Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,952
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 8

Pokok pulasan yang terpacak di penjuru pagar kayu itu sudah menjangkau lima tahun usianya. Tingginya lebih kurang lapan meter setengah. Daun-daun lebat melekat pada dahan-dahan yang tersusun indah. Batangnya telah kematu dengan kesan tetakan yang begitu banyak. Namun, ia masih merajuk tidak mahu mengeluarkan buah. Daun-daun kering sentiasa luruh dan berselerak ke atas tanah. Setiap hari perlu disapu. Kadangkala, Ihsan terfikir juga untuk menebangnya. Apabila dia terpandang sarang tupai dan murai rimba menumpang di situ, dia batalkan sahaja niatnya itu. Dia jadikan di bawah pokok itu sebagai tempat rehat pada waktu petang di musim panas. Dibuatnya pangkin daripada kayu. Dipasang buaian. Rantai motosikal yang dikutip dari bengkel Haji Rosli itu digantung berjuntai pada dahan yang paling rendah. Jarak di antara kedua-dua rantai itu tidak boleh jauh sangat. Takut nanti patah papan yang menjadi tempat bertenggek. Iman akan mengekeh-ngekeh dengan kaki terjuntai menggesel tanah. Ihsan akan mengayun buaian sambil menyanyi.

“Laju... laju. Buaiku laju...” meniru lengguk suara yang digayakan oleh Seniwati Latifah Omar dalam filem Bawang Puteh Bawang Merah.

Ihsan sedang bersila di atas pangkin setinggi lutut di bawah pokok pulasan. Angin yang menderu lembut itu mengusap-usap muka. Mengasyikkan. Matanya tidak lepas dari memandang Iman yang melompat-lompat di hadapannya. Entah mengapa, dalam dua tiga hari ini Ihsan asyik memikirkan pasal Azza. Ke mana sahaja dia berada, Azza seakan-akan mengekori. Mungkin juga kerana cinta pandang pertamanya. Apa yang pasti, Ihsan tidak dapat melupakan bekas isterinya itu. Setiap lepas kali solat, dia sentiasa berdoa agar jodohnya dengan Azza kembali bertaut. Meskipun mustahil di mata manusia, tetapi di mata Allah taala semuanya boleh berlaku. Apa yang pasti, masih ada cinta di hatinya. Cinta untuk Azza.

Apa yang menjadi persoalannya sekarang, mengapa Azza tidak pernah menjengah Iman? Tiadakah walaupun sekelumit rasa rindu Azza kepada Iman? Sungguhpun Azza marahkan dia, tetapi janganlah Iman menjadi mangsa. Anak kecil ini perlukan kasih sayang daripada seorang mama.

“Tidak… tidak mungkin, Azza bukan jenis mama yang begitu,” bantah hati Ihsan, cuba bersangka baik.

Apa yang bermain di fikiran Ihsan kini, sudah lebih setahun mereka berpisah. Dia tidak pernah melihat Azza datang berjumpa dengan Iman. Bukan ada injunksi interim daripada mahkamah pun yang menyekat Azza menghampiri Iman. Ihsan lebih suka kalau Azza datang melawat Iman. Datanglah berhari-hari pun.

Ihsan mendengus beberapa kali. Dia mendongak ke dahan pokok pulasan, memerhati murai rimba dengan bulu hitam bergaris putih. Murai itu asyik berceloteh, tiada tanda hendak berhenti. Sesuai sangat apabila disamakan dengan orang yang suka bercakap. Fikirnya, bersetuju.

“Papa… papa, Iman main lompat-lompat ni dengan Kak Noni,” beritahu Iman, sambil berlari-lari mendapatkan Ihsan. Jari telunjuk tangan kanannya mengarahkan ke tanah. Noni, anak jiran sebelah sedang bermain teng-teng. Meloncat-loncat dengan menggunakan kaki kanan. Sementara itu, kaki kiri dibengkokkan. Setelah dia berdiri dengan kedua-dua belah kaki. Badannya dipusing membelakang petak-petak teng-teng. Dia melambung gunu melepasi kepalanya. Dan meloncat-loncat lagi.

“Pandai ke Iman main teng-teng?” soal Ihsan, menduga. Anak perempuannya itu dipeluk, sayang. Air mata menitis di pipi bila terkenangkan Iman yang tandus kasih sayang daripada seorang mama.

“Pandai!” balas Iman yang kemudian berlari dan kembali melompat bersama Noni.

“Nenek kat mana Iman?”

“Tu…” Iman yang asyik melompat-lompat sedepa di depannya itu menuding jari ke tali ampaian. Ihsan lihat emaknya sedang menarik pakaian dari dalam bakul plastik di tepi betis kanannya. Kemudian, diletakkan ke atas tali ampaian yang terentang dari tiang rumah hingga ke pagar.

“Eh! bila masa pula emak turun?” soal Ihsan sendirian.

Dia bersila di situ hampir setengah jam. Macam mana dia boleh tidak perasan kelibat emaknya dekat ampaian. Apa yang dia nampak, emaknya sedang berbual melalui telefon. Sejak akhir-akhir ini, emaknya kerap menjawab panggilan telefon. Mungkin kak long atau kak ngahnya yang telefon. Hari Raya Puasa lepas, kak ngah belikan emaknya sebuah telefon bimbit. Emak tidak mahu yang tolak-tolak pakai jari. Susah, katanya. Kak ngah beli yang mudah. Terima panggilan, tekan butang hijau. Tamatkan panggilan tekan butang merah. Itu yang kak ngah ajarkan kepada emaknya. Emaknya hanya tunggu panggilan sahaja, tidak perlu menelefon. Itu pesan kak ngah dan kak longnya.

Ihsan tengok kak ngah pasang tali panjang pada hujung telefon bimbit itu. Biar emaknya sarungkan ke leher. Ke mana emaknya pergi, terbuai-buai telefon di leher. Biar mudah kak long dan kak ngah bercakap dengan emaknya. Tidaklah risau sangat hati mereka. Mereka tidak mahu macam dahulu, susah sangat hendak bercakap dengan emaknya. Sampai mereka telefon jiran. Minta tolong tengok emak. Itu pun hanya bertahan dua minggu. Selepas itu, emaknya tidak sarung lagi di leher. Rimas katanya.

Ihsan tengok emaknya berjalan ke belakang ampaian, menarik tiga batang serai dari rumpun yang ditanamnya di situ. Ihsan bangkit. Dia menapak ke ampaian. Diangkatnya bakul pakaian yang masih ada baki pakaian yang belum tersidai. Diletakkan ke tepi pangkin. Punggungnya dilabuhkan kembali ke tepi pangkin. Emaknya datang dengan tiga batang serai yang telah dibuang daun di tangan. Emaknya duduk di sebelah Ihsan. Mata emaknya turut memandang ke arah Iman yang asyik bermain-main dengan Noni.

“Emak… emak tak hairan ke?” soal Ihsan tiba-tiba, matanya tidak berkalih dari memandang Iman yang terkodek-kodek ke sana sini bersama-sama Noni. Iman yang berseluar pantelon dengan memakai baju T lengan panjang itu kelihatan ketawa berdekah-dekah. Dia menyembamkan punggung kecilnya ke atas tanah di tepi petak teng-teng.

“Hairan? hairankan apa?” balas Mak Lela, mukanya dipusing menghadap Ihsan.

“Ihsan hairan la emak, kenapa Azza tak pernah datang melihat Iman? kesian Iman… dia terlalu muda untuk hadapi semua ni,” Ihsan meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.

Emaknya tunduk. Mukanya memandang tanah yang dipijak. Dia hanya mendengar apa yang diungkapkan oleh Ihsan. Namun, tiada ulasan lanjut keluar dari bibirnya. Ihsan mula mengagak mungkin emaknya pun berkecil hati dengan sikap Azza. Mungkinkah? Getus benak Ihsan. Apa yang dia lihat sepanjang perkongsian hidupnya dengan Azza. Emaknya terlalu rapat dengan Azza. Maklumlah, kedua-dua anak perempuan emaknya jauh di seberang Laut China Selatan . Setahun sekali pulang berhari raya.

“Oh...! Emak... Ihsan lupa nak bagitau…”

Mak Lela yang mula bangkit dari pangkin itu, duduk semula. Dia kembali merenung ke muka Ihsan.

“Ihsan nak bagitau apa?”

Ihsan tersengih-sengih.

“Kelmarin, semasa Ihsan di Kuala Krai… Ihsan ternampak Azza,” beritahu Ihsan, bibirnya terukir senyum.

“Ihsan nampak Azza kat mana?” korek Mak Lela, ingin tahu.

Ihsan membetulkan duduknya. Kemudian melepaskan keluhan panjang.

“Ihsan cuma nampak dia dari jauh. Dalam bas ekspres,” jelas Ihsan, kecewa.

“Kalau macam tu, dia tak nampaklah Ihsan?”

Ihsan mengeleng-geleng.

“Tapi kan emak, dua tiga hari ni… Ihsan asyik ingatkan Azza aje. Sampai terbawa-bawa dalam mimpi,” beritahu Ihsan, jujur.

Mak Lela ketawa. Berkerunyut satu mukanya. Dia menepuk-nepuk belakang anak lelakinya itu.

“Ihsan masih sayangkan Azza?” soal Mak Lela, menguji.

Ihsan tersipu-sipu. Namun dia mengangguk-angguk, mengiakan.

“Emak sayangkan Azza tak?” Ihsan pula cuba menguji emaknya.

“Azza tu anak emak. Sampai bila pun dia tetap anak emak.”

Ihsan menarik nafas, lega. Meskipun dia sudah boleh mengagak sikap emaknya, sentiasa tenang dalam banyak perkara. Namun, dia masih mahu mendengar dari mulut emaknya sendiri. Kini, segalanya memang nyata. Emaknya tidak membenci Azza.

“Emak... puding karamel semalam tu… emak buat ya?”

“Kenapa?”

Ihsan tersengih lagi.

“Tentu Ihsan teringat Azza lagi ni…” gurau Mak Lela, dia sudah lali dengan selera anak lelakinya ini.

“Tapi emak, rasanya macam yang Azza selalu buat dulu.”

“Macam mana Ihsan boleh tahu beza? Ihsan dah jadi juri masakan ya?” usik Mak Lela, cuba membangkitkan suasana ceria.

“Tapi kan emak, Ihsan rasa… Azza masih sayang lagilah kat Ihsan,” ujar Ihsan, mengharap.

“Mana Ihsan tahu?”

“Ihsan tahu…” di mata Ihsan terbayang wajah ayu Azza yang bersebai rona coklat tua di dalam bas.

“Tak apa lah Ihsan, emak nak naik masak dulu. Nanti Ihsan tolong jemur kain dalam bakul ni ya.”

Ihsan mengangguk-angguk, akur.

Mak Lela bingkas bangun. Sebelum dia mengatur langkah seterusnya sempat dia berpesan.

“Kalau Ihsan masih sayang Azza, buktikan. Ihsan kena usaha biar segala apa yang Ihsan lakukan nanti berhasil. Doa emak sentiasa mengiringi doa Ihsan.”

“Terima kasih emak…”

“Tapi… jangan termenung lama sangat, hari ni hari Jumaat… nanti lewat ke masjid,” usik Mak Lela lagi sambil berlalu.

Ihsan tersenyum. Matanya kembali memerhati Iman yang sudah bercangkung menghadap Noni. Mereka bermain lagi.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan