Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
108,764
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 6

“Abang tak tepati janji. Abang tipu Azza…”

Ihsan terpinga-pinga. Otaknya kosong. Entah apa lagi kata-kata yang perlu diungkapkan bagi menyakinkan Azza. Matanya memandang tepat ke dalam mata perempuan yang pernah menjadi teman hidupnya itu. Direnung wajah itu lama-lama. Wajah itu semakin cantik walaupun semasa dia tengah naik angin. Kulit mukanya yang putih bersih itu akan menjadi merah. Mata hitamnya yang besar itu sungguh mengasyikkan. Setiap mata yang memandang. Hidungnya yang lacip ala-ala heroin filem Hindustan itu sungguh menawan. Bibir merahnya mongel. Semua terhias indah pada roman muka bujur sirih. Sungguh sempurna anugerah Yang Maha Esa.

“Kenapa abang tak pernah jujur pada Azza?”

Ihsan semacam seorang yang nanar. Masih bingung. Tidak faham punca kemarahan Azza kali ini. Sepanjang usia perkahwinan mereka tidak pernah Azza berkelakuan begini. Dia seorang isteri yang santun. Seorang menantu yang amat disayangi mentua.

“Tapi... apa yang telah abang buat?” soalnya yang masih terkulat-kulat. Tidak tahu hujung pangkal tentang isu yang dipersoalkan Azza itu.

“Abang tanyalah pada diri abang sendiri,” bentak Azza, Ihsan tergamam. Belum pernah dia melihat Azza segarang ini. Garang mengalahkan singa betina yang beranak kecil.

Ihsan memejamkan mata. Benaknya cuba memutar semula kronologi kisah hidupnya bersama Azza. Dia cuba mencari-cari punca kemarahan Azza. Bermula sewaktu dia keluar dari CCVC sehingga ke hari ini. Dia tidak pernah lagi bersua muka dengan Azza. Bayang Azza pun dia tidak nampak. Apatah lagi orangnya.

‘Huh!... apa yang aku dah buat? Azza dah macam orang kena rasuk...’ bisik hati kecilnya, setelah dia gagal mencari jawapan yang membangkitkan amarah Azza itu.

“Maafkan Azza abang... Azza terpaksa ambik balik Iman,” suara Azza kembali kendur, namun mampu membuatkan jantung Ihsan berdegup dengan kencang.

“Tapi... kenapa Azza? Abang sayangkan Iman. Emak juga sayangkan Iman,” rayu Ihsan, dada mula sebak. Nafas semakin tercungap-cungap.

“Sayang?” soal Azza dengan nada memerli.

Ihsan mengangguk, setuju.

“Kalau sayang kenapa abang mungkir janji?”

“Apa yang telah abang buat? Janji apa yang telah abang mungkir?” ulang Ihsan yang semakin tersepit dengan pertanyaan itu. Dia semakin lemas. Semakin bingung.

“Sudahkah abang baca surat Azza?”

Ihsan mengangguk lagi.

“Azza sudah bagi syarat, bukan? jika abang sia-siakan hidup Iman, Azza akan ambik balik Iman,” jelas Azza sambil mengetap bibir.

“Tapi abang tak sia-siakan Iman. Abang jaga dia. Abang sayang dia. Abang ajar dia mengaji al-Quran. Abang bawa dia solat ke masjid…”

“Semua tu tak cukup untuk buktikan sayang…” marah Azza lagi, mukanya mencuka.

“Hah!” Mata Ihsan terbelelek. Mulut melopong, kebingungan.

“Perjalanan hidup Iman masih jauh. Apa jaminan abang untuk Iman teruskan perjalanannya? abang yakin umur abang panjang? dapat mendampingi Iman sehingga dia dewasa?”

Ihsan kelu. Dia terangguk-angguk. Esakannya jelas kedengaran. Air matanya gugur lagi.

“Kenapa abang menangis? abang ingat dengan tangisan abang tu, dunia ni akan berubah? hidup abang akan berubah?” tempelak Azza lagi, tanpa rasa belas.

“Apa lagi yang Azza mahu abang lakukan?”

“Kenapa abang tanya Azza? abang tanyalah diri abang sendiri. Azza tiada jawapannya. Tapi abang… ya! abang ada jawapannya,” protes Azza, bebola matanya menikam ke dalam mata hitam Ihsan. Tajam. Membuatkan Ihsan tewas.

“Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan?” rintih Ihsan, seolah-olah sudah berputus asa.

“Okey, abang fikirlah dulu. Bila abang sudah ada jawapan. Bagitau Azza,” ungkap Azza sambil mencapai pergelangan tangan Iman. Ditariknya tangan Iman dan menonong ke sebuah kereta yang sedang menanti di laman rumah.

“Jangan… jangan... tolong… jangan... jangan bawa Iman pergi… tolong… kesianlah abang, kesianlah emak. Azza!”

Azza tidak peduli dengan rayuan Ihsan. Dia terus menggenggam kemas tangan Iman. Pintu kereta dibuka. Azza mengangkat Iman masuk ke dalam kereta. Ihsan melompat ke beranda. Cuba mengejar dari belakang. Namun, kereta Proton Preve merah saga itu telah melepasi pintu pagar laman. Berderum laju. Meninggalkan Ihsan yang melambai-lambai. Terjerit-jerit di tangga. Bagai seorang anak kecil yang menangis ditinggalkan ibu bapa.

“Azza… tolong pulangkan anak abang… tolong…”

“Huh!” Hening. Kosong.

Kelopak mata Ihsan terkuak. Suasana di dalam bilik itu kelam. Hanya kedengaran deruan angin dari bilah-bilah kipas siling yang ligat berputar.

“Astaghfirullaha adzim…” ucap Ihsan perlahan-lahan, berulangkali.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Terkocoh-kocoh dia bangkit dari katil. Berlari keluar. Pintu bilik emaknya dikuak. Iman di bawah sehelai gebar rona biru sedang nyenyak dibuai mimpi. Dia melurut-lurut dada, lega.

“Alhamdulillah… aku bermimpi rupanya,” kemudian dia melilau lagi, ada lagi yang dia terlepas pandang.

“Emak? Ya! Mana emak? Mana emak?” soalnya sendirian dengan nada cemas. Matanya berkalih ke muka jam yang tergantung di dinding. Dia merapatkan sedikit kelopak mata, silauan cahaya lampu Kalimantan yang terlepas keluar dari ruang dapur itu betul-betul menghempas ke permukaan jam.

“Baru pukul tiga pagi,” getusnya sendirian.

“Tapi... kat emak?”

Dia meluru ke ruang dapur. Dilihat emaknya sedang memilin pemetik api dapur gas. Sebuah cerek telah sedia di atas tuku dapur. Dia menyandarkan belakang rapat-rapat ke dinding. Nafas dihela dalam-dalam. Kemudian dilepaskan. Bunyi nafas yang tercungap-cungap itu jelas kedengaran.

Keadaan emosinya kembali stabil. Turun naik nafas kembali teratur. Dia meninggalkan emaknya di ruang dapur. Mengatur langkah ke kamar mandi. Di situ dia mengambil wuduk. Dingin air di dinihari amat menyegarkan. Dia menapak. Kembali masuk ke bilik. Dicapai sehelai sejadah yang tersidai di ampaian besi. Dibentang di atas lantai. Sejadah itu pemberian keluarga Azza semasa mereka berkahwin dahulu. Kedudukan sejadah berona hijau tua itu disenget ke kanan sedikit. Biar betul arah kiblatnya. Kain sarung pelikat yang masih dipakainya itu ditukar. Dia mula berada di dalam qiam. Terus berqiamullail.

Begitulah rutin Ihsan mutakhir ini. Kalau dahulu dia berubah 360 darjah. Kini dia kembali berubah sebanyak yang sama. Jiwanya terasa dekat dengan Allah. Dia masih ingat pesanan seorang ustaz semasa dia di CCSC, jika kita takut pada harimau. Kita menjauhkan diri. Lari sejauh mungkin. Sebaliknya, jika kita takutkan Allah. Kita semakin menghampiri-Nya.

Selepas solat tahajud, dia masih bersimpuh di atas sejadah. Benaknya mula teringatkan kata-kata Azza di dalam mimpi tadi. Walaupun dia tahu, itu cuma mimpi. Cuma mainan tidur. Kadangkala, apa yang kita mimpikan itu ada peringatan untuk kita juga. Itu pendapatnya. Cuma pendapat. Mungkin betul atau mungkin juga silap. Namun, dia rasakan tidak salah untuknya mentakwilkan mimpi itu. Sebagaimana juga Nabi Yusuf.

Dia cuba mengingat kembali mimpinya tadi. Termenung sendirian di dalam kelam. Benaknya ligat berputar. Mencari-cari jawapan.

“Apa sebenarnya mimpi aku tadi? Kenapa Azza meradang? Apa maksud Azza?” bisik Ihsan, menyoal diri sendiri.

Jawapan kepada mimpinya tadi masih dicari. Dia umpama seorang detektif. Ya, seorang detektif yang selalu dilihat di dalam filem-filem penyiasatan. Detektif yang memerah otak dan cuba merungkai sebuah teka-teki yang ditinggalkan musuh.

“Kata Azza, jawapan ada pada aku,” Ihsan mendengus. Kata kunci itu diulang-ulang.

Lama betul dia bertafakur . Mencari jawapan yang masih kelam. Sekelam bilik itu ketika ini. Tiba-tiba hatinya melonjak gembira. Jawapan kepada kemarahan Azza di dalam mimpinya itu sudah ada. Mata hatinya mula terbuka.

‘Betul kata emak, satu pertiga malam ni, hati kita tenang. Otak kita sihat. Boleh berfikir dengan tenang,’cetus hati kecilnya.

Dia mengangguk-angguk, faham. Bersetuju dengan kata hatinya. Mungkin inilah jawapan itu.

“Oh...! barangkali Azza mahu aku tumpu kepada satu kerja saja. Biar aku ada masa untuk Iman. Boleh jadi Azza mahu aku lakukan satu kerja dengan bersungguh-sungguh. Biar ada simpanan untuk pengajian Iman nanti. Azza mahu aku jadi bapa yang bertanggungjawab,” bisik Ihsan sendirian.

“Di mana kau sekarang Azza?” soalnya lagi. Matanya dipandang ke atas sejadah. Gelap. Dia selesa berada di dalam suasana sebegitu ketika ini. Satu keluhan berat dilepaskan.

“Biar pun kita telah berpisah, namun hati ini tetap milikmu,” getusnya, kerinduan kepada bekas isterinya itu mula bertandang.

“Abang tak akan tenteram Azza. Ya! Hati ini tidak tenteram selagi abang tak betulkan kepincangan yang abang lakukan dulu,” dia beremosi lagi. Perasaan sayu membuak-buak di dalam jiwanya.

Kegelapan di sekeliling bilik berukuran 20 kaki x 20 kaki itu tidak menghalang dia mengimbau kenangannya. Di mata Ihsan jelas terbayang pertemuannya dengan Azza. Dia masih ingat. Mustahil dia boleh lupa. Peristiwa itu adalah sejarah cinta di antara dia dan Azza. Sudah terukir indah di dalam hatinya. Sampai bila-bila. Peristiwa bagaimana pertama kali dia dan Azza berkenalan. Sungguh luar biasa. Penuh dengan debaran di dada. Gementar seluruh jiwa. Cinta itu memang luar biasa. Hadirnya tiada siapa yang dapat menduga. Apabila hati disapa cinta, tiada yang buruk. Semua indah belaka.

Masih terbayang di benak Ihsan. Tengah hari itu, seperti biasa dia akan bersolat zuhur di masjid. Selepas solat, dia ke warung membeli sebungkus nasi gulai kawah. Ketika motosikal yang ditunggangnya cuba melintas simpang jalan keluar dari sebuah pasar raya, ada sebuah kereta Perodua Kancil. Terus dipandu keluar dari situ. Ihsan tergamam. Panik dengan situasi mendadak itu. Kaki kanannya terus menekan brek. Tayar belakang motosikalnya berhenti. Namun masih terseret ke hadapan. Meninggalkan kesan hitam yang melekat di atas jalan berturap itu. Malang tidak berbau. Perodua Kancil berwarna perak itu terlebih dahulu merempuh kuat tayar depan motosikalnya. Badan Ihsan melambung ke hadapan. Macam atlet lompat tinggi di dalam SUKMA. Terjelepok di atas jalan raya. Seorang gadis yang memandu kereta itu keluar dalam keadaan trauma. Badannya menggigil. Panik. Takut. Ihsan dihantar ke Unit Kecemasan di Hospital Jeli.

Kalau sudah berputik rasa cinta di jiwa, semua yang kupandang menyejukkan mata. Kalau sudah melimpah rasa sayang di hati, apa yang kau beri sentiasa aku senangi. Bila ada rindu, segeralah hadir bertamu. Ihsan benar-benar rindu saat itu. Saat itu sungguh indah.

Di hospital itulah tempat pertama mereka bertemu. Ihsan terbaring di atas katil di dalam bilik kecemasan. Azza pula gelisah menunggu di ruang pelawat. Pertemuan mereka telah tercatat di lohmahfuz. Pertemuan di luar dugaan.

“Maafkan saya… maafkan saya bang. Saya benar-benar tak nampak motosikal abang melintas tadi,” rayu Azza, kedua-dua telapak tangannya dirapatkan. Betul-betul di hadapan dada.

Walaupun di dalam kesakitan, Ihsan mampu tersenyum. Dadanya bergetar. Dia mula terpikat dengan gadis di depannya ini. Di situlah bermula bibit-bibit percintaan mereka. Saling rindu merindui.

Selepas Azza menamatkan pengajiannya di Politeknik Jeli, mereka sepakat untuk hidup sebagai suami isteri. Meskipun ibu Azza tidak bersetuju. Ibu Azza mahu anak perempuannya itu menyambung pelajaran lagi. Namun, jiwa muda memang penuh warna-warni. Latah wilangannya sukar dimengerti. Ibu Azza terpaksa menurut kemahuan anaknya itu. Apa yang Ihsan dengar, ibu Azza amat kecewa dengan keputusan anaknya itu. Dia merajuk. Hampir sebulan juga dia tidak bertegur sapa dengan Ihsan.

“San… ooo... San,” panggil Mak Lela sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik Ihsan.

Ihsan bingkas bangun. Cepat-cepat melangkah ke pintu. Pintu kayu itu dikuak, emaknya dalam pakaian solat sudah berdiri di hadapan pintu.

“Ya, mak.”

“Ooo… Ihsan dah bangun. Emak ingatkan belum. Sudah nak masuk waktu subuh ni,” beritahu Mak Lela, kemudian dia kembali ke biliknya. Menyambung membaca al-Quran.

Ihsan melangkah keluar dari bilik. Dicapai kunci motosikal yang tersangkut di tepi pintu itu. Menapak terus ke pintu besar. Dia kemudian meredah dingin dinihari, mencari reda Ilahi
Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan