Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
108,780
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 5

Malam itu, hujan turun mencurah-curah. Tujahan titisan hujan yang jatuh ke atas zink rumah jelas kedengaran. Sekali-sekala berderai gelak ketawa Ihsan melayan filem Seniman Bujang Lapok yang entah kali keberapa ditontonnya. Dia teringatkan arwah ayahnya lagi. Cerita-cerita arahan Tan Sri P. Ramlee menjadi kegemaran arwah ayahnya. Ada sindiran di dalam komedi, kata arwah ayahnya. Bila masa arwah ayahnya belajar pasal kritikan filem, dia tidak pasti.

Di dalam kebingitan hujan dan gema suara televisyen itu, kuping Ihsan seolah-olah menangkap bunyi ketukan di pintu. Diiringi dengan sapaan orang memberi salam.

Ihsan merendahkan bunyi televisyen. Dia bangkit dan melangkah ke pintu.

“Assalamualaikum!” ulang suara itu selepas bunyi ketukan di pintu.

Ihsan menaik daun pintu selepas menjawab salam. Dia kenal tuan punya suara yang menunggu di hadapan pintu itu.

“Masuk... masuk abang…” jemput Ihsan sebaik pintu dikuak. Yamin dan isterinya tersengih-sengih sambil menghulurkan kaki ke dalam rumah.

“Emak… emak... Kak Imah datang ni!” laung Ihsan. Tangan kanannya masih menggenggam erat tangan Yamin. Menarik ke dalam rumah.

“Ya lah... jemput dia masuk dulu, nanti emak keluar,” sahut emaknya dari bilik.

“Emak tengah teman Iman la tu,” beritahu Ihsan, punggungnya dijatuhkan ke sofa.

“Macam mana projek kau?” tanya Yamin, badan yang bersaiz XXL itu dihenyakkan ke sofa di hadapan Ihsan.

Sepupunya ini anak sulung adik emaknya. Maksu Zila. Usianya dua tahun lebih tua daripada Ihsan. Dia lepasan institut kemahiran belia dengan sijil pertukangan pendawaian elektrik. Apa yang Ihsan tahu, dahulu sepupunya itu bekerja dengan sebuah syarikat kejuruteraan elektrik milik seorang lelaki berbangsa Cina di Kuala Lumpur. Sudah hampir empat tahun sepupunya itu pulang bekerja di kampung. Dia mengambil upah memasang pendawaian elektrik. Kerja-kerjanya selalunya diupah oleh orang-orang di sekitar Kampung Ayer Lanas, Ayer Canal, Gemang, Lakota dan Jeli. Kadangkala sepupunya itu mendapat kerja-kerja yang diberikan oleh beberapa kenalannya. Khususnya dari kalangan kontraktor yang berlesen. Kerja-kerja yang entah beberapa kali telah di sub. Ihsan tersenyum sendirian apabila teringatkan cerita Yamin dahulu tentang kerja yang baru diperolehinya.

“Kerja ni aku baru dapat dari kawan aku, kontraktor kelas G1dari Tanah Merah. Dia sub kat aku. Dia pun ada kontraktor lain yang sub. Dua tiga kali sub, sub... sub... sueh,” gurauan Yamin itu masih terngiang-ngiang di kupingnya.

Kekehan kecil terbabas juga dari bibir Ihsan. Yamin yang berada di sebelah kanannya itu cepat-cepat mencondongkan bahu ke sebelah kiri. Kedua-dua bola matanya dibelalakkan.

“Hai, lain macam aje ni. Tiba-tiba gelak sorang-sorang... biar betul San,” tegur Yamin, kurang senang.

Ihsan menyiku Yamin sambil mengekeh-ngekeh. Yamin mengekeh sama.

“Kebun kau macam mana San?” ulang Yamin setelah kekehannya reda.

“Habis kena sondol bang…” sahut Ihsan sambil melepaskan sedikit keluhan.

“Kena sondol? Kau tak bayar hasil ke?” gurau Yamin, separuh ketawa.

Ihsan tergelak. Kak Imah ikut gelak sama. Begitulah Yamin. Selalu sahaja dengan leluconnya. Bercakap tidak pernah serius. Ada sahaja kerenahnya yang mencuitkan hati.

“Ada-ada aje abang kau ni...” sela Kak Imah, tangannya cuba mencubit paha Yamin. Namun, pantas ditangkap oleh suaminya. Dan digeletek di telapak tangan. Kak Imah menarik cepat-cepat tangan dari pegangan Yamin.

“Macam tu la San, berkebun di tengah-tengah hutan ni. Kau dah buat pagar? Macam kita jugak… pagar mesti ada, mesti penuh,” tutur Yamin masih bersahaja.

“Tapi... kalau kau nak, biar aku pasang dawai rintangan rendah... kau nak?” soal Yamin separuh bergurau. Bibirnya tidak kering dengan lelucon.

“Banyak sangatlah dawai rintangan rendah abang tu,” balas Ihsan tersengih-sengih. Jauh di sudut hatinya mengiakan juga saranan Yamin itu. Dalam gurauan itu ada juga logiknya. Cuma masa belum tiba lagi.

“Huh! setengah hari... hari ni, memang duk tengah baiki pagar pun. Agak aku la bang, pagar tu... habis-habis cepat pun akan ambik masa dalam... tiga ke empat minggu jugak,” cerita Ihsan, bersungguh-sungguh.

“Kayu pagar macam mana pulak?” Soal Kak Imah, ingin tahu. Pembantu tadbir di Sekolah Rendah Ayer Canal itu telah dua tahun berkahwin. Mungkin rezekinya untuk menimbang cahaya mata belum tiba. Wanita yang berseluar yangki, blaus dengan baju nipis hitam di dalam itu melemparkan pandangan ke muka Ihsan. Tangan kanannya membetul-betulkan kerongsang putih yang tersemat di bawah dagu. Kerongsang itu disemat bagi mengecilkan sedikit lubang muka pada tudung kepala. Tudung berona biji kundang dan berenda-renda.

“Pakai kayu-kayu di hutan tu aje Kak Imah. Tadi... Haji Rokiman bagi dawai mata punai, bolehlah tambah buat pagar,” cerita Ihsan lagi.

“Kalau ada duit nanti, kau beli jala aje San. Boleh tarik keliling kebun kau tu,”beritahu Yamin sambil menyeka air hujan yang menitis dari hujung rambut ke hidung.

Ihsan terangguk-angguk.

“Haji Rokiman tu memang baik, sejak dia jadi pengerusi masjid di kampung kita ni, macam-macam benda dia buat,” kata Yamin bersungguh-sungguh. Kedua-dua belah tangannya diangkat-angkat macam orang sedang berpidato.

“Ada Rakan Masjid, Rakan Belia Masjid… lepas tu, macam-macam aktiviti dia buat, sampai masjid kita tu dapat macam-macam anugerah. Anugerah Imarah Masjid, Anugerah Masjid Contoh Peringkat Zon,” cerita Yamin lagi. Isterinya yang duduk di sebelah kanannya itu bungkam dan ralit memandang ke skrin televisyen.

“Bagus juga kau rapat dengan Haji Rokiman, kau boleh belajar dari pengalaman dia, orang berpegalaman tu...” cadang Yamin, dagu diangkat sedikit.

“Aik! aku aje? abang tak nak belajar juga ke?” seloroh Ihsan sambil membongkok. Menghulur tangan. Menepuk paha Yamin yang banyak lemak itu.

Yamin tersengih. Kak Imah juga ikut tersengih.

Dari dapur kelihatan Mak Lela keluar dengan menatang sekeping dulang plastik hitam. Tiga biji cawan yang beralas piring diatur ke atas meja kecil di tengah-tengah lingkungan set sofa. Ruang tamu rumah kayu itu tidaklah luas sangat. Sekadar dapat menampung sofa 3+2+1, set kerusi meja makan dari kayu dan sedikit ruang untuk bersila.

Mak Lela menolak cawan yang berisi air itu ke hadapan Yamin, Kak Imah dan Ihsan. Bergulung-gulung asap keluar dari cawan kopi O panas itu.

“Jemput minum, Yamin… Imah!” pelawa Mak Lela sambil menyimpan dulang ke bawah meja.

“Ya lah, nampak sedap ubi kayu ni,” tegur Yamin, tangan kanannya menjangkau ke dalam mangkuk yang penuh dengan ubi kayu sebesar tiga jari itu. Melompat-lompat seketul ubi di tapak tangannya.

“Hati-hati… masih panas lagi tu,” pesan Mak Lela, senyuman meleret di bibir. Apabila dilihat Yamin macam badut sarkis yang sedang menimbang bola di tangan dalam suatu pertunjukan.

Ubi kayu di tangan, dicecahkan Yamin ke dalam kelapa parut yang sudah digaul dengan sedikit garam. Dimamah lumat-lumat sebelum ditelan.

“Hmm… memang lemak... berkrim pulak tu. Betul mak ngah,” ulas Yamin selepas ditelan ubi yang telah hancur itu. Ibu jari diangkat ke paras dada. Digoyang-goyang. Mak Lela hanya tersenyum dan turut bertenggek di sebelah Kak Imah.

“Mak ngah tak minum sama?” tegur Kak Imah sambil mengangkat cawan kopi.

“Kau minumlah Imah, aku dah kenyang. Baru lepas makan…”

“Dah tidur Iman, mak?” tanya Ihsan.

“Mmm…”

“Besok, kau ada nak ke mana San?” Yamin berkalih, memandang ke muka Ihsan yang baru mula meneguk kopi panas.

“Ke mana lagi, ke kebun tu aje. Nak siapkan pagar dulu, kenapa?”

“Aku ingat, minggu ni nak ajak kau ke Kuala Krai, nak siapkan kerja-kerja pendawaian elektrik di dewan sekolah,” beritahu Yamin yang berdesit-desit membuang sisa-sisa ubi kayu di celah-celah gigi.

“Eh... eh! boleh sangatlah. Kebun tu petang-petang sempat lagi jengguk,” setuju Ihsan tergelak-gelak.

“Kalau sempat…” celah Yamin dengan membulatkan kedua-dua biji mata.

“Kalau tak sempat... bersemak pulak la tanah kebun tu,” keluh Ihsan.

“Emak pun dah tak larat nak ke kebun tu, tak dapat nak bantu Ihsan,” sela Mak Lela sedih. Dia kasihan Ihsan. Sehari suntuk berjemur panas. Kulit pun sudah bertambah gelap. Hangus dibakar bahang mentari.

“Emak dah jaga Iman pun… Ihsan rasa syukur sangat-sangat. Insya-Allah, mesti ada jalannya tu,” ujar Ihsan, berharap.

Yamin mengangguk-angguk. Mulutnya masih laju memamah ubi kayu yang lembut itu.

“Aku ni bukan apa bang, kalau boleh nak sungguh-sungguh kerjakan tanah tinggalan arwah ayah tu,” beritahu Ihsan sambil berpaling, memandang ke muka Yamin.

“Tapi, aku juga minat kerja-kerja letrik ni. Dah bidang ni bidang aku. Selain dapat tampung belanja dapur… boleh juga belajar benda-benda baru,” sambung Ihsan, serius.

“Bagus la kalau macam tu San, aku bangga dengan kau. Kau memang dah banyak berubah,” tambah Yamin sambil mengerling ke arah Mak Lela.

“Terima kasih banyak-banyak Yamin, kau dah banyak tolong kami,” sela Mak Lela.

“Kita ni anak-beranak, kalau saya susah pun… tentu mak ngah pun buat benda yang sama,” ujar Yamin sambil menggosok-gosok kedua-dua tapak tangan.

“Ya lah mak ngah,” sampuk Kak Imah.

“Kalau boleh, Min ni nak sangat jadi kontraktor berlesen, mak ngah. Taklah perlu bergantung pada projek-projek sakit yang orang selalu beri,” beritahu Yamin dengan nada berbaur kesal.

“Susahkah nak dapatkan lesen tu?” tanya Mak Lela dengan membongkokkan badan.

“Entah la... taklah susah sangat kalau cukup syaratnya kot… cuma Min rasa la, nak cukupkan syaratnya tu yang payah,” terang Yamin, teragak-agak. Punggung lemak berkrimnya dikalih ke kiri sedikit.

Mak Lela menggaru-garu kepala.

“Tak tahu aku pasal kontrak-kontrak ni,” omelnya, tersengih. Menampakkan gigi yang sudah jarang itu.

*****

Semenjak Ihsan membantu kerja-kerja Yamin, banyak perkara yang telah dipelajarinya. Dia semakin bertambah mahir. Kesibukan itu seolah-olah membuatkan dia lupa akan kisah silamnya. Dia menjadi semakin yakin dalam hidup.

Cuma. Ya, kadangkala dia seakan orang yang dalam kepompongan. Tidak tahu mana satu yang ingin diberi tumpuan. Jika terlalu lama dia mengikut Yamin, kebunnya akan ditenggelami semak-samun. Dia sayangkan kebun itu. Banyak nostalgia hidup keluarganya di situ. Namun, jika tidak ikut Yamin bekerja. Macam mana pula hendak mendapatkan wang. Dapur perlu berasap. Emaknya dan Iman juga memerlukan pakaian. Sakit pening mereka anak beranak juga memerlukan wang untuk membeli ubat. Simpanan wang juga diperlukan. Sebagai langkah berjaga-jaga ketika amat diperlukan. Bil air, bil elektrik perlu dibayar. Semuanya memerlukan wang.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan