Semua
ketentuan Allah. Tiada sekelumit pun yang berlaku dengan kehendak sendiri.
Manusia hanya mampu berdoa. Setelah semua usaha ditaburkan. Selepas segala
ikhtiar dilaksanakan. Dosa semalam bukan untuk diratapi. Bukan juga untuk terus
dihukumi. Semua itu masih belum terlambat untuk dibaiki. Selagi nyawa masih di
jasad. Siapalah kita? Hendak menilai dan terus menghukum. Hanya pada Allah
tempat kita bergantung.
Perasaan
Ihsan masih lagi terbelenggu. Disimpul mati dek kesilapan yang lalu. Semakin
dikenang, semakin tidak tenteram jiwa dan perasaannya. Seandai dibiar berlalu,
tiada jalan keluar yang akan ditemui. Setiap malam, dia akan mengadu. Pada saat
emaknya dan Iman asyik dibuai mimpi, dia akan bangkit bermunajat dengan lelehan
air mata yang bertali. Dia mahu mulakan langkah baru bersama Azza. Melupakan
semua sejarah hitam yang pernah dihadapi mereka dahulu.
Dia
bersimpuh di atas sejadah. Sebahagian badannya disimbahi biasan cahaya lampu
luar dari kaca jendela. Dia mencari-cari kekuatan dari dalam dirinya. Dia tidak
mahu lagi membiarkan Azza menanti. Dia juga tidak sanggup lagi menanggung
rindu. Apa yang bermain di dalam fikirannya kini, ibu Azza. Dia bimbang sekiranya
ibu Azza akan membantah lagi. Dia masih teragak-agak bagi menghadapi kenyataan.
Semua peristiwa dahulu masih jelas di dalam fikirannya.
Ihsan
cuba membayangkan betapa terluka hati ibu Azza pada ketika perkahwinannya
dahulu. Ibu mentuanya itu kecewa setelah kata-katanya tiada terkesan di hati
anak gadis yang sudah dipanah cinta. Begitukah hebatnya penangan cinta? Sanggup
meninggalkan segala-galanya demi cinta? Sungguh ramai yang terleka. Terlupa tarikh
luputnya. Ya! Cinta mempunyai tarikh luput. Hanya cinta kepada ilahi yang tiada
tempoh luputnya. Itu fikir Ihsan sekarang. Apabila cinta sudah melangkaui
tarikh luput, tiada lagi yang indah. Semua mulai berpijak di bumi yang nyata.
Keluhan
hati seorang ibu itu secara tidak sengaja menyapa jua ke kuping Ihsan. Ketika itu, dia baru seminggu bergelar suami kepada
Azza. Ibu mentuanya itu kelihatan termenung di singki. Semua itu tergambar
jelas di mata Ihsan. Meskipun hanya melalui
celah-celah cermin tingkap. Semasa ibu mentuanya dan Azza sama-sama memasak
untuk makan tengah hari, dia sedang menjemur pakaian di belakang rumah. Satu
depa dari tempat ibu Azza berdiri.
“Ibu…
ibu, kenapa ni?” tegur Azza, dia merapati ibunya yang membungkam. Walaupun
jari-jemarinya terus meramas-ramas beras yang berada di dalam periuk. Selepas
itu, air yang sudah bertukar menjadi warna susu itu dituang ke dalam singki.
“Ibu
marahkan Azza ya?” Azza meneka, setelah ibunya masih tidak bersuara. Merajuk.
Cikgu
Nah, ibu mentua Ihsan itu mencapai kain tuala putih yang tersangkut di tepi
singki. Dilapkan bawah periuk dan di sekeliling yang masih basah. Diletakkan kembali
ke dalam periuk elektrik. Apabila tudung ditutup kemas, ditekan suis pada
bahagian depan. Lampu berwarna jingga pun menyala.
“Ibu…
ibu...” panggil Azza lagi, merayu-rayu.
Cikgu
Nah mendengus. Matanya memandang tepat ke muka Azza.
“Apa
lagi yang Azza mahu ibu katakan?” akhirnya terpacul jua soalan dari celah bibir
ibu mentua Ihsan itu.
“Ibu…
maafkan Azza,” pohon Azza, mengharap agar ibunya itu meredai perkahwinannya
dengan Ihsan.
“Tiada
apa yang Azza ambil dari ibu. Kenapa perlu mohon maaf?” ungkap ibunya, merajuk.
Namun kata-katanya itu sungguh berbisa. Mampu melemahkan seluruh sendi di
badan.
Azza
bungkam. Namun, air matanya kelihatan mengalir.
“Ibu…
Azza janji dengan ibu. Walaupun Azza dah jadi isteri, Azza akan sambung belajar
lagi... sungguh!” kata Azza, tangan kanan diangkat dengan telapak tangan dibuka
betul-betul di tepi kupingnya.
“Ibu
dah muak dengan janji… Azza, simpan aje janji kau tu,” protes ibu mentua Ihsan
itu. Kakinya melangkah ke hadapan peti sejuk. Dibuka. Dikeluarkan setongkol kubis
bulat.
“Tapi
ibu…”
“Azza,
kalau kau betul-betul dengar cakap ibu… kau tak kan terburu-buru kahwin.
Sekarang... kau buatlah apa yang kau nak. Ibu dah tak kisah lagi, semua cakap
ibu dah tak ada harga lagi,” luah ibu mentua Ihsan, memintas kata-kata Azza.
“Cuma
ibu nak ingatkan kau, kalau rumah tangga kau gagal… kau balik cari ibu, ibu tak
akan lepaskan kau lagi. Kau kena dengar cakap ibu,” kata ibu Azza, seolah-olah
memberi amaran kepada anak perempuannya itu.
“Ibu…
kenapa ibu doa Azza begitu?” bantah Azza, tidak senang dengan kata-kata ibunya
itu.
“Ibu
bukan doakan, tapi… ibu tak yakin dengan Ihsan,” ujar ibu Azza lagi, berterus
terang.
“Tak
yakin? Apa maksud ibu?” soal Azza, mohon penjelasan.
“Kau
terlalu muda. Ihsan juga masih muda… sama-sama darah muda. Lagi pun... kau baru
sangat kenal dia,” omel ibu mentua Ihsan, cuba menjelaskan kerisauannya.
“Nak
kahwin ni, bukan untuk sehari dua… kau kena fikir masak-masak. Biarlah kau
kerja dulu atau kalau tak pun... sambunglah belajar dulu, dapatkan kerja dulu,”
sambung ibu Azza, pisau di tangannya itu diletakkan ke bahagian tengah-tengah
atas kubis. Ditekan kuat-kuat. Ditolak dan ditarik pisau nipis itu. Kubis yang
bulat itu terpotong dua.
“Ni…
tak. Baru aje habis belajar, dah nak kahwin. Kalau hak wali tu pada ibu, memang
tak kahwin lagi kau,” radang ibu Azza, pipinya merah menyala macam terkena
cili.
“Dah
sampai jodoh Azza ibu…” tingkah Azza sopan, cuba mengendurkan keadaan yang
semakin panas.
“Ya
la tu, itulah yang kau tahu. Ibu bukan apa Azza, ibu tak halang kau nak kahwin.
Cuma ibu nak… kau tangguhkan dulu. Belajar dulu. Kerja dulu. Tak lah susah bila
ada keluarga nanti,” kata ibunya, meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati.
“Ibu
bukan nak merendahkan Ihsan, tapi ibu nak tengok dengan duit gajinya… hanya
beberapa ratus aje tu, bolehkah dia sara kau sekeluarga,” ujar ibunya, masih
tidak berpuas hati.
Ihsan
yang mendengar dengan jelas perbualan kedua-dua beranak itu hanya bungkam. Selepas
peristiwa itu, dia menjadi tidak selesa apabila berada di rumah ibu bapa Azza.
Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan ibu mentuanya itu. Dia
sentiasa berusaha menjauhkan diri. Jauh dari bertembung muka dengan Cikgu Nah
yang serius itu. Semenjak hari itu, dia jarang membawa Azza pulang ke rumah
mentuanya itu.
Dia
mengelak daripada bersua muka dengan ibu mentuanya, sekiranya Azza mendesak untuk
pulang ke rumah ibunya. Itu pun sekiranya dia sudah tiada alasan untuk
diberikan kepada Azza. Memang itu kesilapan Ihsan. Dia pasti. Semua itu bukan
boleh menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka. Malah tindakan
Ihsan itu semakin mengeruhkan keadaan. Dia bukan sahaja telah menambahkan lagi
kerenggangan hubungan dia dengan ibu mentuanya itu. Dia juga secara tidak
sengaja telah menjauhkan Azza daripada ibu bapa isterinya itu sendiri. Semua
itu menjadi nanah dan kudis dalam hubungan dia dengan ibu mentuanya. Semakin
lama semakin membusuk. Semakin lama semakin merebak ke bahagian yang lain.
Ihsan
menundukkan muka. Matanya asyik memandang sejadah. Kekesalan semakin meruntun
di jiwa. Dia kesal dengan tindakannya dahulu. Benar kata ibu Azza, orang muda
fikirannya singkat. Bertindak mengikut kata hati. Tidak berpaksikan kepada
realiti.
Kini,
dia sedar. Semua yang menjadi kerisauan di sanubari bekas ibu mentuanya itu telah
menjadi kenyataan. Dia merasa malu untuk bersemuka dengan ibu Azza. Setelah apa
yang telah dilakukannya dahulu. Perasaannya semakin galau. Di antara perasaan
cinta yang mendalam kepada Azza, atau perasaan malu untuk menentang mata hitam
bekas ibu mentuanya itu.
Betul!
Dia pernah menghantar ibu mentuanya itu dahulu. Semasa kenderaan mereka rosak
di tepi jalan. Itu sekadar menghantar pulang. Tidak sempat pun Ihsan
bersembang. Bekas ibu mentuanya itu banyak berkurung di dapur. Atau di dalam
bilik. Membiarkan suaminya melayan Ihsan. Namun, ini soal hubungan. Soal
perasaan yang telah putus. Soal ikatan kekeluargaan yang telah terputus. Sungguhpun
begitu, seandai bersentuhan kulit, wuduk di antara Ihsan dan bekas ibu
mentuanya itu tidak akan terbatal. Sampai bila-bila. Maknanya, hubungan Ihsan
dan Cikgu Nah masih macam ibu dan anak. Itu hakikatnya.
Belum
pun sempat Ihsan merungkai lipatan sejarah rumah tangganya yang telah runtuh itu
secara lebih mendalam, sayup-sayup kedengaran suara Bilal Pak Usop melaungkan
azan subuh. Ihsan bingkas. Bergegas meluru ke pintu. Kedengaran deruman enjin
kereta meninggalkan halaman rumah. Meredah kedinginan pada awal pagi. Memburu
rahmat dan keredaan ilahi.
*****
Usai
solat subuh, Ihsan masih beriktikaf. Mengalunkan bait-bait zikir sebagai
makanan jiwa. Butir-butir tasbih di tangannya itu, dikira satu persatu dengan
kiraan zikrullah.
“San!”
Cikgu Aman menepuk bahunya dari belakang.
Perlahan-lahan
Ihsan membuka mata. Memusingkan badan, menghala ke muka Cikgu Aman yang mula
bersila. Cikgu itu tersenyum.
“Maaf…
aku ganggu kau kejap,” tutur cikgu itu lagi setelah dilihat Ihsan seperti
tersentak dengan panggilannya itu.
Ihsan
ikut tersenyum. Dia menepuk-nepuk bahu Cikgu Aman. Mengangguk-angguk.
“Macam
mana? hari ni pukul berapa nak bertolak?” soal Cikgu Aman, Ketua Rakan Belia
Masjid.
“Pukul
5.30 petang bergolek tayar... okey?” tanya Ihsan, minta persetujuan Cikgu Aman.
“Okey
juga. Nanti sampai kat masjid sana taklah kalut sangat,” balas Cikgu Aman,
bersetuju.
“Ahli-ahli
kita yang lain tau tak?” soal Ihsan, minta kepastian.
“Nanti
aku bagitau… ramai lagi kat luar tu,” Cikgu Aman mula mengangkat punggung,
membelakang Ihsan. Berjalan menuju ke pintu besar masjid.
Ketika
tubuh tegap Cikgu Aman hilang di sebalik dinding masjid, Ihsan kembali
menghadap kiblat. Dia menyambung kembali membaca zikir-zikir penenang hati yang
terputus tadi. Lenggok suaranya yang merdu itu mengusik jiwa. Suara itulah
nanti yang akan menunjangi kumpulan marhaban, Rakan Belia Masjid Hidayah malam
nanti. Suara itu akan menyajikan beberapa lagu nasyid. Suara yang telah
membantu kumpulan marhaban Masjid Hidayah dinobatkan sebagai juara dalam
pertandingan peringkat jajahan. Kumpulannya itu diundang lagi. Undangan bagi menjayakan
Majlis Tilawah al-Quran di Padang Majlis Daerah Bachok.
Cuaca
di luar masjid semakin cerah. Matahari hidup dan terus memancarkan sinar.
Kokokan ayam sudah mula hilang dari pendengaran. Sesekali kedengaran Siak Razak
menyimbahkan air ke atas lantai. Disusuli dengan bunyi kersik-kersik.
Ihsan
mengerling ke pergelangan tangan kiri, jam tangan hadiah daripada Azza itu
direnunginya. Dia bangkit, qiam. Dadanya dihadap ke arah kiblat. Kemudian, dia
solat sunat duha empat rakaat, dua salam. Begitulah rutin hidupnya sekarang.
Sekiranya tiada urusan yang mendesak pada awal pagi, dia akan beriktikaf
sehingga waktu duha. Tujuh sunah Rasulullah s.a.w, seberapa daya yang boleh
cuba diamalkannya. Jati diri boleh dibentuk dengan mengamalkan tujuh sunah ini.
Solat tahajud, solat duha, baca al-quran, imarah masjid, istighfar, sedekah dan
berwuduk.
Usai
solat sunat duha, dia bingkas bangun. Perlahan-lahan dia menapak ke keretanya.
Di hujung beranda, dilihat Siak Razak menyeka peluh di dahi. Lelaki yang sudah
berusia dalam lingkungan 40-an itu sekarang menjadi anak muridnya. Belajar
mengaji dengan bertajwid.
“Abang
Razak… !” laung Ihsan, tidaklah terlalu kuat. Namun, suaranya itu dapat
menyentuh gegendang kuping Siak Razak.
Siak
Razak berpaling ke arahnya. Seperti biasa, Ihsan akan menggunakan bahasa
isyarat. Merapatkan jari-jari tangan kanan. Kemudian, disuakan ke mulut.
Kepalanya pula digerakkan ke sebelah kiri dengan pantas. Sekali. Siak Razak
mengangguk-angguk. Faham dengan isyarat yang tunjukkan oleh Ihsan itu. Dia menapak
ke arah kereta Ihsan. Setelah mereka sama-sama terkurung di dalam perut kereta,
Ihsan memandu keluar dari perkarangan masjid. Seperti minggu yang lepas, mereka
akan bersarapan di warung Pak Moin.