memulakan pertarungan di dalam gelanggang.

*****

Mentari sudah berdiri tegak di atas kepala. Terikan cahayanya menggigit-gigit kulit walaupun dibungkus dengan lapisan kain tebal. Amat merengsakan. Angin hilang. Entah bersembunyi di mana. Pokok-pokok kayu terbiar sepi tanpa disapa. Seluruh badan Ihsan sudah lencun dengan peluh. Namun, dia masih lagi terbongkok-bongkok. Memasang dawai mata punai. Selang 15 minit, dia akan bangkit. Membetul-betulkan sendi pinggangnya.

Pemuda yang baru mencecah 32 tahun usianya itu memegang kiri kanan pinggang dengan kedua-dua belah tangan. Kemudian, dia melentikkan badan ke belakang. Mengendurkan urat-urat yang regang. Ketinggian badan yang melebihi 167 sentimeter itu cukup serasi dengan saiz badannya. Sungguhpun tubuhnya lanjai tetapi sasa. Mungkin sudah sebulan dia bekerja keras. Membersihkan kebun itu.

Dia merenung lama-lama ke arah pagar yang baru dipasangnya itu. Dawai mata punai yang melekat di beberapa batang kayu hutan sebesar paha orang dewasa itu ditolak-tolak. Kuat.

“Hah...! agaknya dah kuat. Kira okey la, tak kendur sangat,” omelnya sendirian.

Dia mula mencongak-congak. Jari telunjuk diangkat dan dijatuhkan. Mukanya yang ada iras-iras Ustaz Akhil Hayy itu kelihatan teduh sebentar. Dahi digaru-garu dengan jari telunjuk.

“Hai, nak betulkan pagar saja… mungkin ambik masa lebih kurang tiga minggu ni,” rungutnya, cuba mengagak.

“Sabar... ya sabar. Apa-apa pun mesti sabar...”getusnya. Telapak tangan kanan dilurutkan ke dada. Nafas dihela perlahan-lahan.

Dia kemudian menapak longlai ke dangau. Rongkongannya terasa terlalu kering. Termos kelabu dicapai. Penutup dipilin. Perlahan. Bibirnya yang udah kering itu berkumat-kamit membaca bismillah. Air sirap merah dari dalam termos itu melompat dan berasak-asak ke dalam perutnya. Sejuk. Nyaman. Terus sahaja menyerap ke setiap inci badan.

Ihsan tercungap-cungap. Ditanggalkan baju yang sudah lencun itu. Disidaikan ke atas sebatang kayu yang dipaku melintang di antara dua tiang dangau. Dia melabuhkan punggung ke atas lantai dangau. Lantai yang setinggi separas pinggangnya dari aras bumi. Air sirap dicapai. Diteguk lagi. Bergulung-gulung melalui rongkong ke perut. Pada ketika seluruh tubuh berbahang sebegini, air yang lebih diutamakan. Kepalanya terasa berpusing-pusing.

Sebelum badan lanjai itu dihempaskan. Tiba-tiba sahaja angin datang. Menderu. Seolah-olah menyatakan tanda simpati. Mengusap-ngusap seluruh tubuh Ihsan. Dia terlentang beberapa ketika. Walaupun mata terkebil-kebil memandang kepada daun-daun atap dangau yang sudah kering itu. Benaknya terlepas bebas. Bebas terbang tinggi ke angkasa. Bagaikan sebuah satelit, meneropong jauh ke masa silamnya.

“Ayah tahu, Ihsan anak yang baik,” ucap ayahnya. Dan seperti biasa pipi Ihsan itu akan digoyang-goyang dengan tapak tangan. Ubun-ubunnya akan dicium lama-lama.

“Ta... tapi ayah... Ihsan dah lakukan satu kesalahan besar…”

“Allah taala itu Maha Pengampun, janji... kita bertaubat.”

“Ta... tapi ayah, Ihsan dan Azza sudah pun bercerai…”

“Jodoh pertemuan di tangan Allah.”

“Ta... tapi ayah, Ihsan dah hilang kerja…”

“Rezeki Allah luas... ada di mana-mana, janji... kita berusaha.”

“Ta... tapi ayah…”

“Ayah tahu, Ihsan boleh...”

“Ta... tapi ayah…”

“Ayah tahu, Ihsan kuat...”

“Ta... tapi, ayah…”

“Ayah! ayah! ayah…”

“Allahuakhbar…” cepat-cepat Ihsan membuka mata dan terus bangkit dengan kakinya masih terjuntai. Dia melingar ke sana-sini. Menenyeh-nenyeh kedua-dua belah mata dengan menggunakan kedua-dua telapak tangan. Bibirnya terus berisytighfar. Panjang-panjang.

Dia masih tercungap-cungap. Termangu seketika. Oh! Di sinilah dia sering menghabiskan masa pada hari-hari cuti sekolah. Arwah ayahnya akan membawa dia bersama-sama. Kadangkala kedua-dua kakaknya juga ikut sama. Lebih-lebih lagi apabila emaknya juga datang bersama.

Emaknya akan tanak nasi seperiuk. Dia dan kakak-kakaknya akan memancing di anak sungai dekat bawah sana, bersempadan dengan kebun Haji Rokiman. Kakak-kakaknya akan terjerit-jerit bila limbat menelan mata pancing mereka. Arwah ayahnya akan berlari-lari datang menolong. Emaknya pula akan bakar limbat, haruan dan kadangkala belut dari hasil tangkapan mereka. Arwah ayahnya akan getus terung-terung muda di pokok. Lalu dibakar segar-segar. Bangkit bau manisnya menusuk-nusuk ke rongga hidung. Kemudian, arwah ayahnya menggetus kacang botol muda dari pokok yang meragas di tepi pagar kebun.

Pada waktu makan, dia dahulu yang meratah limbat bakar. Berebut-rebut menenyeh-nenyeh ke dalam piring sambal belacan. Arwah ayah dan emaknya banyak makan terung muda bakar dan kacang botol. Mereka hanya memerhati semasa dia dan kakak-kakaknya makan. Kadang-kadang terdengar suara arwah ayah berpesan.

“Makan tu... perlahan sikit, banyak tulang tu.”

Pada waktu petang sebelum pulang, sempat lagi emaknya membakar ubi kayu, ubi keledek dan ubi keladi. Arwah ayahnya akan makan panas-panas. Kunyah tidak menggunakan gigi tetapi menggunakan bibir. Berkepul-kepul asap keluar melalui mulut.

Ihsan tersenyum. Tangan kanan menyelongkar ke dalam kocek seluar. Sebuah telefon bimbit berwarna hitam dikeluarkan.

“Ya Allah! sudah pukul dua petang,” terkocoh-kocoh dia mengemas. Baju yang tersidai itu disarung kembali. Beberapa minit kemudian, kedengaran Honda 70 peninggalan arwah ayahnya itu menderu memanjat bukit-bukit. Besok pagi, belantara ini perlu ditawan lagi.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan